Anda di halaman 1dari 10

PERMAINAN

BOLA TAMPAR
Bola tampar di Malaysia telah bermula di Pulau Pinang dan Selangor sejak tahun 1926.
Permainan ini telah diperkenalkan oleh bekas mahasiswa dari universiti di Shanghai, China. Pada
tahun 1927, kejohanan pertama bola tampar di Malaysia yang dikenali sebagai Liga Selangor
telah dianjurkan.
Di peringkat sekolah-sekolah, pertandingan bola tampar dianjur atau dikelolakan oleh Majlis
Sukan Sekolah-sekolah Malaysia (MSSM). Dalam sesuatu pertandingan bola tampar, kejayaan
sesebuah pasukan bergantung pada strategi permainan, penguasaan kemahiran, kecergasan
fizikal yang tinggi dan kekuatan mental. Selain itu, persefahaman yang tinggi dan komunikasi
yang berkesan antara pemain juga merupakan faktor yang mendorong kepada kejayaan sesebuah
pasukan.
OBJEKTIF
Setelah mempelajari topik ini, kita akan dapat:
Melakukan sekurang-kurangnya empat kemahiran asas bola tampar dengan teknik yang
betul dan selamat
Menyatakan sekurang-kurangnya empat kesalahan teknik lakuan dalam permainan bola
tampar.
Menyatakan aspek-aspek keselamatan yang perlu diambil perhatian dalam permainan
bola tampar.
Menyatakan undang-undang dan peraturan asas dalam permainan bola tampar.
Mengenal pasti sekurang-kurangnya lima otot utama dalam permainan bola tampar.
Merancang strategi asas dalam permainan bola tampar.




Permainan bola tampar ialah gabungan dua jenis permainan iaitu penggunaan net dari sukan
lawn tennis dan bola daripada bola keranjang. Permainan ini telah diperkenalkan oleh William
G. Morgan pada tahun 1895. Pada awalnya, permainan ini dikenali sebagai minonettesebelum
digantikan dengan nama volleyball oleh Alfred Halstead pada tahun 1896.
2.1.1 KEMUDAHAN DAN PERALATAN BOLA TAMPAR
Bola tampar boleh dimainkan di luar atau di dalam dewan. Semua ukuran peralatan yang
digunakan dalam permainan ini adalah mengikut undang-undang yang telah ditetapkan oleh
Persekutuan Bola Tampar Antarabangsa (FIVB)
A. Gelanggang
Permukaan gelanggang bola tampar perlu rata dan diperbuat daripada simen atau sebarang
permukaan sintetik yang sesuai dan selamat. Gelanggang bola tampar juga boleh dibuat di atas
padang rumput dan permukaan tanah liat.



B. Tiang, Jaring dan Antena
Tiang yang digunakan perlu berbentuk silinder. Ketinggian tiang dan jaring adalah mengikut
peringkat umur dan jantina. Jaring diikat pada dua batang tiang yang berada di luar gelanggang.
Ketinggian jaring diukur pada bahagian tengahnya. Sepasang antena diletakkan di kedua-dua
hujung jaring serenjang dengan garisan tepi gelanggang. Antena diwarnakan putih berbelang
merah.
Kategori Pertandingan Ketinggian Jaring
Lelaki bawah 18 tahun 2.43 m
Perempuan bawah 18 tahun 2.24 m
Lelaki bawah 15 tahun 2.25 m
Perempuan bawah 15 tahun 2.10 m

C. Bola
Bola tampar berbentuk sfera dan diperbuat daripada kulit atau bahan sintetik yang ringan dan
lembut. Bahan ini penting untuk menyerap hentakan pada tangan ketika bola disentuh.
Kesesuaian tekanan angin dapat ditentukan dengan menjatuhkan bola dari ketinggian aras
kepala. Bola tersebut akan melantun semula pada ketinggian aras pinggang.


65-67 CM

Dimensi bola tampar



2.1.2 POSISI PEMAIN BOLA TAMPAR
Susunan posisi pemain bola tampar dalam gelangang adalah mengikut strategi sesebuah pasukan.
Susun atur ini menentukan giliran servis setiap pemain sepanjang permainan. Arah pergerakan
giliran melakukan servis antara pemain adalah mengikut arah jam. Ketika servis dilaksanakan,
setiap pemain perlu berada pada posisi giliran yang betul.
2.1.3 KEMAHIRAN ASAS BOLA TAMPAR
Setiap pemain perlu mempelajari dan menguasai beberapa kemahiran asas dalam permainan bola
tampar. Kemahiran-kemahiran asas yang terdapat dalam permainan bola tampar ialah
menyangga, servis, mengumpan, merejam dan mengadang.
A. Menyangga
Menyangga ialah kemahiran menerima dan menghantar bola dengan kedua-dua belah tangan.
Kemahiran ini digunakan untuk menahan dan mengawal bola servis atau rejaman pihak lawan.
Keupayaan megawal dan menghantar bola tepat kepada rakan dapat menghasilkan tindak balas
yang berkesan.
Hantaran bawah tangan juga dikenali sebagai hantaran menyangga atau 'dig'. Hantaran ini
dilakukan pada aras bawah tangan yang menggunakan dua belah tangan (a two-handed
underhand pass) dan merupakan jenis hantaran yang lazim digunakan dalam permainan bola
tampar. Kemahiran menyangga juga digunakan apabila bola berada terlalu dekat dengan lantai
dan pemain tidak sempat mengambil posisi yang baik untuk menggunakan hantaran atas kepala.

Kemahiran dig juga digunakan sebagai teknik menahan, terutamanya untuk menyelamatkan
hantaran dan juga mengawal semula bola. Contohnya, apabila pihak lawan merejam bola atau
bola dimainkan ke satu posisi yang tidak membolehkan penerima menggunakan hantaran atas
kepala maka penerima hantaran akan menggunakan dig untuk menyelamatkan pukulan tersebut.




Teknik-teknik Menyangga:
Pastikan kedua-dua ibu jari adalah selari.
Jari-jari hendaklah dilipat dan dirapatkan antara satu sama yang lain.
Kedua-dua siku dikunci dengan lengan dan pergelangan tangan diluruskan ke hadapan.
Kaki dijarakkan dengan sebelah kaki diletakkan di hadapan dan lutut dibengkokkan
untuk menerima hantaran.
Letakkan kaki luar ke hadapan dan pusing badan untuk menghadap sasaran sebelum
bermain bola.
Tolak bola ke atas dengan pergerakan bahu yang minimum.
Elakkan daripada menghayun lengan untuk menampar bola.
Pastikan tapak pemukul (platform) adalah stabil.
Kendurkan bahagian atas tubuh.
Hantar bola tinggi agar pukulan bola yang seterusnya dapat disambut dengan baik oleh
ahli pasukan yang lain.
B. Servis
Permainan bola tampar dimulakan dengan servis dari kawasan servis yang ditetapkan. Servis
ialah kemahiran menghantar bola melepasi jaring melalui dua antena ke gelanggang pihak lawan.
Kegagalan melakukan servis yang sempurna akan mengakibatkan pasukan hilang servis dan
pihak lawan memperoleh mata. Antara kemahiran asas servis ialah servis bawah tangan dan
servis atas kepala atau gaya tenis. Servis merupakan salah satu kemahiran yang terpenting yang
perlu dikuasai oleh semua pemain. Kepentingan servis antaranya ialah:
(a) Mengikut peraturan permainan bola tampar, sesuatu pasukan mesti berada dalam kedudukan
membuat servis untuk mendapatkan skor. Oleh itu pasukan yang memiliki pemain handal
membuat servis berpeluang untuk mendapatkan skor dan mengekalkan servis.

(b) Semasa seseorang pemain membuat servis dengan darjah lontaran tertentu, pemain tersebut
boleh menentukan di mana kedudukan bola yang hendak dihantar olehnya. Satu servis yang kuat
dan pantas boleh membuatkan pemain yang lemah daripada pasukan lawan yang menerima
hantaran bola tersebut membuat kesilapan seperti terlepas bola, membuat faul atau membuat
hantaran lemah (poor pass).
C. Mengumpan
Mengumpan ialah kemahiran menghantar dan menyediakan bola untuk memudahkan rakan
sepasukan melakukan rejaman. Dalam situasi pertandingan, kebiasaannya, seseorang pemain
akan diberi tugas untuk melakukan umpanan. Mengumpan boleh dilakukan sama ada di tepi
jarring atau tengah gelanggang mengikut strategi permainan. Kemahiran ini memerlukan
persefahaman yang tinggi antara pengumpan dengan pemain yang akan melakukan rejaman.








Mengumpan atau membuat umpanan (setting) adalah pergerakan di mana pemain 'setter' akan
menghantar bola mengikut ketinggian dan arah tertentu kepada rakannya bagi membolehkannya
pasukan membuat rejaman untuk memperolehi mata. Tanpa umpanan yang baik dan tepat
daripada setter, ia akan menyulitkan perejam. Pengumpan dan perejam mestilah memiliki tahap
persefahaman yang tinggi. Pengumpan seharusnya tahu akan arah dan corak lambungan bola
yang dikehendaki perejam sebelum dia membuat rejaman. Dua perkara asas dalam kemahiran
membuat umpanan ialah pergerakan badan dan kaki yang harus selesa dan seimbang. Tangan
diletakkan di hadapan muka dengan ibu jari serta jari jari lain mengucup.

D. Merejam
Merejam ialah kemahiran menyerang dengan memukul bola secara kencang ke dalam
gelanggang pihak lawan. Tujuannya adalah untuk mendapatkan mata servis lawan. Merejam
adalah kemahiran yang kompleks. Kita perlu mempunyai koordinasi tubuh yang baik bagi
melakukan larian, lompatan, pergerakan di udara, memukul bola dan mendarat. Rejaman boleh
dilakukan dengan baik apabila bola berada dekat dengan jaring. Pemain barisan belakang hanya
boleh melakukan rejaman di belakang garisan serangan.


Kemahiran merejam digunakan oleh pemain serangan untuk mendapatkan skor atau mata dengan
membuat pukulan smesyi (smash) ke dalam gelanggang pihak lawan. Anda perlu bersedia berdiri
berdekatan jaring dan menghadap ke arah bola yang akan dihantar oleh rakan sepasukan anda.
Semasa bola mula menjunam turun, anda perlu melompat tinggi ke udara dan menghayunkan
tangan anda ke atas untuk memukul bola masuk ke dalam gelanggang pihak lawan. Pergerakan
ini samalah seperti smash dalam permainan badminton. Mata akan diperolehi seandainya bola
tidak dapat ditangkis oleh pemain pasukan lawan dan berjaya menjejaki ke lantai dalam
gelanggang.

E. Mengadang
Mengadang ialah kemahiran menghalang rejaman pihak lawan yang dilakukan dekat dengan
jaring pada aras atas jaring. Pengadang adalah lapisan pertahanan yang pertama menghalang
serangan pihak lawan. Kemahiran ini memerlukan ketepatan mengagak rejaman lawan dan kuasa
otot kaki ketika melompat. Mengadang hanya boleh dilaksanakan oleh pemain barisan hadapan

Lazimnya tindakan menghadang diamalkan untuk menentang rejaman oleh pihak lawan.
Hadangan yang berkesan akan menyebabkan bola mati dalam gelanggang pihak yang membuat
rejaman.

Cara-cara Menghadang
a) Menolak kedua-dua belah kaki, tangan diluruskan ke atas
b) Bahagian lengan dan tapak tangan condong ke sebelah pihak lawan






2.1.4 Otot-otot utama yang terlibat dalam kemahiran bola tampar
Kemahiran Otot-otot utama
Menyangga Deltoid
Servis Deltoid, Pectoralis major
Mengumpan Deltoid
Mengadang Gastrocnemius, Quadriceps, Deltoid
Merejam Gastrocnemius, Erector spinae,Quadriceps,
Deltoid


2.1.5 UNDANG-UNDANG DAN PERATURAN
Pertandingan bola tampar dilaksanakan mengikut Undang-undang Persatuan Bola Tampar
Amatur Malaysia (MAVA) dan peraturan-peraturan am Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia
(MSSM). Antara undang-undang asas permainan bola tampar adalah seperti berikut:
1. Pertandingan bola tampar diadili oleh dua orang pengadil, iaitu pengadil pertama dan
pengadil kedua.
2. Setiap pasukan perlu terdiri daripada sekurang-kurangnya enam orang pemain dan tidak
melebihi 12 orang pemain yang berdaftar.
3. Servis hanya boleh dilaksanakan selepas pengadil pertama meniup wisel.
4. Servis perlu dilakukan oleh setiap pemain mengikut giliran yang sah.
5. Pemain yang melakukan servis tidak dibenarkan memijak garisan belakang.
6. Setiap pemain boleh menyentuh bola sekali sahaja. Pemain boleh menyentuh bola dengan
mana-mana bahagian badan.
7. Setiap pasukan hanya boleh menyentuh atau memainkan bola dengan tiga sentuhan
sebelum menghantar ke gelanggang pihak lawan. Pengiraan ini tidak termasuk sentuhan
bagi mengadang.
8. Mengadang hanya boleh dilakukan oleh pemain barisan hadapan.
9. Pemain barisan belakang boleh melakukan rejaman tetapi dari luar kawasan serangan.
10. Pemain dilarang menyentuh mana-mana bahagian jarring atau memasuki kawasan pihak
lawan.
11. Setiap pasukan boleh meminta dua kali time out dalam satu set permainan dengan
kebenaran pengadil.
12. Setiap pasukan boleh melakukan enam pertukaran dalam setiap set permainan bila-bila
masa dengan kebenaran pengadil. Pemain yang ditukar perlu diganti dengan pemain yang
sama apabila pertukaran dibuat semula.
13. Mata kemenangan ialah 25 mata yang dikira secara pengiraan pingpong. Apabila
kedudukan mata 24-24, lebihan dua mata diperlukan untuk menentukan kemenangan.
14. Set penentuan, hanya 15 mata sahaja digunakan dengan lebihan dua mata diperlukan
untuk menentukan kemenangan
15. Antena berfungsi untuk memastikan bola masih berada dalam kawasan permainan
semasa bola masuk ke kawasan pihak lawan.

Kita perlu menguasai semua kemahiran asas permainan bola tampar untuk menjadi pemain yang
baik. Sebagai sebuah pasukan, setiap pemain perlu bekerjasama, cepat dan bijak membuat
keputusan ketika beraksi menentang pihak lawan. Pengetahuan berkaitan permainan bola tampar
akan melahirkan pemain yang berkemahiran tinggi, membentuk sikap pemain yang berdisiplin
dan beretika.

Anda mungkin juga menyukai