Anda di halaman 1dari 10

BERCAKAP DENGAN JIN

RAKAMAN KEMBALI PENGALAMAN PENULIS BERSAMA


DATUKNYA

110. Kura-Kura Mata Hijau

Mat Prai berhenti melangkah secara mengejut. Dia menoleh ke


arah datuk dan saya dengan wajah yang pucat. Dia kelihatan
berada di dalam keadaan serba salah. Mat Prai seperti enggan
meneruskan langkah, dia seperti mahu berpatah balik ke pondok
durian. Badannya terus menggeletar seperti orang kena histeria.

"Kenapa Mat Prai," datuk segera menggoncangkan tubuhnya.

"Saya dah langgar pantang Ayah Alang."

"Nama orang itu tidak boleh disebut atau diberitahu pada orang, siapa yang langgar
pantangnya boleh kena penyakit gila babi, ramai orang yang menyebut namanya pada orang
lain jatuh sakit.," sebaik sahaja selesai Mat Prai bercakap dia terus rebah atas rumput. Paling
mengejutkan, bila Mat Prai terus baring atas rumput.

Dalam keadaan serba salah saya dongakkan muka ke langit melihat matahari yang
memancar terang sedangkan awan putih bergerak tenang di dada langit. Angin bertiup
menggugurkan dedaun kering. Datuk terus berusaha memberikan keyakinan pada Mat Prai
bahawa apa yang dipercayainya itu adalah karut. Tetapi, Mat Prai tidak mudah mahu
menerima apa yang datuk katakan itu.

"Aku nak tanya kamu satu perkara dalam dunia ini, baik di langit mahupun di bumi siapa
yang berkuasa dan siapa pula yang menghidupkan dan mematikan manusia," datuk
bertanya dengan lembut pada Mat Prai setelah semua usahanya yang dikemukakan pada
Mat Prai sebentar ditolak mentah.

"Tentulah Allah yang maha besar," jawab Mat Prai penuh keyakinan. Dia terus duduk
matanya menentang biji mata datuk.

"Kamu sudah tahu jawapannya, kalau sudah tahu kenapa kamu mesti takut dengannya.
Percayalah dia tidak ada kuasa," datuk memberikan semangat.

1
"Tapi, ramai percaya dengannya," Mat Prai kelihatan maish ragu-ragu. Datuk terus
gelengkan kepala sambil menarik nafas dalam-dalam. Memang terlalu sukar untuknya
memberikan semangat baru pada Mat Prai.

"Sekarang kamu sebut namanya berkali-kali, kamu maki dia. Aku nak tengok pantang
larangnya berkesan atau tidak," datuk mendesak Mat Prai. Cepat-cepat Mat Prai gelengkan
kepala, mukanya bertambah pucat. Dan datuk terpaksa bertindak lebih tegas supaya Mat
Prai mematuhi arahannya. Kali ini datuk tidak mahu meentang biji mata Mat Prai.

"Kamu nak ikut cakap aku atau aku tinggalkan kamu di sini. Biar aku balik ke kampung.

"Jangan, kerja Ayah Alang belum selesai lagi."

"Kalau kamu mahu aku selesaikan, dengar cakap aku."

"Baiklah Ayah Alang," ujar Mat Prai dan terus menyebut nama Suhaimi Keraba serta memaki
hamunnya dengan semahu hati.

"Berhenti Mat, berhenti."

Mat Prai pun berhenti memaki hamun Suhaimi Keraba. Saya yang sudah tidak sanggup
berdiri segera mencari tempat duduk. Sasaran saya ialah batang buruk yang melintang di
tepi denai.

"Sekarang kamu duduk diam," itu arahan datuk kepada Mat Prai. " Kita tunggu sampai
sepuluh minit, kalau benar-benar orang yang pantang namanya disebut itu berkuasa, dan
boleh mendatangkan bala kepada kamu, tentu kamu mengalami sesuatu," sambung datuk
sambil mengeluarkan jam saku dari bajunya.

"Nah kau tengok masanya," datuk menyerahkan jam saku kepada saya, "sampai sepuluh
minit beritahu aku." Saya segera patuh pada perintahnya itu.

CUKUP

Sepuluh minit sudah berlalu, tidak ada perkara yang tidak diingini terjadi pada diri Mat Prai.
Saya pulangkan jam saku kepada datuk. Sebelum jam itu disumbatkan ke dalam poket.
datuk melihatnya sejenak untuk memastikan sama ada kiraan sya tepat atau sebaliknya.

2
"Bagaimana Mat Prai? Kau tentu setuju kalau aku katakan yang orang itu tidak ada kuasa,"
bisik datuk ke telinga Mat Prai tetapi dengan lemah dia menggelengkan kepala.

"Kenapa Mat?"

"Sebabnya tak jadi kerana Ayah Alang ada pelindung diri, ada pemakai dan petua, sebab
itulah sumpahnya tak menjadi."

Datuk tunduk merenung bumi. Mat Prai segera berdiri. Panas terasa kian keras. Kulit dahi
dan muka saya terasa pedih.

"Kau selalu memikirkan perkara yang buruk-buruk. Engkau tahu kuasa Allah tetapi, engkau
tidak yakin pada-Nya inilah yang merosakkan diri kamu sendiri, kamu kata aku ada ilmu
pedinding, sebenarnya perkara yang kau sebutkan itu memang tidak ada pada aku. Apa
yang aku lakukan ialah minta perlindungan dari Allah," datuk mula memberikan
pendapatnya, dia tidak peduli sama ada pendapat itu dapat diterima oleh Mat Prai atau
sebaliknya. Pokoknya, dia harus menyedarkan diri Mat Prai yang terlalu percayakan pada
hal yang karut-marut.

"Bagi aku dia tidak ada kuasa, dia orang gila," cetus datuk.

"Baik Ayah Alang minta maaf padanya, kalau tidak susah diri Ayah Alang."

"Tak payah, dia bukan ada kuasa yang berkuasa ialah Allah, pergi jahanam dengannya.

Teruskan perjalanan, aku nak sampai ke rumah kamu cepat," tanpa rasa bimbang atau takut-
takut datuk terus bersuara. Mat Prai jadi termanggu-manggu dan serba-salah.

"Jalan cepat. Tak usah fikirkan tentang manusia gila yang tidak bermoral itu," datuk tolak
belakang Mat Prai. Antara mahu dengan tidak Mat Prai terpaksa meneruskan perjalanan.
Kami terus melalui beberapa buah dusun durian milik orang lain. Perjalanan selanjutnya
tidak ada perbualan. Antara kami bertiga, tiada seorang pun yang berminat mahu
bertanyakan itu dan ini. Masing-masing melayani khayalan diri sendiri.

"Aduh!"

3
Datuk yang berada depan saya terus membongkokkan badan. Kedua belah tangannya
menekan pangkal belikat sebelah kiri. Mat Prai segera memangku tubuh datuk agar jangan
tersembam ke bumi. Saya memicit belakang datuk.

"Kenapa tuk?"

"Ada orang baling benda tajam ke arah aku," jelas datuk.

Saya segera renung kiri kanan. Anak mata saya tertumpu ke arah bambu runcing sepanjang
dua kaki di hujung kaki kanan datuk. Buluh itu sudah patah dua dan bahagian yang
ditajamkan sudah hancur.

"Carikan aku Daun Dukung Anak," ujar datuk pada saya. Tanpa membuang masa saya
segera mencarinya. Dengan izin Allah Daun Dukung Anak yang melata di bumi itu saya
temui dekat pangkal pokok durian mati pucuk.

"Sapukan di tempat yang terkena buluh tu untuk membunuh bisanya," datuk keluarkan
arahan. Saya segera selak baju datuk. Memang ada garisan memanjang yang melukakan kulit
tubuh datuk. Darah mula keluar dari kult yang terkoyak itu.

"Aku dapat menepisnya, kalau tidak buluh itu tembus ke rusuk kiri," terang datuk sambil
menyuruh saya menghancurkan Daun Dukung Anak dengan telapak tangan. Atas
arahannya juga daun yang sudah hancur itu saya tampalkan ke tempat yang tergaris sesudah
membaca tujuh kali al-Fatihah serta sekali selawat.

Lebih dari sepuluh minit perjalanan kami berhenti. Bila datuk sudah pulih, kami meneruskan
perjalanan pulang. tetapi baru enam langkah Suhaimi Keraba muncul di depan kami dengan
beberapa batang buluh runcing di tangan kiri.

"Jangan di lawan"

Itu perintah datuk untuk saya dan Mat Prai. Peluh yang menguasai setiap sendi membuatkan
saya resah. Mat Prai melihat matahari yang terpacak di atas kepala.

"Tengah rembang, kata orang tua-tua alamat tak baik," bisik Mat Prai ke telinga saya.

"Entah," jawab saya.

4
"Diam jangan banyak cakap, kalau perbuatannya boleh mengancam nyawa kita, cepat-cepat
kita lari," datang lagi arahan dari datuk. Saya dan Mat Prai anggukkan kepala. Datuk juga
menyuruh kami berdiri sebaris menentang wajah Suhaimi Keraba.

"Kamu yang jadi kepala samseng memaki hamun aku. Tak sedar diri masuk kampung orang
nak berlagak ayam jaguh," kata-kata itu ditujukan oleh Suhaimi Keraba ke arah datuk.

"Kamu jadi baruanya," jari telunjuknya mengarah ke wajah Mat Prai. Suhaimi Keraba terus
berlegar-legar di depan kami. Sesekali dia mencabut keris panjangnya. Dua tiga kali
diacukannya ke arah saya.

"Aku yang merejamkan buluh tajam kepada kamu, aku sakit hati kerana kamu mencaci dan
memperkecilkan aku, apa yang kamu katakan pada aku semuanya dapat aku dengar,"
Suhaimi Keraba mula memperlihatkan taringnya. Dan Mat Prai terus merenung ke arah
datuk, seolah-olah engatakan yang cakapnya sebentar tadi adalah benar.

Melihat kami semuanya membisu dan tidak kisah membuatkan Suhaimi Keraba naik angin.
Dia mula memaki hamun datuk dan menyifatkan datuk dari keturunan orang yang tidak
bertamadun. Datuk tetap membisu. Setelah menggunakan pelbagai cara tetapi datuk tetap
bersikap dingin. Tidak mahu memulakan pergaduhan. dia mula menyerang datuk dengan
buluh runcing. Dia merejam sepuluh batang buluh runcing ke arah kami. Satu kebolehan
yang di luar kemampuan manusia biasa. Saya kira ada tenaga lain yang membantu Suhaimi
Keraba. Bagi menyelamatkan diri, saya dan Mat Prai terpaksa berlindung di balik pokok
durian.

Datuk tidak berganjak dari tempat dia berdiri. Tegak di situ sambil berpeluk tubuhnya.
Kedua belah matanya dirapatkan cuma kelopak bibirnya sahaja bergerak seperti menyebut
sesuatu.

Lebih dari empat batang buluh runcing direjamkan oleh Suhaimi Keraba kepada datuk.
Tidak satupun yang mengenai tubuh datuk. Semuanya menyimpang ke arah lain. Ada yang
melekat pada pokok pisang hutan, terbenam ke bumi dan sebagainya. Suhaimi Keraba
berhenti dari melakukan sesuatu pada datuk. Dia termenung sejenak. Datuk tetap berdiri
dalam keadaan berpeluk tubuh. Suhaimi Keraba terus memintas arah belakang datuk sambil
membalingkan buluh runcing secara curi. Tetapi, sebelum hujung buluh runcing menjamah
kulit, terlebih dulu untuk menyambarnya. Buluh runcing itu segera dibenamkan oleh datuk

5
ke bumi. serentak dengan itu Suhaimi Keraba menjerit. Kedua belah tangan tergapai-gapai
seolah minta tolong. Suhaimi Keraba jatuh ke bumi.

Perlahan-lahan datuk membuka kelopak mata sambil menjatuhkan sepasang tangan yang
memeluk tubuhnya. Datuk merenung ke arah Suhaimi Keraba yang tertiarap ke bumi.
Berhempas pulas berusaha untuk bangun berdiri.

"Bangunlah, sahabatku," kata datuk.

Suhaimi Keraba merenung marah ke arah datuk. Dalam rasa cemas dan takut itu dia berjaya
melepaskan diri.

"Kekuatan sahabat tidak sejauh mana. Tidak dapat melawan kekuasaan Allah yang mencipta
diri saudara dan saya, yang memberikan nyawa pada kita," ujar datuk lagi.

"Hisss..." desis Suhaimi Keraba.

"Saudara sudah sesat, kerana sesat itulah hidup saudara dikuasai nafsu syaitan."

"Sudahlah." Balas Suhaimi Keraba.

Terima kasih, saya tidak berniat mahu bermusuh dengan saudara, saya mahu bersahabat,"
datuk hulurkan tangan ke arah Suhaimi Keraba.

"Kamu bukan orangnya," Suhaimi Keraba menolak.

"Saudara, kita mahu bersahabat."

"Tidak ada masa untuk bersalam dan bersahabat dengan orang yang tidak berilmu," Suhaimi
Keraba mula mencemek.

Saya dan Mat Prai keluar dari tempat persembunyian.Kami segera mendekati datuk yang
kelihatan begitu tenang menghadapi cemuhan yang dilemparkan oleh Suhaimi Keraba
terhadap dirinya.

"Saya tahu sejauh mana ilmu yang ada dalam dada saudara," kata datuk dalam nada suara
yang lembut dan mengharapkan akan terjalin tali persahabatan antaranya dengan Suhaimi

6
Keraba. Ternyata Suhaimi Keraba tidak mempedulikan harapan dan cita-cita datuk. Dia terus
melangkah kami dengan wajah seribu dendam. Kami meneruskan perjalanan pulang. Sampai
di rumah Mat Prai disambut oleh isterinya dengan pelbagai pertanyaan. Kenapa kami lambat
sampai. Mat Prai memberi jawapan yang kami singgah ke rumah beberapa orang kenalan.
Ternyata alasan itu dapat diterima oleh isteri Mat Prai.

Makan nasi durian memang menyelerakan. Itu pengalaman yang menyeronokkan ketika
makan nasi durian waktu tengah hari di rumah Mat Prai. Tetapi apa yang kurang
menyeronokkan ialah sikap datuk yang sering mengingatkan agar saya agar makan
'secukup kenyang!' satu ingatan yang boleh mematikan selera makan saya.

Tetapi saya masih beruntung Mat Prai memberika kerjasama yang baik. Bila dia melihat
pinggan yang kosong. Secara sembunyi-sembunyi dia menaruh nasi durian ke dalam
pinggan saya dan datuk tidak dapat berbuat apa-apa. Tengah hari itu, saya makan betul-
betul. Lepas makan saya tersandar di dinding dan datuk cuma terdaya menjeling marah ke
arah saya.

KECIL

Pada petang itu, saya diajak oleh Mat Prai berjalan-jalan sekitar pekan kongsi yang kecil.
Saya ditunjukkan kawasan pasar tempat orang menjual buah dan jeruk buah pala. Saya juga
dibawa ke kawasan hutan kecil yang menurutnya tempat pelanduk berehat. Tempat tersebut,
bertahun-tahun kemudiannya tekah dijadikan ladang ternakan buaya ( kini khabarnya
ladang buaya itu sudah diberhentikan atas arahan pihak berkuasa demi keselamatan orang
ramai)

Lebih kurang pukul empat dua puluh lima minit petang, saya dan Mat Prai kembali ke
rumah. Kami dapati datuk tiada di rumah. Kata isteri Mat Prai, tidak lama setelah kami
meningalkan rumah, datuk terus menuju ke arah masjid. Saya dan Mat Prai terus ke masjid.
Cakap isterinya memang benar. Datuk duduk tertonggok di tengah ruang masjid membaca al
Quran.

Oleh kerana waktu Asar sudah hampir tiba, kami terus mengambil air sembahyang dan
melakukan sunat tahyatul masjid. Sepuluh minit kemudian waktu Asar pun sampai bilal
terus memukul beduk dan seterusnya melaungkan azan. Dalam kesempatan itu juga Mat
Prai memperkenalkan datuk dengan iman masjid tersebut.

7
Setelah menunaikan sembahyang Asar datuk terus berborak dengan imam yang usianya lima
atau sepuluh tahun lebih tua dari datuk. Dari Imam tersebut datuk memperolehi cerita yang
terperinci tentang dir Suhaimi Keraba serta kejadian aneh yang berlaku di dusun durian
beberapa orang penduduk.

"Setahu saya kejadian itu sudah berkurangan, kalau adapun terjadi kerana pemilik dusun
durian tidak mahu mematuhi nasihat kami."

"Apa nasihatnya Pak Imam?" Tanya datuk.

"Perbuatan tu, perbuatan syaitan kita lawan ikut suruhan Allah," Pak Imam bersuara lemah.
"Dari dulu lagi kalau ada kejadian macam tu, kami baca yasin tujuh malam di dusun orang
malang, kemudian kami ingatkan pemilik dusun supaya membayar fitrah kalau
memperolehi pendapat lebih, itu saja syaratnya," sambung Pak Imam.

"Hasilnya bagaimana Pak Imam?" Tanya datuk.

"Dengan izin Allah berjaya. Melainkan orang tak mahu ikut nasihat, tidak mahu
sembahyang, tidak mahu berpuasa dan mengambil hak orang sebagai milik sendiri.

"Pak Imam tahu durian di dusunnya, dikacau makhluk ganjil," datuk terus menepuk bahu
Mat Prai yang berada disisinya. Pak Imam renung muka Mat Prai.

"Dia ni cuma datang dan balik ke kampung bila dekat musim durian, jadi dia tidak tahu apa
yang berlaku, selain dari dusun ini, ada seorang dua yang dusun mereka kena kacau," ujar
Pak Imam dengan wajah yang selamba. saya menoleh ke arah Mat Prai. Dia tersenyum
tersipu-sipu, cuba menyembunyikan rasa malunya. Rahsia dirinya telah terbongkar.

"Dulu dia bawa bomoh siam nak halau hantu di dusunnya. Hasilnya tak ada apa-apa. Saya
hairan kenapa Si Mat ni tak mahu mengadu pada saya, tak mahu berbincang dengan orang-
orang kampung, pada hal saya kenal dirinya dari datuk neneknya lagi. Dia orang sini," Pak
Imam meluahkan suara hatinya. Mat Prai tunduk tidak berkata apa-apa pun.

MESRA

Sebelum berpisah datuk bersalaman dengan Pak Imam dengan penuh mesra. Datuk sempat
memujuk Pak Imam supaya turut sama pergi ke dudun durian Mat Prai. Pada mulanya Pak

8
Imam itu menolak permintaan datuk. Setelah didesak barulah Pak Imam itu mahu ikut serta
ke pondok Mat Prai. Malam itu, setelah selesai menunaikan sembahyang Isyak di masjid,
saya dan datuk serta Pak Imam terus menuju ke pondok durian Mat Prai. Mat Prai pergi
lebih awal dari kami. Perjalanan kami lancar tidak mengalami sebarang gangguan yang aneh.
Sampai di pondok, Mat Prai menyambut kami dengan hidangan air kopi panas. Dua pemuda
dari Pulau Betung yang menunggu dusun durian pada sebelah siang segera pulang. Kali ini
datuk melakukan sesuatu di luar dugaan saya. Mat Prai dan saya disuruh duduk di luar kira-
kira dua puluh kaki jaraknya dari pondok asal. Di situ datuk dirikan empat batang tiang dan
atapnya dibuat dari daun-daun hutan yang lebar. Tidak sampai dua jam datuk berusaha
mendirikan pondok yang bentuknya macam pondok mainan kanak-kanak. Kami disuruh
duduk di situ. Manakal datuk dan Pak imam duduk di pondok besar. Mereka terus membaca
Quran.

Saya tidak mahu berada jauh dari Mat Prai. Ke mana sahaja Mat Prai bergerak di situ saya
berada. Kami mendengar bunyi buah durian jatuh tetapi, saya atau Mat Prai tidak berhasrat
mahu mengutipnya.

"Ular," jerit saya.

Biji mata Mat Prai terbeliak melihat seekor ular hitam sebesar lengan budak berusia lapan
tahun. Panjangnya kira-kira dua kaki. Ular itu terus menuju ke arah pelita minyak tanah. Mat
Prai ambil kayu memukul ular itu, kena tepat pada bahagian belakangnya.

Ular itu panggungkan kepala lalu mematuk pelita minyak tanah. Kami berada dalam
kegelapan. Saya raba sana, raba sini, cari kotak mancis. Barang yang saya cari ditemui.
Sumbu pelita menguasai ruang pondok, jelas kelihatan ular hitam menyusup di bawah
dedaun kering dan terus ghaib entah ke mana. Tempat ular itu hilang segera diganti oleh
seekor kura-kura yang warna kulitnya kuning keemasan.

Biasanya kura-kura bila terdengar suara atau melihat orang akan menyorokkan kepalanya.
tetapi kura-kura yang datang mendadak di pondok kami terus menjulurkan kepalanya
sambil memakan dedaun kering. Mata kura-kura aneh itu nampak tersembul dan
mengeluarkan cahaya hijau.

"Kenapa semuanya mesti terjadi masa datuk kamu tak ada bersama kita, kubunuh kura-kura
laknat ni," Mat Prai mula marah dan terus mahu memukul belakang kura-kura dengan kayu
yang digunakan untuk memukul ular.

9
"Jangan."

"Kenapa Tamar?"

"Biarlah dia pergi sendiri."

"Hum..." Mat Prai mengeluh lalu menghempaskan kayu di tangan dengan sekuat hati.

Saya hanya diam sahaja. Kura-kura yang menjulurkan kepalanya masuk ke dalam badannya.

10

Anda mungkin juga menyukai