Anda di halaman 1dari 7

- Minda Tajdid - http://drmaza.

com/home -

Allah Tidak Jauh, Doa Sentiasa Mustajab


Posted By admin On September 5, 2008 @ 7:11 pm In Ibadat | No
Comments

**Artikel lepas tulisan Dr Mohd Asri yang dicadangkan untuk bacaan


bersempena dengan Ramadhan ini**

ANTARA tanda kasih sayang dan rahmat Allah kepada hamba-hamba-Nya


adalah Dia tidak mewujudkan sebarang halangan untuk seorang hamba
memohon kepada-Nya. Insan diperintahkan berhubung langsung dengan
Allah tanpa sebarang ‘broker’ dalam hubungan yang suci itu. Tiada sebarang
perantaraan antara Allah dan hamba-hamba-Nya.

Islam menolak segala unsur keberhalaan yang menjadikan makhluk sebagai


tuhan jelmaan menggantikan tuhan yang hakiki. Islam menganggap
perbuatan memohon kemakbulan doa dari makhluk adalah syirik. Tidak kira
siapa pun makhluk itu. Sama ada dia nabi ataupun wali.

Seorang muslim tidak diizinkan pergi ke kubur mereka dan menyeru: wahai
fulan tolonglah saya! Atau: Wahai nabi tolonglah tenteramkan jiwa saya!
Atau: Wahai wali sembuhkanlah penyakit saya!

Perbuatan itu adalah syirik. Mukmin hanya meminta doa daripada Allah.
Firman Allah: (maksudnya)
Dan tiada yang lebih sesat dari orang yang menyeru selain Allah, yang tidak
dapat menyahut seruannya sehinggalah ke hari kiamat, sedang mereka
(makhluk-makhluk yang mereka sembah itu) tidak dapat menyedari
permohonan tersebut. Dan apabila manusia dihimpunkan (untuk dihitung
amalan pada hari akhirat), segala yang disembah itu menjadi musuh
(kepada orang-orang yang menyembahnya) dan membantah mereka (surah
al- Ahqaf: 5-6).

Firman Allah: (maksudnya)

Allah jua yang memasukkan malam kepada siang dan memasukkan siang
kepada malam (silih berganti), dan Dia yang memudahkan peredaran
matahari dan bulan; tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa
yang telah ditetapkan. Yang melakukan semuanya itu ialah Allah Tuhan
kamu, bagi-Nyalah kuasa pemerintahan; sedangkan mereka yang kamu
sembah selain Allah itu tidak mendengar permohonan kamu, dan kalaulah
mereka mendengar pun, mereka tidak dapat memperkenankan pemohonan
kamu; dan pada hari kiamat pula mereka mengingkari perbuatan syirik
kamu. Dan (ingatlah) tiada yang dapat memberi tahu kepadamu (Wahai
Muhammad, akan hakikat yang sebenarnya) seperti yang diberikan Allah
Yang Maha mendalam pengetahuan-Nya (surah Fatir: 13-14).

Maka perbuatan memohon selain Allah, sama ada menyeru berhala secara
terang atau memanggil nama para wali seperti Abdul Qadir al-Jailani atau
wali ‘songo’ atau apa sahaja termasuk dalam kerja-kerja syirik yang
diharamkan oleh nas- nas al-Quran dan al-sunah.

Nabi s.a.w. begitu menjaga persoalan akidah ini. Daripada Ibn ‘Abbas:

“Bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi s.a.w: “Apa yang Allah dan
engkau kehendaki.” Maka baginda bersabda kepadanya: Apakah engkau
menjadikanku sekutu Allah, bahkan (katakan): apa yang hanya Allah
kehendaki. (Riwayat al-Imam Ahmad dinilai sahih oleh Al-Albani, Silsilah al-
Ahadith al-Sahihah, 1/266).

Bandingkanlah ketegasan Nabi ini dengan ajaran sesetengah guru tarekat


atau sufi yang mencetuskan segala unsur keajaiban pada diri mereka agar
dikagumi oleh pengikutnya. Akhirnya, mereka seakan Tuhan yang disembah,
atau wakil Tuhan yang menentukan penerimaan atau penolakan amalan
pengikutnya. Bahkan untung rugi nasib masa depan pengikut pun seakan
berada di tangan mereka.

Demikian juga, pengikut yang melampau, berlebih-lebihan memuja tokoh


agama, akhirnya boleh terjerumus kepada kesyirikan. Terlampau memuja
tokoh seperti itulah yang menyebabkan banyak individu dianggap keramat
dan suci sehingga dipanggil ‘tok keramat’ lalu mereka seakan dimaksumkan.
Kemudian, datang pula orang-orang jahil ke kubur mereka membayar nazar
atau meminta hajat mereka ditunaikan. Sehingga apabila saya ke Urumuqi
di China, ada satu gua yang kononnya dianggap tempat Ashabul Kahfi yang
disebut dalam al-Quran itu.

Ramai yang pergi melakukan kesyirikan dengan meminta hajat di situ. Saya
beritahu bahawa dalam dunia ini entah berapa banyak gua yang didakwa
kononnya tempat Ashabul Kahfi. Ada di Turki, Jordan dan lain-lain.
Semuanya dakwaan tanpa bukti. Sama juga kononnya tempat-tempat
sejarah nabi yang didakwa oleh sesetengah pihak. Tiada petunjuk yang
dapat memastikan ketulenannya.

Jika pun benar, mereka bukan tuhan untuk seseorang meminta hajat. Inilah
yang terjadi kepada Nabi Isa. Dari seorang nabi yang diutuskan, akhirnya
manusia menabalkannya menjadi anak Tuhan. Meminta hajat daripada
orang-orang agama atau soleh setelah mereka mati adalah syirik. Islam
tidak kenal perkara seperti itu. Islam tulen bebas dari segala unsur
kebodohan tidak bertebing itu.

Ada yang cuba membela dengan menyatakan: bukan apa, mereka ini ialah
orang yang dekat dengan Allah, kita ini jauh. Maka kita gunakan
perantaraan mereka. Macam kita hendak dekat dengan menteri atau raja.
Saya kata kepada mereka: Adakah awak menganggap Allah itu sama
dengan tabiat raja atau menteri awak? Dakwaan inilah yang disanggah oleh
al-Quran sekeras-kerasnya.

Firman Allah: (maksudnya)

Ingatlah! Hanya untuk Allah agama yang bersih (dari segala rupa syirik).
Dan orang-orang musyrik yang mengambil selain dari Allah untuk menjadi
pelindung itu berkata: “Kami tidak menyembah mereka (tuhan-tuhan palsu)
melainkan untuk mendekatkan kami kepada Allah sehampir-hampirnya”.
Sesungguhnya Allah akan menghukum antara mereka tentang apa yang
mereka berselisihan padanya. Sesungguhnya Allah tidak memberi hidayah
petunjuk kepada orang-orang yang tetap berdusta (mengatakan yang
bukan- bukan), lagi sentiasa kufur (dengan melakukan syirik) (al-Zumar:3).

Setelah Allah menceritakan tentang bulan Ramadan dan kewajiban puasa,


Allah terus menyebut kemustajaban doa. Ia menunjukkan adanya kaitan
yang kuat antara puasa Ramadan dan janji Allah untuk memustajabkan doa
hamba-hamba-Nya. Allah berfirman (maksudnya):
Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku maka
(beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir
(kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila
dia berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku
(dengan mematuhi perintah-Ku), dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku
supaya mereka mendapat petunjuk (surah al-Baqarah: 186).

Demikian, Allah itu sentiasa hampir dengan kita, mendengar dan


memperkenankan doa kita. Sesiapapun boleh sampai kepada-Nya. Tiada
pengawal atau orang tengah yang menghalang seorang hamba untuk
merintih dan merayu kepada Tuhannya. Siapapun hamba itu. Apa pun
bangsanya dan apa pun bahasa doanya. Apa pun sejarah buruk dan baiknya.
Tuhan sentiasa sudi mendengar lalu memustajabkan pemohonan mereka
dengan cara yang dikehendaki-Nya. Bertambah banyak hajat dan
permohonan seorang hamba, bertambah kasih dan dekat Allah kepadanya.

Amat berbeza dengan tabiat makhluk yang lemah ini. Walau bagaimana baik
pun seseorang dengan kita, namun jika kita terlalu meminta, perasaan jemu
dan bosan akan timbul dalam jiwanya. Allah Maha Suci dari demikian. Dia
menyuruh kita berdoa dan membanyakkan doa. Ini kerana doa adalah
lambang kehambaan diri kepada zat yang Maha Agung. Firman Allah
(maksudnya):

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku


perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang
sombong takbur daripada beribadat (berdoa kepada-Ku) akan masuk neraka
jahanam dalam keadaan hina (surah Ghafir: 60).

Seseorang kadangkala tidak perasan bahawa apabila dia berdoa kepada


Allah sebenarnya dia sedang melakukan ibadah yang besar. Walaupun pada
zahirnya kelihatan dia sedang memohon untuk kepentingan diri sendiri,
namun hakikatnya dia sedang membuktikan keikhlasan tauhidnya kepada
Allah dan ketundukan kepada Tuhan Yang Sebenar. Maka dengan itu Nabi
menyatakan: Doa itu adalah ibadah. (Riwayat Abu Daud dan al- Tirmizi,
sahih). Jika sepanjang malam seorang hamba berdoa kepada Allah, bererti
sepanjang malam dia melakukan ibadah yang besar.

Doa sentiasa diterima oleh Allah. Jika ada yang kelihatan tidak diterima,
mungkin ada beberapa faktor yang mengganggu. Mungkin pemohonan itu
tidak membawa kebaikan jika dimustajabkan. Allah Maha Mengetahui.
Seperti hasrat kita ingin mengahwini seseorang yang kita suka, lalu kita
berdoa agar Allah menjadikan dia pasangan kita. Allah lebih mengetahui jika
itu tidak baik untuk kita lalu Allah memilih untuk kita pasangan yang lain.
Atau Allah memustajabkan doa orang lain yang lebih dikehendaki-Nya. Atau
Allah memustajabkan doa calon berkenaan yang inginkan orang lain.
Segalanya mungkin.

Namun doa tidak sia-sia. Pahala tetap diberikan, kebaikan yang lain pula
akan diganti di dunia dan di akhirat. Sabda Nabi:

Tiada seorang muslim yang berdoa dengan suatu doa yang tiada dalamnya
dosa, atau memutuskan silaturahim melainkan Allah akan memberikan
kepadanya salah satu dari tiga perkara: sama ada disegerakan kemakbulan
atau disimpan untuk diberikan pada hari akhirat, ataupun dijauhkan
keburukan yang sepandan dengannya. (Riwayat Ahmad, al-Bazzar dan Abu
Ya‘la dengan sanad yang sahih).

Maka, ada doa kita kepada Allah diterima olehnya di dunia. Ada yang tidak
diberi disebabkan hikmat yang Allah lebih mengetahuinya, lalu disimpan doa
itu di sisi-Nya untuk diberikan pada hari akhirat dengan yang lebih baik dan
lebih utama untuk kita. Atau doa itu ditukar dengan kebaikan-kebaikan yang
lain seperti diselamatkan kita dari pelbagai bahaya yang sebahagian
besarnya tidak pernah diduga.

Betapa banyak keberbahayaan yang menimpa orang lain, tetapi kita


diselamatkan oleh Allah. Tidak juga kerana permohonan kita dalam perkara
tersebut atau kebijaksanaan kita, namun barangkali doa kita dalam perkara
yang lain, lalu diberikan gantian keselamatan untuk kita dalam perkara yang
tidak diduga.

Kadangkala Dia tidak memberikan kepada kita sesuatu permohonan


disebabkan rahmat-Nya kepada kita. Barangkali ingin menyelamatkan kita.
Dia Maha Mengetahui, jika diberikan, mungkin kita hanyut atau menempuh
sesuatu yang merugikan kehidupan di dunia atau akhirat. Kita pun demikian.

Bukan bererti apabila seorang bapa tidak tunaikan kehendak anaknya tanda
kebencian terhadapnya. Bahkan sebahagian besarnya kerana kasih sayang
dek bimbang jika diberikan akan mendatangkan kemudaratan. Maha Suci
Allah untuk dibandingkan dengan kita semua, namun yang pasti rahmat-Nya
sentiasa melimpah. Jika Dia menangguhkan doa kita, tentu ada hikmah-Nya.

Di samping itu hendaklah kita faham, doa itu bermaksud permohonan.


Seorang yang berdoa mestilah bersungguh-sungguh dalam doanya. Maka
tidaklah dinamakan berdoa jika tidak faham apa yang kita doa. Sebab itu
saya amat hairan dengan sesetengah orang yang berdoa tanpa memahami
maksud. Sesetengah mereka menghafal teks Arab kerana hendak menjadi
‘tekong’ doa dalam pelbagai majlis.
Malangnya, ada yang tidak faham apa yang dibaca dan yang mengaminkan
pun sama. Ada orang merungut, kata mereka, umat Arab di Masjidilharam
dan Masjid Nabawi tidak baca doa selepas solat beramai-ramai. Itu
menunjukkan mereka tidak kuat pegangan Islam mereka. Saya katakan:
Islam tidak diturun di kampung halaman kita, ia diturunkan di Mekah dan
Madinah. Mereka melakukan apa yang menjadi amalan Rasulullah. Lagipun
seseorang yang bersolat disuruh berdoa ketika dalam solat dan berwirid
selepasnya.

Dalam hadis, kita diajar agar berdoa ketika sujud dan selepas membaca
tasyahud sebelum salam. Di situlah antara waktu mustajabnya doa. Sabda
Nabi:

Paling dekat hamba dengan tuhannya adalah ketika sujud, maka banyakkan
doa ketika sujud. (Riwayat Muslim).

Nabi memberitahu tentang doa selepas tasyahud sebelum memberi salam


dalam solat:

Berdoalah pasti mustajab, mintalah pasti akan diberikan. (Riwayat al-Nasai,


sanadnya sahih).

Bukan bererti orang yang kita tengok tidak mengangkat tangan berdoa kuat
beramai-ramai selepas solat itu tidak berdoa. Kita yang barangkali kurang
faham sedangkan mungkin mereka berdoa dalam solat melebihi kita. Jika
seseorang berdoa selepas memberi salam, tentulah dalam banyak hal, hajat
makmum dan imam tidak sama. Maka jangan marah jika kita lihat orang
berdoa bersendirian.

Nasihatilah mereka yang membaca doa tanpa faham maksudnya, atau


mengaminkan tanpa mengetahui isinya. Lebih menyedihkan, kadangkala doa
dibaca dengan nada dan irama yang tidak menggambarkan seorang hamba
yang sedang merintih memohon kepada Allah. Sebahagian nada itu, jika
seseorang bercakap kepada kita dengan menggunakannya pun kita akan
pertikaikan. Layakkah nada seperti itu sebagai doa kepada Allah yang Maha
Agung?

Benarlah sabda Rasulullah:

Berdoalah kamu kepada Allah Taala dalam keadaan kamu yakin akan
dimustajabkan. Ketahuilah sesungguhnya Allah tidak menerima doa dari hati
yang lalai dan alpa. (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani).
Pelajari kita nas-nas agama tentang doa kerana ianya amat penting bagi
kehidupan dunia dan akhirat kita.

Article printed from Minda Tajdid: http://drmaza.com/home

URL to article: http://drmaza.com/home/?p=409

Click here to print.

Copyright © 2008 Minda Mufti. All rights reserved.

Anda mungkin juga menyukai