Anda di halaman 1dari 3

PENJUAL KAIN YANG BERHATI JUJUR

Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis, yang dihormati para hakim yang adil lagi bijaksana, guru-
guru serta rakan-rakan yang dikasihi sekalian. Pada hari yang indah ini, saya akan
menyampaikan sebuah cerita yang amat menarik bertajuk “ Penjual Kain Yang Berhati Jujur.”

Ha, nak dengar cerita saya?

Pada suatu masa dahulu, ada seorang pemuda yang kerjanya menjual kain-kain batik serta
pelekat. Pemuda itu bernama Odili. Odili merupakan seorang pemuda yang sangat jujur
serta baik hati. Dia menjual kain-kain batik dan pelekat yang bermutu tinggi dengan harga
yang sangat murah. Oleh sebab itulah semua penduduk kampung suka membeli kain daripada
Odili.

Ini membuatkan seorang penjual kain yang bernama Usop berasa iri hati dengan kesenangan
Odili. Kain-kain yang dijual olehnya tidak laku langsung. Penduduk kampung hanya suka
membeli kain daripada Odili memandangkan harganya lebih murah daripada harga yang
ditawarkan oleh Usop.

Usop membuat satu rancangan. Dia berpura-pura membeli beberapa helai kain daripada
Odili. Apabila sampai di rumah, Usop segera mengoyakkan kain-kain tersebut. Selepas itu,
dia pergi ke pekan sambil memekik dengan kuat.

“Lihatlah wahai orang-orang kampung! Kain ini baru aku beli daripada Odili. Sebaik
sahaja aku memakainya, tiba-tiba kain ini koyak! Ini menunjukkan kain buatannya tidak elok
dan sebab itulah dia menjual dengan harga yang sangat murah!” kata Usop.

Orang kampung yang mengerumuni Odili untuk membeli kain, tiba-tiba bersurai.
Mereka tidak mahu membeli kain daripada Odili. Malah Odili juga telah dituduh sebagai
penipu dalam berniaga. Ini membuatkan Taruna berasa sangat sedih dan berdukacita.
Kejadian itu merupakan peluang keemasan buat Usop. Dengan memfitnah Odili, maka
dia boleh menjual kain-kainnya semula. Usop adalah seorang penipu. Dia menjual kain yang
tidak bermutu kepada orang-orang kampung dengan harga yang mahal.

Usop mendapat hasil yang sangat lumayan dengan menipu. Dia berasa sangat gembira
dan seronok kerana perniagaannya kembali pulih. Namun Usop tidak tahu bahawa Odili
telah lama memerhatikan gerak-gerinya. Usop tidak menggunakan kain yang baik dan
bermutu, sebaliknya dia menjual kain-kain yang telah rosak dan buruk. Usop hanya
mewarnakan semula kain-kain yang lusuh dengan warna yang dibuatnya sendiri.

Para hadirin sekalian, nak tahu apa jadi seterusnya?

Pada suatu malam, semasa Usop sedang nyenyak tidur, Odili telah masuk ke dalam
rumahnya. Dia mengambil beberapa helai kain serta warna-warna yang dibuat oleh Usop.
Setelah mendapat apa yang diingini, Odili pun beredar dari situ.

Pada keesokan harinya, seperti biasa Usop pergi ke pekan untuk menjual kain-kainnya.
Setibanya di sana, alangkah terkejutnya Usop apabila mendapati orang-orang kampung
sedang memegang kain-kain yang mereka beli tempoh hari. Ini membuatkan hati Usop berasa
sangat hairan.

“Itulah dia penipu yang paling besar! Dialah yang sepatutnya dihukum. Dia telah menjual
kain yang tidak bermutu dengan harga yang mahal. Aku juga mempunyai bukti untuk
ditunjukkan kepada kamu semua!” kata Odili sambil menunjukkan bukti-bukti yang
diperolehinya.

Orang-orang kampung menjadi sangat marah lalu melemparkan kain-kain tersebut ke


muka Usop. Mereka juga telah membawa Usop menghadap sultan. Sultan telah menjatuhkan
hukuman penjara seumur hidup kerana telah menipu orang-orang kampung.
Semenjak dari hari itu perniagaan Odili kembali pulih. Orang-orang kampung membeli
kain-kain kepunyaan Odili. Dia juga berasa sangat gembira kerana Usop telah menerima
huukuman yang setimpal atas perbuatannya.

Kawan-kawan, pengajaran yang boleh kita ambil dari cerita tadi ialah kita perlu sentiasa
mengamalkan sikap jujur. Kita tidak boleh bersikap iri hati dan hasad dengki terhadap
kelebihan dan kesenangan orang lain. Sesungguhnya Allah Maha Melihat dan Mengetahui
segalanya. Setiap perbuatan itu akan mendapat balasannya. Perbuatan yang baik akan dibalas
baik dan perbuatan yang tidak baik akan dibalas setimpal. Oleh itu, marilah kita mengamalkan
sikap jujur dalam melakukan apa sahaja pekerjaan.

Untuk mengakhiri cerita ini, terimalah serangkap pantun daripada saya.

Hari rabu makan kue cucur,

Duduk santai di taman pancuran;

Mari budayakan sifat jujur,

Agar terhindar dari kehancuran.

Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai