Anda di halaman 1dari 13

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Bila disebut mengenai pendidikan di sekolah, guru adalah individu yang berkait rapat
dengan hal tersebut. Guru sering kali dianggap sebagai idola dan contoh terbaik
kepada semua murid bahkan masyarakat setempat di sekitar kawasan sekolah. Suatu
ketika dulu, masyarakat amat menyanjung dan menghormati insan yang bergelar guru.
Masih saya ingat lagi, cerpen-cerpen yang ditulis di dalam buku kompilasi cerpen guru-
guru lama. Mereka sering menceritakan bagaimana masyarakat setempat sangat
menghargai mereka. Khususnya masyarakat di desa, mereka sering memberikan
pisang, ubi, lauk-pauk, kuih-muih dan sebagainya kepada guru yang telah berpenat
lelah mengajar anak-anak mereka di sekolah. Namun kini, situasinya jauh berbeza.
Dalam era teknologi di hujung jari ini, masyarakat seolah-olah tidak menyedari dan
menghargai apa yang telah dilakukan oleh para guru.

Saban hari, terpapar cerita-cerita kurang enak sebagai tajuk utama muka depan
akhbar. Guru cabul murid, guru mengedar dadah, guru ditangkap khalwat dan berbagai-
bagai lagi cerita mengenai guru dipaparkan. Ibarat kata pepatah, kerana setitik nila,
habis susu sebelanga. Guru juga manusia biasa yang diciptakan Allah yang sudah pasti
tidak akan lari daripada melakukan kesalahan. Oleh kerana cerita-cerita negatif di dada
akhbar mengenai guru tersiar, habis semua guru menerima kesannya. Ibu bapa juga
seolah-olah tidak mempercayai guru yang diamanahkan untuk mendidik anak-anak
mereka di sekolah. Ada sahaja salah guru di mata ibu bapa. Guru membuat tanda soal
di dalam buku kerja anak mereka yang secara terang-terangan tidak menyiapkan kerja
rumah yang diberikan juga boleh menjadi isu besar.

Namun demikian, tidak dinafikan bahawa ada segelintir guru yang mencemarkan
profesion perguruan dengan pelbagai perkara negatif seperti khalwat, cabul, rogol dan
sebagainya. Sudah menjadi lumrah alam, manusia tidak akan terlepas daripada
melakukan kesilapan. Guru-guru harus lebih berhati-hati dan berfikir sebelum
melakukan sebarang tindakan kerana dikhuatiri tindakan yang dilaksanakan boleh
mencemarkan profesion perguruan.

Saksikan.

Pernahkah anda menonton video-video klip beliau?

Suatu masa dahulu, nama Cikgu Shida menjadi popular dalam sekelip mata dan
menjadi sebutan ramai. Siapakah Cikgu Shida? Cikgu Shida atau nama sebenarnya
Roshida binti Abdul Aziz merupakan seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah
yang terletak di Parit, Perak. Guru berusia 40 tahun ini menjadi terkenal kerana aksi
miming di laman video popular iaitu Youtube. Artikel yang dipetik daripada laman
sesawang akhbar tersohor negara iaitu Harian Metro menceritakan bagaimana minat
Cikgu Shida untuk membuat video miming ini bermula. “Niat suka-suka” begitulah
jawapan beliau apabila ditanya wartawan. Pelbagai jenis lagu telah dibuat lakonan
nyanyian miming oleh beliau. Ada sesetengah videonya telah ditonton lebih sejuta
penonton sejak video tersebut dimuat naik ke laman sesawang Youtube. Video-video
beliau turut ditonton oleh masyarakat dari luar negara. Satu pencapaian yang agak
hebat bagi individu biasa.

Pelbagai tohmahan dan tidak kurang juga pujian telah diberikan kepada beliau. Ada
pihak yang menyokong dan ada juga pihak yang mengeji tindakan beliau menghasilkan
klip video lakonan miming. Namun, ia sedikit pun tidak melemahkan semangat Cikgu
Shida untuk menghiburkan orang lain dengan caranya yang tersendiri. Video klip
miming Cikgu Shida menjadi kontroversi hangat kerana di dalam video-video beliau,
beliau menggayakan pelbagai jenis kostum dengan memek muka dan aksi yang agak
keterlaluan dilihat namun lucu. Apa yang menjadi isu adalah aksi yang ditunjukkan
beliau seolah-olah tidak sesuai dengan kerjayanya seorang guru.

Cikgu Shida turut dijemput sebagai tetamu undangan di dalam beberapa rancangan
bual bicara mengenai hiburan. Malah, beliau turut turut ditawarkan membintangi drama.
Namun, apakah pandangan masyarakat terhadap beliau? Adakah apa yang dilakukan
oleh Cikgu Shida ini melanggar etika guru?

Melalui pembacaan daripada blog dan komen-komen di akhbar, didapati bahawa


kebanyakan anggota masyarakat tidak begitu senang dengan tingkah laku Cikgu Shida
ini. Menurut mereka, Cikgu Shida sudah mencemarkan imej profesion perguruan,
memalukan kaum wanita dan tidak layak menjadi contoh. Tidak kurang juga yang
meminta agar Cikgu Shida diberhentikan atau dipecat oleh Kementerian Pelajaran
Malaysia daripada menjadi guru. Namun demikian, Cikgu Shida khabarnya merupakan
seorang guru yang komited, kreatif dan cemerlang dalam pengajarannya. Menurut
khabaran itu juga, oleh sebab itu, guru besar sekolah tersebut tidak mengambil apa-apa
tindakan tatatertib ke atas beliau. Banyak komen daripada blogger-blogger menyatakan
bahawa Cikgu Shida telah melanggar etika perguruan. Adakah ianya benar?

Menurut Kamus Dewan(1995), etika merupakan sebuah sistem dasar akhlak, adat
atau tingkah laku atau kesusilaan. Dari pandangan Islam pula, etika merupakan akhlak
dan tingkahlaku yang baik yang diamalkan oleh seorang yang baik peribadinya.
Menurut Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), etika ialah akauntabiliti dan akibat
tingkahlaku seseorang atau profesion terhadap masyarakat. Setiap penjawat awam
harus mematuhi dan memahami larangan serta kebenaran tingkahlaku Perkhidmatan
Awam. Etika juga boleh disimpulkan sebagai suatu aturan tingkahlaku yang baik dan
berakauntabiliti yang perlu diamalkan oleh setiap individu.

Setiap profesion mempunyai kod etika kerja yang tersendiri. Profesion perguruan
juga tidak terlepas daripada mempunyai etika kerja sendiri. Etika kerja perguruan
digubal bagi memartabatkan profesion perguruan. Setiap individu yang bergelar guru
wajib mematuhi kod etika ini selama masih dirinya bergelar guru. Ia adalah untuk
menjaga status, akhlak dan maruah dalam profesion keguruannya. Di Malaysia,
‘Tatasusila Profesion Keguruan’ yang disarankan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia
merupakan landasan dan garis panduan bagi setiap guru. Menurut ‘Tatasusila
Profesion Keguruan’ ini, setiap guru mempunyai akauntabiliti ke atas murid, ibu bapa,
masyarakat dan negara, rakan sejawat dan profesion.

Ikrar Tatasusila Profesion Keguruan:

“Kami, guru-guru Malaysia, yakin bahawa tujuan utama pendidikan ialah berusaha
menuju ke arah pembentukan warganegara yang berilmu,yang taat setia, yang
bertanggungjawab dan berkebolehan, yang menyedari betapa pentingnya usaha
menuju ke arah kebenaran dan ke arah pencapaian hasrat yang gemilang, dan yang
percaya kepada demokrasi, kebebasan perseorangan dan prinsip-prinsip Rukun
Negara. Dengan menyedari betapa besarnya tanggungjawab mebimbing anak muda
untuk mecapai kemajuan sepenuh-penuhnya, maka dengan ini, kami menerima
Tatasusila berikut sebagai panduan untuk membolehkan kami menyempurnakan
profesion kami ke taraf kesusilaan yang setinggi-tingginya :
i. Tanggungjawab terhadap pelajar

ii. Tanggungjawab terhadap ibu bapa

iii. Tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara

iv. Tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion keguruan”

Kod etika perguruan menjadi garis panduan bagaimana bertingkahlaku dalam


profesion yang banyak menguji kesabaran ini. Kod etika perguruan juga menyatakan
dengan jelas tentang tanggungjawab guru sebagai pemegang amanah di dalam bidang
pendidikan. Amanah yang dipikul oleh insan bernama guru adalah amat besar. Guru
harus mendidik dan mencorak generasi muda yang bakal memimpin negara pada masa
akan datang. Maka, guru haruslah mengikut dan mematuhi kod etika perguruan agar
guru masih lagi berjalan dan berlari di atas landasan yang betul.

Terdapat pelbagai isu berkaitan dengan etika guru seperti kesantunan guru,
kepedulian guru, penampilan guru, berniaga di sekolah, pengurus masa dan juga
pengurus kewangan. Kesemua masalah dan isu berkaitan guru dapat dikelaskan
kepada enam isu itu. Keenam-enam isu tersebut merupakan isu berkaitan guru yang
terjadi di Malaysia. Berbalik kepada isu yang ditimbulkan apabila tersebarnya video
lakonan miming Cikgu Shida. Adakah perilaku Cikgu Shida yang mana minatnya untuk
membuat video miming tersebut salah di sisi etika keguruan? Adakah beliau telah
melanggar kod etika perguruan dan Tatasusila Profesion Keguruan?

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) iaitu Encik


Hashim Adnan berpendapat bahawa isu Cikgu Shida ini tidak melanggar etika
perguruan dan ia hanya bersifat mencari hiburan untuk diri sendiri. Beliau turut meminta
masyarakat untuk melihat apa yang dilakukan oleh Cikgu Shida dari sudut yang positif.
Beliau mengatakan Cikgu Shida berjaya menunjukkan kreativitinya kerana berjaya
melakonkan pelbagai watak dengan pelbagai aksi yang lucu untuk ditonton. Selain itu,
beliau juga berkata laman sesawang Youtube mampu dilayari sesiapa sahaja dari
seluruh dunia dan ini bererti video itu boleh ditonton pelbagai golongan, sekali gus
menaikkan institusi perguruan. Kenyataan beliau telah dikecam oleh mereka yang tidak
menyukai video lakonan miming Cikgu Shida kerana berpendapat beliau seolah-olah
menyokong apa yang dibuat oleh Cikgu Shida.

Setiap individu mempunyai pandangan yang berbeza-beza mengenai isu ini. Pada
pendapat saya sebagai seorang guru pelatih, Cikgu Shida sebenarnya merupakan
seorang guru yang berbakat dan kreatif dalam mengajar. Sewaktu melayari laman
sesawang youtube, saya ada menonton sebuah klip video Cikgu Shida. Beliau telah
mencipta sebuah lagu patriotik dan mengajarkan lagu tersebut kepada murid-muridnya
di sekolah. Selain itu juga, terdapat video yang menunjukkan murid-murid beliau
membuat persembahan dengan bimbingan dan tunjuk ajar dari beliau. Bukan mudah
bagi seorang guru untuk membimbing murid-murid sekolah rendah untuk membuat
persembahan yang kreatif dan menarik. Selalunya, ia akan memakan masa yang agak
lama untuk melatih murid-murid membuat persembahan. Rata-rata guru yang diberi
tanggungjawab untuk melatih murid membuat persembahan sudah pasti akan
ketandusan idea untuk mencari aktiviti persembahan yang sesuai dengan kebolehan
dan tahap murid. Begitu juga dengan Cikgu Shida. Beliau kreatif di dalam memilih
persembahan dan membimbing murid-muridnya. Usaha beliau yang komited dapat
dilihat dalam video tersebut apabila murid-muridnya berjaya membuat persembahan
dengan baik. Ini menunjukkan, latihan dan bimbingan yang diberikan oleh beliau
berkesan.

Namun demikian, mengenai video lakonan nyanyian Cikgu Shida, ianya agak kurang
manis untuk dilakukan oleh seorang insan yang bergelar guru. Tambahan lagi, guru
wanita. Pada pendapat saya, video lakonan nyanyiannya telah melanggar kod etika
perguruan. Walaupun pada hakikatnya, beliau hanya berniat sekadar untuk mengisi
lapang, namun, gaya dan perwatakan beliau dalam video tersebut agak kurang
menyenangkan. Rata-rata laman sesawang dan juga komen-komen penonton
menyatakan video tersebut amat memalukan dan mencalarkan imej seorang guru dan
profesion perguruan. Ada juga segelintir komen dan pendapat yang menunjukkan
tanggapan negatif mereka terhadap guru selepas menonton video lakonan nyanyian
Cikgu Shida. Maka, apabila terdapatnya pendapat yang sebegini, saya berpendapat
bahawa Cikgu Shida telah melanggar kod etika perguruan di bawah isi tanggungjawab
kepada rakan sejawat dan profesion.

Antara isi penting tanggungjawab kepada rakan sejawat dan profesion adalah
seperti yang berikut:-

i. Mengelakkan diri dari membuat sebarang kenyataan atau ulasan yang boleh
mencemarkan nama baik seseorang guru di hadapan pelajar atau ibu bapa atau
membuat sesuatu yang boleh menjatuhkan maruah seseorang guru.
ii. Tidak melibatkan diri dalam sebarang kegiatan yang boleh menjejaskan kecekapan kami
sebagai guru.

iii. Berusaha dengan sepenuh-penuhnya menunaikan tanggungjawab kami dengan rajin dan
bersungguh-sungguh dan mengekalkannya sejajar dengan kemajuan ikhtisas dan
sosial.

iv. Sentiasa bersedia membantu rakan sejawat kami terutamanya mereka yang baharu
dalam profesion perguruan.

v. Sentiasa mengawasi diri kami supaya tidak mencemarkan nama baik profesion perguruan.

vi. Akan menjadi ahli sebuah pertubuhan guru.

Berdasarkan kepada isi (i) dan (v). Tanggungjawab kepada rakan sejawat dan
profesion perguruan memerlukan seorang guru menjaga nama baik seseorang guru di
hadapan murid dan ibu bapa serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan
maruah seorang guru. Tindakan Cikgu Shida yang beraksi sedemikian rupa adalah
amat memalukan. Saya yang menonton video-video lakonan nyanyian beliau juga
berasa malu. Beliau sanggup berpakaian seperti lelaki dan mencalitkan warna-warna
hitam seolah-olah misai dan janggut untuk menjayakan lakonan nyanyiannya. Gerak
tari dan memek muka beliau jelas menunjukkan beliau tidak berasa malu untuk beraksi
di hadapan kamera. Pelbagai kritikan pedas dan cercaan dapat dibaca ada ruangan
komen dalam laman sesawang youtube. Ada antara pelayar Youtube mengatakan
bahawa Cikgu Shida sudah mencemarkan profesion perguruan. Malah, ada yang
mengatakan Cikgu Shida seorang yang gila dan tidak waras akal fikirannya.
Rujuk komen

Sebagai seseorang yang memegang jawatan sebagai guru, beliau seharusnya lebih
bijak menjaga nama baik profesion dan maruah dirinya sendiri. Beliau seharusnya
menjaga tingkahlaku, dan imej bersih seorang guru. Seorang guru haruslah mempunyai
tingkahlaku yang sopan dan menjaga adab serta tatasusilanya di hadapan umum.
Apabila menonton video-video miming beliau, saya lantas beristighfar kerana terkejut
melihat aksinya. Saya akui beliau memang seorang individu yang berani. Namun, perlu
ada batasannya kerana selagi seseorang itu bergelar guru, maka segala tindakannya
haruslah terkawal agar tidak melanggar etika. Akibat daripada ‘keberanian’ beliau
menghasilkan video ini, ramai individu mempertikaikan gelaran ‘Cikgu’ pada Cikgu
Shida. Mereka memperlekehkan Cikgu Shida dengan mengatakan beliau tidak layak
menjadi guru dan bermacam-macam lagi. Tidak kurang juga ada yang beranggapan
bahawa guru-guru di sekolah mempunyai masa rehat yang terlalu banyak dan
menghabiskan masa dengan aktiviti yang tidak berfaedah seperti merakam video
sendiri, berniaga dan sebagainya. Imej profesion perguruan telah tercalar di situ.
Ramai yang beranggapan bahawa beliau telah mencemarkan dan menjejaskan
profesion perguruan. Dalam Etika Profession Perguruan juga ada menyebut:

i. Seorang guru tidak harus bertingkah laku begitu rupa sehingga mencemarkan sifat
profesionnya dan yang akan menyebabkan hilang kepercayaan orang ramai terhadap
profession perguruan.

ii. Dia tidaklah harus bertingkah laku begitu rupa yang boleh membawa kepada jatuhnya
maruah diri dan kehilangan amanah berhubung dengan kewangan.

Jelaslah di sini, bahawa tindakan beliau itu menyalahi etika profesion perguruan.
Mungkin selepas ini, beliau akan lebih berhati-hati dan menjaga etika kerjanya.

Selain itu juga, isu beliau menjadi pertikaian hangat kerana tindakannya tidak sopan
dan tidak sesuai dengan imejnya sebagai seorang Muslimah. Di sekolah, seorang guru
wanita Islam kebiasaannya akan memakai tudung. Begitu juga Cikgu Shida. Pada
pendapat saya, beliau bukanlah seorang wanita yang bertudung atas dasar terpaksa
kerana menjawat jawatan guru. Penampilan beliau di dalam rancangan bual bicara FBI
yang disiarkan di TV9 jelas menunjukkan beliau seperti guru-guru biasa di sekolah yang
berpenampilan sopan dan menutup auratnya. Jelas ketara imejnya sebagai seorang
seorang guru.

Namun demikian, di dalam video lakonan nyanyiannya, imejnya berubah. Malah ada
di dalam sesetengah video hasilannya, beliau tidak memakai tudung. Khususnya
apabila beliau melakonkan watak lelaki. Auratnya sebagai seorang wanita Muslimah
juga tidak dijaga dengan baik. Lehernya juga kadang-kadang terdedah. Beliau seolah-
olah terlalu menghayati watak yang dibawa sehingga menjejaskan batasnya sebagai
seorang wanita beragama Islam. Ada juga yang menyuarakan pendapat seandainya
video ini dihasilkan oleh seorang guru lelaki, ia mungkin tidak menjadi masalah dan isu
besar.
Rakyat Malaysia terkenal dengan sifat sopan-santun dan merendah diri. Kaum wanita
berbangsa Melayu khususnya dikenali sebagai seorang yang lemah lembut, bersopan-
santun dan juga pemalu. Namun, daripada video-video beliau, ramai yang beranggapan
bahawa nilai sopan dan pemalu tersebut telah hilang dalam video. Seperti yang telah
dijelaskan sebelum ini, isu etika guru juga meliputi isu kesantunan. Kesantunan dapat
dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu:-

i. Kesantunan berpakaian

a. Jenis Pakaian

b. Solekan

ii. Kesantunan tingkahlaku

a. Tatacara bertindak

b. Gerak geri guru

iii. Kesantunan berbahasa

a. Cara berkomunikasi

Dalam isu ini, ia terletak di bawah isi kesantunan tingkah laku. Guru merupakan
contoh dan ikutan bagi murid-murid. Maka, guru haruslah menunjukkan sifat dan
kesantunan yang tinggi agar murid-murid lebih menghormati guru tersebut. Menurut
Prinsip Kesantunan Leech (1983), terdapat 6 prinsip kesantunan yang wajar dipatuhi.

i. Santun/berhemah : meminimumkan kos dan memaksimumkan faedah kepada orang lain

ii. Budiman : meminimumkan faedah atau manfaat dan memaksimumkan kos ke atas diri
sendiri.

iii. Sokongan / berkenan : meminimumkan cacian dan memaksimumkan pujian terhadap


orang lain
iv. Merendah diri / kerendahan hati : meminimumkan pujian, memaksimumkan cacian
terhadap diri sendiri

v. Persetujuan : meminimumkan perbalahan, memaksimumkan persetujuan antara diri


dengan orang lain

vi. Simpati : memaksimumkan simpati antara diri dengan orang lain

Berdasarkan model ini, guru haruslah mengamalkan setiap aspek kesantunan


dalam kehidupan supaya menjadi guru yang dihormati dan disegani serta menjadi
contoh ikutan kepada murid-murid di sekolah.

Apabila masyarakat memanggil kita dengan gelaran ‘cikgu’, ia bagaikan satu


penghormatan kepada kita. Tipikal rakyat Malaysia, menganggap guru ataupun lebih
mudah dikenali sebagai cikgu adalah seorang yang sempurna dalam segala hal. Cikgu
pada minda rakyat Malaysia merupakan seorang yang lemah lembut, sopan dan baik
budi pekerti serta akhlaknya. Di dalam isu Cikgu Shida ini, andai kata beliau bukanlah
seorang guru, sudah tentu ia tidak menjadi perdebatan hebat. Andai beliau merupakan
seorang jurutera, arkitek dan merakamkan video lakonan nyanyian begini, masyarakat
tentu tidak mengambil kisah. Namun, gelaran cikgu yang ada pada beliau
menyebabkan beliau dicemuh kerana tipikal rakyat Malaysia memang begitu.

Dalam laman facebook Cikgu Shida, beliau pernah mengatakan beliau tidak selesa
dipanggil Cikgu Shida, sebaliknya lebih senang sekiranya dipanggil dengan nama Cik
Shida sahaja. Bagi beliau, gelaran cikgu hanya sesuai dipanggil di tempat dia bekerja
sahaja. Pada pandangan saya, Cikgu Shida sebenarnya sedar akan tindakannya itu
sedikit sebanyak mencalarkan imej profesion perguruan. Oleh sebab itu, dia meminta
orang ramai memanggilnya dengan panggilan cik sahaja dan bukannya cikgu. Namun
disebabkan minatnya untuk membuat lakonan nyanyian, beliau meneruskan
penghasilan video-video ini. Malah beliau turut menganggapnya sebagai satu cabang
seni.
Ada individu daripada ruangan laman Facebook yang berpendapat, gelaran cikgu itu
perlu dibawa walaupun di mana jua guru itu berada. Dalam agama Islam pun, guru itu
mendapat tempat tertinggi selepas kedua ibu dan bapa. Sehingga seorang guru itu
meninggal dunia, gelaran cikgu itu tidak akan pernah terpisah daripada namanya.
Orang ramai akan tetap mengingatinya sebagai guru.

Dalam minda masyarakat Malaysia, seorang guru itu haruslah merupakan seorang
insan yang sempurna. Elok penampilan, tersusun tutur bahasa, baik tingkah laku dan
tinggi akhlak pekerti adalah trait-trait personaliti guru dalam minda masyarakat kita.
Mereka amat berharap guru yang mengajar anak-anak mereka di sekolah merupakan
individu yang berakauntabiliti dan berintegriti serta sesuai dijadikan contoh ikutan anak-
anak mereka. Rasa percaya mereka terhadap guru akan timbul dengan melihat guru-
guru yang wajar dijadikan contoh bagi anak-anak di sekolah.

Kerjaya guru tugas mulia di sisi Islam, apatah lagi membabitkan disiplin ilmu
berkaitan agama. Islam sebagai satu agama yang mementingkan ilmu pengetahuan,
memandang tinggi martabat seorang pendidik sama ada berkaitan ilmu duniawi atau
ukhrawi. Dalam hal ini, Rasulullah SAW membuktikan betapa pentingnya peranan guru
dalam proses penyebaran dakwah Islamiah pada zaman permulaan Islam. Sebagai
utusan terakhir kepada umat manusia, Baginda SAW sendiri mengajar dan mendidik
umat manusia berpandukan wahyu Ilahi. Baginda juga merupakan seorang guru pada
zamannya.

Dewasa ini, pelbagai berita yang boleh dikira sebagai keadaan di mana martabat
guru cuba direndahkan. Hal ini tidak sepatutnya berlaku. Memang ada segelintir guru
yang membuat onar tetapi sebahagian besar menjalankan tanggungjawab mendidik
anak bangsa dengan baik. Ibarat kata pepatah, jangan kerana seekor kerbau
membawa lumpur, habis semuanya terpalit sama.

Sesungguhnya segala amal bakti seorang guru dalam menyampaikan ilmu yang
bermanfaat kepada anak didiknya akan melayakkan dirinya mendapat ganjaran
kebaikan, meskipun setelah pergi mengadap Ilahi. Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Dan (ingatlah), apa jua kebaikan yang kamu kerjakan sebagai bekalan untuk diri kamu,
tentulah kamu akan mendapat balasannya pada sisi Allah, sebagai balasan yang
sebaik-baiknya dan yang amat besar pahalanya." (Surah al-Muzammil, ayat 20).
Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud: "Apabila meninggal dunia seorang
manusia, maka terputuslah pahala amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah, ilmu
yang bermanfaat, anak soleh yang mendoakannya." (Hadis riwayat Muslim). Jelas di
sini bahawa profesion perguruan itu mendapat tempat yang tinggi di dalam agama
Islam. Ianya merupakan sebuah profesion yang mulia. Maka, sebagai seorang yang
bergelar guru, kita haruslah menjaga nama baik profesion dan tidak melanggar etika-
etika perguruan agar masyarakat kekal memandang mulia kerjaya guru sehingga akhir
zaman nanti. InsyaAllah!

Posted by Siti Nazirah at 09:43


Email This

Anda mungkin juga menyukai