Anda di halaman 1dari 1

Kepentingan konsep bandar dalam taman terhadap negara dan

rakyat Malaysia
Kita perlu berbangga kerana negara kita merupakan negara yang mengutamakan pembangunan mesra alam
berkonsepkan bandar dalam taman.
Huraikan kepentingan konsep bandar dalam taman terhadap rakyat dan negara kita.

Kemajuan dalam aspek pembangunan dan perancangan bandar telah menemukan satu formula baharu untuk
mengekalkan kelestarian warisan alam. Konsep mengutamakan pembangunan negara yang mesra alam telah
menjadi satu unsur penting dalam pembangunan negara. Lihat sahaja pembanggunan di Shah Alam dan
Putrajaya yang membuktikan kesungguhan negara ini dalam mengetengahkan konsep bandar dalam taman
tersebut. Sebenarnya, konsep bandar dalam taman ini membawa banyak kepentingannya terhadap rakyat
dan negara.

Faedah utama yang dibawa oleh konsep bandar dalam taman ini melibatkan keupayaan negara menjaga
keseimbangan alam dan eskosistem dengan efektif. Keseimbangan ini berlaku kerana faktor kadar
penebangan hutan dengan kadar pertumbuhan hutan dijaga dengan baik oleh mana-mana pihak yang
membangunkan sesuatu projek pembangunan itu. Situasi ini menjamin kewujudan kehijauan alam sekitar
untuk satu tempoh yang lama buat sesuatu kawasan yang dibangunkan oleh kerajaan itu. Ringkasnya, pelan
pembangunan sesuatu kawasan dirancang dengan teliti kerana setiap pembangunan mengutamakan alam
sekitar.

Selain itu, pembangunan berteraskan konsep ini berupaya mengurangkan pencemaran alam dengan begitu
mudah. Semua pembangunan terutama yang melibatkan sistem pengangkutan awam mengutamakan istilah
mesra alam itu. Penggunaan bahan api dikurangkan untuk menjaga kualiti udara menerusi pembinaan sistem
transit aliran ringan yang berupaya menghubungkan mana-mana destinasi di sesuatu bandar itu dalam
tempoh yang pantas. Alam juga tidak tercemar kerana pembangunan mesra alam turut mengutamakan
pembinaan sistem pembetungan yang berkualiti untuk memastikan sumber air terutama untuk kegunaan
penduduk tidak tercemar.

Tambahan pula, pembangunan berteraskan bandar dalam taman akan menyediakan suasana kehidupan
yang berkualiti buat penduduk setempat. Semua aktiviti pembangunan dilakukan tanpa mengabaikan
keindahan alam sekitar yang sudah lama wujud tersebut. Landskap yang menarik dihasilkan oleh pihak
pemaju untuk menggantikan binaan hutan batu yang menjadi amalan utama dalam pembangunan sebelum
ini. Akibatnya, rakyat dapat menikmati keindahan alam di depan mata mereka tanoa perlu kembali ke
kampung halaman untuk melihat keindahan tersebut.

Kehidupan moden telah menyebabkan manusia semakin tertekan lalu usaha menjadikan konsep bandar
dalam taman satu realiti akan membantu rakyat negara ini menenangkan fikiran dan menghilangkan tekanan
kehidupan tersebut. Pelbagai kawasan riadah dengan kemudahan yang mesra pengguna dibina sehingga
menarik minat rakyat untuk beriadah sepanjang masa. Tindakan ini akan menjadikan kualiti kesihatan diri
dan mental rakyat menjadi bertambah baik untuk satu tempoh tertentu.  Lama-kelamaan, kehidupan
masyarakat di negara ini akan menjadi lebih tenang dan harmoni kerana negara mengutamakan
pembangunan yang seimbang dalam perancangan pemodenan itu.

Impak terakhir pelaksanaan konsep bandar dalam taman ialah negara ini akan menarik lebih banyak
pelancong terutama pelancong asing untuk melawat Malaysia. Golongan pelancong ini pastinya akan mudah
terpesona dengan keindahan dan kekreatifan perancang bandar negara ini dalam merancang sebarang
pembangunan tersebut. Pelancong akan memuji sikap rakyat negara ini yang begitu mengutamakan
kemodenan tetapi masih mengekalkan kehijauan dan keaslian alam sekitar yang sukar untuk diperoleh di
negara asal mereka itu. Sudah pasti apabila mereka kembali ke negara asal pelbagai cerita tentang
keindahan negara terutama kesungguhan rakyat Malaysia mengekalkan keseimbangan pemodenan dan alam
sekitar akan menjadi buah mulut masyarakat di sana.

Kesimpulannya, konsep bandar dalam taman perlu diwujudkan di negara ini dengan lebih banyak. Pelbagai
faedah timbul sama ada daripada segi ekologi dan ekonomi kepada rakyat serta negara ini secara tidak
langsung. Pembangunan negara ini hendaklah mengikut acuan kita sendiri kerana langkah sebegini
beruoaya menaikkan nama negara pada mata masyarakat dunia pula. Namun, sokongan rakyat amat
diperlukan untuk menjayakan pelaksanaan konsep sebegini bak kata pepatah bersatu teguh bercerai roboh
yang menekankan peri pentingnya kerjasama masyarakat dalam kehidupan moden ini.

Anda mungkin juga menyukai