Anda di halaman 1dari 1

FAEDAH GOTONG-ROYONG

Selamat sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis, barisan hakim yang arif lagi bijaksana, Guru
Besar, guru-guru, dan para hadirin. Pada pagi yang mulia ini, saya akan menyampaikan sebuah syarahan yang
bertajuk Faedah Bergotong-royong.
Mengikut Kamus Dewan, gotong-royong bermaksud tolong-menolong atau kerja bersama-sama. Aktiviti
gotong-royong masih banyak dilakukan di kampung-kampung dan kurang dilakukan di bandar pada masa ini.
Terdapat beberapa kebaikan amalan gotong-royong jika diamalkan dalam kehidupan seharian.
Hadirin yang dikasihi,
Amalan gotong-royong dapat memudahkan kerja yang kita lakukan. Dengan membuat kerja secara gotongroyong, kerja yang kita lakukan akan lebih senang. Contohnya, di kampung majlis perkahwinan biasanya
dibuat secara gotong-royong. Penduduk kampung akan membantu tuan rumah khususnya dalam kerja memasak
dan mendirikan khemah.
Selain itu, amalan gotong-royong juga dapat menjimatkan masa dan tenaga. Kerja yang dilakukan akan
mengambil masa yang lebih singkat jika dilakukan secara gotong-royong. Contohnya, gotong-royong dalam
membersihkan kawasan balai raya atau sekolah.
Hadirin yang dihormati,
Amalan gotong-royong juga membolehkan kita menjimatkan belanja. Dalam sesetengah keadaan, kita boleh
menjimatkan perbelanjaan sehingga lima puluh peratus. Sebagai contoh, jika sesebuah majlis perkahwinan
dibuat secara gotong-royong, kita tidak perlu membayar upah pekerja dan kos penyediaan makanan.
Di samping itu, aktiviti gotong-royong juga dapat memupuk nilai-nilai murni dalam kehidupan kita. Amalan
nilai-nilai murni ini amat penting dalam mewujudkan sebuah masyarakat yang bertanggungjawab. Antara
nilai-nilai murni yang dapat dipupuk dalam aktiviti gotong-royong ialah bekerjasama, bertolak ansur dan
kerajinan.
Para hadirin sekalian,
Amalan gotong-royong juga dapat mewujudkan perpaduan kaum. Perpaduan kaum amat penting di kalangan
rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama. Contohnya, dengan mengadakan gotongroyong bagi menjayakan Program Sambutan Bulan Kemerdekaan, perpaduan masyarakat akan terjalin
secara langsung atau secara tidak langsung.
Sebagai kesimpulan, aktiviti gotong-royong mempunyai beberapa faedah kepada masyarakat dan negara.
Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu Maufakat Membawa Berkat. Oleh itu, semua pihak
mestilah memainkan peranan dengan mengamalkan budaya hidup bergotong-royong ini dalam kehidupan
seharian.
Memandangkan masa tidak mengizinkan saya untuk terus berkata-kata, biarlah saya mengundurkan diri dahulu.
Sekian, terima kasih.

Anda mungkin juga menyukai