Anda di halaman 1dari 2

Tajuk : Bersama, Bersatu Menuju Alaf Baru

Salam sejahtera dan selamat pagi. Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, para pengadil
yang bijaksana, dif-dif jemputan, guru-guru dan seterusnya saudara-saudari dan rakan-
rakan seperjuangan.
Peribahasa Melayu ada menyatakan, janganlah disakiti perasaan saudaramu kerana
perbuatan tersebut ibarat ‘ikut hukum memiat daging, sakit di awak sakitlah di orang’.
Sebaliknya, hiduplah kamu dalam suasana yang harmoni bagai ‘serumpun bak serai
sesusun bak sirih’. Saya berdiri di sini untuk menguar-uarkan suatu wacana yang
menegaskan bahawa perpaduan dan penyatuan merupakan mekanisme yang paling
signifikan demi mendepani alaf baru. Saya hadir di hadapan anda dengan memegang
panji-panji mauduk wacana, iaitu “Bersama, Bersatu Menuju Alaf Baru.”
Saudara dan saudari sekalian,
‘Bersama, Bersatu menuju alaf baru’ dapatlah ditakrifkan sebagai suatu wahana yang
menjadi fikiran dan tindakan sebagai persediaan untuk mendepani abad baru yang sudah
pasti lebih mencabar dan pasti hebat. Justeru, mauduk perbincangan kita pada kali ini
adalah tentang sikap yang menuntut kepada perpaduan demi mencapai kejayaan
menjelang abad yang baru. Kini, alaf baru yang menuntut kepada persaingan dalam
peperangan dunia maklumat tanpa sempadan telah terpampang di hadapan mata. Mahu
atau tidak mahu kita mesti menerima kenyataan tersebut. Cabarannya pula amat besar.
Rakan-rakan yang saya hormati,
Cabaran kita yang pertama dan paling besar dalam membentuk semangat bersatu padu
rakyat Malaysia adalah dengan mewujudkan semangat toleransi dalam kalangan
masyarakat pelbagai kaum. Kepelbagaian corak hidup yang bersendikan kaum, agama,
budaya, adat resam, dan bahasa kadangkala dapat mencetuskan perasaan salah faham
dan pasti memperdalam jurang polarisasi. Keragaman budaya dan aspirasi yang ada pada
kita jika bijak dimanfaatkan maka kita memiliki potensi untuk berjaya. Dalam menghadapi
kerenah perselisihan faham ini, marilah kita memilih resipi tiga dalam satu, iaitu kaum,
bersatu,dan negara. Rencahnya pula ialah pelbagai kaum perlu bersatu dan garamilah
dengan persefahaman nescaya wujudlah sebuah negara yang aman, Makmur dan
bersatu padu.
Hadirin yang dikasihi,
Cabaran yang kedua ialah kita hendaklah bersatu untuk memperkasakan jati diri bangsa.
Kita mesti menjadi bangsa yang berani, cekap, tangkas dan berdaya saing. Komitmen ini
menjadi penanda aras mutlak jika kita mahu bersaing dalam dunia global. Globalisasi
yang kurang peka terhadap sempadan geografi dan geopolitik itu pasti mengancam
kestabilan negara-negara yang lemah. Persoalannya, apakah kita mampu
menghadapinya?Terbentukkah jati diri bangsa Malaysia kini? Jawapannya adalah
pelbagai, berliku-liku dan bersimpang-siur.
Kini, kita sedang berhadapan dengan gejala kemerosotan akhlak, kemerosotan nilai
agama, kemerosotan disiplin, dan kenanaran budi bahasa. Beribu-ribu anak muda yang
sepatutnya menjadi bunga bangsa kecundang dan layu di pusat-pusat serenti. Selebihnya
pula rebah di kaki-kaki lima dan pusat-pusat judi menjadi pemburu hedonism. Tanpa rasa
kecewa dan putus asa, marilah kita bersatu hati menggemblengkan usaha untuk
mengubah fenomena tersebut demi menuju alaf baru.
Hadirin sekalian,
Sebagai anak Timur yang membesar dengan nasi lemak, roti canai dan kuetiau goreng,
saya tetap mempertahankan nilai tradisi bangsa kita.. Kita tidak mahu anak-anak warisan
bangsa menjadi bangsa yang tidak mengetahui akan identiti dan kemasyhuran
bangsanya. Sebelum saya mengundur diri, saya mengakhiri syarahan saya ini dengan
serangkap pantun.
Dahan melantur tersekah luruh,
Jatuh di perdu menimpa batu;
Biar guntur menghambur geruh,
Semangat berpadu warga bersatu

Sekian terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai