Anda di halaman 1dari 10

Akidah Syiah Zaidiyah dari Yaman: Akidah Sahih

Al-Aqida al-Sahiha

Oleh: Imām al-Mutawakkil ‘alā Allāh Ismā‘īl b. al-Qāsim

Terjemahan: Haziq Azhar

Dengan nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang

Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat
pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan
cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang
yang sesat dari jalanNya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat
hidayah petunjuk. (Surah an-Nahl:125)

Daripada hamba Allah, Amirul Mukminin al-Mutawakkil ‘alā Allāh, Ismā‘īl, Putera Amirul
Mukminin, al-Mansūr bi-Allāh al-Qāsim kepada sesiapa sahaja dalam kalangan kaum
Muslimin: Salam Sejahtera ke atas kamu! Sesungguhnya kami melafazkan pujian-pujian
terhadap Allah SWT. Ini akidah kami, akidah yang menjadi anutan para pendahulu kami
dalam agama Islam. Inilah bahtera penyelamat kaum beriman kepada sesiapa yang berpegang
teguh kepada kebenaran (al-‘urwa al-wuthqā). Namun sesiapa yang menolak kebenaran,
bukan sahaja membinasakan diri sendiri tetapi keluarga dan keturunannya. Insya-Allah, kita
akan menerima kebenaran dengan bukti dan dalil yang cukup jelas. Semoga Allah SWT
memberi kefahaman kepada kita – Tiada daya dan kuasa selain daripada Allah yang Maha
Tinggi Lagi Maha Agung. Semoga juga Allah melimpahi selawat dan salam sejahtera ke atas
junjungan Nabi Muhammad SAW dan Ahlul Bait.

Dengan Nama Allah Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.

"Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat
nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah
tidak memimpin kami (dengan taufik-Nya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan
kami dengan membawa kebenaran". (Surah al-A’raf:43)

Aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang layak disembah dan disekutui dengan segala sesuatu
pun melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad SAW merupakan
Rasulullah.
Ya Allah, limpahkan selawat ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya yang
mengajak umat manusia ke arah jalan yang benar dan diredai oleh Allah SWT.

Sambungan:

Inilah akidah yang menjadi anutan kepada pihak yang berpegang kepada kebenaran yang
diturunkan oleh Allah SWT kepada junjungan Nabi Muhammad SAW al-Mustafa (Yang
Terpilih) dan para Rasul Ulul Azmi seperti Nabi Nuh alaihissalam (AS), Nabi Ibrahim AS,
Nabi Musa AS dan Nabi Isa AS. Allah SWT memerintah umat manusia agar mematuhi
perintah-Nya serta melarang sebarang bentuk berlakunya perpecahan.

Akidah kita mempercayai Tuhan yang menciptakan alam ini iaitu Allah Maha Esa- tiada
tuhan selain daripada dia- Yang Maha Hidup, Maha Memelihara, Maha Mengetahui sesuatu
baik yang Zahir mahupun Batin. Dialah yang Maha Awal dan Maha Akhir serta Maha
Berkuasa Di Atas Segala Sesuatu Pun. Dialah Maha Perkasa, Maha Bijaksana, Maha
Pendengar, Maha Melihat, Maha Berdiri Dengan Sendiri dan Maha Terpuji.

Tambahan pula, Tiada sesuatu pun yang sebanding dengan (Zat-Nya, sifat-sifat-Nya, dan
pentadbiran-Nya) (Surah Ash-Shura: 11) dan Ia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh
penglihatan mata, sedang Ia dapat melihat (dan mengetahui hakikat) segala penglihatan
(mata), dan Dia lah Yang Maha Halus (melayan hamba-hamba-Nya dengan belas kasihan),
lagi Maha Mendalam pengetahuan-Nya. (Surah al-An'am :103)

Tuhan itu Maha Adil – Sesungguhnya Tuhan-Mu tidak pernah menganiayai hamba-Nya dan
tidak pernah pula menzalimi sebahagian besar hamba-Nya. Berdasarkan firman Allah SWT
dalam al-Quran bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak menganiaya manusia sedikit pun, akan tetapi manusia jualah yang
menganiaya diri mereka sendiri. (Surah Yunus:44)

Tuhan tidak membalas apa-apa melainkan atas apa-apa perbuatan mereka sendiri. Dia tidak
menangguhkan memberikan hukuman ke atas sesiapa melakukan dosa serta pasti memberi
ganjaran ke atas sesiapa yang melakukan amal kebajikan.

Sesungguhnya Allah SWT sentiasa menepati janji-Nya dan memberi amaran keras kepada
sesiapa melanggar larangan-Nya. Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: Dan siapakah
pula yang lebih benar perkataannya daripada Allah? (Surah an-Nisa: 87) Ayat ini
membuktikan perintah-Nya tidak dapat diubah dan tidak pula Dia berlaku zalim kepada
hamba-Nya. Dan bahawa sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan
(balasan) apa yang diusahakannya; Dan bahawa sesungguhnya usahanya itu akan
diperlihatkan (kepadanya, pada hari kiamat kelak) (Surah An-Najm: 39-40)

Sesungguhnya Allah tidak memberatkan kewajiban sesuatu di luar kemampuan hamba-Nya.

Segala amalan dan perbuatan berdasarkan apa-apa Tuhan perintahkan kepada mereka seperti
firman-Nya bermaksud:

Sesiapa yang mengerjakan amal soleh maka faedahnya akan terpulang kepada dirinya
sendiri, dan sesiapa yang berbuat kejahatan maka bahayanya akan menimpa dirinya sendiri;
dan Tuhanmu tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hamba-Nya. (Surah Fussilat:46)

Allah SWT tidak mewajibkan sesuatu perkara yang di luar kemampuan hamba-Nya seperti
firman-Nya dalam al-Quran bermaksud, Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya
supaya kamu. (Surah At-Taghabun:16) Orang yang mengingkari perintah-Nya padahal dia
mempunyai kemampuan menghindari larangan-Nya. Inilah kaum munafik seperti yang
digambarkan dalam al-Quran, (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka
sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang yang berdusta
(tentang tidak sanggupnya mengikutmu). (Surah At-Tawbah: 42)

Sesungguhnya Allah SWT tidak suka melakukan kezaliman terhadap hamba-Nya dan tidak
pula suka kepada perbuatan yang merosakkan (fasad). Dia pasti tidak akan sesekali reda
kepada hamba-Nya yang kufur kepada-Nya. Allah tidak memerintahkan hamba-Nya kecuali
mengikuti jalan yang benar dan diredai-Nya. Selain itu, Allah menciptakan manusia dan jin
melainkan beribadah kepada-Nya. Sesungguhnya Allah tidak mengkehendaki sesuatu
daripada hamba-Nya melainkan memberikan rezeki kepada hamba-Nya.

Sesiapa yang melampaui batas atau melanggar larangan-Nya, maka akan dihukum di dalam
api neraka buat selama-lamanya. Syafaat diberikan kepada sesiapa yang mendapat keredaan-
Nya seperti firman-Nya dalam al-Quran bermaksud Pada saat itu) orang yang zalim tidak
akan mendapat seorang sahabatpun yang boleh membelanya, dan tidak akan mendapat
pemberi syafaat yang diterima pertolongannya. (Surah Ghafir: 18) Ganjaran syurga itu pasti
bagi sesiapa yang mentaati perintah-Nya, manakala hukuman api neraka bagi sesiapa yang
melanggar larangan-Nya. Sesungguhnya Allah akan membangkitkan (menghidupkan semula)
orang yang di dalam kubur. (Surah al-Hajj:7) Kecuali orang yang bertaubat dan beriman
serta mengerjakan amal yang baik, maka orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat)
kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha
Mengasihani. (Surah al-Furqan: 70)

Barangsiapa yang dimasukkan oleh Tuhan ke dalam api neraka, nescaya akan kekal buat
selama-lamanya seperti firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud, Dan mereka pula
tidak akan dapat keluar dari neraka. (Surah al-Baqarah:167) Maka adakah orang yang telah
ditetapkan atasnya hukuman azab (disebabkan kekufurannya, sama seperti orang yang
dijanjikan bergembira dengan balasan imannya? Sudah tentu tidak)! Oleh itu adakah engkau
berkuasa menyelamatkan orang yang (ditetapkan kekal) dalam neraka? (Surah az-Zumar:
19)

Dan mereka berkata: "Kami tidak sekali-kali akan disentuh oleh api neraka kecuali beberapa
hari yang tertentu". Katakanlah (wahai Muhammad): "Adakah kamu sudah mendapat janji
daripada Allah supaya (dengan itu) Allah tidak akan menyalahi janji-Nya, atau hanya kamu
mengatakan atas nama Allah sesuatu yang tidak kamu mengetahuinya?" (Apa yang kamu
katakan itu tidaklah benar), sesungguhnya sesiapa yang berbuat kejahatan dan ia diliputi
(ditenggelamkan) oleh kesalahannya itu, maka merekalah ahli neraka, mereka kekal di
dalamnya. (Surah al-Baqarah:80-81)

(Balasan yang baik yang dijanjikan oleh Allah itu) tidak akan didapati hanya dengan angan-
angan kamu semata-mata, dan tidak pula dengan angan-angan ahli Kitab (Yahudi dan
Nasrani). Sesiapa yang melakukan kejahatan, ia akan dibalas dengan kejahatan itu, dan ia
pula tidak akan mendapat - selain daripada Allah - seorang pun yang akan melindunginya,
dan tidak ada juga yang dapat menolongnya. (Surah an-Nisa: 123)

Barangsiapa yang memasuki syurga, mereka akan terus kekal di dalamnya dan memperoleh
kesenangan yang abadi.

Sebarang kurniaan yang dimiliki oleh makhluk adalah rezeki (arzaq) daripada Allah SWT.

Sesungguhnya iman adalah keyakinan datang daripada hati, ucapan dan perbuatan. Malah,
iman boleh bertambah dan berkurangan seperti firman Allah SWT dalam al-Quran
bermaksud: Adapun orang yang beriman, maka surah itu menambahkan iman mereka,
sedang mereka bergembira (dengan turunnya). (Surah at-Tawbah: 124)
Para Nabi dan Rasul AS adalah benar. Kitab-kitab Allah adalah benar. Dan sesiapa yang
mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya, dan ia pada
hari akhirat kelak daripada orang yang rugi. (Surah Ali Imran: 85)

Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW (Semoga Allah melimpahi selawat dan sejahtera ke
atas dirinya dan ahli keluarganya) merupakan penutup segala nabi dan rasul. Dan ia tidak
memperkatakan (sesuatu yang berhubung dengan agama Islam) menurut kemahuan dan
pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu (sama ada al-Quran ataupun hadis)
tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya. (Surah An-Najm:3-4)

Sesungguhnya para Nabi dan Rasul alaihissalam terpelihara daripada dosa (maksum) dan
jika mereka melanggar perintah-Nya, sudah pasti akan dihukum. Katakanlah: "Sesungguhnya
aku takut jika aku derhaka kepada Tuhanku, (akan dikenakan) azab hari yang besar (hari
kiamat)". (Surah al-An’am:15) Firman Allah SWT: Dan kalaulah tidak Kami menetapkan
engkau (berpegang teguh kepada kebenaran), tentulah engkau sudah mendekati dengan
menyetujui sedikit kepada kehendak mereka. Jika (engkau melakukan yang) demikian,
tentulah Kami akan merasakanmu kesengsaraan yang berganda semasa hidup dan
kesengsaraan yang berganda juga semasa mati; kemudian engkau tidak beroleh seseorang
penolong pun terhadap hukuman Kami. (Surah al-Isra:74-75)

Al-Quran tidak dapat ditiru oleh sesiapa pun dan tiada sesiapa pun dapat mengarang kitab
seperti al-Quran walaupun satu surah sekali pun.

Allah SWT menurunkan al-Quran dalam bahasa Arab. Yang tidak dapat didatangi sebarang
kepalsuan dari mana-mana arah dan seginya; ia diturunkan daripada Tuhan Yang Maha
Bijaksana, lagi Maha Terpuji. (Surah Fussilat: 42)

Allah SWT menjadikan al-Quran sebagai peringatan kepada sesiapa yang


dipertanggungjawab dengan kewajipan menjalankan hukuman agama serta menjauhi segala
larangan-Nya. Dia juga mewariskan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya sebagai pewaris
Nabi seperti mana Dia mengutuskan kenabian dan kitab suci dalam kalangan keturunan Nabi
Ibrahim AS. Begitu juga Allah SWT menetapkan Imamah dalam kalangan keluarga Nabi
SAW (Semoga Allah melimpahi rahmat dan salam sejahtera ke atas Nabi dan ahli
keluarganya). Nabi SAW pernah berpesan supaya berpegang teguh kepada Kitab Allah dan
pengganti baginda (khalīfatayhi): Dan Aku tinggalkan kepadamu dua pusaka. Yang pertama
Kitabullah (al-Quran) dalamnya terdapat petunjuk dan cahaya, maka berpegang teguhlah
dengan Kitabullah”. Kemudian baginda SAW melanjutkan lagi, “dan Ahlul Bait-Ku”.
Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui lagi Maha Halus memberitahu mereka tidak akan
berpecah jika berpegang kepada kedua-duanya sehingga hari kiamat kelak.

Selain itu, Allah SWT membataskan kekuasaan politik kepada golongan beriman sahaja
seperti firman-Nya dalam al-Quran bermaksud: Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah
Allah, dan Rasul-Nya, serta orang yang beriman, yang mendirikan sembahyang, dan
menunaikan zakat, sedang mereka rukuk (tunduk menjunjung perintah Allah). (Surah al-
Ma’idah:55)

Kekuasaan politik – Imamah – seseorang dijadikan oleh Allah untuk menunaikan zakat dan
sujud kepada perintah-Nya tidak lain bukan Amirul Mukminin Imam Ali bin Abi Thalib AS.
Dialah putera kepada bapa saudara Nabi SAW seperti firman Allah dalam al-Quran: Dalam
pada itu, orang yang mempunyai pertalian kerabat, setengahnya lebih berhak atas
setengahnya yang (lain) menurut (hukum) Kitab Allah. (Surah an-Anfal:75) Imam Ali AS
merupakan saudara terdekat Nabi SAW yang ditugaskan untuk menjadi pengikat tali
persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar.

Imam Ali AS dianggap seperti Nabi Harun AS kepada Nabi Musa AS dan beliaulah antara
Ahlul Kisa yang terlibat dalam peristiwa Muhabbalah seperti terkandung dalam al-Quran:
Kemudian sesiapa yang membantahmu (wahai Muhammad) mengenainya, sesudah engkau
beroleh pengetahuan yang benar, maka katakanlah kepada mereka: "Marilah kita menyeru
anak-anak kami serta anak-anak kamu, dan perempuan-perempuan kami serta perempuan-
perempuan kamu, dan diri kami serta diri kamu, kemudian kita memohon kepada Allah
dengan bersungguh-sungguh, serta kita meminta supaya laknat Allah ditimpakan kepada
orang-orang yang berdusta. (Surah Ali Imran: 61) Jika Nabi SAW mempunyai pelindung,
maka Imam Ali AS merupakan pelindung. Beliau jugalah Ahlul Kisa yang disucikan daripada
segala dosa. Imam Ali AS merupakan Washi Nabi dan Khalifah Nabi. Beliau juga ditakdirkan
oleh Allah SWT untuk berkahwin dengan puteri kesayangan Nabi SAW iaitu Fatimah az-
Zahra AS. Tiada sesiapa pun dalam kalangan Sahabat Nabi pernah memerintah Imam Ali AS
dalam peperangan melainkan beliau sendiri menjadi panglima perang. Imam Ali AS tidak
pernah berganjak dari mana-mana medan peperangan di atas jihad fisabilillah melainkan
ketika Perang Tabuk kerana diperintahkan oleh Nabi SAW. Abu Bakar menarik diri daripada
Imam Ali AS, menurut hadis berkaitan surah al-Bara’a atau (Surah at-Tawba: 9), apabila Nabi
SAW bersabda: "Hanya seorang lelaki daripada kalangan keluargaku yang boleh menguar-
uarkan (apa-apa yang diwahyukan kepadaku)." Nabi SAW berkongsi unta korbannya (untuk
haji) dengan Imam Ali AS dan beliau tidak berkongsi dengan sesiapa yang lain. Pada tahun
haji tersebut, Nabi SAW percaya ajal baginda akan tiba pada tahun tersebut. Tiada sesiapa
selain Imam Ali AS menurut perintah Allah SWT memerlukan seseorang perlu sedekah
kepada fakir miskin ketika pertemuan peribadi dengan Nabi SAW sebelum ia dihapuskan
menurut Surat Al-Mujadilah ayat 13. Imam Ali AS jugalah bersedekah cincin kepada fakir
miskin ketika rukuk dalam solat sehingga turunnya ayat al-Quran: Adakah kamu sifatkan
hanya perbuatan memberi minum kepada orang yang mengerjakan Haji, dan (hanya
perbuatan) memakmurkan Masjid Al-Haraam itu sama seperti orang yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat serta berjihad pada jalan Allah? Mereka (yang bersifat demikian)
tidak sama di sisi Allah, dan Allah tidak memberikan hidayah petunjuk kepada kaum yang
zalim. (Surah at-Tawbah: 19) Imam Ali juga dimaksudkan dalam al-Quran, Mereka juga
memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin
dan anak yatim serta orang tawanan. (Surah al-Insan:8)

Imam Ali AS juga memegang panji oleh Nabi SAW ketika Perang Khaybar seperti mana
sabda baginda SAW bermaksud: aku hanya memberi panji kepada orang dicintai oleh Allah
dan mencintai-Nya.

Malah, Imam Ali AS juga pernah makan daging burung bersama-sama Nabi SAW.
Sesungguhnya orang beriman sangat mencintai Imam Ali AS dan hanya golongan munafik
mempunyai kebencian mendalam kepada Imam Ali AS.

Imam Ali AS juga merupakan hakim terbaik dalam kalangan Sahabat dan pintu kepada kota
ilmu. Tiada sesiapa pun yang lebih dekat dengan Nabi SAW baik hubungan pertalian darah
mahupun persahabatan selain Imam Ali AS.

Nabi SAW (Semoga Allah melimpahi rahmat dan salam sejahtera ke atas baginda dan ahli
keluarga) juga menutup semua pintu-pintu masjid selain pintu Imam Ali bin Abi Thalib AS.
Beliau merupakan pemegang panji terpuji (Liwa al-Hamd), pemilik pedang Zulfaqar dan
terpelihara daripada menyimpang dari jalan kebenaran. Tiada sesiapa yang mampu
menghapuskan kaum Musyrikin selain Imam Ali AS dan menjadi petunjuk kepada sesiapa
yang mahu sedangkan beliau tidak pernah berpaling kepada sesiapa pun. "Katakanlah:
"Allah jualah yang memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran; (kalau sudah demikian)
maka adakah yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada kebenaran itu, lebih berhak
diturut, ataupun yang tidak dapat memberi sebarang petunjuk melainkan sesudah ia diberi
hidayah petunjuk? (Surah Yunus: 35)
Ketika Nabi SAW berhijrah ke Yathrib, baginda tidak melantik sesiapa pun untuk berunding
dengan mana-mana pihak melainkan Imam Ali AS. Ketika perang menentang Rom
Byzantium, Nabi SAW hanya melantik Imam Ali AS sebagai penggantinya di Madinah. Tiada
satu pun daripada kalangan para ulama meragui kekhalifahan Imam Ali AS. Malah, matahari
sanggup menahan diri daripada terbenam semata-mata demi Imam Ali AS. Beliau juga
menerima hasil rampasan perang Tabuk yang dikhususkan oleh Malaikat Jibril AS untuk
dirinya. Imam Ali AS tetap teguh berjuang ketika kaum Muslimin berhadapan kekalahan
dalam perang al-Mihras. Beliau juga yang memandikan jenazah Nabi SAW dan menguruskan
urusan pemakaman sehingga ke liang lahad.

Imam Ali AS merupakan seorang terbaik dalam kalangan Ahlul Bayt dan bangsa Arab.
Menurut pandangan ijma para Sahabat, Imam Ali AS paling layak menjadi Imam. Namun,
Abu Bakr dan Umar tidak bersetuju dengan pandangan ini. Bagaimanapun, Imam Ali AS
tetap berhak ke atas Khilafah.

Kaum Muslim wajib berpegang kepada Itrah Ahlul Bayt (yang hanya terhad kepada
keturunan Imam al-Hassan AS dan Imam al-Husayn AS) selain Kitabullah iaitu al-Quran.
Nabi SAW bersabda: Imam al-Hassan AS dan Imam al-Husayn AS merupakan Imam kaum
Muslimin sama ada memimpin secara aktif ataupun pasif. Sesungguhya ayahanda mereka
(Imam Ali AS) lebih baik daripada mereka.

Sesungguhnya Ahlul Bayt hanya terhad kepada Imam al-Hassan AS dan Imam al-Husayn AS.
Malah terdapat ayat al-Quran baik berkaitan pewarisan, kasih sayang mahupun penyucian
daripada dosa merujuk kepada mereka. Mereka jugalah menjadi saksi kepada manusia seperti
mana ayat dalam al-Quran bermaksud: Ia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu
keberatan dan susah payah dalam perkara agama, agama bapa kamu Ibrahim. Ia
menamakan kamu: " orang Islam" semenjak dahulu dan di dalam (al-Quran) ini, supaya
Rasulullah (Muhammad) menjadi saksi yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu, dan
supaya kamu pula layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia
(tentang yang benar dan yang salah). (Surah al-Hajj: 78) Para ulama bersepakat menyatakan
ayat ini merujuk kepada keturunan Imam al-Hassan AS dan Imam al-Husayn AS. Merekalah
paling layak memegang tampuk kepemimpinan kaum Muslimin (Imamah) walaupun terdapat
banyak kelompok tidak bersetuju dengan perkara ini. Kelayakan mereka (ahliyyatuhum)
berdasarkan hujah yang kukuh.
Bagaimanapun, kita juga perlu menerima para Sahabat Nabi RA (Semoga Allah meredai
mereka) kerana tiada dalam kalangan mereka mempunyai sifat fasik dan munafik. Menurut
hadis bermaksud: Mereka bukan dalam kalangan Sahabat Nabi jika melakukan perkara
bertentangan dengan agama.

Menegakkan kebajikan dan mencegah kemungkaran merupakan satu kewajipan untuk setiap
kaum Muslimin serta mengingkari akan mengundang bala malapetaka. Malah, meninggikan
suara terhadap Nabi SAW (walaupun dianggap kecil) juga dianggap tindakan mengingkari.
Malah, dosa yang besar adalah menyekutukan Allah SWT. Dan sesungguhnya telah
diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu
daripadamu: "Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu)
mempersekutukan (sesuatu yang lain daripada Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan
engkau akan tetap menjadi daripada orang yang rugi. (Surah az-Zumar: 65)

Allah SWT sentiasa mahu orang beriman bersepakat dalam urusan agama dan berpegang
teguh kepada tali Allah. Apabila sentiasa berpegang teguh kepada tali Allah, nescaya akan
menghalang seseorang tunduk kepada hawa nafsu. Malah, seseorang dituntut mengikuti kitab
suci serta mematuhi segala urusan agama (taqlid) yang sudah ditetapkan oleh para ulama
melainkan mempunyai bukti yang sangat kukuh.

Persaudaraan dalam kalangan kaum Muslimin wajib diutamakan dan memusuhi terhadap
orang yang zalim juga sangat dituntut. Seorang mukmin tidak digalakkan tinggal di tempat
secara terang-terangan menderhakai Allah SWT sehingga berlakunya perubahan. Dan
sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia
akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan
sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan Rasul-Nya,
kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di
sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah an-
Nisa:100)

Orang yang memahami ajaran agama tidak dibenarkan menyembunyikan apa-apa yang
diajarkan dalam kitab suci al-Quran. Selain itu, bukti dan dalil yang kukuh bukan bermakna
kita merujuk kepada mazhab atau pendapat sekumpulan ulama semata-mata. Sebaliknya, kita
wajib merujuk kepada orang yang betul-betul bijaksana serta memahami isi kandung al-
Quran dan Sunnah Nabi jika berlakunya perselisihan atau kurang faham.
Semoga Allah SWT melimpahi rahmat dan salam sejahtera ke atas Nabi SAW serta ahli
keluarganya. Tiada daya dan tiada kekuatan kecuali dengan pertolongan Allah semata-mata.
Segala puji bagi Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam.

Anda mungkin juga menyukai