Anda di halaman 1dari 2

Minggu Praktikum : 1

Tarikh : 14 Februari 2019


Hari : Khamis
Tajuk Jurnal : Murid kurang keyakinan diri

1. Isu Yang Difokuskan :

Sepanjang minggu ini saya berdepan dengan pelbagai gelagat murid-murid yang agak merisaukan.
Antaranya adalah masalah yang berkaitan dengan tindakbalas sebahagian murid semasa sesi pengajaran
dan pemudahcaraan (PdPC). Permasalahannya adalah agak sukar bagi saya mendapatkan murid secara
sukarela untuk memberikan pandangan dan pendapat masing-masing terhadap sesuatu soalan atau
pertanyaan. Sebaliknya, apa yang berlaku biasanya adalah kebanyakan murid akan mula menundukkan
kepala atau menuding jari ke arah murid-murid lain dan menyebut nama rakan mereka apabila diminta
mengutarakan pendapat.

Selain itu, terdapat sebahagian murid apabila diminta untuk tampil ke hadapan kelas bagi
menyampaikan atau memberikan pandangan, mereka hanya berdiam diri dan mengatakan “tidak tahu”.
Tambahan itu juga, terdapat beberapa orang murid yang sudah memberikan pandangan masing-masing,
namum begitu apabila guru meminta murid untuk mengulang sebut tentang pandangan mereka buat kali
kedua, mereka terus menyatakan “tiada” dan “tidak tahu”.

2. Analisis Isu Yang Difokuskan (Punca dan Kesan Isu) :

Berdasarkan pemerhatian saya, antara punca utama isu ini berlaku adalah kerana kurangnya
keyakinan diri yang ada pada diri murid-murid dan bimbang diketawakan oleh orang lain. Oleh kerana
mereka akan menjadi tumpuan seluruh kelas, maka apa yang dilakukan akan menjadi tontonan umum.
Sekiranya ada kesalahan atau ada yang tidak kena, pasti akan ditertawakan.

Justeru itu, saya telah berbincang bersama rakan guru yang lain tentang kesan yang bakal wujud
sekiranya isu ini tidak diatasi. Antaranya adalah akan lahir generasi yang kurang berdaya saing dan tidak
mempunyai pemikiran yang kreatif dan kritis dalam mengendalikan masalah. Disamping itu, pada masa
hadapan mereka juga mungkin tidak berani membuat perubahan menyebabkan Negara tidak mampu
menghasilkan tenaga kerja yang inovatif dan dinamik. Oleh hal yang demikian, sekiranya isu ini diatasi
maka dapat melahirkan generasi yang berdaya tahan tinggi serta tenaga kerja yang profesional serta
berkualiti di masa hadapan.

3. Kajian Lampau (Literature Review) Terhadap Isu (Pengalaman atau Kajian Lepas) :

Menurut Teori Psikososial Erikson dalam Mok Soon Sang (2013), pada usia 12 - 17 tahun murid
mengalami fasa lawan rasa rendah diri. Bagi membantu murid menguasai kemahiran bercakap di khalayak,
guru perlu memberi bimbingan dan galakan supaya murid tidak berasa rendah diri dalam pencapaian
akademik kelak bahkan dalam hubungan sosial dengan individu lain di persekitaran mereka.

4. Cadangan dan Idea Penyelesaian Masalah :

Setelah menganalis masalah di atas, antara cadangan dan idea untuk menyelesaikan isu ini ialah
guru boleh bergerak ke tempat di mana murid tersebut duduk dan mengiringinya bergerak ke hadapan
sambil mengatakan kepadanya bahawa guru akan bersama-samanya berada di hadapan kelas. Sekiranya
murid masih berdiam diri, bantunya dengan mengucapkan apa yang sepatutnya disampaikan di hadapan
kelas.
Selain itu, berikan galakan kepada murid-murid yang telah tampil ke hadapan kelas atau yang telah
memberikan pandangan mereka. Contohnya guru boleh mengarahkan semua murid memberi tepukan
kepadanya. Tambahan itu, guru juga boleh memberi galakan dengan memberikan kata-kata pujian dan
positif seperti ”bagus!” , “terbaik” dan ucapan terima kasih. Pemberian hadiah seperti coklat atau
seumpamanya juga boleh membantu menggalakkan murid-murid untuk bercakap di hadapan kelas dan
secara sukarela. Oleh itu, sebaiknya hadiah tersebut diberikan sejurus selepas murid bercakap di hadapan
atau selepas memberikan pandangan mereka agar dapat menyuntik motivasi ekstrinsik dalam diri murid-
murid yang lain.

Tambahan itu, aktiviti pembentangan di dalam kelas boleh dijadikan sebagai aktiviti rutin dalam
PdPc bagi membantu murid memupuk keberanian dan keyakinan diri untuk bercakap di khalayak. Apabila
ia telah menjadi rutin, secara tidak langsung keyakinan dalam diri murid-murid akan terbina.

5. Tempoh Masa Penyelesaian :


2 Minggu

6. Tindakan Susulan :

Saya akan memperbanyakan aktiviti yang melibatkan murid-murid untuk bercakap dan berkongsi
idea atau pandangan yang telah diperolehi di hadapan kelas. Sebagai permulaan, isi yang ingin dikongsi
itu adalah perkara yang amat dekat dengan diri murid dan mudah untuk diceritakan kepada orang lain.

7. Tarikh Tindakan Susulan Dilaksanakan :


17 Februari 2019 (Ahad)

8. Keberkesanan Langkah Yang Dicadangkan :

Tindakan yang telah dilaksanakan dengan menggunakan cadangan penyelesaian yang telah saya
kenal pasti telah mula menunujukkan perubahan yang positif dan memberangsangkan apabila beberapa
orang pelajar yang jarang memberikan pandangan dan malu ke hadapan kelas sudah mula memberikan
idea dan pandangannya serta sudah berani ke hadapan kelas dengan sukarela.

9. Kesimpulan / Refleksi (Kesan Tindakan (Perlu) dan Halangan (Jika Ada) :

Kebanyakan murid kurang menyukai aktiviti yang melibatkan mereka untuk bercakap atau
membuat aktiviti di hadapan kelas yang memerlukan mereka berhadapan dengan orang ramai walaupun
pendengarnya merupakan rakan sekelas yang telah mereka kenali. Namun begitu, aktiviti sebegini
seharusnya mendapat penglibatan dari semua murid bagi membina keyakinan diri, keberanian bercakap di
khalayak dan berani meluahkan apa yang mereka rasa dan fikirkan. Oleh itu, di sinilah peranan guru untuk
memberi peluang dan galakan kepada murid-murid untuk mencungkil dan menggunakan potensi diri ke
arah yang lebih baik.

Rujukan

Mok Soon Sang (2013). Psikologi Pendidikan untuk Pengajaran-Pembelajaran.


Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Anda mungkin juga menyukai