Anda di halaman 1dari 8

BAB 1

PENGENALAN KEPADA STATISTIK SAINS SOSIAL

OBJEKTIF BAB
Selepas mempelajari bab ini, anda seharusnya boleh:
1. Menjelaskan maksud statistik khususnya dalam bidang sains sosial.
2. Menerangkan kepentingan statistik dalam penyelidikan sains sosial.
3. Menerangkan beberapa konsep utama dalam bidang statistik dan
analisis data sains sosial.
1.1

PENGENALAN

Melalui penelitian dan pemerhatian terhadap segala kejadian yang terdapat di


sekeliling dan persekitaran kita, kita perlu menyedari bahawa sesungguhnya
Tuhan telah menjadikan berbagai-bagai bentuk kejadian di dunia ini.
Tambahan pula kepelbagaian kejadian ini, daripada yang sekecil-kecilnya
sehinggalah yang sebesar-besarnya, sama ada secara sedar atau tidak, wujud
dalam kehidupan manusia dan persekitarannya. Lihatlah pelbagai jenis dan
rupa tumbuh-tumbuhan yang dijadikan Tuhan, daripada yang tumbuh
melata di bumi hinggalah kepada tumbuh-tumbuhan yang gagah berdiri.
Kesemua kejadian ini sebenarnya berguna kepada mereka yang ingin
mengetahui, menyelidik dan seterusnya menganalisisnya.
Tingkah laku manusia, sama ada yang terlahir dan dapat dilihat ataupun
tingkah laku yang terpendam, sudah tentu dipengaruhi dan ditentukan oleh
sesuatu yang lain. Oleh sebab itu, kita sering memikirkan bahawa dalam
banyak keadaan, sesuatu tingkah laku secara umumnya mempunyai
hubungan dengan tingkah laku yang lain. Begitu juga halnya dengan perkaraperkara lain. Ia mempunyai jalinan hubungan dengan benda yang lain pula.
Keadaan inilah yang menjadi tumpuan dan minat ahli statistik untuk cuba
menguji dan memperihalkan kepelbagaian, keseragaman dan saling
berhubungan antara tingkah laku manusia, kejadian dan objek yang terdapat
dalam persekitaran kehidupan manusia.
1.2

ANALISIS STATISTIK

Untuk membolehkan kita menguji dan memperihalkan kepelbagaian


kejadian dan tingkah laku yang dilihat dan dialami, ahli ilmu telah mencipta
satu sistem pemerihalan dengan menggunakan data dan maklumat. Data dan
maklumat yang diperoleh diterjemahkan atau ditukar ke bentuk angka atau
nombor. Angka digunakan kerana manusia diandaikan sering berhadapan
dan menggunakan nombor dalam kebanyakan aktiviti hidupnya.
1

Sebagai contoh, seorang pelajar beragama Islam yang mempunyai


pengurusan masa yang baik sudah tentu menetapkan aktiviti hariannya
mengikut waktu-waktu yang telah dirancang. Dia telah menetapkan waktu
bangun tidurnya pada pukul 5.30 pagi untuk membuat persiapan
sembahyang subuh yang biasa dilakukan dalam lingkungan pukul 6.00 pagi.
Selepas itu, dia memperuntukkan pula masa selama 1 jam 15 minit untuk
mengulang kaji pelajaran mulai jam 6.15 pagi hingga 7.30 pagi. Dia
melakukan perbuatan dan tingkah laku ini kerana menyedari bahawa waktu
selepas subuh ialah waktu yang mendatangkan barakah. Aktiviti harian
seterusnya berjalan mengikut jadual masa yang telah ditetapkan.
Wang biasiswa atau pinjaman yang diperolehnya diagihkan mengikut
keperluannya sebagai seorang pelajar. Misalnya dia memperuntukkan 30 dan
40 peratus untuk tujuan pengajian dan pembelajaran. Sebanyak 35 hingga 40
peratus diperuntukkan bagi keperluan makanan dan hariannya manakala
sebanyak 10 hingga 15 peratus sahaja diperuntukkan untuk membeli
pakaian. Dia bertekad dan berazam untuk tidak membuat sebarang
peruntukan kepada aktiviti berfoya-foya dan berpesta.
Statistik merupakan suatu teknik, metode, tatacara dan sistem untuk
meneliti, menganalisis, memahami dan seterusnya memperihalkan contoh
dan maklumat yang diberikan di atas. Analisis statistik yang dibincangkan di
dalam modul ini merupakan teknik dan metode untuk memahami data,
meringkaskannya, membuat analisis dan seterusnya memperihalkan pelbagai
jenis data yang diperoleh dalam bentuk yang mudah difahami. Perkataan
statistik kadangkala merujuk kepada sesuatu angka yang boleh
menggambarkan kumpulan data dan maklumat.
1.3

STATISTIK DALAM PENYELIDIKAN

Penyelidikan seharusnya dibuat secara sistematik, empiris dan saintifik.


Untuk mencapai matlamat tersebut, penyelidik sepatutnya mampu
mempastikan data, maklumat dan fakta yang diperoleh adalah benar, boleh
dipercayai dan sah. Dengan cara demikian, keputusan yang dilaporkan boleh
diakui jitu. Penyelidikan saintifik perlu memastikan bahawa pengulangan
kajian yang dijalankan untuk mengesan dan mengesahkan kajian yang
terdahulu berjaya memperolehi keputusan yang sama jika ia benar. Semakin
banyak kajian ulangan dibuat, akan semakin bertambahlah keyakinan kita
terhadap keputusan kajian dan saranan yang diberi untuk menyelesaikan
sesuatu masalah yang telah dikaji.
Data, maklumat dan fakta yang dikumpul dalam sesuatu penyelidikan
bertujuan untuk menjawab isu yang dinyatakan dalam permasalahan dan
pernyataan kajian. Penyelidik mestilah memulakan tugas analisis dengan
menentukan dan memilih beberapa metode analisis statistik yang sesuai.
metode yang dipilih pula seharusnya mampu memperoleh keputusan yang
dapat menjawab permasalahan dan tujuan kajian yang dibina. Justeru itu,
tidak dapat dinafikan bahawa memiliki ilmu yang mendalam terhadap
metode dan teknik analisis statistik adalah penting dalam penyelidikan.
2

1.4

STATISTIK DESKRIPTIF DAN INFERENS

Secara umum analisis statistik dapat dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu
analisis deskriptif dan analisis inferens. Analisis deskriptif biasanya
digunakan untuk memperihalkan keadaan data yang terdapat pada sampel
kajian. Pemerihalannya terhad kepada sampel sahaja dan tidak digunakan
untuk membuat sesuatu kesimpulan atau generalisasi menyeluruh kepada
populasi yang dikaji. Sesetengah ahli statistik menyatakan bahawa ilmu
statistik deskriptif hanyalah seperti hujung aisberg yang timbul di
permukaan lautan. Meskipun ia kecil, tetapi ia memberi sumbangan yang
penting dan bermakna dalam proses analisis data.
Apabila data dan maklumat yang diperoleh daripada sampel digunakan
untuk tujuan membuat generalisasi kepada populasi di mana sampel itu
dipilih, metode analisis statistik tersebut dinamakan sebanyak statistik
inferens. Data dan maklumat yang diperoleh yang sifatnya boleh dilihat
seperti hujung aisberg itu dijadikan anggaran yang dapat memperihalkan data
dan maklumat lebih besar yang tidak kelihatan. Teknik analisis inferens
menggunakan konsep dan hukum kebarangkalian. Untuk menjamin
generalisasi dan kesimpulan ini tepat, beberapa tatacara kebarangkalian perlu
diikuti agar pemerihalan terhadap populasi besar yang kadangkala sifatnya
sejagat dapat diyakini meskipun kita hanya menggunakan data daripada
sampel kajian.
1.5

KESAHAN DALAMAN

Kesahan dalaman merujuk kepada setakat mana kenyataan keputusan kajian


yang berkait dengan pemboleh ubah yang dikaji boleh dipertahankan.
Penyelidikan yang mempunyai kesahan dalaman yang baik ialah apabila
keputusan yang diperoleh menjadi hasil sumbangan jitu pemboleh ubah
bebas yang dikaji dan tidak dipengaruhi oleh pemboleh ubah luar yang lain.
Kesahan dalaman boleh dicapai jika penyelidik dapat mengadakan kawalan
terhadap pemboleh ubah luar yang mungkin mempengaruhi keputusan
kajian. Kawalan membolehkan hanya satu pemboleh ubah bebas yang
mempunyai peluang untuk berubah dalam satu-satu masa. Dengan cara ini,
penyelidik boleh menyakinkan pengguna bahawa perubahan dalam
pemboleh ubah terikat adalah hasil daripada perubahan dalam pemboleh
ubah bebas tersebut.
1.6

KESAHAN LUARAN

Kesahan luaran merujuk kepada setakat mana sampel kajian yang dicabut
daripada populasi dapat mewakili populasi yang dikaji. Oleh sebab itu,
beberapa metode persampelan yang baik perlu digunakan dalam proses
memilih sampel. Pemilihan secara rawak yang sebenar merupakan metode
yang terbaik. Metode ini dapat mempastikan setiap individu dalam populasi
mempunyai peluang yang sama terpilih sebagai sampel.

SOALAN DALAM TEKS


1.
2.
3.

Terangkan kepentingan statistik dalam penyelidikan.


Terangkan perbezaan utama antara statistik
deskriptif dengan statistik inferens.
Apakah perbezaan utama antara kesahan dalaman
dengan kesahan luaran.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

1.7

KONSEP UTAMA DALAM STATISTIK

Antara beberapa konsep dan terminilogi asas yang perlu diketengahkan di


peringkat awal pembelajaran statistik ialah
1.7.1

Pemboleh Ubah

Pemboleh ubah merujuk kepada sebarang objek atau fenomena yang


sifatnya boleh berubah. Beberapa ciri yang terdapat pada manusia,
persekitaran dan situasi uji kaji boleh berubah-ubah daripada seorang
individu kepada individu lain ataupun berubah daripada sesuatu persekitaran
kepada persekitaran lain yang berbeza. Kesemua fenomena ini ialah
pemboleh ubah. Jantina, berat badan, keupayaan mental, nilai dan
kepercayaan ialah pembolehubahan yang terdapat pada manusia. Berat
badan misalnya mempunyai kepelbagaian nilai.
1.7.2

Populasi

Populasi merujuk kepada keseluruhan set individu, objek, benda atau


fenomena yang mempunyai ciri-ciri kesamaan. Keseluruhan penduduk
Malaysia dikatakan sebagai populasi Malaysia. la merupakan satu set individu
yang tinggal dalam suatu kawasan geografi. Keseluruhan manusia yang
tinggal di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ialah populasi Wilayah
Persekutuan Kuala Lumpur dan seluruh pelajar semester pertama di
universiti ialah populasi pelajar semester pertama.
1.7.3

Parameter

Parameter merujuk kepada nilai yang menggambarkan ciri-ciri populasi.


Dalam kebanyakan buku statistik, parameter populasi ditulis dengan huruf
Greek. Contohnya huruf (sebutannya ialah mew) ialah parameter kepada
purata atau min populasi.

1.7.4

Sampel

Sampel ialah sebahagian daripada populasi yang dipilih dengan


menggunakan suatu metode pemilihan sampel. Sampel yang dikatakan baik
ialah apabila ia dipilih secara rawak, mempunyai ciri-ciri populasi dan
mewakili populasi tempat sampel itu dipilih.
1.7.5

Statistik

Statistik ialah nilai yang terdapat pada sampel. Selalunya, ia merupakan hasil
manipulasi kepada data atau hasil analisis. Pensyarah yang berminat untuk
mengetahui tahap pencapaian prestasi pelajar semester pertama dalam
kursus Pengantar Statistik mungkin memadai dengan mengira purata atau
min markat Pengantar Statistik semua pelajar semester pertama kumpulan
atau kelas yang diajarnya. Purata atau min pencapaian prestasi pelajar ialah
statistik yang diperoleh daripada sampel darjahnya sahaja.
Senaraikan lima pemboleh ubah yang mempunyai kaitan
dengan diri anda sebagai seorang pelajar universiti.

1.7.6

Pemboleh Ubah Bebas dan Pemboleh Ubah Terikat

Pemboleh ubah yang mempengaruhi atau memberi kesan kepada sesuatu


pemboleh ubah yang lain dikatakan sebagai pemboleh ubah bebas. Dalam
banyak keadaan pemboleh ubah bebas boleh dan sengaja dimanipulasi oleh
penyelidik supaya dapat memberi kesan atau pengaruh yang berbeza-beza.
Pemboleh ubah terikat pula merujuk kepada sebarang pemboleh ubah yang
dipengaruhi oleh pemboleh ubah bebas. Kebiasaannya, pemboleh ubah
terikatlah yang menjadi minat penyelidik untuk mempastikan secara tepat
kesan dan pengaruh pemboleh ubah bebas terhadap pemboleh ubah terikat.
1.7.7

Pemboleh Ubah Kualitatif dan Pemboleh Ubah Kuantitatif

Pemboleh ubah kualitatif ialah pemboleh ubah yang mempunyai ciri saling
eksklusif dan mempunyai subkelas. Pemboleh ubah bangsa contohnya
mempunyai subkelas atau subbangsa seperti Melayu, Cina, India, Nasrani
dan lain-lain. Setiap satu subbangsa adalah eksklusif. la hanya boleh berlaku
dalam satu subkumpulan sahaja. Jantina ialah pemboleh ubah kualitatif yang
terdiri daripada dua jenis, lelaki dan perempuan.
Pemboleh ubah kuantitatif ialah pemboleh ubah yang di dalamnya
terkandung nilai angka yang menunjukkan sifat yang berhubung dengan
objek pemboleh ubah tersebut. Contohnya, jumlah hari seseorang pelajar
tidak hadir kelas, markat dalam sesuatu kursus, umur kematian dan lain-lain.
Pemboleh ubah kuantitatif boleh juga dibahagikan kepada jenis diskrit dan
selanjar.
5

Senaraikan lima pemboleh ubah. Kemudian, nyatakan yang


mana pemboleh ubah bebas dan yang mana pula pemboleh
ubah terikat.
1.8

KESIMPULAN

Terdapat beberapa konsep penting dalam statistik sains sosial terutamanya


yang berkaitan dengan analisis data penyelidikan dalam bidang yang ada
kaitan dengan sains sosial, psikologi dan pendidikan. Oleh itu, kita perlu
memahami beberapa jenis pemboleh ubah kerana daripada pemboleh ubah
itulah terdapatnya maklumat dan data yang perlu dianalisis dengan metode
yang sesuai dan tepat supaya dapat menjawab objektif dan matlamat akhir
kajian. Modul ini akan lebih menekankan kepada analisis data secara
kuantitatif.
SOALAN DALAM TEKS

4.

5.
6.

Jelaskan konsep berikut dengan ringkas dan


berikan contoh yang sesuai:
(a) Pemboleh ubah bebas.
(b) Pemboleh ubah kuantitatif.
Terangkan perbezaan utama antara statistik dan
parameter.
Terangkan perbezaan utama antara pemboleh ubah
bebas dan pemboleh ubah terikat.

Semak jawapan anda di akhir bab ini.

SOALAN PENILAIAN KENDIRI


1.

Anda diminta menyatakan perbezaan utama konsep-konsep berikut


dan berikan contoh yang sesuai supaya jawapan anda lebih jelas.
A.
B.
C.
D.

2.

Perbezaan antara statistik deskriptif dan statistik inferens.


Perbezaan antara sampel dan populasi.
Perbezaan antara pemboleh ubah bebas dan pemboleh ubah
terikat.
Perbezaan antara pemboleh ubah kualitatif dan pemboleh
ubah kuantitatif.

Buat satu pernyataan kajian dan senaraikan pemboleh ubah bebas


dan terikat yang terdapat dalam pernyataan kajian tersebut.
6

3.

Senaraikan tiga contoh pemboleh ubah kualitatif dan tiga contoh


pemboleh ubah kuantitatif.

4.

Analisis statistik melibatkan perkara berikut:


A.
B.
C.
D.

5.

Data
Perkataan
Nombor
Label

Kenyataan manakah yang paling baik untuk menerangkan statistik


inferens
A.
B.
C.
D.

Meringkaskan data
Menyusun data
Menganalisis data
Membuat generalisasi
Semak jawapan anda di akhir modul kursus ini.
JAWAPAN SOALAN DALAM TEKS

1.

Statistik penting dalam penyelidikan kerana ia membolehkan kita


menguji dan memperihalkan kepelbagaian kejadian dan tingkah laku
yang dikaji dan dialami. Data dan maklumat dalam penyelidikan
boleh diterjemahkan atau ditukarkan dalam bentuk angka atau
nombor. Penyelidik menentukan dan memilih beberapa metode
analisis statistik yang supaya dapat memperoleh keputusan yang
dapat menjawab tujuan kajian yang dibina. Justeru itu, pengetahuan
terhadap analisis statistik adalah penting dalam penyelidikan.

2.

Statistik deskrifptif digunakan untuk memperihalkan keadaan data


yang terdapat pada sampel sahaja dan tidak digunakan untuk
membuat sesuatu kesimpulan atau generalisasi menyeluruh terhadap
populasi yang dikaji. Statistik inferens pula menggunakan statistik
yang diperoleh daripada sampel untuk membuat kesimpulan atau
generalisasi menyeluruh terhadap populasi tempat sampel itu dipilih.

3.

Perbezaan utama antara kesahan dalaman dengan kesahan luaran


ialah kesahan dalaman merujuk kepada keputusan kajian yang
menjadi hasil sumbangan jitu pemboleh ubah bebas yang dikaji dan
tidak dipengaruhi oleh pemboleh ubah luar yang lain. Kesahan
luaran pula merujuk kepada setakat mana sampel kajian yang dicabut
daripada populasi dapat mewakili populasi yang dikaji. Kesahan
dalaman boleh dicapai jika penyelidik dapat mengadakan kawalan
terhadap pemboleh ubah luar yang mungkin mempengaruhi
7

keputusan kajian. Dalam kesahan luaran beberapa metode


persampelan yang baik perlu digunakan untuk mempastikan sampel
yang dipilh dapat mewakili populasi.
4.

(a)

Pemboleh ubah bebas:

Pemboleh ubah bebas ialah pemboleh ubah yang mempengaruhi


atau memberi kesan kepada sesuatu pemboleh ubah yang lain.
Dalam banyak keadaan, pemboleh ubah bebas boleh dan sengaja
dimanipulasi oleh penyelidik supaya dapat memberi kesan atau
pengaruh yang berbeza-beza. Dalam kenyataan ini misalnya,
motivasi pelajar mempunyai hubungan dengan prestasi akademik.
Oleh itu, pemboleh ubah bebas ialah motivasi.
(b)

Pemboleh ubah kuantitatif:

Pemboleh ubah kuantitatif ialah pemboleh ubah yang menggunakan


nilai angka bagi menunjukkan sifat yang berhubung dengan objek
sesuatu pemboleh ubah. Contohnya, markat prestasi akademik
dalam sesuatu kursus yang diambil di universiti.
5.

Perbezaan utama antara statistik dan parameter ialah statistik


merupakan nilai yang diperoleh daripada sampel, manakala
parameter ialah nilai yang ada dalam populasi. Simbol yang
digunakan berbeza. Contohnya pemboleh ubah pendapatan
mempunyai purata. Purata atau min pendapatan sampel ialah
statistik. Purata keseluruhan populasi yang diberi simbol mew ialah
parameter.

6.

Perbezaan utama antara pemboleh ubah bebas dan pemboleh


ubah terikat ialah pemboleh ubah bebas boleh mempengaruhi atau
memberi kesan kepada sesuatu pemboleh ubah terikat. Pemboleh
ubah terikat pula ialah pemboleh ubah yang dipengaruhi oleh
pemboleh ubah bebas. Kebiasaannya pemboleh ubah terikat yang
menjadi minat penyelidik untuk mempastikan secara tepat kesan dan
pengaruh pemboleh ubah bebas. Dalam banyak keadaan, pemboleh
ubah bebas boleh dan sengaja dimanipulasi oleh penyelidik supaya ia
dapat memberi kesan atau pengaruh yang berbeza-beza.

Anda mungkin juga menyukai