Anda di halaman 1dari 1

Usaha Melestarikan Kehijauan Bumi Pepohon yang dulu menghijau, kini kian pupus dan berganti dengan hutan

batu. Haruskah kita terus membutakan mata dan memekakkan telinga membiarkan arus globalisasi menghanyutkan segala-galanya? Selamat sejahtera saya ucapkan kepada yang mulia tuan pengerusi majlis, barisan panel hakim yang arif lagi adil, pengetua-pengetua, guru-guru dan warga dewan sekalian. Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan ialah Usaha Melestarikan Kehijauan Bumi. Hadirin yang saya hormati sekalian. Dedaun yang menghijau itu selama ini membolehkan kita terus hidup. Dalam proses fotosintesis, oksigen dibebaskan dan makanan tercipta. Hutan belantara yang luas itulah juga menjadi habitat pelbagai spesies flora dan fauna. Kehijauannya menjadi penghias bumi yang seterusnya menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara. Namun, disebabkan nafsu penghuni bumi yang asyik memikirkan kegunaan belantara dan keuntungan, maka hutan telah diteroka dengan rakusnya. Natijahnya, hutan semakin pupus dan timbulnya bencana alam seperti tanah runtuh dan banjir. Jadi, apakah langkah yang patut kita ambil untuk melestarikan kehijauan bumi ini? Hadirin sekalian, Menyedari peri pentingnya penghijauan bumi, pembangunan yang dijalankan perlulah diseimbangkan dengan perancangan yang rapi. Selain itu, usaha penanaman semula dan pewartaan hutan simpan perlu dilakukan secara proaktif. Penguatkuasaan undang-undang yang tegas serta hukuman yang berat juga hendaklah dijadikan balasan terhadap mereka yang bersalah. Generasi muda kini juga perlu diberi kesedaran melalui pelbagai kempen yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Hadirin sekalian, Slogan dan kempen yang dilaung-laungkan untuk menghijaukan bumi akan tinggal sebagai lagu dan nyanyian sekiranya tidak diseimbangkan dengan tindakan. Tidak mustahil kepupusan hutan akan berlaku seandainya kita masih berpeluk tubuh. Jangan sampai nasi menjadi bubur, jangan sesudah terhantuk baru terngadah! Marilah kita bersama-sama melestarikan kehijauan bumi demi warisan generasi yang akan datang. Sekian terima kasih

Anda mungkin juga menyukai