Anda di halaman 1dari 4

Puasa Penjana Akhlak Terpuji

SALAH satu matlamat kefardhuan puasa Ramadhan ialah untuk


menjana suatu natijah akhlak yang terpuji dan seterusnya mencapai
kemuncak darjat ketaqwaan yang sebenar kepada Allah SWT.
Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah
R.A, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang
berpuasa pada bulan Ramadan semata-mata kerana imannya kepada
Allah dan mengharapkan pahala dari-Nya, maka akan diampunkan
dosa-dosanya yang lalu.”
Ramadhan merupakan bulan peningkatan kuantiti dan kualiti
ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut. Ini
kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadah akan lebih
memudahkan proses taqarrub (mendekatkan diri seseorang kepada
Allah) . Dengan itu seseorang mukmin akan lebih mudah itu untuk
membezakan sesuatu yang hak dan batil.

Dari Abu Hurairah ra. bahwa Nabi saw. bersabda: "Di dalam bulan
Ramadhan umatku diberi lima perkara yang tidak pernah diberikan
kepada umat-umat sebelumnya:
1. Bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah daripada
bau minyak kesturi.
2. Para malaikat selalu memintakan ampunan untuk mereka hingga
mereka berbuka.
3. Setiap hari Allah menghias syurga-Nya sambil berkata, 'Hamba-
hamba Ku yang soleh ingin melepas beban dan penderitaannya dan
mereka rindu untuk memasukimu.'
4. Pada bulan ini diikat syaitan-syaitan yang derhaka sehingga mereka
tidak berleluasa mencapai apa yang dapat dicapainya pada bulan lain.
5. Mereka diampuni oleh Allah SWT pada malam yang terakhir dari
bulan itu. Para sahabat bertanya, 'Wahai Rasulullah, apakah itu malam
Lailatul Qadar?' Beliau menjawab, 'Tidak, karena orang yang bekerja
itu akan dipenuhi upahnya manakala sudah menyelesaikan
pekerjaannya.' (H.R Ahmad)

Setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani


ibadat puasa pada setiap hari di bulan Ramadhan sebagai manifestasi
untuk melaksanakannya mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak.
Puasa adalah suatu ibadat tazkiyah al-nafs iaitu proses
penyucian jiwa dan nurani dari segala penyakit rohani yang boleh
mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang. Melalui ibadat
puasalah diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dann
jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertaqwa dan sabar.
Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut
sepanjang menjalani ibadat puasa ini mencerminkan ibadat puasa
adalah bersifat sosial yang dikatakan boleh menjana deria keprihatinan
dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.
Dalam sebuah hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda yang
bermaksud: ”Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah
pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa dari
segala yang haram. Jauhilah dari suka menyakiti jiranmu, hendaklah
kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa
dan hari berpuasa adalah sama.” (H.R Bukhari).
Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dapat kita
laksanakan dengan baik, perkara utama yang harus dahulukan adalah
menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu
dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan
keberkatan ini. Antaranya ialah:
Menjaga ibadat puasa dari terbatal dan kurang pahalanya
kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.
Membanyakkan membaca al-Quran dan merenungi
pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.
Mengurangkan tidur pada siang hari bulan Ramadan.
Beriktikaf dalam masjid terutamanya pada sepuluh
malam terakhir Ramadan
Membanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin
kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia dari
sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama
umat Islam.
Jangan terlalu boros dengan melakukan pembaziran
dalam penyediaan makanan.
Melihat kepada betapa besarnya fadilat yang bakal diperolehi
oleh semua umat muslimin pada sepanjang bulan yang barakah ini,
Rasulullah SAW telah memberi penekanan dengan menjelaskan
kemuliaan Ramadhan melalui satu khutbah baginda iaitu:
“Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan
yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang didalamnya ada
satu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan di mana Allah
telah jadikan puasa adalah kefardhuan dan bangun pada malamnya
adalah satu tambahan.
Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah SWT dan beramal
soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang
menunaikan 70 amalan fardhu di bulan yang lain. Bulan Ramadan
adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah akan
menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi
makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu
menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan dari api neraka.”
Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadhan dan fadilat
yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan
setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan dan pahala
yang berlipat ganda dari Allah SWT.
Usah jadikan Ramadhan sebagai bulan untuk berlumba-lumba
menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran
atau menjadikan alasan berpuasa di dalam bulan Ramadhan untuk
menjadi umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah
penghidupan kerana keletihan berpuasa.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila datangnya
malam pertama Ramadhan, diikatlah segala jin dan syaitan yang jahat
serta ditutup pula pintu neraka, dan tiada dibuka walaupun satu pintu
neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada
malaikat yang menyeru “ Wahai manusia yang inginkan kebaikan,
bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan,
berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan dari api
neraka.”

Anda mungkin juga menyukai