Anda di halaman 1dari 5

Ilmu Batin Ajaran Rasulullah S.A.W.

Ilmu Batin Ajaran Rasulullah S.A.W.

Ilmu kebatinan yang diajarkan oleh Rasulullah SAW bukanlah suatu ilmu yang perlukan ijazah,
mantra, wafaq, jurus, tangkal atau perkara-perkara mistik dan berbaur ajaran Hindu. Ilmu ini 100%
dari ajaran Al Quran dan hadis.

Perlu dijelaskan bahawa ilmu ini bukan untuk orang yang inginkan kesaktian. Ilmu mencari kesaktian
itu hanya khusus untuk mereka yang disesatkan oleh Allah SWT. Ilmu kebatinan ajaran Rasulullah
mendidik seorang yang beriman supaya memiliki akhlak yang terpuji dan yang paling utama adalah
mencari keredhaan Allah SWT.

"Ilahi anta maqsudi wa ridhoka matlubi."

Ilmu kebatinan ajaran Rasulullah SAW mudah difahami tetapi sangat berat untuk dilaksanakan.
Malah mungkin perlukan puluhan tahun untuk berjaya serta semangat kegigihan yang mantap.
Wajib bagi setiap orang yang beriman memahami erti ilmu kebatinan yang sebenar.

Ilmu kebatinan yang diajarkan dan dicontohi oleh Nabi Muhammad SAW adalah ILMU HATI.

Beza dari segi nama tetapi hakikatnya membawa erti yang sama.

Ilmu batin = ilmu rohani = ilmu hati

Mengapa penting untuk memahami ilmu hati?

Bukankah setiap perbuatan bermula dari NIAT?

Bukankah NIAT lahir dari HATI?

Rasulullah bersabda:
"Ingatlah sesungguhnya di dalam tubuh manusia terdapat segumpal daging. Jika segumpal daging itu
baik, maka seluruh tubuh juga baik. Jika segumpal daging itu rusak, maka seluruh tubuh juga rusak.
Ketahuilah, segumpal daging itu adalah hati".
(HR Muslim, no. 1599. Hadits ini juga diriwayatkan oleh al-Bukhari, at-Tirmidzi, an-Nasâ`i, Abu
Dawud, Ibnu Majah, Ahmad, dan ad-Darimi, dengan lafazh yang berbeda-beda namun maknanya
sama. Hadits ini dimuat oleh Imam an-Nawawi dalam Arba’in an-Nawawiyah, hadits no. 6, dan
Riyadhush-Shalihin, no. 588)

Pernahkah kamu bercakap dengan orang yang lembut hati dan orang yang keras hati? Itulah bukti
kesannya hati pada diri seseorang.

"Wa fi anfusikum afala tubsirun."


Dan juga pada diri kamu. Apakah kamu tidak memperhatikannya?
[Surah Adz Dzariat 51:21]

Ilmu hati adalah permulaan bagi seseorang itu mengenal diri. Dengan mengenal diri, dia mengenal
Allah. Dengan mengenal Allah, hiduplah mata hati. Hati sebenarnya memiliki rahsia yang besar! Hati
inilah yang membuat seseorang menjadi kuat atau lemah. Bahkan IMAN, KEYAKINAN dan ILHAM
dikurniakan oleh Allah SWT melalui hati!

Ajaibnya hati dapat menyebut kata-kata yang tidak dapat disebut oleh mulut.
Ajaibnya hati dapat mendengar suara ilham yang tidak dapat didengar oleh telinga.
Ajaibnya hati dapat melihat apa yang tidak terlihat oleh mata.

"Sesungguhnya langit dan bumi tidak akan mampu menampung Aku. Hanya hati orang beriman yang
sanggup menerimanya."
(Hadis Qudsi)

Betapa besarnya hakikat hati ini!

Oleh itu barangsiapa yang hatinya dilatih untuk mengikut hati Rasulullah SAW, dia telah mengikut
ilmu kebatinan yang sejati.

Inginkan perlindungan?
Hafalkanlah Al Quran di dalam hati.
Fahamilah Al Quran.
Amalkan ajaran Al Quran.
Sebarkanlah ajaran Al Quran.

Bagi orang-orang yang berilmu, hatilah menjadi tempat menyimpan Al Quran bukan di dalam
gerobok atau di rak-rak buku yang dipenuhi habuk dan najis cicak.

"Sebenarnya,(Al Quran) itu adalah ayat-ayat yang jelas di dalam dada orang-orang yang berilmu."
[Surah Al Ankabut 29:49]

Jika engkau bertemu dengan orang-orang yang telah menghafal Al Quran, memahami Al Quran,
mengamalkan ajaran Al Quran dan mengajar Al Quran, janganlah engkau meremehkan mereka
kerana mereka dilindungi Allah. Merekalah yang dipanggil Al Quran bergerak!

"Inna nahnu nazzalnadz dzikra wa inna lahu la hafidzun."


Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan Al-Quran dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
[Surah Al Hijr 15:9]

Jangan engkau remehkan orang yang lidah dan hatinya sentiasa berzikir kalimah 'Laa ilaha illallah'.
Mereka juga dalam lindungan Allah.

Kalimah "La ilaha illallah" adalah benteng pertahananKu. Dan barangsiapa yang memasuki
bentengKu, dia aman dari seksaanKu.
(HQR Abu Na'im, Ibnu Najjar dan Ibnu 'Asakir yang bersumber dari Ali bin Abi Talib r.a)

Ingin membuka mata batin?


Al Quran jawapannya.

Al-Quran ini menjadi panduan-panduan yang MEMBUKA MATA HATI manusia dan menjadi hidayat
petunjuk serta membawa rahmat bagi kaum yang meyakini (kebenarannya).
[Surah Al Jatsiyah 45:20]

Ingin dikasihi dan disayangi ramai orang(ilmu pengasih)?


Ikutlah akhlak Rasulullah SAW kerana itulah akhlak yang terpuji.

Inginkan ketenangan hati?


"Ketahuilah dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia.”
[Surah Ar-Rad 13:28]

Ingin kebal dari bencana dan malapetaka?

Tidak ada kesusahan yang menimpa melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada
Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan
sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.
[Surah At Taghabun 64:11]

Ingin jadi orang yang berani?

Barangsiapa yang mengikuti petunjuk-Ku, nescaya dia tidak akan merasa takut dan tidak pula merasa
susah.
[Surah Al Baqarah 2:38]

Ingin kaya dengan harta?


Sayangnya ajaran Islam melarang mengejar dunia dengan mengumpulkan harta. Itu adalah sifat
Qarun yang sesat. Bahkan Islam mengajar untuk KELUARKAN HARTA di jalan Allah. Islam mendidik
umat hidup sederhana. Islam mendidik umat menerima segala ketetapan yang sudah tertulis. Islam
mendidik seseorang supaya biasa hidup susah kerana jika timbul pemerintah yang zalim, dia tidak
akan termakan bujukan rasuah mereka.

Ingin jadi orang yang hebat?


JANGAN RASA DIRI INI HEBAT!
Setiap amalan akan menjadi sia-sia bila diri merasa hebat. Terapkan dalam hati bahawa diri ini
hanyalah seorang HAMBA YANG LEMAH, yang butuhkan pertolonganNya!
Latihkan kerendahan hati secara ISTIQAMAH. Banyakkan berdo'a memohon kepadaNya supaya hati
sentiasa bergerak dalam keredhaanNya.
Ingat tujuan dan maksud beramal!
Setiap amalan bermula dengan niat yang dilahirkan dari hati. Maka jangan lahirkan niat melainkan
hanya untuk Allah.
"Inna solati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi Rabbil 'alamin."

Tujuan dan maksud hanyalah satu iaitu sentiasa menuju kepada keridhaan Allah bukan untuk
kesaktian mahupun karomah. Salah niat, rosak amalan bahkan berdosa.
Ilahi anta maqsudi wa ridhoka matlubi.

JANGAN tertipu dengan kehebatan dari ilmu-ilmu "instant". JANGAN dekat dengan mereka yang
MENJUAL AGAMA dengan wang ringgit. Karomah tidak lahir dari kehendak manusia. Karomah hanya
berlaku pada saat-saat genting atas kehendak Allah SWT. Karomah bukan permainan atau
pertunjukan.

Ingat! Setiap "kemuliaan" yang tidak diredhai Allah pada hakikatnya adalah kehinaan.
Ingat! Merasa diri hebat adalah sifat TAKABUR!

"Demikianlah Allah menutup setiap hati orang yang takabur lagi merasa perkasa."
[Surah Al Mu'min 40:35]
"Masuklah kalian ke dalam pintu-pintu neraka Jahannam, kekal di dalamnya. Itulah seburuk-buruk
tempat kediaman bagi orang yang mutakabbir.
[Surah An Nahl 16:29]

Hati dilatih memohon dengan Asmaulhusna yang seratus kurang satu.

Hati mesti sentiasa mengesakan Allah dan berharap kepadaNya.


"Allahu Ahad. Allahus Samad."

Hati mesti sentiasa berserah kepadaNya.


"Bismillahi tawakkaltu 'alallah."
"Wa ufawwidu amri ilallah."

Hati mesti bergantung kepada Allah.


"Hasbiallahu la ilaha illa huwa 'alaihi tawakkaltu wa huwa rabbul 'arsyil 'adzim."
"Hasbiallahu wa ni'mal wakil ni'mal maula wa ni'mal nasir."

Hati sentiasa mengingati mati. Ingat mati bukan takut mati. Ingat mati bahawa masa kamu hidup di
dunia ini amatlah singkat. Hati mesti ingat tiap masa yang berlalu tidak akan kembali. Hati mesti
sedar supaya tidak membuang masa dengan perkara yang melalaikan dari mencari keredhaan Allah.
Ingat mati bahawa Allah telah bersumpah "Demi masa!" Ingat mati supaya segala yang kamu
lakukan adalah ibadah. Ingat mati bahawa hidup dan mati di tanganNya.
"Kullu nafsin dza-ikatul maut."
"La ilaha illa huwa yuhyi wa yumit."

Kebalkan hatimu dari api amarah. Bukankah syaitan tercipta dari api? Di sinilah amalan ta'awudz
menjadi peranan dan mengekalkan air wudhu' yang memadamkan api amarah.
Wajib berusaha menjadikan hati sentiasa di dalam keadaan tenang dan sabar.
"Innallaha ma'as sobirin."
Sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang bersabar.

Hatimu mesti dilatih supaya sentiasa dalam keadaan tenang. Di sinilah zikrullah memainkan peranan.

Usahakan berlatih dengan istiqamah kerana Allah menyukai amalan yang walaupun sedikit tetapi
istiqamah.

Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah & hendaklah setiap diri
memperhatikan apa yg telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); & bertakwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yg kamu kerjakan.
[Surah Al Hasyr 59:18]
Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan memberi
kepadamu furqan dan menghapuskan segala kesalahan-kesalahanmu dan mengampunimu. Dan
Allah mempunyai karunia yang besar.
[Surah Al Anfal 8:29]

Dan takutlah kepada Allah; Allah akan mengajarmu; dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.
[Surah Al Baqarah 2:282]

Sumber : https://juruswarisanmelayu.blogspot.com/2020/03/ilmu-batin-ajaran-rasulullah-saw.html

Anda mungkin juga menyukai