Anda di halaman 1dari 8

Menilai iklan komputer

Started By: HangJebat Posted: 11/24/2001 6:56P

Kebanyakan syarikat pembekal komputer sama ada yang berjenama terkenal seperti Dell mahupun
pembuat klon mempunyai strategi pemasaran yang bertujuan untuk mengambil untung besar. Sudah
tentu itu adalah agenda utama orang berniaga namun dengan ada kalanya pendidikan pengguna terabai.
Iklan yang dipaparkan biasanya menekankan nilai MHz/GHz yang tinggi supaya pembeli merasakan
mereka membeli komputer laju. Perlu ditekankan di sini Kelajuan Frekuensi Bukan Segalanya!

Sebagai pengguna, kita biasanya akan menilai pelbagai aspek sebelum membuat pembelian yang bernilai
ribuan ringgit. Jika kita membeli kereta, saiz enjin bukanlah segalanya. Kebanyakan pengguna akan
menilai jenis transmisi, suspension, kuasa, pecutan, kadar penggunaan minyak dan teknologi enjin (Vtec,
Mivec) dan sebagainya. Reka bentuk juga sangat penting terutamanya bagi orang muda. Namun apabila
membeli komputer kebanyakan orang tidak tahu bagaimana untuk menilai keupayaan komputer selain
daripada nilai frekuensi dan model cip. Bagi kebanyakan orang Pentium 4 adalah seperti Mercedes Benz.
Sebenarnya agak sukar untuk menilai keupayaan komputer kerana setiap sistem boleh dipasang dengan
pelbagai jenis komponen sama ada berkualiti rendah atau tinggi tetapi masih boleh berfungsi.
Persoalannya adakah komputer anda berfungsi dengan harmoni atau cuma sesetengah komponen adalah
laju tetapi yang lainnya lembab? Adakah berlaku kesesakan data di sesuatu bahagian yang
mengakibatkan komponen laju terpaksa menunggu data? Adakah komputer 1.8GHz anda yang mahal
lebih pantas daripada komputer 1.4GHz yang murah?

Prosessor

Ini adalah kepala otak komputer yang mana kebanyakan pengiraan berlaku. Prestasi ditentukan oleh dua
perkara- frekuensi dan kemampuan pemprosesan arahan setiap kitar (IPC). Ringkasnya

Prestasi = IPC x Frekuensi

Sejak komputer peribadi mula diperkenalkan pada awal 70an, setiap generasi komputer yang baru
mempunyai IPC yang lebih tinggi. Dalam kata lain pada frekuensi yang sama, komputer generasi 2
adalah lebih laju berbanding generasi pertama. Contohnya Pentium 100MHz adalah jauh lebih laju
daripada 486DX4 100MHz kerana Pentium memperkenalkan teknologi superscalar dan L1 cache yang
lebih besar. Begitu juga Pentium 3 450MHz adalah lebih laju daripada Celeron 450MHz. Bagi prosessor
keluaran AMD juga serupa yang mana Athlon XP 1.4GHz adalah lebih laju daripada Athlon Thunderbird
1.4GHz.

Namun segala ini berubah apabila Pentium 4 dikeluarkan. IPC bagi Pentium 4 terletak sekitar Pentium 2!
Ini adalah strategi pemasaran Intel yang mana mereka mendapati pembeli lebih tertarik kepada nilai GHz
dan tidak tahu-menahu tentang IPC. Dalam kata lain Pentium 3 1GHz adalah lebih laju daripada Pentium
4 1GHz. Bahkan Pentium 3 Xeon 1GHz adalah lebih laju daripada Pentium 4 1.5GHz! Apa sudah jadi?

Demi meningkatkan kelajuan prosessor, Intel telah membuang banyak komponen penting. Hasilnya
adalah kemampuan untuk memberikan frekuensi yang tinggi tetapi IPC jatuh menjunam. L1 cache telah
dipotong sehingga tinggal 8KB. Pada asalnya Pentium 4 direka untuk mempunyai L3 cache yang besar
bagi menampung kekurangan ini tetapi dalam prosessor yang dikeluarkan, tiada langsung L3. Banyak lagi
kelemahan ketara pada Pentium 4 yang menyebabkan ia tidak selaju yang disangka. Dalam sesetengah
aplikasi, Celeron lebih laju berbanding Pentium 4!

Oleh kerana itu kami tidak mengesyorkan Pentium 4 kepada anda. Adalah diakui Pentium 4 memang
agak laju tetapi tidak berbaloi dengan harganya yang tinggi memuncak. Bagi kami prosessor keluaran
AMD mempunyai IPC yang tiada tandingan dan harganya amat berpatutan. Cuma masalah bagi prosessor
AMD ialah ia cepat panas namun penggunaan HSF yang baik akan menyelesaikannya.

Walaupun prosessor AMD mempunyai frekuensi yang rendah tetapi dengan IPC yang tinggi Athlon XP
1800+ pada 1.53GHz mengatasi Pentium 4 2GHz dalam kebanyakan perisian benchmark yang dijalankan
oleh Anandtech. Pada harga yang kurang daripada separuh berbanding Pentium 4 2GHz, kami amat
meminati Athlon XP.

Jadi apabila anda memilih prosessor, nilai MHz/GHz bukanlah ukuran mutlak kemampuan prosessor.
Jangan ikut macam geng budak biru kepala botak. Darek Mihocha, presiden Emulators Inc., mengulas
panjang tentang Pentium 4 dalam website emulators. Anda boleh memilih untuk memiliki Harley
Davidson Fat Boy recon yang kelihatan berprestij (Pentium 4) atau Honda CBR929RR Fireblade yang laju
(Athlon).

RAM

Tidak seperti prosessor yang hanya mempunyai 2 jenama utama untuk dipilih, RAM datang daripada
pelbagai syarikat. Namun perkara pertama yang harus anda pilih adalah jenis RAM untuk disesuaikan
dengan mobo. Yang paling murah adalah SDRAM dikuti DDR RAM dan paling mahal adalah RDRAM.
Kebanyakan iklan komputer membekalkan SDRAM yang murah walaupun untuk sistem Pentium 4 yang
pada asalnya menggunakan RDRAM. DDR RAM semakin murah dan amat wajar digunakan jika anda
inginkan prestasi yang tinggi. RAM kelajuan tinggi sangat penting kerana jika kelajuan RAM tidak dapat
memenuhi permintaan data daripada prosessor, sistem anda tidak akan berfungsi pada tahap optimum.
Prosessor laju dengan RAM lembab adalah seperti posche dengan tangki minyak sebesar tangki
motorsikal. Sikit-sikit kena berhenti isi minyak.

Jika anda menggunakan komputer untuk menaip atau melayari internet, 128MB adalah cukup memadai.
Bagi kaki game atau jurutera CAD, 256MB ke atas adalah pelaburan yang baik. Dengan harga RAM yang
rendah, memiliki RAM yang tinggi tidak membebankan. Sesetengah penjual memberikan 64MB sahaja
dalam sistem yang mereka syorkan. Ini memang mengarut kerana harga untuk 128MB SDRAM adalah
sekitar RM50 sahaja (berbanding RM400 tahun lepas). Tiada sebab kenapa anda harus menggunakan
RAM stok lama mereka yang sudah tidak laku. Jika mereka kata tak guna ada RAM banyak-banyak,
ketahuilah bahawa prestasi Windows meningkat kira-kira 20% bagi sistem dengan 128MB RAM
berbanding 64MB. Tugas yang memerlukan anda menjalankan banyak aplikasi serentak akan menelan
RAM dengan lahapnya. Permainan 3D memerlukan lebih banyak RAM kerana kad grafik AGP akan
menelan RAM pada mobo untuk melakukan pengiraan koordinat poligon yang intensif.

Jangan gunakan RAM daripada jenama tidak ternama. RAM seperti ini murah tetapi menggunakan IC
(litar integrasi) yang kurang stabil. Sesetengah aplikasi terutamanya permainan 3D akan tersangkut
dengan RAM murahan ini. Biasanya RAM kualiti rendah dilabelkan sebagai Strawberry atau tiada label
langsung. Jika anda boleh mendapatkan RAM jenama Kingmax, inilah yang terbaik. Jenama Apacer,
Kingston, Hyundai dan Takei juga ok. Jika iklan anda tidak menyebut jenis RAM yang dibekalkan,
kemungkinan besar ia adalah daripada jenama tidak ternama yang kurang stabil. Sila dapatkan kepastian
daripada penjual tersebut.

Bagi mereka yang lebih teknikal, kelajuan RAM patut diambil kira. Bagi SDRAM, kelajuan 133MHz adalah
minimum yang patut diambil. RAM 100MHz adalah stok lama yang hampir pupus dan banyak pembekal
ingin memasangnya dalam sistem supaya dapat menghabiskan stok. SDRAM 150MHz sukar dicari tetapi
berbaloi jika mobo anda boleh memanafaatkannya. Bagi mereka yang menggemari DDR RAM (seperti
kami), Kingmax mengeluarkan model 266MHz dan 300MHz dengan harga yang berpatutan. Perhatikan
sama ada RAM anda bergred CL2, CL2.5 atau CL3. CL atau nama penuhnya Column addressing strobe
Latency adalah tempoh menunggu yang digunakan oleh RAM untuk mendapatkan data yang tersimpan.
Tentunya CL2 adalah yang terpantas kerana ia memerlukan 2 kitaran sahaja.Walaupun perbezaan CL2
dan CL3 nampak sedikit, bayangkan berapa juta kali operasi ini dijalankan setiap saat.

Motherboard (mobo)

Bab ini memang susah kerana terlalu banyak model untuk diambil kira. Diringkaskan cerita, keupayaan
mobo banyak bergantung kepada pembuat dan jenis chipset yang dipakai. Chipset menampung segala
interaksi antara kesemua komponen dalam sistem komputer jadi jangan tersalah pilih. Contohnya chipset
i850 hanya menampung Pentium 4 dan RDRAM sahaja manakala i845 menampung Pentium 4 dan
SDRAM. Setiap chipset mempunyai kelemahan dan kekuatan masing-masing. Jika anda menggunakan
chipset VIA KT266, sistem tersebut boleh menampung DDR RAM tetapi jika FSB dinaikkan terlalu tinggi
(oleh overclocker), komponen USB anda mungkin gagal berfungsi dengan baik. Chipset VIA KT266A
mengatasi masalah ini tetapi harganya mahal sedikit. Chipset VIA686B (southbridge yang biasanya
digandingkan dengan AMD761) pula bermasalah dengan kad bunyi jenis Sound Blaster Live. Adalah
penting untuk mengenal pasti chipset yang sesuai kerana misalan anda tidak menggunakan komponen
USB (printer USB misalan) atau melakukan overclocking maka chipset KT266 tidak akan memberikan
banyak masalah kepada anda.

Secara umum kami mengesyorkan chipset i850(RDRAM), P4x266(DDR) dan SiS645(DDR) bagi sistem
Pentium 4. Bagi Athlon dan Duron kami mengesyorkan chipset VIA KT133A(SDRAM), VIA
KT266/KT266A(DDR), AMD 760/761(DDR) dan SiS735(DDR). Bagi Celeron dan Pentium 3 pula mobo
berdasarkan chipset Intel 815EP/815EPT Pro, VIA Pro266 dan VIA 694/694X adalah yang paling popular.
Chipset nForce dijangka akan keluar pada penghujung 2001 yang dikatakan mampu memberi prestasi 3D
yang tinggi dengan integrasi AGP 6x. Prosessor laju dengan mobo lembab umpama posche yang
menggunakan karburator tersumbat walhal kereta lain dah pakai fuel injection kawalan elektronik.

Memilih jenama mobo juga sama pentingnya. Walaupun chipset yang digunakan adalah bagus, teknik
penyambungan litar dan cip lain yang dimuatkan membawa banyak perbezaan. Secara umum pembuat
mobo terkenal menghasilkan mobo yang stabil, laju dan memaksimakan potensi chipset. Ini adalah wajar
kerana syarikat besar mampu mengupah jurutera yang ramai untuk tujuan kaji selidik dan juga mereka
menghadapi risiko menjaga nama baik. Mobo keluaran MSI, Abit dan Epox terkenal kerana mudah
di'overclock' ke tahap yang tinggi.

Ini adalah aspek yang mana penjual komputer suka untuk mengambil kesempatan. Kebanyakan
pengguna tidak tahu tentang kepentingan mobo lantas penjual akan memberikan mobo yang paling
murah. Jangan mengambil ringan pembelian mobo; jika perlu gunakan prosessor yang murah tetapi
mobo yang bagus. Ramai kedai membekalkan mobo yang mengintegrasikan kad video murahan agar
tidak perlu membekalkan kad video kepada pengguna. Mobo seperti ini adalah untuk komputer kelas
rendah dan tidak wajar dipasang dengan prosessor yang mahal kerana komputer anda akan hanya
mengalami 'traffic jam' di merata bahagian mobo. Bilangan slot PCI yang sedikit akan menimbulkan
masalah jika anda ingin memasang kad tambahan seperti kad network, kad bunyi dan kipas PCI.

Aspek tambahan dalam mobo perlu diperhatikan juga. Mobo dengan RAID adalah lebih mahal yang mana
anda boleh menggunakan 2 hard disk serentak untuk beberapa teknik yang diadaptasi daripada teknologi
SCSI (mahal, tak payah cerita panjang). Kad bunyi semakin popular diintegrasikan dalam chipset kerana
ramai pengguna tidak begitu cerewet dengan kualiti kad murahan seperti AC'97 yang terdapat dalam
kebanyakan chipset contohnya KT266A dan i845. Slot AMR pula tidak harus diambil kira langsung.
Modem integrasi ini memerlukan anda membeli modem riser yang harganya sama seperti modem
internal yang boleh dicucuk pada slot PCI sahaja. Slot ISA juga tidak lagi penting kerana ia hampir pupus.

Saya telah mencuba pelbagai jenis mobo. Secara pribadi saya tidak mencadangkan penggunaan mobo
dari jenis PC Chips, Jetway dan Tomato kerana kualiti yang rendah. Oleh kerana harga mereka yang
rendah, mobo jenis ini banyak didapati dalam pakej komputer klon tetapi tidak digunakan oleh pengeluar
gergasi seperti Dell dan Gateway. Elakkan mobo seperti ini walau apa penjual komputer kata kerana dia
i) ingin buat untung besar dan ii) mungkin tak tahu tentang aspek teknikal mobo. Bagi anda yang kurang
berkemampuan, masih ada mobo lain yang mungkin mahal cuma sedikit tetapi jauh lebih stabil dan laju.
Saya mencadangkan anda memikirkan tentang mobo daripada Asus, Epox, Abit, Tyan, MSI, Shuttle, Iwill
dan ECS. Mungkin ada jenis lain yang bagus tetapi saya tidak pernah mencubanya. Anda boleh mendapat
nasihat berkenaan mobo ini daripada pakar komputer atau website seperti hardwarecentral, anandtech
dan amdmb.

Kad Grafik

Setiap kali saya membeli komputer, ini adalah aspek yang paling penting kerana saya seorang kaki game.
Dengan kad prestasi rendah, komputer anda akan menghasilkan gambar pada kualiti dan kelajuan yang
rendah walaupun anda memiliki prosessor terpantas di dunia. Komputer pribadi saya telah menggunakan
kad keluaran ATI, S3, 3dfx dan nVidia yang mana kesemuanya adalah pengeluar yang popular di
Malaysia. Mari kita meninjau jenis cip grafik yang ada sebelum pergi ke jenama pembuat kad.

ATI yang pernah menguasai 60% pasaran dunia merupakan pembuat cip grafik dan juga kad grafik. Bagi
peringkat pertengahan, kad ATI Rage adalah agak murah dan kualiti 3D kurang memberansangkan. Ini
bukan kerana keupayaan kad tersebut tetapi kerana driver(perisian untuk kad tersebut berfungsi) yang
dibekalkan oleh ATI seperti hampas. Kad prestasi tingginya ATI Radeon turut mengalami masalah sama
tetapi ATI berjanji akan menghasilkan driver yang berfungsi baik. ATI Radeon 8500 dikatakan sebagai
kad grafik tercanggih setakat ini untuk tujuan permainan 3D.
S3 turut berkecimpung dalam penghasilan kad 3D dengan memperkenalkan Savage 4. Kad ini
mempunyai kualiti 3D yang agak rendah tetapi sesuai untuk aplikasi biasa yang menggunakan 2D.
Harganya pun murah.

3dfx adalah syarikat pertama membekalkan kad grafik 3D berkuasa tinggi dengan kad Voodoo. Kad
Voodoo adalah sangat laju tetapi kerana masalah teknikal dan pengurusan, 3dfx telah diambil alih oleh
saingannya nVidia.

KyroII yang boleh didapati melalui pengeluar kad Hercules dikatakan setanding keluarga GeForce. Saya
tidak pernah mencubanya dan tidak berani memberikan komen. Namun ia mempunyai reputasi yang baik
di kalangan kaki komputer.

Matrox merupakan pengeluar cip dan kad yang selalu menggunakan teknologi unik. Kadnya berkuasa
tinggi tetapi mahal seperti Matrox RT2500 yang sesuai untuk kerja berat menyunting video.

nVidia kini menguasai 60% pasaran dunia dan terus berkembang. Perlu diketahui bahawa nVidia tidak
membuat kad tetapi membuat cip grafik yang kemudiannya digunakan oleh pembuat kad. Cip TNT2 yang
kini berada di pasaran kelas rendah mempunyai keupayaan yang bagus tetapi hampir pupus. Ini kerana
kad berdasarkan cip GeForce2 sudah banyak di pasaran dan harganya telah turun hingga mampu dimiliki
pengguna. GeForce2 lebih laju daripada TNT2 dan mampu menampung lebih banyak beban grafik yang
dihantar oleh prosessor. Terdapat beberapa gred GeForce2 yaitu MX200, MX, MX400, GTS, Pro dan Ultra.
Bagi kaki game yang betul-betul fanatik, nVidia membekalkan GeForce3 manakala cip Quadro adalah
untuk kerja kejuruteraan. Satu kelebihan nVidia ialah ia membekalkan driver yang boleh berfungsi
dengan mana-mana kad GeForce dan TNT. Driver Detonatornya meningkatkan keupayaan permainan 3D.

Ini adalah satu lagi tempat di mana penjual komputer akan mengurangkan kos yaitu dengan memberikan
anda kad murahan atau kad integrasi. Bagi komputer budget, memang kad sebegini adalah tujuannya
tetapi jika digunakan pada komputer berprestasi tinggi, ia akan jadi seperti lawak jenaka. Bayangkan
posche dengan tayar celup gred paling rendah. Elakkan kad integrasi yang berkongsi RAM dengan mobo
kerana anda akan mengalami masalah prestasi. Bagi kaki game, GeForce2 adalah pilihan minimum demi
kepuasan permainan. Kad TNT2 sudah tidak mampu untuk menampung permainan 3D terkini seperti
Serious Sam dengan kelajuan yang memuaskan.

Jenis dan kuantiti RAM yang dibekalkan pada kad grafik turut memainkan peranan besar dalam
keupayaan kad. Kad prestasi tinggi menggunakan RAM DDR yang laju manakala kad lain biasanya
menggunakan SDRAM. Kuantiti RAM yang besar sangat penting untuk permainan 3D kerana pengiraan
koordinat poligon yang kompleks memakan sumber memori yang banyak. 64MB merupakan jumlah yang
baik untuk kaki game kerana harganya berpatutan.

Seperti mobo dan chipsetnya, kad grafik dan cip grafik perlu diadun dengan baik untuk hasil yang
memuaskan. Kad murahan, walaupun menggunakan cip GeForce2, mempunyai masalah seperti kes
mobo murahan. Memang benar ungkapan yang mahal tak semestinya bagus tetapi kita perlu mengetahui
garis nilai sesuatu produk. Sesetengah penjual akan memberikan anda kad yang mempunyai cip
GeForce2 dan mengatakan kad lain yang mahal sama sahaja kerana cip adalah intipati kad. Ini tidak
tepat kerana cip hanyalah jantung kad tetapi kalau tangannya kudung, kad tersebut akan pincang jua.
Pelbagai pihak telah menilai keupayaan kad-kad yang menggunakan cip GeForce2 yang sama dan hasil
prestasi tampak berbeza. Setakat ini bagi cip GeForce2 MX400, kad buatan Asus adalah yang terpantas
(majalah Chip September 2001) mengatasi ELSA, Abit dan MSI.

Secara umum pastikan anda memiliki sekurang-kurangnya kad GeForce2 berjenama baik jika prosessor
anda melebihi 1GHz, terutamanya jika anda kaki game. Jika anda berkemampuan, GeForce2 Titanium,
GeForce3 atau ATI Radeon adalah lebih berkuasa. Adalah mengecewakan jika komputer anda
menggunakan prosessor berkuasa tinggi tetapi permainan anda lembab dan tidak cantik hanya kerana
kad grafik yang lemah. Jenama kad grafik yang disyorkan adalah Asus, Abit, ELSA, Cardexpert, ATI,
Leadtek, MSI dan Hercules. Bonus seperti tv-out berguna jika anda ingin menyambungkan komputer ke
tv tetapi resolusi tv yang rendah akan menyebabkan gambar kurang cantik. Minta driver Detonator terkini
daripada penjual anda jika kad anda menggunakan cip keluaran nVidia. Driver jenis ini boleh juga
didapati di internet dan akan meningkat keupayaan 3D kad tersebut.

Hard disk

Secara umum hard disk yang dijual di Malaysia adalah daripada jenama terkemuka. Keupayaan hard disk
sekarang hampir sama dari segi kelajuan mencari data, tempoh hayat dan penghantaran maklumat. Dua
perkara yang menjadi penentu adalah kelajuan putaran dan saiz.

Bagi pengguna seperti kita yang menggunakan hard disk teknologi EIDE, ada dua kelajuan putaran yaitu
5400rpm dan 7200rpm. Memandangkan harga yang tidak begitu jauh berbeza, adalah lebih baik jika
anda dapat memiliki hard disk berkelajuan 7200rpm. Kesannya dapat dirasai yang mana windows akan
bermula lebih laju dan aplikasi besar akan berjalan lebih lancar. Ini kerana windows secara automatik
akan menggunakan sebahagian daripada hard disk sebagai memori maya untuk menampung RAM.
Memori maya ini amatlah perlahan jika dibandingkan dengan RAM tetapi penggunaan hard disk selaju
7200rpm dapat menampung sedikit kelemahan ini.

Saiz hard disk kini dikira dalam GB(gigabyte). Harga 10GB dan 20GB tidak jauh bezanya jadi dapatkan
sekurang-kurangnya 20GB. Bagi mereka yang menggunakan komputer untuk kerja video, grafik dan
permainan RPG saiz yang lebih besar mungkin lebih bersesuaian. Jika ada yang bertanya kenapa mahu
hard disk besar sehingga 20GB, ingatlah bahawa hard disk anda akan cepat kehabisan ruang jika anda
banyak menggunakan komputer. Hari ini tiada siapa yang menjual hard disk baru lebih kecil daripada
10GB kerana Ofiice 2000 pun menelan kira-kira 200MB.

Jenama hard disk yang terkemuka adalah Quantum, Maxtor, Seagate, IBM dan Western Digital. Harga
hard disk jenama ini tidak banyak berbeza dan prestasi mereka juga lebih kurang sama. Saya pernah
mencuba hard disk jenama JTS dan Champion yang mana bukan sahaja lembab tetapi mudah mengalami
kerosakan sektor.

Jika anda menggunakan snazzi untuk tugas menyunting video, hard disk SCSI yang mahal akan banyak
membantu. Hard disk kuasa tinggi ini datang dalam kelajuan putaran 7200 dan 10000rpm. Seagate
Cheetah 18.4GB SCSI 10000rpm boleh didapati pada harga RM850- sama dengan harga Western Digital
1.2GB yang saya beli pada tahun 1996!
CD-ROM

Walaupun komponen ini nampak seperti komponen biasa, hakikatnya CD-ROM mempunyai pelbagai gred.
Apa yang membezakan CD-ROM adalah dari segi teknik pembetulan ralat, kelajuan putaran, suspension
dan kelajuan mengambil data tersimpan. Kebanyakan pengguna akan melihat kelajuan putaran (50x,
58x) sebagai aspek penentu dalam pembelian CD-ROM. Sebenarnya CD-ROM hanya berfungsi secara
maksimum pada putaran tinggi ketika anda mengalihkan data ke hard disk terutamanya ketika
memasukkan aplikasi baru. Bagi aplikasi lain seperti vcd, permainan dan mp3 CD-ROM hanya perlu
berputar pada kelajuan sekitar 4x sahaja. Menggunakan CD-ROM pada kelajuan tinggi terlalu kerap akan
memendekkan jangka hayat CD-ROM anda. Perkara ini boleh diimbal dengan dua cara yaitu sistem
suspension yang baik dan opsyen untuk menurunkan kelajuan putaran. CD-ROM yang canggih turut
menampung UDMA-33 yang meningkatkan daya penghantaran maklumat ke komputer.

Asus 45x dan 50x memiliki ketiga-tiga di atas. Tetapi jika anda membeli Asus OEM(tak ada kotak),
butang untuk penurunkan kelajuan tidak ada. Ramai pembekal komputer setuju Asus adalah antara
pembuat CD-ROM yang terbaik dan lambat rosak. Jenama lain yang bagus adalah Creative, LG, Sony,
Liteon dan Aopen. Ramai yang komplen tentang CD-ROM Acer yang dikatakan perlahan walaupun
mempunyai putaran tinggi. Cyberdrive dan Teradrive adalah bising (sakit hati kalau main mp3, game dan
vcd) dan pernah dilaporkan merosakkan CD semasa di dalam drive.

Penjual anda mungkin cuba memberika jenama yang tidak ternama. Minta dia tukar ke jenama ternama
di atas. Biasanya harga CD-ROM berbeza sekitar RM10-RM20 sahaja dan sepatutnya tidak membebankan
anda. Paling baik anda dapatkan Asus 50x dalam kotak. Harganya sekitar RM120-RM130 sahaja.

Jika anda ingin membeli CDRW, kalau boleh cari yang ada teknologi burn-proof. CDRW sebegini akan
menulis pada cd kosong dengan elok walaupun ada yang sedikit kerosakan. Jika anda membeli kelas 12-
8-32, anda sewajarnya membeli cd kosong kelas 12x atau yang terdekat untuk memanafaatkan kelajuan
penulisan cd. Jenama LG, Sony, Yamaha, Liteon dan HP telah teruji bagus namun keluaran Creative
didapati mempunyai masalah untuk menulis dari CD-ROM ke CDRW. Masalah ini boleh diatasi dengan
menggunakan kabel EIDE berkembar dan memasang mereka pada kabel yang sama.

Monitor

Apa guna monitor 17" besar-besar? Mengapa perlu yang besar sedangkan 14" pun nampak memadai.
OK, bila anda telah gunakan monitor 17", anda tak langsung pandang 14" atau 15". Pertamanya monitor
14" dan 15" kebanyakannya mempunyai skrin melengkung yang menyebabkan luas pandangan menjadi
kecil. Bagi monitor 17" pula skrinnya bukan setakat besar tetapi lebih rata. Monitor 17" juga boleh
menampung resolusi yang lebih tinggi dan warna yang lebih hidup. Skrin jenis rata habis seperti
Viewsonic E70F dan LG 775FT Flatron mempunyai skrin yang betul-betul rata. Ini memberikan
kenikmatan visual yang tinggi apabila bermain permainan 3D serta perisian kejuruteraan CAD. Gambar
kelihatan lebih hidup dan cantik.

Terdapat banyak jenama membuat monitor dan kualiti setiap satu bergantung kepada beberapa perkara
seperti kadar kesegaran semula skrin, kelengkungan, saiz skrin, resolusi maksima, saiz pixel(lebih kecil
lagi baik), saiz pandangan sebenar, panjang tiub, lindungan medan magnet dan anggaran jangka hayat.
Kalau nak yang terbaik, labur sahaja dengan syarikat terkemuka. Jenama seperti LG, Viewsonic, MAG
Innovision, Sony dan NEC memang menjadi idaman ramai tetapi harga yang mahal menyebabkan
mereka hanya mampu dimiliki oleh orang berduit banyak. Baru-baru ini harga monitor telah turun dan
menjadikan monitor dari jenama terkemuka ini mampu dimiliki oleh orang kebanyakan. Kalau anda
mempunyai wang lebih, adalah berbaloi menggunakan monitor ini kerana prestasinya yang tinggi.

Bagi yang kurang peduli tentang monitor berjenama, terdapat banyak pengeluar yang membekalkan
monitor yang lebih murah tetapi seperti biasa kualitinya kurang. Kami telah menggunakan monitor 17"
keluaran Likom sekian lama dan berpendapat ia adalah pilihan yang baik. DMC pula merupakan syarikat
yang membekalkan monitor kepada Dell. Samtron membekalkan monitor yang agak melengkung
dibandingkan dengan Likom walaupun harganya lebih mahal.

Jika anda ingin membeli monitor, dapatkan yang berukuran 15" ke atas. Lebih elok jika anda boleh
mendapatkan 17" kerana harganya sudah murah sekitar RM450 sahaja. Monitor saiz 19" boleh didapati
serendah RM650 bagi jenama Likom.

Ada kedai yang mengiklankan monitor mereka sebagai 'digital'. Apa maksudnya entah lah. Semua
monitor harga di bawah RM1000 menggunakan tiub sinar katod (CRT) bukannya kristal cecair (LCD) yang
leper. Mungkin yang dimaksudkan adalah pemutar terang/kontras.

Dapatkan monitor yang kurang melengkung, mempunyai saiz pixel yang rendah dan kadar kesegaran
semula (refresh rate) yang tinggi. Lihat perbezaan kualiti gambar monitor tersebut dan bandingkan
dengan model lain seperti mana anda membeli tv. Lihat juga skim jaminan yang diberi kerana tak banyak
kedai yang mampu membaiki monitor.

Anda mungkin juga menyukai