Anda di halaman 1dari 2

MEMARTABATKAN BAHASA MELAYU MELALUI SISTEM PENDIDIKAN

Kata orang jika kita hendak melihat apa-apa yang akan berlaku pada masa hadapan, lihatlah generasi
muda kita sekarang. Hal ini bermakna sistem pendidikan merupakan landasan terbaik untuk
membentuk generasi kita bagi merealisasikan aspirasi Negara. Dalam hal ini, sekolah dan institusi
pendidikan diumpamakan seperti tapak tempat menyemai benih generasi masa depan. Manakala
kurikulum sekolah pula merupakan inti pati yang akan disuntik ke dalam minda serta jiwa mereka.
Oleh itu, jika hendak menyemai apa-apa juga aspirasi Negara dan membentuk generasi masa depan
mengikut acuan kita sendiri, di sinilah tempatnya, begitu juga dala usahaa kita hendak
memartabatkan bahasa Melayu.

Dalam hal ini, jika kita meninjau saranan Profesor Dr Awang Sariyan dalam Majlis Bicarawara Bahasa
di Institut Pendidikan Guru Kampus Perempuan Melayu, Melaka yang lalu ada benarnya. Menurut
beliau, pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan perlu dimantapkan semula iaitu
bermula daripada prasekolah hinggalah ke pengajian tinggi. Menurut beliau lagi, penegasan perlu
diberi kepada usaha pembudayaan bahasa sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Melayu dalam
dua aspek iaitu:

i) Pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan
pengembangan ilmu, selaras dengan perancangan Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang
diperkukuh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan dimaktubkan dalam Akta
Pelajaran 1961 serta Akta Pendidikan 1996 dan

ii) Pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan mewakili budaya tinggi melalui kegiatan
kokurikulum sehingga ragam bahasa tidak rasmi seperti bahasa sembang intenet dan bahasa
khidmat pesanan ringkas (sms) tidak sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.

Mungkin pada dasarnya saranan beliau tersebut bukanlah satu idea yang baru dan mungkin telah
direncanakan dalam sistem pendidikan kita. Namun dari segi pelaksanaan dan penguatkuasaan
masih belum mencapai matlamatnya, meskipun telah lima puluh tahun lebih kita merdeka. Oleh itu,
adalah wajar untuk pihak-pihak tertentu melihat semula kandungan yang ada dalam sstem
pendidikan kita dalam usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dan bandingan saranan beliau
dengan usaha tersebut. Jika belum ada, adakan. Jika sudah ada, mantapkan dan tingkatkan
pelaksanaan serta penguatkuasaan.

Ayuh, bangunlah kita perlu bangun dan sedar, jika bukan kita siapa lagi yang kita akan harapkan
untuk mengalas tanggungjawab ini. Sekadar membicarakan dasar dan menggubal akta sahaja masih
belum mencukupi, gerakkan dan kuatkuasakan pelaksanaannya. Tepuk dada, tanyalah selera dan
fikir-fikirkanlah peranan yang perlu kita mainkan untuk mencapai matlamat ini.
Sumber maklumat : Berita Harian

Anda mungkin juga menyukai