Anda di halaman 1dari 11

BERCAKAP DENGAN JIN

RAKAMAN KEMBALI PENGALAMAN PENULIS BERSAMA


DATUKNYA

111. Kelawar Hisap Darah

KALAU diturutkan rasa hati, mahu saja saya menyepak kura-kura


yang tertonggok macam besi buruk itu. Akhirnya saya sedar,
bahawa saya tidak boleh bertindak atau melakukan sesuatu
dengan sewenang-wenangnya di malam yang kian dingin.

“Macam mana kalau aku campakkan kura-kura ini keluar,” Mat


Prai mempamerkan kemarahan. Sepasang matanya segera
diarahkan ke arah belakang kura-kura. Mat Prai terus
membongkokkan badannya sambil berusaha mahu memegang
badan kura-kura.

“Jangan.”

Saya segera menyergah. Mat Prai terus menegakkan badannya semula.

“Kenapa Tamar?”

“Biar dia pergi sendiri. Saya bimbang ini bukan kura-kura betul, agaknya ini kura-kura
jelmaan,” tutur saya lagi.

Dedaun hutan yang dijadikan atap pondok mula bergerak-gerak, malah ada yang jatuh ke
tanah akibat disentuh angin.

Aneh! Angin yang bertiup lembut secara mendadak bertukar menjadi keras. Saya terdengar
reranting tua jatuh bertalu-talu ke tanah. Saya dan Mat Prai terdengar bunyi suara tupai.

Semuanya mengundang kecemasan dalam diri. Ganjil sekali, bila tupai berbunyi malam.
Dalam rasa serba salah dan takut itu, terdengar suara harimau mengaum. Beberapa ekor
kelawar berterbangan dalam pondok.

Salah seekor dari kelawar itu jatuh di depan saya dan Mat Prai. Jarak kelawar itu dengan
badan kura-kura kira-kira tiga hasta saja. Bentuk kelawar yang jatuh itu agak berbeza dengan
kelawar-kelawar yang biasa saya lihat.

Bentuk badannya agak besar, sayapnya juga agak lebar. Bulunya berwarna kekuningan dan
biji matanya tersembul seperti memancar-mancarkan cahaya api.

“Kamu tengok giginya.”

Saya segera mengarahkan mata ke arah yang disebutkan oleh Mat Prai. Darah saya tersirap
melihat muncung kelawar yang bentuknya macam muncung babi hutan. Giginya yang putih
dan besar menyeringai ke arah saya.

“Ini kelawar puntianak jenis penghisap darah, “ kata saya pada Mat Prai.

“Berbahaya,” jawab Mat Prai cemas, “biar aku bunuh Tamar.”

Sebaik Mat Prai selesai bersuara, kelawar di depan kami terus berbunyi dengan nyaring.
Kedua belah kepaknya dikembangkan dan terus terbang, berpusing-pusing dalam pondok
kecil. Dan kura-kura terus hulurkan kepalanya, seolah turut menyaksikan apa yang
dilakukan oleh kelawar itu..

KELAM

Dalam keadaan yang kelam kabut itu, saya lemparkan pandangan ke arah luar pondok.
Malam yang gelap pekat itu membuat saya tidak dapat melihat apa-apa pun. Deru angin
terus mengasak lubang telinga di samping bunyi telapak kaki manusia memijak reranting
dan dedaun kering di setiap sudut pondok.

“Panggil datuk kamu, Tamar”

Mat Prai keluarkan cadangan. Saranan itu tidak dapat saya terima. Terlalu awal rasanya
untuk menyampaikan perkara ini pada datuk. Biarlah datuk dan Pak Imam menyelesaikan
urusan mereka. Bila melihat saya tidak memberikan sebarang reaksi, Mat Prai mengulangi
pertanyaannya lagi.

“Tak payah.” kata saya tegas.

Terbayang kehampaan di wajah Mat Prai. Tetapi, kehampaan itu segera digantikan oleh rasa
cemas dan terkejut yang amat sangat. Kura-kura ganjil bergerak dan hilang dengan sekelip
mata.

“Dia datang.”

Mat Prai arahkan telunjuk kepada kelawar secara mendadak muncul kembali dalam pondok.
Kelawar itu terus berlegar-legar dalam pondok..

Kelawar itu terus menerkam ke arah pelita minyak tanah ambil mengembangkan sayapnya
lebar-lebar. Bila berada betul-betul di atas muncung api pelita minyak tanah, kelawar itu
terus memukulkan kepaknya ke arah sumbu pelita. Api pelita padam dengan serta-merta.
Saya bertambah menggelabah, badan terus menggeletar.

“Aduh..tolong..”

Suara Mat Prai meninggi. Saya terus berusaha mencari mancis api. Raba sana, raba sini,
Mancis tak juga ditemui. Mat Prai terus mengerang kesakitan.

“Muka aku berdarah, Tamar.”

"Kenapa?”

“Dicakar kelawar, eh kelawar itu cuba gigit batang leher aku. Tolong aku.. ah..” suara Mat
Prai terus berhenti, saya terdengar tubuhnya jatuh ke tanah lalu dituruti dengan bunyi
pergelutan yang hebat di malam yang gelap.

Saya terus menyeru nama Mat Prai berkali-kali. Sayangnya saya tidak menerima sebarang
jawapan. Apa yang saya dengar ialah tarikan nafas Mat Prai tercungap-cungap. Saya tidak
boleh berdiam diri, mesti bertindak untuk menyelamatkan Mat Prai. Saya mula meraba-raba
ke arah badan Mat Prai. Lain yang saya raba dan saya cari, lain yang saya dapat. Mancis api
sudah berada dalam tangan saya.

Anak mancis saya lagakan di badannya. Api pun memancar dan sumbu pelita segera saya
bakar. Kawasan sekitar terang benderang. Anak mata saya melilau mencari tubuh Mat Prai.

“Ya Allah.” jerit saya.


Mat Prai terlentang mukanya berdarah bersama dengan calar-calar. Bajunya habis koyak-
rabak, saya lihat di batang tengkuknya ada benda hitam sebesar telapak tangan. Saya segera
mendekatinya. Tanpa membuang masa saya terus membaca petikan ayat-ayat Al-Quran
untuk menghalau syaitan. Selesai membacanya, saya seperti memperoleh sebuah kekuatan
yang agak luar biasa. Saya tidak takut dan cemas. Bunyi-bunyi yang menakutkan sekitar
pondok terus hilang. Begitu juga dengan kelawar aneh, tidak kelihatan lagi.

PANGKAL

Perlahan-lahan saya pangku kepala Mat Prai. Kemudian saya heret tubuh Mat Prai keluar
dari pondok. Saya sandarkan ke pangkal pokok yang tidak saya ketahui jenisnya. Dedaun
kering dan reranting yang bersepah sekitar pangkal pokok saya kumpulkan.

“Kuku kelawar cukup bisa, semua kulit muka terasa pedih.” Ratap Mat Prai, saya segera
anggukkan kepada. Darah di mukanya saya kesat dengan kain yang saya koyak dari hujung
baju. Dengan diterangi oleh sinar lampu minyak tanah, saya dapat melihat betapa dalamnya
cakaran dari kuku kelawar aneh di muka Mat Prai.

“Tunggu” Itu yang saya ucapkan padanya.

“Kau nak ke mana, Tamar? Kau nak panggil datuk kamu?

“Ya” saya anggukkan kepala. Tanpa membuang masa saya terus membakar longgokan
dedaun kering dan reranting. Dengan sekelip mata, api terus marak.

Seluruh kawasan di bawah pokok terang benderan, macam siang. Cengkerik dan katak puru
yang berlompatan jelas kelihatan. Mat Prai agak terkejut dengan apa yang saya buat. Dia
terus berdiri sambil memeluk pangkal pokok.

“Kenapa kau buat semuanya ini, Tamar? Kau nak bunuh aku atau kamu kerasukan syaitan?”

“Bukankah kita memerlukan datuk? Inilah cara memanggilnya”

“Hiss, kamu, kenapa tidak kau laungkan saja dari sini?”

“Ada pesan datuk untuk saya”


“Pesan?” Mat Prai bertambah terkejut. Dia merasakan yang saya mahu mempermainkan
dirinya.

“Apa pesan datuk kamu, budak syaitan?” jerit Mat Prai. Kemarahannya sudah tidak dapat di
kawal lagi. Dari gerak-gerinya meyakinkan hati saya yang Mat Prai mahu melakukan sesuatu
terhadap saya. Dia yakin saya sudah kemasukan syaitan.

“Eh, budak syaitan apa pesan datuk kamu?” dalam keadaan terhuyung-hayang kerana
menahan kesakitan. Mat Prai segera mendekati saya.

“Kata datuk, jangan laungkan namanya waktu dinihari, lebih-lebih lagi dalam masa
kecemasan, nanti syaitan tumpang menyahut” jelas saya dengan tenang. Mat Prai tidak jadi
melangkah untuk mendekati saya.

Perlahan-lahan Mat Prai undur lalu bersandar di perdu pokok dengan sepasang matanya
tertumpu ke arah dedaun dan reranting kering yang dimamah api.

Nampaknya Mat Prai mula yakin yang diri saya tidak dirasuk syaitan. Dengan keadaan
terhuyung-hayang Mat Prai terus mengutip dedaun kering dan reranting lalu
dicampakkannya ke dalam api yang sedang marak.

“Eh! Kenapa Tamar?”

Darah saya tersirap. Bahu kanan saya dipaut dari arah belakang. Reranting kayu dalam
genggaman saya segera terlepas. Jatuh berserakan di hujung kaki.

Angin malam terus bertiup, bersama bunyi cengkerik dan jeritan burung hantu yang
memanjang. Lolongan anjing yang sayu dan memanjang menegakkan bulu tengkuk.

“Eh, kenapa Tamar?”

Ulang datuk untuk kedua kalinya sambil menatap wajah saya yang berada dalam keadaan
terkejut. Tidak dapat saya pastikan dari arah mana datuk muncul.

Walau bagaimanapun, kedatangannya amat menggembirakan hati saya dan Mat Prai. Segera
saya mendekati datuk untuk menerangkan keadaan sebenar. Belum pun sempat saya
melakukan sesuatu, Mat Prai terus memeluk datuk.
“Kenapa dengan muka kamu?” tanya datuk lalu memimpin Mat Prai ke kawasan yang agak
samar-samar. Datuk terus dudukkan Mat Prai di situ. Datuk kesat kesan darah di muka Mat
Prai dengan sehelai daun lebar yang dipetik dari sebatang pokok di sebelah kanan tempat
datuk duduk bertinggung.

“Muka saya dicakar kelawar besar, Ayah Alang” nada suara Mat Prai yang keras dan
meninggi itu membayangkan dirinya memiliki semangat baru, akibat kehadiran datuk di
sisinya. Datuk terus menatap dengan teliti cakar-cakar di muka Mat Prai.

“Kukunya tak berapa dalam terbenam dalam daging muka kamu. Bisanya juga tak seberapa”
tutur datuk lagi sambil menekankan hujung jari kelengkeng ke pipi Mat Prai.

Setiap kali hujung jari datuk ditekan, kedua belah kelopak mata Mat Prai kelihatan mengecil
menahan rasa sakit. Anehnya! Mat Prai tidak memperlihatkan sebarang tindak balas
terhadap perbuatan datuk itu, meskipun, perbuatan datuk itu mendatangkan rasa sakit pada
dirinya.

Agaknya, kelawar yang menyerang saya itu, kelawar jadian yang sudah dipuja” sambil
menarah rasa sakit, Mat Prai bersuara tersangkut-sangkut. Datuk tidak memberikan sebarang
jawapan. Jari telunjuk datuk terus berlari atas permukaan kulit muka Mat Prai.

“Kita hanya berusaha dan berdoa, untuk menyembuhkannya adalah milik Allah yang Maha
Pengasih dan Penyayang” kata datuk tenang. Dia berhenti menyentuh kulit pipi Mat Prai
dengan hujung jari telunjuknya.

TIUP

Angin malam terus bertiup, lolongan anjing liar di kali bukit bersama nyanyian burung
hantu, bertalu-talu memukul gegendang telinga. Di celah-celah suara anjing dan burung
hantu itu masih saya dapat dengar suara Pak Imam membaca surah Yasin.

"Taruhkan lagi daun dan ranting kering dalam api tu” datuk mengeluarkan arahan.
Cakapnya segera dipatuhi. Api terus marak, kawasan sekitar terus terang benderang.

Dengan pertolongan cahaya api, datuk terus memilih pepucuk daun yang hijau. Jumlahnya
lebih kurang dua puluh helai. Pepucuk itu dijadikan empat longgok dan setiap longgok
mengandungi lima helai. Longgokan itu diletakkan sederet di depannya sambil duduk
bertinggung datuk terus menepuk kedua belah tapak tangannya tiga kali berturut-turut.
Mulutnya kelihatan bergerak-gerak semacam membaca sesuatu. Mat Prai seperti menerima
arahan tertentu terus duduk berdepan dengan datuk.

“Di depan kamu ada lima longgok pucuk daun yang baru aku petik. Sekarang, kamu
pejamkan kedua belah mata. Kemudian kamu pegang salah satu longgok daun tu dan
serahkan kepada aku, faham tak apa yang aku cakapkan?” tutur datuk kepada Mat Prai.

“Faham” sahut Mat Prai sambil merenung ke arah saya yang telah mencampakkan dedaun
dan reranting kering ke dalam api yang kian membesar.

Muka saya mula terasa panas akibat terkena bahang dari api yang saya nyalakan. Di malam
yang dingin itu badan saya mula diruapi peluh-peluh halus, tetapi, tangan tidak berhenti
melontarkan ranting kering ke dalam api. Bara api yang terkena ranting terus mengeluarkan
percikan bunga api, naik ke udara.

“Mulakan sekarang” kata datuk.

“Sekarang?” Mat Prai seperti terkejut. Dia memang tidak menduga secepat itu datuk
menyuruh dia melakukan tugas tersebut.

Bila melihat Mat Prai agak keberatan dan ragu-ragu untuk mematuhi perintahnya, datuk
terus bersuara dengan lantang dan garang.

“Pejamkan mata, buat apa yang aku suruh!”

“Baiklah Ayah Alang. Tapi saya takut ada sesuatu yang buruk terjadi”

“Tak apa, buatlah apa yang aku suruh,” nada suara datuk cukup lembut. Matanya penuh
simpati merenung ke arah muka Mat Prai. Mungkin untuk memberikan semangat (pemulih)
datuk terus meraba cuping telinga Mat Prai tiga kali berturut-turut. Hasilnya, Mat Prai
kelihatan lebih agresif dan berani. Mukanya nampak merah.

“Saya mulakan sekarang Ayah Alang”

“Silakan Mat Prai”


Mat Prai terus duduk bersila. Kedua belah kelopak matanya dicantumkannya. Sepasang bibir
bergerak mengucapkan Bismillah.. Tangan kanannya bergerak dan akhirnya menyentuh
longgokkan pepucuk daun yang terletak dilonggokkan ketiga di sebelah kiri.

Diserahkannya pada datuk. Datuk hanya mengambil sehelai sahaja untuk diletakkan atas
kepala lutut kanan. Selebihnya datuk letak di bawah paha kiri.

“Saya boleh buka mata sekarang Ayah Alang?”

“Tak boleh kecuali bila aku suruh”

“Saya tak sanggup Ayah Alang,” kata Mat Prai tersekat-sekat.

“Macam-macam yang saya lihat dalam mat ni, semuanya menakutkan,” sambung Mat Prai.
Kedua belah tangannya merewang ke kiri dan ke kanan. Dahinya terus berkedut, kedua
belah bulu keningnya hampir bertemu, membayangkan rasa takut dan cemas melihat sesuatu
yang amat menakutkan.

“Sekarang di depan kamu ada empat longgok lagi. Aku mahu kamu ambil satu persatu dan
serahkan pada aku, macam kamu buat tadi,” datuk mengingatkan Mat Prai.

“Baik Ayah Alang.”

Mat Prai terus mencakup longgokan itu satu persatu. Diserahkan kepada datuk. Macam tadi
juga, datuk hanya mengambil sehelai saja. Manakala bakinya datuk letakkan di bawah peha.

Bila sudah cukup lima helai pucuk daun hutan berada di atas kepala lutut datuk, dia segera
membongkokkan badannya untuk mengambil pucuk dedaun hutan itu dengan mulut.

SABAR

Dengan sabar Mat Prai menanti arahan dari datuk untuk membuka kelopak matanya,dan
saya lihat tidak ambil kisah dengan Mat Prai yang tertonggok di depannya.

Dia seolah-olah menganggap Mat Prai bagaikan tidak wujud di depannya. Pucuk daun
berubah tempat, dari atas kepala lutut ke telapak tangan datuk. Pucuk-pucuk daun itu datuk
ramas hingga mengeluarkan air kental yang berwarna kehijau-hijauan dan berlendir. Air
disapukan oleh datuk ke muka Mat Prai.

Hampas dari pepucuk yang diramas itu ditampalkan ke kulit muka Mat Prai. Tidak memadai
dengan itu, datuk terus melekapkan daun yang disimpan di bawah paha kiri ke muka Mat
Prai.

“Sekarang buka mata kamu.”

Mat Prai membuka matanya. Saya ketawa kecil melihat wajah Mat Prai yang melucukan
dibalut oleh dedaun hutan. Cuma biji matanya saja yang bergerak. Tidak keterlaluan kalau
saya katakan yang muka Mat Prai tidak ubah macam muka orang pada zaman primitif.

“Kamu jangan gerakkan kulit muka, duduk diam di situ selama sepuluh minit. Mata kamu
renung ke langit,” kata datuk sambil bangun. Mat Prai resah sendirian dan saya tidak pernah
lupa dengan tugas mencampakkan reranting kering ke dalam api. Datuk mundar-mandir, di
depan api dengan kedua belah tangannya memeluk tubuh.

“Macam mana kalau kelawar tu datang menyerang saya. Ayah Alang tak benarkan saya
bergerak,” Mat Prai memprotes.

Datuk segera memalingkan muka ke arah Mat Prai. Dia seperti terkejut dengan pertanyaan
yang dikemukakan oleh Mat Prai itu. Kata-kata itu seolah-olah membayangkan keraguan
Mat Prai terhadap keupayaan datuk mengatasi masalah yang dihadapi.

“Tak apa Mat Prai, aku ada di sini,” balas datuk.

“Saya yakin kalu kelawar tu datang Ayah Alang tak boleh buat apa-apa, kelawar tu kelawar
jadi-jadian,” sanggah Mat Prai. Datuk menarik nafas panjang. Bersama sebuah senyuman dia
menjatuhkan sepasang tangannya lurus ke bawah.

“Oooppp...”

Datuk melompat sambil membuka buah silat dengan kedua belah tulang sikunya menghala
ke arah sepasang biji mata sebesar buah pinang dara. Pokok-pokok renek di depannya
bergerak seperti dirempuh sesuatu.
“Harimau,” kata saya cemas.

Seekor harimau sebesar lembu jantan yang cukup dewasa berada di depan datuk. Harimau
itu tidak mengaum tetapi, membuka mulutnya perlahan memperlihatkan dua batang siung
yang putih dan besar. Bahagian dagu harimau bergerak-gerak.

Harimau yang tidak di undang itu merendahkan badannya dengan sepasang kakinya
dilunjurkan ke depan sementara kedudukan kaki belakangnya tidak berubah. Saya kira
harimau itu mahu melakukan satu lompatan yang kencang untuk menerkam ke arah batang
tengkuk datuk. Andainya datuk tidak dapat mengelakkan terkaman pertama sudah pasti
leher datuk patah. Di saat itu saya memikirkan hal itu, harimau besar terus melakukan satu
lompatan.

Datuk mengelak ke kiri, harimau terus menerkam. Elak ke kanan harimau menerpa tanpa
tangguh-tangguh. Datuk dan harimau terus bersilat. Tamparan harimau dapat datuk elakkan
dengan berguling di tanah. Datuk menggolekkan tubuhnya ke arah api yang marak.
Bagaikan kilat datuk menyambar ranting yang dimakan api. Datuk segera bangun, harimau
terus melompat melepasi kepala datuk.

Ketika harimau berada di udara dan bahagian perutnya betul-betul berada di atas kepala
datuk, tanpa membuang masa datuk terus melakukan tindakan mengejut. Dia terus
bertinggung sambil meletakkan ranting kayu terbakar atas bumi.

“Uhhh...”

Pekik datuk lalu mencapai ranting kayu. Secepat kilat ranting terbakar itu dijolokkan ke
bahagian perut harimau. Harimau terus mengaum dengan nyaring dan jatuh ke rimbunan
pokok-pokok renek dan akhirnya terus hilang. Ghaib entah ke mana.

Datuk terus bangun sambil menepis dedaun kering yang melekat pada bajunya. Dia renung
saya dengan senyuman kepuasan.

“Harimau sesat nak cari durian,” katanya dengan tenang melangkah mendekati Mat Prai
yang kelihatan kaku. Pada hemat saya, mungkin Mat Prai terkejut melihat kemampuan
datuk bersilat dengan harimau yang tidak di undang. Datuk terus menepuk bahu kanan Mat
Prai dua tiga kali. Mat Prai gerakkan tubuhnya lambat-lambat.
“Bangun.”

Dia segera bangun, patuh dengan perintah datuk. Mat Prai toleh kiri dan kanan.
Kebimbangan berkocak dalam dadanya.

“Kau bongkokkan badan macam orang rukuk sembahyang,” datang lagi arahan dari datuk.
Macam tadi, Mat Prai tetap mematuhi apa saja cakap datuk.

Anda mungkin juga menyukai