Anda di halaman 1dari 3

PEMBAZIRAN: NIKMAT YANG DISIA-

SIAKAN

Dalam menghadapi himpitan perbelanjaan harian yang semakin meningkat akhir-akhir


ini, pelbagai pihak menyeru agar kita sebagai pengguna berjimat cermat atau
berhemat ketika berbelanja. Kenaikan harga petrol, peningkatan harga barangan
runcit (beras, tepung dan gula) dan barangan basah seperti (ayam, ikan, daging dan
sebagainya) mendorong pengguna untuk berhati-hati sewaktu merangka atau
merancang bajet kewangan mereka.

Agama Islam begitu menitikberatkan persoalan berhemat dalam membelanjakan


harta atau wang, dan Islam menegaskan agar umatnya tidak melakukan pembaziran
yang hanya akan mendatangkan kerugian. Pembaziran diambil dari kalimah Bahasa
Arab iaitu yang bermaksud membazir atau boros. Manakala dari sudut istilah Syarak
pula membawa maksud sesuatu yang dikeluarkan pada jalan yang bukan hak
(kebenaran).

Ibnu Mas’ud menjelaskan bahawa pembaziran adalah perbuatan menafkahkan


(mengeluarkan) atau menggunakan harta pada jalan maksiat yakni tidak pada jalan
yang diperintahkan oleh Allah SWT dan tidak berlandaskan tuntutan sunnah
Rasulullah SAW.

Manakala Ibnu Kathir pula mentakrifkan pembaziran sebagai perbuatan mensia-


siakan nikmat Allah kepada perkara-perkara maksiat yang melanggar perintah Allah
SWT.

Dalam membincangkan tentang konsep pembaziran, ramai di kalangan kita yang


tersalah anggap hingga menyempitkan ruang lingkup pembaziran kepada wang dan
harta benda sahaja. Sesungguhnya konsep pembaziran itu sangat luat skopnya dan
ruang perbincangannya mencakupi perkara-perkara bersifat material (kebendaan)
dan bukan material.

Perkara-perkara yang berbentuk kebendaan meliputi harta benda seperti wang


ringgit, makanan, minuman, pakaian, air, tenaga (elektrik dan minyak petrol) dan
sebagainya. Manakala pembaziran dari sudut bukan material pula termasuklah
tenaga, masa, perbuatan manusia, kuasa, usia dan sebagainya.

Harta benda, wang, pakaian, kenderaan, kediaman, tenaga, masa dan sebagainya itu
adalah nikmat pemberian Allah SWT yang wajar kita hargai dengan
memanfaatkannya ke jalan yang baik.
Sekiranya perkara-perkara tersebut dipergunakan pada jalan sia-sia serta dilarang
oleh Allah SWT, maka ia termasuk di dalam pembaziran. Mereka yang suka membazir
dan boros ini sebenarnya tergolong di dalam kalangan orang-orang yang tidak tahu
bersyukur dengan nikmat pemberian Allah SWT(kufur nikmat).

Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Allah SWT


menyifatkan orang-orang yang suka membazir itu sebagai saudara syaitan. Firman
Allah SWT yang bermaksud, “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran
itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang
sangat kufur kepada Tuhannya” (Surah al-Isra’: 27).

Allah SWT menggariskan panduan kepada manusia dalam soal makan dan minum
supaya tidak berlaku pembaziran. Firman-Nya yang bermaksud, “…dan makanlah
serta minumlah dan jangan pula kamu berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah SWT
tidak suka orang-orang yang berlebih-lebihan” (Surah al-A’raf: 31).

Dalam masyarakat Islam kita, perbuatan membazir ini berlaku dalam pelbagai
keadaan. Pembaziran berlaku bukan sahaja dari sudut makan minum, malah yang lebih
parah lagi ialah dari sudut pembaziran masa, tenaga muda dan umur.

Jika pembaziran dari sudut makan minum itu dapat kita lihat dengan terbuangnya
makanan dan minuman ke dalam tong sampah, tetapi pembaziran dari sudut masa dan
umur (usia) pula seringkali tidak kita sedari kerana tidak dapat dinilai dengan mata
kasar. Kegiatan melepak, berpeleseran dan berbual-bual kosong adalah antara
perbuatan yang sia-sia, malah mungkin boleh mengundang dosa jika ada unsur-unsur
maksiat di dalamnya.

Justeru, perlu kita fahami bahawa segala nikmat termasuk nikmat masa, usia, harta,
ilmu, tubuh badan dan sebagainya akan disoal dan dipertanggungjawabkan oleh Allah
ke atas kita di akhirat kelak. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud, “Tidak akan
berganjak dua tapak kaki manusia pada hari kiamat sehingga dia disoal tentang
empat perkara. Mengenai umurnya, ke manakah dihabiskan umurnya? Mengenai
ilmunya, apakah yang sudah dilakukan dengan ilmunya? Mengenai hartanya, dari
sumber manakah dia perolehi dan ke jalan manakah dia belanjakan? Dan tentang
tubuh badannya, apakah yang telah dia lakukan?” (HR Tirmizi).

Orang yang mengerti nilai waktu tidak sanggup membiarkan waktunya habis dengan
percuma, tetapi dipenuhi dengan amal-amal yang berguna kerana dia sedar waktu itu
adalah umurnya. Berlalunya waktu tanpa sebarang pengisian yang baik bererti sia-sia
umurnya itu. Pepatah Arab ada berkata, ”Waktu itu sangat berharga, maka jangan
engkau habiskan kecuali untuk sesuatu yang berharga juga”.
Pembaziran masa sering berlaku jika kita tidak bijak menguruskannya. Terdapat
segelintir di kalangan masyarakat kita yang suka menghabiskan masa dengan sia-sia.
Bagi yang bekerja, mereka kadang-kadang mencuaikan masa dan sengaja
melengahkan tugas atau kerja yang diberikan kepadanya. Tidak merancang tugasan,
agihan tugas yang tidak sistematik, menyerahkan tugas kepada orang yang bukan
ahlinya dan sikap pekerja sendiri yang tidak bermotivasi serta tidak mementingkan
nilai masa adalah antara faktor yang menyumbang ke arah pembaziran masa.

Lebih teruk lagi apabila pembaziran masa yang dilakukan itu mengakibatkan
berlakunya kelemahan pengurusan, merosotnya produktiviti, kurangnya kualiti serta
perjalanan pentadbiran yang tidak sistematik dan produktif.

Rasulullah SAW sendiri menasihati umatnya agar meninggalkan apa yang tidak
berfaedah bagi kehidupan dunia dan agamanya sama ada berupa perkataan yang sia-
sia atau perbuatan yang tiada manfaat yang hanya menghabiskan masa dan umur
dengan percuma.

Sabda baginda daripada Abu Hurairah R.A yang bermaksud, “Sebahagian daripada
kebaikan keislaman seseorang ialah meninggalkan sesuatu yang tidak bermanfaat
baginya” (H.R al-Tirmizi).

Justeru, perjalanan hidup Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda adalah teladan
yang terbaik untuk diikuti merangkumi hal-hal pengurusan kenegaraan, perniagaan,
ekonomi, peperangan, hal ehwal rumahtangga dan kekeluargaan. Kesemuanya itu
baginda uruskan dengan baik tanpa adanya pembaziran.

Lantaran itu, wajiblah bagi kita umat Islam menghindarkan diri dari pembaziran
sama ada yang melibatkan wang, harta, masa, tenaga, usia dan sebagainya supaya kita
tidak tergolong dalam golongan mereka yang dibenci dan dimurkai Allah. Hargailah
segala nikmat kurniaan Allah dengan menggunakannya secara wajar, berhemah,
bersyukur, berjimat dan memanfaatkannya ke jalan yang diredhai Allah SWT.

Anda mungkin juga menyukai