Anda di halaman 1dari 20

1.

0 PENGENALAN

Beberapa insiden keganasan yang berlaku di dunia seringkali dikaitkan dengan umat
Islam biarpun pada hakikatnya ianya dilakukan juga oleh penganut agama yang lain.
Kejadian pembunuhan lebih 120 orang di Paris, peristiwa 11 September 2001 yang telah
mengorbankan kira-kira 2996 nyawa diikuti oleh pengeboman di Madrid pada 11 Mac
2004 melibatkan kematian 191 orang dan pengeboman di London pada 7 julai 2005 yang
meragut 52 nyawa oleh pengganas yang disyaki Muslim telah memburukkan lagi imej
Islam di mata masyarakat dunia. Seiring dengan perkembangan negatif ini, istilah
Islamofobia telah menjadi popular dalam memberikan gambaran tentang persepsi
masyarakat terhadap umat Islam dan Islam itu sendiri. Ini juga dibuktikan dengan
penerbitan beberapa filem berunsur Islamofobia seperti filem “Innocence of Muslim’
arahan Sam Becille yang secara jelas menghina Islam dan Rasulullah SAW serta
menunjukkan salahfahaman terhadap Islam itu sendiri. Fenomena Islamofobia semakin
hari semakin popular dan memberikan implikasi pelbagai kepada kehidupan umat Islam
sehinggakan Pertubuhan Negara-negara Islam telah menubuhkan “OIC Islamofobia
Observatory” bagi memantau perkembangan isu ini dan juga mengambil inisiatif usaha-
usaha ke arah membetulkan persepsi negatif terhadap Islam. Walaupun istilah
Islamofobia ini hanya digunakan secara meluas oleh media dan ahli akademik di sekitar
1990an, namun pada hakikatnya fenomena Islamofobia telah pun berlaku sejak
permulaan pengembangan Islam di Makkah dalam bentuk yang berbeza. Di Malaysia,
Islamofobia juga terus berlaku di mana insiden-insiden yang melibatkan sensitiviti agama
antara menjadi halangan bagi mewujudkan suasana harmoni dalam masyarakat yang
pluralistik. Sehubungan dengan topik Islamofobia yang terus berlaku dan dibincangkan,
artikel ini akan mengupas dan cuba memberikan kefahaman terhadap beberapa isu, aspek,
konsep, manifestasi, implikasi, bentuk, faktor-faktor Islamofobia termasuk menggariskan
beberapa langkah yang boleh diusahakan dalam membetulkan persepsi masyarakat
terhadap Islam.

Mahu tidak mahu, sememangnya tidak dapat dinafikan peristiwa keruntuhan menara
Pusat Perdagangan Dunia di New York pada 11 September 2001 telah menjadi pencetus
utama kepada fenomena Islamofobia. Kejadian pembunuhan yang melibatkan lebih 120
orang mati di Paris baru-baru ini memburukkan lagi keadaan Islamofobia masyarakat
antarabangsa kepada Islam. Peristiwa ini telah memberikan kesempatan yang meluas
kepada ramai pihak terutamanya musuh Islam untuk terus memberikan gambaran buruk
terhadap Islam. Bahkan telah terdapat gerakan secara teratur dan dibiayai sepenuhnya
oleh pihak tertentu untuk mempromosi dan menyebarkan propaganda mengenai
Islamofobia kepada masyarakat dunia.

Ironinya, walaupun terdapat banyak lagi gerakan yang mempelopori keganasan seperti
Liberation Tigers of Tamil Elam di Sri Lanka, gerakan Khalistani di India, Pemberontak
Ireland Utara, ‘Basque separatists’ di Sepanyol, Zionis Israel dan Ku Klux Clan di
Amerika, kumpulan-kumpulan ini tidak pula dianggap sebagai mewakili agama mereka
dan tiada istilah Kristianofobia atau Hindufobia atau Judaismofobia dikaitkan dengan
mereka. Ini membuktikan bahawa fenomena Islamofobia yang berlaku di dunia ini
bukanlah sangat disebabkan oleh jenayah keganasan umat Islam sahaja tetapi ianya juga
berkaitan dengan faktor-faktor lain yang perlu diberikan perhatian secara serius oleh umat
Islam.

Seiring dengan perkembangan Islamofobia ini, penulis merasakan bahawa kefahaman


dan kesedaran yang secukupnya perlu diberikan kepada masyarakat umum mengenai isu
ini. Maklumat dan informasi yang betul berdasarkan fakta dan bukti-bukti sahih
mengenai Islamofobia akan dapat memberikan kefahaman yang sebaiknya dan seterusnya
sedikit sebanyak akan membetulkan salah tanggapan ramai terhadap Islam. Sehubungan
dengan itu, artikel ini akan secara khusus membicarakan tajuk Islamofobia dengan
membincangkan isu-isu berkaitan, konsep, manifestasi, implikasi, bentuk, faktor-faktor
Islamofobia termasuk menggariskan beberapa strategi yang boleh diusahakan dalam
membetulkan persepsi masyarakat terhadap Islam.

2.0 Memahami Konsep Islamofobia

Memahami konsep Islamofobia adalah perkara yang amat penting sebelum kita dapat
membicarakan dengan lebih lanjut aspek lain yang berkaitan dengannya. Bahagian dua
artikel ini akan membincangkan konsep Islamofobia secara umum dari sudut pentakrifan,
bentuk dan manifestasi. Penjelasan terhadap ketiga-tiga aspek ini akan dapat memberikan
kefahaman yang sewajarnya mengenai konsep Islamofobia secara umum.

2.1 Definisi

Sekiranya dirujuk dan diperhatikan di dalam media massa dan saluran yang lain, istilah
lain yang hampir sama dengan Islamofobia juga digunakan bagi merujuk kepada
fenomena kebimbangan atau fobia kepada Islam. Istilah seperti ‘Muslim radicalization’,
‘anti-Muslim hate crime’, ‘anti-Islamic phenomena’, ‘xenophobia’ dan ‘religiously based
hate crimes’ juga sering kali digunakan. Namun, Islamofobia masih menjadi istilah yang
lebih popular dan ianya kini diterimapakai secara meluas di akhbar, majalah, media
elektronik dan lain-lain saluran.

Berdasarkan sorotan literatur, istilah Islamofobia ini telah mula digunakan di


Perancis oleh Etienne Dinet dan Slima Ben Ibrahim pada 1925 di dalam bukunya “Acces
De Delire Islamophobe”. Istilah Islamofobia ini walaubagaimanapun tidak popular dan
ianya juga sama sekali tidak menjadi isu pada waktu itu. Di Amerika, Islamofobia ini
sebenarnya telah mula digunakan pada 1991 melalui satu artikel di dalam majalah
‘Insight’, namun masyarakat tidak ambil kisah dan tidak memberikan apa-apa reaksi
terhadap fenomena Islamofobia ini. Akhirnya istilah Islamofobia ini semakin popular dan
mencapai kemuncak penggunaannya selepas 11 September 2001 diikuti dengan
pengeboman di Madrid pada 11 Mac 2004 dan pengeboman di London pada 7 Julai 2005.

Secara umumnya Islamofobia ini merujuk kepada rasa fobia atau kebimbangan
terhadap Islam sama ada pada penganutnya, ajarannya, budayanya dan apa sahaja yang
berkaitan dengan Islam. Menurut Pelapor Khas PBB, Islamofobia bermakna “suatu
permusuhan dan ketakutan tidak berasas terhadap Islam dan akibat ketakutan atau
kebencian pada orang Islam atau majoriti daripada mereka”. Pentakrifan yang hampir
sama diberikan oleh Laporan ‘Commission on British Muslims and Islamofobia’ yang
menyatakan bahawa ianya merujuk kepada “dread or hatred of Islam and, therefore, to
fear or dislike all or most Muslims”atau “irrational fear of Islam or anti-Muslim racism
and continuation of anti-Asian and anti-Arab racism”. Melalui pentakrifan ini, dapatlah
disimpulkan bahawa Islamofobia ini merujuk kepada persepsi negatif terhadap Islam
dalam bentuk diskriminasi pelbagai yang dimotivasikan oleh ketakutan dan kebimbangan
terhadap Islam atau umat Islam.

Persepsi negatif yang terbina akibat fobia terhadap Islam ini dapat dilihat dalam pelbagai
aspek dan ini merangkumi pandangan serong terhadap undang-undang, nilai-nilai dan
budaya yang dibawa oleh Islam. Persepsi negatif yang terbentuk ini disahkan dengan
Laporan yang dibuat oleh Runnymede di London bertajuk ‘Islamofobia: A Challenge for
Us’ All yang secara khusus menyatakan bahawa “Islam is perceived as a monolithic
block, static and unresponsive to change; it is viewed as separate and “other”; it does not
have values in common with other cultures, is not affected by them and does not
influence them. Islam is seen as inferior to the West; it is considered barbaric, irrational,
primitive and sexist; Islam is seen as violent, aggressive, threatening, and supportive of
terrorism and engaged in a “clash of civilizations.” Rumusan yang dibuat Runnymede ini
mengesahkan bahawa Islam telah disalahfahami secara serius oleh ramai pihak
terutamanya masyarakat bukan Islam di barat. Sehubungan dengan itu, persepsi yang
salah ini perlu diperbetulkan segera bagi memastikan Islam yang menjadi rahmat sekalian
alam ini difahami atau tidak disalahtanggapi. Sesungguhnya, tanggungjawab ini mestilah
dipikul oleh setiap individu Muslim termasuk institusi-institusi, badan-badan dan
pertubuhan Islam.

2.2 Bentuk Islamofobia

Akibat daripada persepsi negatif terhadap Islam, diikuti dengan rasa kebimbangan atau
ketakutan yang tidak berasas, Islamofobia ini telah diterjemahkan ke dalam pelbagai
bentuk diskriminasi dan ketidakadilan. Dalam hal ini, Islamofobia boleh dibahagikan
kepada beberapa bentuk. Penulis mengklasifikasi Islamofobia ini kepada beberapa
kategori iaitu ‘institutional Islamophobia’ dan ‘non-Institutional Islamophobia’,
‘Islamophobia of the State’, ‘dominant Islamophobia’ dan ‘non-dominant Islamophobia’
dan ‘unconscious Islamophobia’.

‘Institutional Islamophobia’ merujuk kepada organisasi atau mana-mana pertubuhan


yang mendiskriminasi berdasarkan identiti agama. ‘Non-Institutional Islamophobia’
berlaku apabila ianya melibatkan Islamofobia oleh individu. Islamofobia diperingkat
institusi seperti organisasi tertentu, syarikat dan badan korporat lebih memberikan
implikasi berbanding individu. Islamofobia di peringkat institusi ini kebiasaannya
melibatkan diskriminasi sama ada dalam bentuk penafian peluang pekerjaan, kenaikan
pangkat, hak-hak beragama sewaktu bekerja dan sebagainya.

‘Islamophobia of the State’ atau Islamofobia yang melibatkan polisi negara adalah
sesuatu yang perlu dibendung. Melalui Islamofobia ini, amalan sistematik yang
mendiskriminasi berdasarkan identiti agama boleh berlaku terutamanya di jabatan atau
kementerian sesebuah kerajaan. Akibatnya Muslim atau institusi dimiliki Muslim yang
berhubung atau mempunyai apa-apa perhubungan dengan kerajaan sebegini akan
mengalami pelbagai masalah dan memberikan pelbagai implikasi negatif.

“Dominant Islamophobia” merujuk kepada Islamofobia yang berlaku di negara


majoriti bukan Islam dan ’non-dominant Islamophobia” apabila ianya berlaku di negara
majoriti Muslim. Islamofobia yang berlaku di negara majority Muslim adalah berbeza
dengan negara yang penduduk Muslimnya adalah minoriti. “Dominant Islamophobia’
adalah lebih membimbangkan kerana Muslim minoriti ini akan lebih berpotensi untuk
didiskriminasi dan dilayan dengan tidak adil.

“Unconscious Islamophobia” pula bermaksud Islamofobia yang berlaku secara tidak


disedari. Ini kerap berlaku dikalangan bukan Islam dan ianya boleh juga terjadi kepada
Muslim itu sendiri. Kenyataan yang menghina dan mempertikaikan undang-undang Islam
dan hak-hak asasi manusia dalam Islam oleh golongan tertentu misalnya boleh dianggap
sebagai fenomena Islamofobia yang tidak disedari.
Bentuk-bentuk Islamofobia di atas menunjukkan bahawa fenomena Islamofobia ini
memberikan kesan kepada persepsi masyarakat dan ianya boleh berlaku dalam bentuk
ekspresi individu dan juga institusi termasuk melalui dasar dan polisi sebuah Negara.
Setelah mengenalpasti bentuk Islamofobia ini, maka segala strategi untuk mengatasi
perkara ini hendaklah juga berdasarkan klasifikasi atau pembahagian ini. Ini bagi
memastikan sebarang usaha ke arah membetulkan persepsi masyarakat dalam isu
Islamofobia ini dapat dilakukan secara berkesan.

2.3 Manifestasi Islamofobia

Manifestasi Islamofobia merujuk kepada situasi di mana persepsi negatif atau


kebimbangan atau kebencian kepada Islam itu dizahirkan dalam bentuk ekspresi
intelektual seperti penulisan karya ilmiah atau perbuatan yang merangkumi keganasan,
protes dan gerakan Islamofobia itu sendiri. Penulis akan membincangkan kategori
manifestasi Islamofobia ini kepada lima bahagian iaitu:-

2.3.1 Media

Peranan media dalam membentuk pendapat umum sememangnya tidak dapat dinafikan.
Media yang pro-barat dan sentiasa mengambil peluang untuk memberikan imej yang
buruk kepada Islam sudah pasti akan terus menyebarkan berita-berita yang
menggambarkan kenegatifan Islam. Misalnya penerbitan filem ‘Fitna’ oleh ahli politik
Belanda bernama Geert Wilders yang kemudiannya disiarkan secara berleluasa
menyebabkan masyarakat umum mempunyai pandangan yang amat negatif terhadap
Islam khususnya al-Quran. Ini diikuti dengan liputan yang sangat berat sebelah mengenai
kes pembunuhan Marwa al-Sherbini di Dresden, Jerman pada 1 Julai 2009 yang
bermotifkan benci dan salah faham terhadap Islam. Media juga menghangatkan lagi isu
kontroversi seperti pembinaan masjid di ’Ground Zero’, ’Tea Party Movement’ dan
gerakan pengharaman Shari’ah yang menanamkan kebencian terhadap muslim di
Amerika.

2.3.2 Intelektual
Tren politik dan ideologi semasa kuat dipengaruhi oleh legitimasi intelektual dan saintifik
terhadap elemen perkauman, ’xenophobia’ dan sikap tidak bertoleransi. Tren ini jelas
kelihatan dalam sejumlah buku yang diterbitkan oleh beberapa penulis dengan tujuan
untuk memanfaatkan peluang dalam meningkatkan gejala Islamofobia dan mengubah
imej Islam kepada yang lebih negatif. Antara karya yang cuba untuk memberikan
gambaran negatif terhadap Islam dan seterusnya menyuburkan Islamofobia ialah ‘Legacy
of Jihad’, ‘While Europe Slept: How Radical Islam is Destroying the West from Within’
dan ‘Muslim Mafia: Inside the Secret Underworld That’s Conspiring to Islamize
America’. Bukan itu sahaja, ucapan kontroversi Pope Benedict XVI yang menghina Nabi
Muhammad dan mempertikaikan al Quran merupakan salah satu manifestasi intelektual
dalam konteks Islamofobia.

2.3.3 Politik dan Perundangan

Persepsi kebencian dan kebimbangan terhadap Islam ini juga dizahirkan dalam politik
dan perundangan. Umpamanya di Switzerland, akibat dari kempen anti Islam yang
dipelopori oleh Daniel Streich, undang-undang telah dipinda bagi mengharamkan
pembinaan menara-menara masjid. Walaupun ianya melanggar hak asasi umat Islam di
Switzerland, bahkan dikecam oleh pelbagai kerajaan, badan bukan kerajaan, badan hak
asasi, termasuk Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan
’Amnesty International’, pindaan undang-undang ini tetap diteruskan atas faktor kuatnya
kemahuan politik dalam isu ini. Ini ditambah lagi dengan gerakan anti Islam yang
diketuai oleh ahli politik Belanda bernama Geert Wilders yang memusuhi Islam atas
dasar populariti dan politik. Walaubagaimanapun, Daneil Streich akhirnya telah memeluk
Islam dan kini merupakan aktivis Muslim yang terkehadapan di Switzerland.

2.3.4 Struktur

Manifestasi struktur merujuk kepada diskriminasi atas sebab Islamofobia dalam pelbagai
sektor seperti masalah dalam mendapat keperluan asas, peluang pekerjaan, tempat
tinggal, penjagaan kesihatan dan pendidikan. Banyak insiden yang berlaku menunjukkan
situasi Islamofobia berstruktur ini semakin meningkat. Sebagai contoh, kes BBC
mengenai perlantikan seorang Muslim yang dianggap ‘penghinaan’ bagi orang Kristian.
Di Itali, wanita muslim yang bekerja sebagai pencuci dianggap sebagai satu ‘ancaman
keselamatan’. Lebih berat lagi, di Jerman, ada doktor yang enggan merawat seorang
remaja Muslim yang bernama Jihad. Begitu juga di Kanada apabila pelajar muslimah di
Kanada telah dibuang sekolah hanya kerana tidak mahu menanggalkan tudung. Kes-kes
ini membuktikan bahawa Islamofobia ini telah memberikan kesan kepada kehidupan
umat Islam dalam pelbagai bentuk khsususnya di negara majoriti bukan Islam.

2.3.5 Manifestasi Protes dan Keganasan

Kebencian terhadap Islam juga diterjemahkan dalam bentuk protes dan lebih teruk lagi
keganasan atau jenayah. Penerbitan kartun yang menghina Nabi Muhammad oleh Kurt
Westergaard di Denmark membuktikan Islamofobia yang dizahirkan melalui kartun.
Peristiwa membakar al-Quran sepanjang 9 bulan dari September 2010 hingga April 2011
di Amerika termasuk kempen untuk membakar al-Quran oleh Pastor Terry Jones
menunjukkan manifestasi protes kesan daripada Islamofobia. Bahkan keganasan juga
berlaku di mana ada Muslim yang di tembak di Amerika setelah menunaikan solat
Jumaat, di Nevada, polis menahan Muslim yang menunaikan solat di tempat letak kereta
dan peristiwa pembunuhan kejam Marwa El Sharbini di dalam Mahkamah di Dresden,
Jerman akibat daripada perasaan benci yang tidak berasas kepada Islam.

3.0 Islamofobia: Antara Persepsi dan Realiti

Persepsi adalah suatu perkara yang dibentuk melalui fakta yang kadangkala sahih dan ada
yang tidak tepat. Sekiranya persepsi itu dibentuk melalui fakta yang tidak benar, sudah
pastilah persepsi itu akan menimbulkan kesan yang sangat negatif kepada sesuatu
perkara. Dalam erti kata lain persepsi tidak semestinya melambangkan realiti dan kerap
kali realiti itu tidak diendahkan atau diabaikan oleh kerana persepsi yang terbina melalui
fantasi.

3.1 Antara Persepsi dan Realiti


Islamofobia pada hakikatnya terbina melalui pembentukan persepsi berdasarkan kepada
fakta yang tidak tepat atau kurang lengkap. Ditambah dengan propaganda dan gerakan
memburukkan imej Islam termasuk sikap dan tindakan segelintir Muslim juga telah
meningkatkan persepsi negatif terhadap Islam. Sekiranya dirujuk kepada kajian, laporan
dan maklumat mengenai keganasan dan jenayah, persepsi umum mengatakan bahawa
Muslim sinonim dengan ’terrorism’ adalah tidak tepat. Fakta membuktikan bahawa
keganasan dilakukan juga oleh penganut agama lain. Sebagai bukti, artikel ini merujuk
kepada data dimiliki Federal Bureau Investigation, United States mengenai serangan
pengganas di Amerika sepanjang 1980-2005.

Fakta oleh FBI ini mengesahkan bahawa serangan pengganas di Amerika didominasi oleh
golongan ’Latino’ atau pengganas daripada Amerika Selatan seperti Mexico, Colombia
dan lain-lain iaitu 42% diikuti oleh ’Extreme Left Wing Groups’ 24% dan lain-lain 16%.
Bahkan pengganas yahudi mewakili 7% yang menunjukkan golongan yahudi adalah lebih
ramai melakukan keganasan berbanding Muslim. Data ini secara jelas membuktikan
bahawa diskriminasi dan fenomena Islamofobia yang berlaku di dunia ini hanyalah
berdasarkan persepsi dan bukan realiti. Bahkan Muslim hanya mewakili kelompok kecil
pengganas dan tidak signifikan berbanding dengan pengganas yang lain. Berdasarkan
fakta ini juga membuktikan bahawa persepsi mengatakan bahawa Islam mempromosi
keganasan dan sinonim dengan jenayah awam adalah tidak tepat serta sangat berlawanan
dengan fakta dan realiti.

3.2.1 Diskriminasi dan Perasaan Prejudis

Menurut kajian oleh ’The Pew Forum on Religion and Public Life’ mengenai Islamofobia
di Amerika, fenomena diskriminasi terhadap Muslim adalah tinggi. Didapati bahawa
enam daripada sepuluh iaitu (58%) bersetuju mengatakan bahawa diskriminasi terhadap
Muslim mempunyai kebarangkalian yang amat tinggi. Ini disahkan oleh kajian yang
dijalankan oleh USA Today Gallup Poll dan mendapati bahawa rakyat Amerika mengakui
mempunyai prejudis kepada Muslim iaitu kira-kira empat daripada sepuluh (39%).

4.0 Faktor Islamofobia


Kajian dilakukan oleh Henk Dekker dan Jolanda van der Noll bertajuk ’Islamophobia and
Its Origins: A study Among Dutch Youth’ terhadap 580 remaja di Belanda pada 2006
telah mengesahkan bahawa 54% daripada responden mempunyai pandangan negatif
tentang Islam dan Muslim. Antara rumusan penting kajian ini ialah kesimpulan yang
dibuat mengenai faktor-faktor Islamofobia. Kajian ini mengesahkan bahawa terdapat
faktor luaran dan dalaman yang membina persepsi negatif bukan Islam dan seterusnya
meningkatkan rasa kebimbangan atau kebencian mereka terhadap Islam atau umat Islam.

4.1 Faktor Luaran

4.1.1 Penghijrahan

Penghijrahan orang Islam ke negara majoriti bukan Islam merupakan antara faktor
terjadinya Islamofobia. Faktor kemunduran ekonomi dan masalah kesempitan hidup
menyebabkan ramai umat Islam berhijrah ke negara maju. Situasi ini menyebabkan
persaingan peluang pekerjaan kepada rakyat negara itu dan juga menggugat taraf
ekonomi mereka. Terdapat juga segelintir umat Islam yang berhijrah ini melakukan
pelbagai jenayah dan tidak menghormati budaya negara itu. Ini adalah antara faktor
menyebabkan masyarakat negara itu memandang serong kepada orang Islam dan melihat
imej Islam sebagai sesuatu yang negatif.

4.1.2 Kurang Ilmu Pengetahuan dan Pendedahan

Kejahilan dan kurang pengetahuan orang bukan Islam juga dilihat antara punca
Islamofobia. Sistem pendidikan sedia ada tidak mempunyai aspek khusus untuk
mendedahkan masyarakat dengan sebarang ajaran Islam. Dengan kurangnya ilmu
pengetahuan dan tiadanya pendedahan terhadap ajaran Islam di peringkat rendah dan
tinggi, Islam akhirnya dilihat sebagai sesuatu yang menggugat gaya hidup dan ganas
termasuk mempromosi ketidakadilan terutamanya apabia ianya melibatkan hak-hak
wanita.

4.1.3 Prejudis dan Kesan Serangan Menara Pusat Perdagangan New York
Serangan menara Pusat Perdagangan Dunia pada 11 September 2001 merupakan pencetus
dan kemuncak kepada Islamofobia. Mulai dari tarikh ini, Islam telah dijenamakan dengan
keganasan dan masyarakat dunia sudah mempunyai persepsi umum bahawa Islam dan
keganasan adalah sinonim. Kesan daripada peristiwa ini masyarakat dunia mula
berprejudis kepada umat Islam. Ini ditambah lagi dengan siri pengeboman yang berlaku
di seluruh dunia seperti di Madrid, di London dan malangnya jenayah ini sering kali
dikaitkan dengan Islam. Sebagai contoh, peristiwa pengeboman di Oslo pada 22 Julai
2011 yang mengorbankan lapan nyawa dan beberapa jam selepas itu pembunuhan
beramai-ramai 69 remaja di Utoya Island, Norway. Sejurus selepas pengeboman dan
pembunuhan ini, akhbar-akhbar utama dunia seperti Washington Post, New York Times
dan lain-lain telah mengesyaki bahawa penjenayah terbabit adalah Muslim sedangkan
beliau ialah penganut Kristian Konservatif yang bernama Aders Breivik. Peristiwa ini
menunjukkan betapa prejudisnya masyarakat barat terhadap Islam sehinggakan sebarang
keganasan akan dikaitkan dengan Islam atau umat Islam.

4.1.4 Pengaruh Media dan Gerakan Islamofobia

Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa media mempunyai pengaruh yang sangat
kuat membentuk persepsi masyarakat. Media yang dikuasai oleh pihak yang prejudis
kepada Islam sudah pasti akan menggunakan saluran ini untuk menanamkan perasaan
kebimbangan dan kebencian kepada Islam. Ini ditambah lagi dengan gerakan Islamofobia
yang mendapat pembiayaan yang lumayan oleh pihak-pihak tertentu. ’The Center for
American Progress’ melaporkan terdapat tujuh yayasan yang telah membayar sebanyak
USD42 juta untuk menanamkan ketakutan dan kebimbangan serta kebencian kepada
Muslim di Amerika. Di antara badan yang membiayai gerakan Islamofobia ini ialah
‘Donors Capital Fund’, ‘Richard Mellon Scaife Foundations’, ‘Lynde and Harry Bradley
Foundation’, ‘Newton D. dan Rochelle F. Becker Foundations’ and ‘Charitable Trust’,
’Russell Berrie Foundation’, ’Anchorage Charitable Fund’, ’William Rosenwald Family
Fund’ and ’Fairbrook Foundation’. Dilaporkan juga bahawa Salman Rushdie telah
dibayar sejumlah 850 ribu pound sterling untuk menghasilkan buku ‘Satanic Verses’ yang
diterbitkan oleh penerbitan Viking.
4.2 Faktor Dalaman

Berbanding faktor luaran, faktor dalaman merujuk kepada Islamofobia yang berpunca
daripada sikap, amalan, budaya, perlakuan umat Islam itu sendiri. Kelemahan dan
kesilapan serta keganasan yang dilakukan segelintir umat Islam juga telah menyebabkan
persepsi masyarakat yang serong terhadap Islam.

4.2.1 Kelemahan Penyebaran Maklumat

Di antara punca berlakunya Islamofobia ialah kelemahan dan kurang penyebaran


maklumat mengenai Islam. Media-media kebanyakannya dimiliki oleh bukan Islam dan
sering kali Islam ini diberikan liputan yang negatif. Didapati juga media tidak
mempunyai maklumat yang tepat mengenai keganasan oleh gerakan agama yang lain
bahkan tiada data yang lengkap negara Islam yang menjadi mangsa keganasan akibat
daripada Islamofobia. Media yang dimiliki institusi Islam pula pada hakikatnya adalah
kurang efisyen dan kurang berjaya menampilkan program-program yang mampu
memperbetulkan persepsi negatif masyarakat terhadap Islam.

5.0 Islamofobia di Malaysia

Walaupun Malaysia merupakan negara Islam yang majoriti penduduknya adalah Islam,
Islamofobia juga berlaku dikalangan masyarakat. Ini membuktikan Islamofobia ini boleh
subur di mana-mana selagi mana ianya tidak diatasi dan dibendung dengan program yang
berkesan.

5.1 Manifestasi Islamofobia di Malaysia

Manifestasi Islamofobia di Malaysia berlaku dalam pelbagai bentuk. Umpamanya, parti


DAP dalam keadaan bekerjasama dengan parti PAS masih tetap tidak bersetuju dengan
perlaksanaan hukum hudud. Ini ditambah dengan kenyataan keras Dato’ Seri Chua Soi
Lek yang terang-terangan telah menghina undang-undang Islam. Dilaporkan juga
terdapat segelintir pihak termasuk pimpinan agama lain yang menghina Islam seperti
anggapan undang-undang Islam terlampau bodoh dan kuno dan sebagainya. Beberapa
akhbar harian juga ada yang menerbitkan gambar yang sensitif kepada umat Islam seperti
masakan babi dalam ‘Ramadhan Delights’ di akhbar ’the Star’. Didapati juga kes-kes
melibatkan penghinaan terhadap Islam lebih-lebih lagi melalui laman sosial seperti
’Facebook’ dan ’Twitter’ yang semakin hari semakin menjadi-jadi. Manifestasi
Islamofobia di Malaysia ini ada juga dizahirkan dalam bentuk yang lain iaitu dengan
menafikan hak berpakaian muslim dalam pertandingan renang di sebuah kompleks sukan
di Selangor. Kes yang melibatkan kakitangan sebuah hotel terkemuka yang ditamatkan
perkhidmatan kerana memakai tudung juga antara insiden yang boleh diklasifikasikan
sebagai Islamofobia.

5.2 Faktor Islamofobia di Malaysia

5.2.1 Media

Peranan media di Malaysia sudah pasti menjadi salah satu punca berkembangnya
fenomena Islamofobia. Gambaran negatif dan salah terhadap Islam seperti liputan
larangan memasuki masjid oleh bukan Islam, bantahan bukan Islam membaca ayat al-
Quran di dalam perucapan umum, kes memijak kepala lembu dan lain-lain telah
menyuburkan lagi Islamofobia di Malaysia. Media juga kerap memaparkan insiden-
insiden keganasan yang dilakukan orang Islam tanpa mengimbangkannya dengan jenayah
bukan Islam. Media secara umumnya masih tidak dapat memainkan peranannya untuk
membetulkan persepsi Islamofobia ini. Bahkan kerap kali media ini menayangkan
program-program termasuk filem dan drama yang menimbulkan kekeliruan terhadap
Islam.

5.2.2 Kurang Keberkesanan Institusi Agama

Umum sudah sedia maklum bahawa Malaysia menikmati kelebihan untuk menegakkan
syiar Islam memandangkan banyaknya institusi agama yang ada untuk menjalankan
dakwah ini. Bukan itu sahaja, institusi agama di negeri-negeri dan kerajaan persekutuan
juga mempunyai kuasa dan bajet yang amat besar untuk dakwah Islam. Berdasarkan fakta
ini sudah pastinya sepatutnya fenomena Islamofobia tidak akan berkembang dan
mendapat tempat di negara ini sekiranya institusi Islam ini telah memainkan peranannya
secara efisyen.

Namun demikian, apa yang berlaku ialah sebaliknya. Dalam keadaan ruang lingkup
undang-undang dan peruntukan yang tinggi untuk Islam, fenomena Islamofobia ini masih
berleluasa dan malahan semakin menyubur di negara ini. Kenyataan menghina undang-
undang Islam, mempersoalkan institusi fatwa, memperleceh amalan ibadah umat Islam
dan sebagainya membuktikan bahawa terdapat kelemahan yang amat ketara ada pada
institusi Islam ini. Oleh itu, institusi Islam ini perlu melakukan transformasi segera demi
memastikan peranan dan tanggungjawab terhadap Islam dapat dilaksanakan dengan
berhikmah dan berkesan.

5.2.3 Kemahuan Politik

Oleh kerana Malaysia ini majoriti penduduknya beragama Islam, maka perhatian kurang
diberikan bagi menangani Islamofobia. Ini ditambah pula dengan kurangnya kemahuan
politik dan komitmen di mana ianya menafikan keperluan menangani isu Islamofobia.
Sekiranya kemahuan politik itu ada dan mempunyai momentum yang kuat, sudah pasti
pelbagai program ke arah membetulkan persepsi negatif terhadap Islam dalam konteks
Islamofobia ini akan diadakan di seluruh negara. Sebagai contoh, dialog dan diskusi
ilmiah menangani isu Islamofobia termasuk aspek toleransi agama adalah sangat kurang
di Malaysia. Sekiranya ada, forum dan dialog ini hanya dipelopori golongan tertentu dan
tidak sampai ke akar umbi. Memandangkan Islamofobia ini tidak menjadi isu utama
kebanyakan ahli politik dan tiada inisiatif untuk mengatasinya, fenomena Islamofobia ini
dijangka akan terus berkembang dan seterusnya mampu memberikan kesan yang agak
signifikan kepada umat Islam.

5.2.4 Salah Faham Syariah


Secara umumnya, masyarakat di Malaysia masih tidak mempunyai kefahaman yang baik
tentang Islam. Ini bukan sahaja berlaku di kalangan orang bukan Islam bahkan terjadi
pada Muslim juga. Aspek yang sering disalahfaham tentang Islam ialah berkenaan
dengan undang-undang hudud, pewarisan dan hak-hak wanita. Salah anggapan terhadap
beberapa prinsip Shariah seperti faraid atau pewarisan menyebabkan ramai yang bimbang
dan cuba mempertikai ajaran Islam. Perkara ini juga boleh membina persepsi negatif
orang bukan Islam terhadap kepercayaan dan amalan fiqh yang terima dan diamalkan
oleh umat Islam. Di samping itu, isu kedudukan wanita dalam Islam yang dilihat oleh
orang bukan Islam sebagai menindas juga menjadi faktor Islamofobia di Malaysia.

6.0 Inisiatif Membasmi Islamofobia

Seiring dengan perkembangan Islamofobia yang semakin meningkat di serata dunia, telah
terdapat pelbagai inisiatif yang dilaksanakan dari segenap peringkat ke arah menangani
isu ini. Program dan aktiviti yang dirancang dan diimplementasi ini merangkumi inisiatif
yang dijalankan oleh masyarakat sivil, institusi, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu,
Pertubuhan Negara Islam dan Malaysia sendiri.

6.1 Masyarakat Sivil

Gerakan menangani Islamofobia ini telah giat dijalankan di seluruh dunia. Pelbagai
aktiviti, kempen, forum, dialog dan penerbitan risalah ilmiah telah dilaksanakan secara
sistematik dan berterusan. Terdapat beberapa organisasi dan institusi yang aktif
menjalankan usaha ini antaranya Forum Against Islamophobia and Racism, the National
Association of Muslim Police, Islamic Human Rights Commission di UK, the Council on
American-Islamic Relations di Amerika, European Muslim Initiative for Social Cohesion
di Denmark dan Perancis, Jewish-Muslim Cooperation Platform di Belgium, Austrian
Muslim Initiative di Austria, Collectif Contre l’Islamophobie en France di Perancis,
Ethnic Debate Forum and Fair Play di Denmark, , Western Thrace Minority University
Graduates Association di Greece, Muslim Community of Bulgaria, Muslim Committee
on Human Rights di Kazakhstan dan Federation of Western Thrace Turks in Europe di
Jerman. Gerakan menangani dan memantau Islamofobia ini giat menjalankan aktiviti dan
advokasi di seluruh dunia.

6.2 Peringkat Institusi

Terdapat juga di beberapa Negara yang memberikan reaksi positif terhadap fenomena
Islamofobia. Ada beberapa Negara yang telah mengambil inisiatif dalam bentuk undang-
undang dan polisi yang menyabitkan kesalahan berkaitan diskriminasi akibat
Islamofobia. Umpamanya Ireland telah meluluskan undang-undang di mana sesiapa yang
mengkritik mana-mana agama dikenakan hukuman denda sehingga 25,000 Euro. Senat
Negara Republic Czech dan Britain telah mengharamkan kemunculan ahli politik
Belanda iaitu Geert Wilders yang menjadi dalang dan pelopor Islamofobia. Mahkamah di
Denmark telah mengenakan bayaran kepada seorang lelaki yang menggantung poster anti
Islam. Hukuman juga dijatuhkan oleh pihak mahkamah di Belanda kerana menghina
umat Islam. Mahkamah di Perancis juga telah mengharamkan risalah-risalah anti Islam
dan apa-apa yang bertujuan menghasut masyarakat membenci Islam.

6.3 Pertubuhan Negara Islam

Setelah melihat kepada seriusnya kesan Islamofobia kepada umat Islam dan Negara
Islam, Pertubuhan Negara-Negara Islam telah bersetuju untuk menubuhkan badan khas
untuk memantau dan menangani isu ini. Semua negara-negara Islam telah bersetuju untuk
menubuhkan “OIC Islamofobia Observatory’ secara rasmi pada 2007. Melalui penubuhan
OIC Islamophobia Observatory’ sebanyak 4 laporan yang komprehensif telah dikeluarkan
iaitu ‘the First Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory May 2007 to
May 2008’, ‘the Second Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory June
2008 to April 2009’, ‘the Third Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory
May 2009 to April 2010’ dan ‘the Fourth Annual Report on Islamophobia by the OIC
Observatory June 2008 to April 2009 May 2010 to April 2011’. Kesemua laporan ini
telah menyediakan fakta dan maklumat yang terperinci mengenai kes-kes Islamofobia
yang berlaku di seluruh dunia. Laporan ini juga memaparkan segala aktiviti dan program
yang telah dilaksanakan bagi menangani Islamofobia.
6.4 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu

Inisiatif Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam isu diskriminasi atas faktor agama
telah pun dimulakan sejak 2001 iaitu semasa ‘Durban World Conference on Racism,
Racial Discrimination, Xenophobia, and Related Intolerance’. Atas faktor lobi
Pertubuhan Negara-Negara Islam melalui ‘OIC Islamophobia Observatory’, ‘United
Nation Human Rights Council’ akhirnya telah membuat resolusi menyokong usaha-usaha
menangani isu Islamofobia ini. Sebagai contoh, ‘the Ministerial meeting at the 62nd
Session of the UN General Assembly on October 4-5, 2007’ di New York yang
membincangkan topik ‘the High-Level Dialogue on Inter-religious and Intercultural
Understanding and Cooperation for Peace’ telah mengeluarkan resolusi iaitu ‘the UN
Resolution on Combating Defamation of Religions: Human Rights Council Resolution
7/19. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah melantik ‘Special Rapporteur on
contemporary forms of racism, racial discrimination, xenophobia and related intolerance’
yang bertanggungjawab secara khusus menangani isu diskriminasi etnik termasuk

8.0 Kesimpulan

Islamofobia bukanlah fenomena baru di alaf ini. Islamofobia telah lama berlaku sejak
zaman awal perkembangan Islam di mana pada waktu itu Islam dipandang sebagai
sesuatu ajaran yang asing bagi penduduk Mekah. Fakta ini disokong oleh sepotong hadis
Rasullulah Sallallahualaihiwasallam diriwayatkan Abu Hurairah yang bermaksud:

“Islam bermula sebagai (sesuatu yang) asing dan akan kembali menjadi (sesuatu yang)
asing seperti awalnya. Maka berbahagialah orang-orang yang asing itu”. (Sahih Muslim,
Hadis 145, Bab Iman)

Hadis ini secara jelas membuktikan bahawa Islam juga akan digambarkan dengan
pelbagai perkara yang negatif sepertimana ianya terjadi ketika awal dakwah Rasulullah.
Persepsi melihat Islam sebagai ajaran yang asing dan tidak sesuai dengan budaya, hak
asasi manusia dan nilai-nilai murni adalah perkara yang telah dijangkakan oleh
Rasulullah. Hadis ini memberikan tanggungjawab kepada umat Islam untuk berusaha
memperbetulkan persepsi ini dan seterusnya meletakkan Islam itu di tempat yang
sepatutnya serta difahami oleh masyarakat.

Berdasarkan kepada manifestasi dan implikasi Islamofobia kepada kehidupan, mental,


fizikal dan sosio ekonomi umat Islam, usaha-usaha ke arah menangani isu ini perlu
digembleng secara berhikmah dan berterusan. Inisiatif bersepadu melalui kerjasama di
setiap peringkat menerusi jaringan kerja yang mantap akan dapat memastikan usaha
mengatasi Islamofobia dapat dicapai. Segala gerakan, usaha, inisiatif dan program ini
merupakan salah satu cabang jihad demi menegakkan Islam di muka bumi ini. Bagi
memastikan setiap usaha dakwah ini mencapai matlamatnya, istiqamah, iltizam dan itqan
merupakan konsep yang sewajarnya dijadikan teras utama.

Bibliografi

Allen, C. (2007). Islamophobia. London: Ashgate.

Allen, C. (2001). Islamophobia in the Media Since September 11th. Working Paper for a
Conference on Exploring Islamophobia, Deepening Our Understanding of Islam and
Muslims. 29th May 2009, University of Westminster, London.

Allen, C. (2001). An Overview of Key Islamophobia Research. London: National


Association of Muslim Police.

Bunzl, Matti (2007) Anti-semitism and Islamophobia: Hatreds Old and New in Europe.
Chicago: Prickly Paradigm Press.

Doudou Denien. (2006). International Service for Human Right’s summaries of


documents for the UN Commission on Human Rights in the 62nd Session and Human
Rights Council 2nd Session on Contemporary Forms of Racism, Racial Ddiscrimination,
Xenophobiaand Related Intolerance. Geneva: UNHCR.

Edvaarson, L. (2008). Islamophobia, Features of Islamophobia and Strategies Against It.


Malmo: Malmo University.
Esposito, L, John. (1999) The Islamic Threat – Myth or Reality? New York: Oxford
University Press.

Esposito, L. John. and Mogahed, Dalia. (2001). Who Speaks for Islam? What a Billion
Muslims Think. New York: Gallup Press.

Esposito, L. John and Ibrahim Kalin. (2010). Islamophobia:The Challenge of Pluralism in


the 21st Century. Oxford: Oxford University Press.

Faliq, A. (Ed.). (2010). Islamophobia and Anti-Muslim Hatred: Causes and Remedies.
The Arches, 4 (7).

Henk Dekker and Jolanda van der Noll. (2009). Islamophobia and Its Origins A Study
Among Dutch Youth. Leiden: Leiden University.

Ingrid Ramberg. (2004). Islamophobia and Its Consequences on Young People, Seminar
Report. Hungary: Council of Europe.

Instead. (2004). Commission on British Muslims and Islamophobia. London: Instead.

Lambert, R. and Jonathan, Githens-mazer. (2010). Islamophobia and Anti-Muslim Hate


Crime: UK Case Studies. Exeter: Exeter University Press.

Liz Fikete. (2008). Integration, Islamophobia and Civil Rights in Europe. London:
Institute of Race Relation.

The Pew Forum on Religion and Public Life (2009). Views of Religious Similarities and
Differences: Muslims Widely Seen as Facing Discrimination.

The First Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory May 2007 to May
2008.
The Second Annual Report on Islamophfobia by the OIC Observatory June 2008 to April
2009.

The Third Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory May 2009 to April
2010.

The Fourth Annual Report on Islamophobia by the OIC Observatory May 2010 to April
2011.

The Runnymede Trust. (2011) Islamophobia:A Challenge For All of Us. London:
Runnymede.

Zaki, Yacub. (2011). The Politics of Islamophobia. Talas, Turki: ERUSAM.

Anda mungkin juga menyukai