Anda di halaman 1dari 4

Modal Insan Cemerlang Pembangun Negara Gemilang Maju mundurnya sesebuah negara bergantung kepada rakyatnya.

Ungkapan tersebut menunjukkan betapa pentingnya modal insan sebagai pembangun sesebuah negara. Kecemerlangan modal insan menjadi satu revolusi negara kita dalam usaha melahirkan rakyat bermutu untuk pembangunan negara. Cetusan idea mantan Perdana Menteri kelima, YAB DatoSeri Abdullah Hj. Ahmad Badawi mengatakan bahawa dalam konteks global, modal insan cemerlang merupakan satu keperluan kepada negara.

Seseorang yang dikatakan sebagai modal insan perlulah memenuhi ciri-ciri iaitu seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek. Jika ditinjau dari segi jasmani, seseorang itu mestilah mempunyai tubuh badan yang sihat. Sebagai contoh, seseorang itu perlu mengamalkan gaya hidup yang sihat. Hal ini demikian kerana dengan adanya tubuh yang sihat, maka ia akan dapat meningkatkan produktiviti sesebuah negara. Dari segi intelek, seseorang itu mempunyai cara pemikiran yang matang, bernas dan positif agar dapat menjana idea untuk membangunkan negara. Melalui ilmu pengetahuan yang tinggi dapat melahirkan modal insan yang berpengetahuan dan produktif serta inovatif. Dari segi rohani dan emosi pula, seseorang itu perlu mempunyai hati yang mulia dan ikhlas. Melalui kekuatan pegangan agama dan penekanan kepada nilai-nilai murni maka akan melahirkan modal insan yang memiliki keperibadian yang baik dan terpuji. Hal ini demikian kerana pegangan agama yang kukuh akan menjadi panduan seseorang dalam membuat keputusan yang betul dalam kehidupannya. Oleh itu, modal insan yang diinginkan perlulah berilmu, dinamik, progresif, inovatif, kreatif, berdaya saing, berdisiplin dan bersemangat patriotik di samping mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi.

Dalam cabaran globalisasi yang penuh dengan persaingan kita memerlukan modal insan yang cemerlang. Modal insan merupakan tenaga kerja manusia yang menjadi aset kepada pembangunan negara. Mereka perlulah dilengkapi dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta memiliki nilai-nilai murni. Generasi muda yang menjadi benteng harapan negara dan pemimpin pelapis merupakan modal insan yang perlu dibangunkan. Merekalah yang bakal mentadbir negara dengan bijaksana. Mereka perlu mentadbir negara dengan mengekalkan kestabilan politik, mengukuhkan kemakmuran ekonomi, mengeratkan keharmonian antara kaum yang seterusnya membawa kepada kesejahteraan negara.

Namun begitu, wujudnya halangan dalam usaha melahirkan modal insan akibat kurangnya kesedaran dalam kalangan generasi muda. Mereka semakin lalai dan alpa dalam melaksanakan tanggungjawab kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara. Generasi muda kita terlalu mengagung-agungkan budaya hedonisme sehingga

hilang hala tuju. Lebih menyedihkan lagi, remaja terlibat dalam perlakuan negatif seperti vandalisme, salah laku, menagih dadah, lumba haram, melepak dan sebagainya. Tambahan pula, masyarakat kurang diberi pemahaman akan

kepentingan melahirkan modal insan dan tidak melibatkan diri dalam aktiviti yang dirancang.

Oleh itu, pelbagai usaha telah dirancang untuk melahirkan modal insan yang cemerlang. Kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) telah melaksanakan program pembangunan modal insan secara bestari. Pendekatan strategik yang digunakan termasuklah keupayaan keusahawanan, pengetahuan sains dan teknologi, memiliki sikap, nilai dan etika positif serta progresif menerusi pendidikan dan latihan. Sistem pendidikan dinaiktaraf untuk melahirkan modal insan

yang cemerlang. Buktinya, percambahan insititusi pendidikan awam dan swasta dalam negara bak cendawan tumbuh selepas hujan menawarkan pelbagai bidang ilmu kepada segenap lapisan rakyat. Hal ini demikian kerana kita memerlukan modal insan yang berilmu pengetahuan dan mahir serta profesional di samping membudayakan pembelajaran sepanjang hayat. Penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) turut diberikan penekanan untuk melahirkan tenaga pakar yang kreatif, inovatif serta berdaya saing. Integrasi antara ilmu pengetahuan dan penguasaan ICT akan membentuk modal insan berilmu dan berkemahiran yang

mampu menjana kepada kemajuan negara berasaskan acuan sendiri.

Selain itu, modal insan juga dapat dibentuk melalui aktiviti, program dan kempen yang berterusan. Penglibatan generasi muda dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), Latihan Biro Tatanegara dan Rakan Muda yang dianjurkan oleh pihak kerajaan mampu melahirkan modal insan yang memiliki semangat patriotik yang tinggi, gigih, amanah, berani, bertanggungjawab dan berdisiplin. Di sekolah pula, menerusi aktiviti kokurikulum nilai-nilai yang tersebut juga dapat dipupuk apabila pelajar digalakkan menyertai kelab dan persatuan unit beruniform. Di samping itu, kerajaan turut giat melaksanakan pelbagai kempen umpamanya Kempen Budi Bahasa dan Nilai-Nilai Murni sebagai usaha melahirkan modal insan yang berakhlak mulia.

Dalam usaha membentuk modal insan yang cemerlang, institusi kekeluargaan turut memainkan peranan yang penting. Institusi kekeluargaan merupakan asas kepada pembinaan sesebuah negara. Dalam hal ini, institusi keluarga perlu kukuh dengan pegangan agama, kasih sayang dan hubungan mesra untuk melahirkan keluarga yang bahagia. Hal ini demikian kerana keluarga yang bahagia mampu

mewujudkan persekitaran kondusif untuk anak-anak yang bakal menerajui negara membesar sebagai modal insan yang cemerlang. Oleh itu, ibu bapa merupakan suri teladan yang akan membentuk kain putih anak-anak.

Secara tuntasnya, dapatlah dirumuskan bahawa modal insan yang cemerlang merupakan elemen utama yang akan menjayakan wawasan negara mencapai kegemilangan. Bagi merealisasikan Malaysia maju mengikut acuan yang tersendiri, pembangunan modal insan secara menyeluruh dan bersepadu perlu dijalankan supaya dapat membentuk individu berketerampilan dan berkualiti dalam melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. (767 patah perkataan)

Anda mungkin juga menyukai