Anda di halaman 1dari 2

REFLEKSI Bagi memenuhi sukatan mata pelajaran BMM 3117, Kaedah Pengajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah, kami

telah dikehendaki untuk menyiapkan empat jenis tugasan oleh pensyarah mata pelajaran, Puan Noraisikin binti Ghazali. Saya telah melaksanakan tugasan yang diberikan ini bersama rakan, Muhd Ashraf Fahmi bin Mustafa dengan sebaik mungkin. Banyak ilmu pengetahuan dan penambahbaikan selain kekuatan dan kelemahan yang saya dapati melalui pelaksanaan tugasan yang diberikan. Tugasan yang diberikan terdiri daripada banding beza konsep strategi, pendekatan, kaedah dan teknik pengajaran dengan tepat, seterusnya menyediakan pakej aktiviti pengajaran harian dengan menyerapkan elemen-elemen bestari serta penulisan refleksi. Tugasan latihan atau kuiz pula dijalankan semasa atau selepas kuliah. Melalui tugasan membanding bezakan konsep strategi, pendekatan, kaedah dan teknik, saya berupaya memahami serta menjelaskan perbezaan antara kesemua konsep menerusi pemahaman yang dibina. Sepanjang membuat tugasan tersebut, saya berupaya mengenal pasti bahawa pemahaman yang menyeluruh tentang konsep-konsep akan menentukan sama ada seseorang guru akan berjaya atau sebaliknya dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang dijalankan. Sebagai seorang bakal guru, penerapan strategi, pendekatan, kaedah dan teknik juga memainkan peranan penting kerana ada juga perkaitan antara satu sama lain. Terdapat juga kelemahan yang dikenal pasti sepanjang menyiapkan tugasan ini antaranya tidak dapat mengenal pasti pertalian dan perbezaan antara satu aspek dengan aspek yang lain. Sebagai contoh, strategi dan pendekatan yang nyata berbeza konsep tetapi pada hakikatnya mempunyai pertalian kerana dianggap sebagai aspek belakang tabir pengajaran dan pembelajaran. Kekeliruan ini dapat saya atasi menerusi pembacaan serta pencarian maklumat melalui sumber internet dan buku. Melalui kelemahan tersebut, saya berpeluang menambahkan lagi pengetahuan tambahan berkaitan konsep serta banding beza aspek-aspek pengajaran. Sebagai seorang guru yang berusaha menonjolkan potensi insan murid, rancangan pengajaran harian yang disediakan menjadi salah satu kayu ukur sama ada guru tersebut berjaya atau sebaliknya dalam mencapai objektif yang telah ditetapkan. Justeru, melalui tugasan seterusnya iaitu menyediakan pakej aktiviti pengajaran harian di mana dalamnya terkandung rancangan pengajaran harian, saya berupaya mengenal pasti kelemahan seterusnya membuat penambahbaikan untuk mengatasi kelemahan-kelemahan tersebut.

Konsep pengajaran bahasa Melayu yang menitikberatkan aspek tatabahasa, serta menyelitkan unsur-unsur ilmu yang lain membuktikan bahawa kurikulum yang dibina sudah mantap. Sebaliknya, kekurangan yang ada pada diri saya untuk mengaplikasikan apa yang ingin disampaikan dalam pengajaran menyebabkan rancangan pengajaran harian yang dibina bersama rakan sekumpulan tidak menepati spesifikasi penyediaan sebuah rancangan pengajaran harian yang sebenar pada mulanya. Setelah berbincang dan menyemak rancangan pengajaran harian, kekurangan dalam rancangan pengajaran harian dapat diatasi yakni menepati spesifikasi yang telah ditetapkan. Saya telah merujuk contoh-contoh rancangan pengajaran harian guru bahasa Melayu semasa menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah. Selain itu, saya dan rakan sekumpulan turut membuat sumbang saran idea dan pendapat untuk membina satu rancangan pengajaran harian yang mampu mencapai objektif serta hasil pembelajaran yang dihasratkan. Kesimpulannya, pelaksanaan tugasan yang diberikan ini amat berkesan bagi melahirkan bakal guru yang berupaya mengaplikasikan apa yang dipelajari semasa latihan pengajaran seterusnya pengajaran sebenar di sekolah pada masa akan datang. Pada pendapat saya, tugasan seumpama ini wajar untuk dilaksanakan lagi pada sesi seterusnya. Selain memantapkan para guru pelatih khususnya guru pelatih bahasa Melayu, tugasan ini juga mampu membentuk bakal guru yang kreatif serta berwawasan dalam pengajaran mereka. Disediakan oleh,

. (WAN AHMAD FITRI BIN WAN AZIZ) 4 PISMP RBT/PJ/BM

Anda mungkin juga menyukai