Anda di halaman 1dari 5

Bijak Memilih Makanan

Bagaimanakah kehidupan anda sekarang? Sentiasa sibuk?,


berkejaran merebut bas untuk menghadiri kelas dan kuliah,
mengejar waktu untuk berlatih bernasyid, berlumba-lumba
ke perpustakaan untuk mendapat buku rujukan yang
diperlukan untuk melaksanakan tugasan? Untuk
melaksanakan segala kewajipan dan tugasan memerlukan
banyak tenaga. Dan untuk mendapatkan tenaga itu anda
perlu bijak memilih makanan.

Dalam kesibukan kehidupan seharian begitu mungkin anda


tiada masa untuk menyediakan makanan. Apatah lagi jika
anda tidur lewat dan tiada masa untuk bersarapan di rumah.
Sarapan sangat penting untuk memulakan hidup anda.

Jangan abaikan sarapan. Anda boleh sediakan sandwic pada


sebelah malam: roti (gunakan roti wholemeal) disapu sedikit
margarine, diberi isi telur rebus yang dihancurkan bersama
potongan mentimun, daun salad, dan hirisan tomato serta
dituang sedikit sos tomato atau sos cili. Sebagai pilihan lain
boleh juga anda buat sandwic keju, atau sandwic sardin.
Bawalah sarapan ini ke tempat kerja bersama minuman jus
buah atau sirap limau untuk makanan seimbang. Sarapan ini
akan memberi anda tenaga untuk beberapa jam.

Jika anda tiada masa membuat sandwic, maka pilihan yang


terbuka ialah membeli sarapan. Pada zaman sekarang
sarapan dijual di merata tempat: nasi lemak, mi hun goreng,
mi goreng, nasi dagang, lontong, roti canai. Kiranya bahan
santan dalam masakan akan membuat anda mengantuk,
maka elakkan daripada membeli makanan yang mempunyai
santan sebagai bahan masakannya.

Mungkin anda memilih nasi empit dengan kuah kacang.


Kuah kacang ini mempunyai zat lemak yang tinggi tetapi
kaya dengan magnesium dan zink. Apabila membeli mi
goreng, pastikan makanan itu mempunyai sayur – sawi atau
kobis – dan protein seperti daging, telur, dan kalsium seperti
kerang, dan hidupan laut ( sotong, udang).

Ada masanya anda berasa lapar dan mahu makan snek atau
sesuatu sementara menantikan waktu makan tengah hari.
Jika anda makan nasi lemak sebungkus sebagai sarapan,
maka pilihlah snek yang agak ringan untuk dikunyak
sementara menantikan waktu rihat tengah hari. Mengunyak
kacang mungkin menjadi pilihan anda. Kacang, pistachio,
cashew membekalkan nutrisi penting. Anda perlu makan
secara amat bersederhana jika anda suka kacang yang
masin. Kacang ini kaya dengan zat lemak dan akan
menambahkan berat anda.
Jika boleh, cuba elakkan snek dalam coklat dan croissant
kerana makanan ini merupakan snek yang tinggi zat
lemaknya. Snek begini cepat meningkatkan tahap gula
dalam darah, dan tahap itu juga akan jatuh dengan cepat
yang akan membuat anda berasa lemah, penat, dan lapar
semula.

Makanan tengah hari mungkin menjadi agenda sangat


penting jika anda merasakan bahawa anda tidak perlu
makan pada waktu malam. Pastikan makanan tengah hari
anda berlandaskan karbohidrat – nasi, roti wholemeal, pasta,
mi, laksa. Bersama makanan berkarbohidrat itu iringkan
dengan sayur-sayuran dan salad termasuk ulam-ulaman
untuk menjaminkan kecergasan anda pada hari itu.

Diet yang seimbang akan membekalkan tenaga dan nutrisi


yang anda perlukan untuk menjalankan satu kehidupan yang
cergas sehari semalam. Diet yang seimbang terdiri daripada
lima kumpulan makanan: Roti, kentang, dan bijirin; buah-
buahan dan sayur-sayuran; daging dan ikan; susu dan
makanan tenusu; lemak dan gula.

Sebaik-baiknya anda makan buah-buahan dan sayur-sayuran


setiap hari. Buah-buahan dan sayur-sayuran mempunyai
nutrisi yang sangat tinggi kerana kaya dengan vitamin,
terutamanya vitamin A, C, dan E; juga kaya dengan zat
galian (mineral) seperti kalsium, magnesium dan potassium
dan zat besi. Makanan ini juga kaya dengan antioksidan
yang dapat menjauhkan anda dari barah tertentu dan
penyakit jantung. Banyak buah-buahan dan sayur-sayuran
mengandung phytochemical yang menjaga anda daripada
diserang penyakit, selain tugasnya memberi warna kepada
makanan.

Buah-buahan dan sayur-sayuran tidak mengandung lemak,


sangat rendah kandungan kalorinya, dan merupakan sumber
serat yang baik. Seelok-eloknya anda makan kira-kira 400 g
(14 aun) buah-buahan dan sayur-sayuran setiap hari. Anda
boleh pilih sama ada hendak makan buah-buahan dan sayur-
sayuran itu dalam bentuk segarnya, dimasak atau secara
mentah, dalam tin, atau yang sudah dikeringkan, atau
sebagai jus.

Anda perlukan kalsium dalam bentuk minuman susu, keju


atau dadih tiga kali sehari. Tulang anda menggunakan
kalsium secara berterusan untuk tumbesaran baru sehingga
anda berusia 25-30 tahun. Pada usia ini densiti
(kepadatan)tulang sampai kepada puncaknya. Anda
memerlukan tulang yang kuat dan sihat. maka itu masukkan
dalam agenda harian anda untuk berjalan cepat, berlari,
berjoging untuk membina tulang yang kuat dan sihat.

Untuk mengatasi rasa lemah, anda perlukan zat besi.


Makanlah makanan yang kaya dengan zat besi seperti
daging merah, ikan berminyak seperti sardin, tuna, telur,
sayur-sayuran berdaun hijau, hati, kacang.

Anda juga perlukan vitamin C. Buah-buahan citrus seperti


limau dan sayur-sayuran amat baik sebagai sumber
antioksidan yang dapat menjauhkan anda daripada penyakit.
Apabila anda berada di luar rumah, di padang, di tepi sungai
kerana memancing, di tapak pesta, pastikan anda sering
minum jus buah untuk memastikan tahap vitamin C anda
pada tahap stabil. Minuman jus buah ini juga dapat melawan
kesan asap rokok yang menghakis nutrisi anda.

Sepanjang hari (kecuali dalam bulan Ramadan) pastikan


anda sering meneguk air, sekurang-kurangnya lapan gelas
sehari. Sebaik-baiknya air mineral, atau air jarang – air
masak.

Tidak mahu makan malam? Jika benar-benar tidak rasa lapar,


elok juga makan sedikit – sekeping dua biskut, minuman jus
buah sambil membaca atau menonton televisyen. Dan
sebelum tidur, minum secawan susu suam supaya badan
jadi selesa dan dapat tidur lena.

Bagaimana dengan menu pada hujung minggu? Mungkin


anda berasa amat letih setelah bersekolah dan ke kuliah
juga bekerja selama lima hari dan berazam mahu membayar
hutang tidur, dan mahu berehat sepanjang hari. Dengan
azam itu anda mungkin bangkit pagi untuk solat subuh dan
kemudian kembali berlingkar di katil. Mungkin anda tidak
menghiraukan sarapan. Yang penting ialah tidur dan rehat.

Jika sarapan terlepas, maka pastikan anda dapat menikmati


brunch iaitu breakfast + lunch yang sebaiknya pada hujung
minggu itu. Pola jenis makanannya sama iaitu wajar
berlandaskan lima kumpulan makanan asas. Pastikan ada
karbohidrat, protein, sayur-sayuran, buah-buahan. Jika
terlalu letih untuk memasak, boleh menggoreng nasi atau
menggoreng mi dengan memanfaatkan makanan daripada
lima kumpulan makanan asas itu.

Seboleh-bolehnya jangan berharapkan kepada coklat


sebagai hidangan brunch untuk tenaga semerta. Coklat
memang enak tetapi tenaga yang diberikan hanya untuk
sementara kerana anda akan berasa lemah dan lapar
semula dengan cepat.

Sebelum anda keluar untuk mengejar bas, elok minum dulu


sedikit jus buah untuk menambahkan tahap vitamin C anda
itu. Semoga hidup anda ceria dan cergas bertenaga dengan
bijak memilih makanan.

Anda mungkin juga menyukai