Anda di halaman 1dari 2

Cinta… jalan murni ke syurga

Setiap individu yang berperasaan pasti akan merasai cinta dan mencintai sesuatu. Cinta
adalah perasaan halus yang dimiliki hati setiap insan, dan tidak dapat dipisahkan dalam
kehidupan seharian. Dalam Islam, cinta merupakan perkara utama dalam kehidupan dunia
dan akhirat. Ini kerana Islam sendiri merupakan agama yang berasaskan cinta.
Sabda Rasullulah s.a.w.: "Tiga perkara yang apabila terdapat pada diri seseorang maka ia
akan mendapat manisnya iman, yakni: Allah dan Rasul-Nya lebih ia cintai daripada yang
lain; mencintai seseorang hanya kerana Allah, dan benci untuk kembali kepada kekafiran
sebagaimana ia tidak suka dilemparkan ke dalam neraka" (HR. Bukhari dan Muslim)
Oleh yang demikian, Islam menyeru kepada cinta, iaitu cinta kepada Allah, cinta kepada
Rasulullah, cinta kepada agama, cinta kepada akidah, juga cinta kepada makhluk,
sepertimana Allah menjadikan kecintaan suami isteri sebagai sebahagian tanda dan bukti
kekuasaanNya. FirmanNya: "Dan di antara tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan
untukmu isteri-isteri dari kalangan kamu sendiri, supaya kamu dapat hidup tenang bersama
mereka. Dan dijadikanNya cinta kasih sayang antara kamu. Sesungguhnya, yang demikian
itu tanda bagi orang yang berfikir." (Ar-Rum: 21)
Bagaimana perasaan ketakutan, keraguan dan sukar mengambil atau membuat ke[putusan
ini wujud dalam diri seseorang? Ketakutan membuat keputusan ini sebenarnya telah
menjadi sebahagian daripada kita tanpa disedari. Perasaan ini adakalanya tersembunyi di
sebalik alam bawah sedar kita dan ini amat menyulitkan kita untuk mengesan dan
mengatasinya.
Jelaslah bahawa cinta adalah tanda kehidupan rohani dalam akidah orang mukmin, sama
ada dalam kehidupan beragama, bersosial, mahupun kepercayaan. Selain itu, iman dalam
Islam ditegakkan berdasarkan cinta dan kasih sayang. Rasulullah saw bersabda: "Demi Dzat
yang diriku ada di tanganNya, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, dan
kamu tidak akan beriman dengan sempurna hingga kamu saling mencintai. Hendakkah aku
tunjukkan kalian kepada sesuatu yang jika kalian lakukan kalian akan saling mencintai?
Sebarkanlah salam di antara kalian." (HR Muslim)
Dalam hadis di atas, Rasullulah s.a.w. menegaskan bahawa jalan menuju ke syurga
bergantung kepada iman, dan iman bergantung kepada cinta. Maka cinta adalah syarat
dalam iman, rukun dalam akidah, dan asas dalam agama. Cinta dalam Islam adalah kaedah
dan sistem yang mempunyai batas. Ia adalah penunjuk ke arah mendidik jiwa,
membersihkan akhlak serta mencegah atau melindungi diri daripada dosa-dosa. Cinta dapat
membimbing jiwa agar bersinar cemerlang, penuh dengan perasaan cinta dan dicintai.
Sayangnya dalam konteks hari ini, cinta yang lahir sarat hawa nafsu dan menyimpang
daripada matlamat yang murni. Saban hari kita didodoikan dengan lagu cinta dan
dipertontonkan kisah cinta yang menghanyutkan kita ke dunia khayalan yang merugikan.
Malah ramai yang menyalahertikan makna sebenar cinta, sehingga terdorong melampaui
batas pergaulan dan tatasusila seorang mukmin.
Oleh yang demikian, renungilah sebentar hakikat kehidupan kita di sini. Sabda Rasullulah
s.a.w.: "Tidak sempurna iman salah seorang dari kamu sehingga ia mencintai saudaranya
seperti ia mencintai diri sendiri." Juga sabda Rasulullah lagi, "Barang siapa ingin
mendapatkan manisnya iman, maka hendaklah ia mencintai orang lain kerana Allah." (HR
Hakim dari Abu Hurairah).

Anda mungkin juga menyukai