Anda di halaman 1dari 4

KEDAI RUNCIT YANG MENJADI PILIHAN SAYA

UNTUK MEMBELI BELAH


Dalam artikel kali ini saya ingin menceritakan pengalaman saya mencari tempat membeli
barang keperluan memasak. Walaupun bunyinya tiada kaitan dengan perniagaan internet,
tetapi ada beberapa perkara yang boleh diekstrak daripada peristiwa ini dan boleh dijadikan
sebagai strategi pemasaran dalam perniagaan internet.

Bulan lepas saya dan beberapa orang teman beriktikaf di sebuah surau di kawasan Putra
Perdana, Puchong. Semasa beriktikaf keperluan makan dan minum kesemuanya diuruskan
bersama-sama. Pada hari terakhir, saya dan seorang teman bertugas untuk menyediakan
makanan untuk sepanjang hari. Selepas bermesyuarat, kami memulakan tugas untuk
menyediakan makanan.

Perkara pertama yang perlu kami lakukan adalah membeli tong gas baru memandangkan
gas sudah habis. Malangnya tong gas tersebut adalah brand Petron berwarna merah. Lebih
kurang 3 ke 4 kedai runcit kami pergi tidak mempunyai tong gas gantian brand Petron.
Kebanyakan mereka menggunakan tong gas Petronas berwarna hijau. Alhamdulillah
akhirnya kami menjumpai sebuah kedai runcit yang mempunyai tong gas Petron untuk
ditukar.

Sebenarnya bukan cerita menukar tong gas yang ingin saya ceritakan. Tetapi tentang
pemilihan kedai runcit untuk membeli barang keperluan memasak. Ketika saya sedang
menunggu pekerja memasukkan tong gas baru ke dalam kereta, saya memerhatikan kedai
tersebut. Mata saya aktif menganalisis kedai tersebut sama ada kedai itu sesuai untuk
dijadikan tempat membeli barang keperluan.

Dalam masa yang sama, mata saya juga terpandang kepada kedai minimarket di sebelah
yang bersaiz 2 kali ganda besar daripada kedai tadi. Saya juga turut memerhatikan
barangan yang dijual di kedai tersebut. Akhirnya saya membuat keputusan untuk membeli
di kedai besar di sebelah kerana satu sebab. Iaitu, sudah pasti kesemua barang keperluan
saya ada di sana.

Semasa bermesyuarat tadi, sebenarnya saya dan partner saya bercadang untuk ke
pasaraya yang agak jauh untuk mendapatkan barang keperluan memasak. Sebab yang
sama mengapa kami bercadang untuk ke pasaraya. Iaitu, sudah pasti kesemua barang
keperluan kami ada di pasaraya. Tetapi setelah melihat kedai minimarket tersebut, kami
mengubah keputusan. Kerana kami tidak perlu untuk pergi ke tempat yang jauh
memandangkan tempat yang dekat sudah ada.

Saya kemudian ke kedai minimarket itu dan mula membeli belah. Jika ada beberapa
barang yang saya tidak temui, maka saya akan bertanya kepada pekerja di sana yang dari
masa ke semasa mendekati saya dan teman saya, in case kami memerlukan bantuan.
Memang biasa di kedai-kedai yang agak besar dan barangannya pelbagai, agak susah
untuk mencari barang yang kita kehendaki jika tidak biasa dengan susunan barang mereka.

Satu kali ketika saya bertanya kepada pakcik di kaunter wang tentang kedudukan satu
barang, terus dia menunjukkan tangannya ke atas dan menyebut nombor 5.

Saya agak hairan pada mulanya kerana tidak memahami apa maksud nombor 5. Kemudian
saya memandang ke atas dan melihat bahawa sebenarnya minimarket itu mempunyai
penanda arah. Satu papan kecil bernombor digantung di setiap laluan barisan rak barang-
barang dengan sedikit panduan nama barang di atasnya.
Wah, macam di sesetengah supermarket juga rasanya. Walaupun papan tanda tersebut
tidaklah secantik papan tanda di supermarket tetapi ia sudah cukup untuk menjalankan
tugasnya dengan baik. Selepas mengetahui tentang papan tanda tersebut, mencari barang
tidak lagi susah bagi saya dan teman.

Semasa membuat pembayaran di kaunter wang, kelihatan pelbagai produk bersaiz kecil
ditempatkan di kaunter wang. Ada di antaranya disusun di atas rak betul-betul di hadapan
kaunter wang itu. Ada juga diletakkan di kanan dan kiri kaunter wang. Ada yang diletakkan
di atas meja kaunter wang. Dan ada juga yang digantung di atas kaunter wang.
Sekali pandang kelihatannya barang-barang ini mengganggu urusan kira-mengira
dijalankan. Sedikit sebanyak ruang untuk meletakkan barang telah diambil untuk
meletakkan barangan jualan bersaiz kecil tadi. Pada mulanya saya tidak menyedari apa
tujuan sebenarnya mereka berbuat sedemikian.

Lama kelamaan barulah saya sedar bahawa tujuan barang-barang seperti itu diletakkan
berdekatan dengan kaunter wang adalah supaya pembeli rambang mata dan
berkemungkinan besar akan mengambil barang tersebut untuk dibeli memandangkan
kebanyakannya bersaiz kecil dan harganya murah. Boleh jadi barang yang tidak diperlukan
pun akan dibeli bila mata melihatnya beberapa kali. Kalau tuan badan tak mahu beli,
mungkin anak-anak yang ada bersama pula yang mahu.

Daripada pengalaman membeli belah di kedai minimarket ini saya dapat membuat
kesimpulan bahawa kedai ini mempunyai beberapa kebaikan dari segi strategi. Iaitu, ia
mempunyai banyak barang keperluan yang biasanya diperlukan oleh orang biasa, dekat
berbanding pasaraya yang jauh, mempunyai pekerja yang sentiasa alert dengan keperluan
pelanggan, mempunyai papan tanda arah yang unik supaya pelanggan tahu tempat letak
barang dan mempunyai strategi rambang mata pelanggan di kaunter wang.

Anda mungkin juga menyukai