Anda di halaman 1dari 4

KUALITI GURU DALAM MENGHADAPI CABARAN

CIRI DAN KUALITI GURU DALAM MENGHADAPI CABARAN MASA KINI

Menjadi guru biasa kini tidaklah semudah yang disangka. Cabaran tugas dan tanggungjawab
yang diletakkan di bahu guru-guru kini ternyata amat berat. Pendidikan yang menjadi teras
pembentukan mana-mana generasi turut terpanggil dan terheret untuk menangani cabaran era
globalisasi. Acuan pendidikan yang tepat dan bersesuaian amat penting bagi menentukan hala
tuju pembinaan tamadun manusia dan negara di Malaysia khususnya umat Islam.

Menurut Kamus Dewan global bermaksud dunia seluruhnya. Manakala , globalisasi membawa
maksud menjadi atau menuju ke arah kesejagatan. Ayat yang sering kita dengar kini adalah
“dunia tanpa sempadan”. Fenomena globalisasi ini berlaku di seluruh dunia dan memberi kesan
kepada semua negara dalam pelbagai aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, politik,
budaya dan pendidikan.

Proses globalisasi dianggap sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan sesiapa yang tidak
turut serta akan ketinggalan. Proses globalisasi ini berlaku dalam tiga bentuk utama iaitu
teknologi, ekonomi dan ideologi. Ketiga-tiga bentuk ini saling berkaitan antara satu sama lain dan
mempunyai hubungan secara langsung dengan dunia pendidikanCabaran globalisasi dan
liberalisasi menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan bagi melahirkan warganegara
‘glokal’ yang bertindak bijak menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan
local atau tempatan.

Falsafah Pendidikan Negara telah menggariskan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu
usaha yang berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh
dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani,
emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. Usaha ini adalah
usaha untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi
sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara

Namun perlaksanaan terhadap konsep kesepaduan dalam pendidikan ini masih kabur dalam
usaha mencapai matlamat melahirkan individu yang seimbang. Ini dapat dilihat pada arus
pembangunan dan teknologi yang berlaku tidak seiring dengan objektif Falsafah Pendidikan
Negara (FPN) yang menuntut tindakan yang bersepadu dalam kehidupan masyarakat dan
pembangunan nasional. Cita-cita materialistik dan duniawi yang menghantui pemikiran
masyarakat menyebabkan perlaksanaan FPN dalam sistem pendidikan tidak terlaksana dengan
berkesan bahkan nilai-nilai murni dan didikan agama dan moral sebenarnya tidak dianggap suatu
yang utama. Penghayatan terhadap nilai-nilai agama dan moral hanya suatu teori yang tertulis
sahaja. Proses pengajaran dan pembelajaran tertumpu kepada proses kognitif yang dikira
penting untuk menghadapi peperiksaan dan bernilai komersil untuk masa depan pelajar.

Untuk menanggani cabaran-cabaran yang dihadapi tersebut, seseorang guru itu perlulah
mempunyai ciri dan kualiti yang profesional sesuai dengan peroses globalisasi ini. Cabaran guru
untuk merealisasikan Misi Kementerian Pendidikan, khasnya meningkatkan kualiti sekolah ialah
guru haruslah sentiasa berusaha meningkatkan taraf professional melalui latihan dalam
perkhidmatan, perlaksanaan penyelidikan tindakan secara kolaborasi, membuat refleksi kendiri,
memupuk budaya ilmu, menambah ilmu dan kemahiran melalui e-pembelajaran dan
mengaplikasikan pengetahuan dan kemahiran yang terkini untuk merancang serta melaksanakan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran dengan berkesan.

Dari segi pengajaran yang efektif dalam sekolah berkualiti pula, bergantung kepada perlakuan
mengajar guru dalam proses perancangan, pelaksanaan dan penilaian. Keberkesanan
pengajaran boleh berlaku apabila guru telah merancang sesuatu program mengajar mengikut
prinsip mengajar.pengajaran efektif mempunyai objektif pelajaran eksplisit yang ditentukan
berdasarkan sukatan pelajaran serta kebolehan murid-murid. Selain itu melaksankannya dengan
cekap dan berjaya menggunakan teknik mengajar yang sesuai. Strategi dan kaedah mengajar
yang digunakan adalah sesuai dan cerdas diberikan aktiviti pengayaan, manakala murid-murid
yang lambat dibimbing dengan aktiviti pemulihan. Keberkesanan pengajaran ini dapat dilihat
apabila guru menggunakan teknik penilaian terhadap aktiviti pengajaran dan pembelajaran di
dalam bilik darjah.

Seorang guru berkualiti juga perlu mempertingkatkan Profesionalisme. Guru harus sedar tentang
tugas dan amanah yang dipikul untuk mendidik generasi yang akan mencapai wawasan negara.
Kemahiran dan pengetahuan dalam aspek pendidikan perlu dikemaskini. Berusaha mengaplikasi
kaedah- kaedah pengajaran dan pendidikan terkini. Guru perlu menyambut baik dengan
mengikuti kursus-kursus pendidikan yang dianjurkan oleh pihak-pihak berwajib agar dapat
mempertingkatkan keupayaan, ketahanan dan prestasi bagi mendepani cabaran yang semakin
kompleks ini. Dengan ini suatu anjakan paradigma dapat dilakukan oleh para pendidik.
Perkara yang paling penting bagi guru zaman globalsasi ini ialah meningkatkan kemahiran Dalam
Penggunaan ICT. Bidang perguruan sentiasa berkembang dan berubah sejajar dengan
perubahan zaman. Perkembangan global dengan teknologi telekomunikasi dan internet menuntut
banyak cabaran kepada pendidik untuk mencapai Misi Nasional. Para guru mesti bersikap
proaktif dan terangsang dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih ini. Ilmu ICT
mesti terlebih dahulu dapat dikuasai oleh para pendidik sebagai melengkapkan diri dengan
kemahiran terkini bagi menyempurnakan penubuhan sekolah bestari yang berteraskan
penggunaan komputer sebagai satu bentuk kurikulum wawasan negara Malaysia untuk
menjadikan negara maju menjelang 2020. Guru juga harus memperlengkapkan diri secara global
kerana dalam era teknologi maklumat masa kini masyarakat terpaksa berdepan dengan pelbagai
peralatan elektronik dalam kehidupan harian sebagai cara hidup moden. Pembestarian sekolah
seperti projek Sekolah Bestari dan SchoolNet, hendaklah dihargai oleh guru dengan
menggunakan segala kemudahan semaksima mungkin.

Selain itu juga seorang guru perlulah berpengetahuan, berdaya Fikir dan berakhlak. Guru yang
berpengetahuan perlu serba tahu dengan menambah pembacaan untuk peningkatan ilmu serta
dapat membawa isu-isu semasa untuk dibincang dan mencari penyelesaian. Isu-isu semasa
berkaitan dengan kekeluargaan dan komuniti, ekonomi dan sebagainya. Guru yang
berpengetahuan dapat melahirkan generasi anak didik yang cemerlang di kemudian hari. Dalam
perubahan sistem pendidikan yang semakin mencabar ini, profesion perguruan perlu
menyediakan diri dengan amalan nilai murni dan akhlak yang terpuji. Dalam kurikulum pendidikan
ditegaskan nilai-nilai murni yang perlu diserapkan kepada pelajar dalam pengajaran. Penerapan
nilai murni ini penting untuk menyediakan para pelajar menjadi warga yang berguna kepada
bangsa dan negara.

Di samping itu, guru juga mestilah berupaya membuat keputusan,menyelesai masalah serta
berfikiran kritis dan kreatif. Para pendidik juga mesti sedar bahawa profesion mereka bukan
sahaja mengajar tetapi terlibat sebagai pentadbir, pengurus, perancang, pelaksana, penilai,
penyelia, pengawal dan sebagainya.

Tanggungjawab merupakan suatu perkara yang amat penting untuk membimbing pelajar bagi
mencapai kemajuan dan wawasan, para guru perlu melaksanakan tanggungjawab terhadap
terhadap pelajar seperti mengutamakan kebajikan dan keselamatan pelajar, bersikap adil,
memupuk nilai murni. Tanggungjawab terhadap ibu bapa juga penting seperti seperti
mewujudkan hubungan mesra, menghormati mereka, tidak dipengaruhi oleh kedudukan sosial
dan ekonomi mereka dan memberi maklumat kepada mereka untuk kepentingan anak-anak
mereka. Seterusnya tanggungjawab terhadap masyarakat dan negara seperti mengelak dari
menyebar perkara negatif, menghormati masyarakat setempat serta menggalakkan kerjasama
dan persefahaman. Dan akhirnya tanggungjawab terhadap rakan sejawat dan profesion seperti
mengelak dari membuat kenyataan negatif, tidak melibat diri dalam kegiatan yang menjejaskan
kepercayaan masyarakat serta membantu rakan sejawat.

Kesimpulannya, peranan guru sangat penting dalam membentuk modal insan cemerlang. Oleh
itu, reformasi pendidikan memainkan peranan yang penting untuk melahirkan Wawasan 2020
supaya menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan kecemerlangan pendidikan dalam
erti kata yang sebenar

Anda mungkin juga menyukai