Anda di halaman 1dari 3

Praktik lima asas Hijrah

Oleh MOHD. ALI MUHAMAD DON

BULAN Muharam merupakan detik permulaan kalendar baru dalam Islam. Justeru, ketibaan
tarikh 1 Muharam setiap tahun semestinya menjadi titik tolak kepada permulaan yang baru
dalam kehidupan seorang Muslim. Ia juga boleh dijadikan kayu ukur untuk menilai
pencapaian peribadi selama setahun yang lalu dalam konteks melaksanakan perintah Allah
SWT. Oleh itu, beberapa asas hijrah wajar dipraktikkan bagi memenuhi tuntutan hijrah masa
kini yang jauh berbeza dengan hijrah era Mekah dan Madinah pada zaman Nabi Muhammad
SAW dan para sahabatnya.

Hijrah sikap dan perbuatan

Segelintir umat Islam masih terbelenggu dengan pelbagai sikap buruk seperti hasad dengki,
dendam kesumat dan sikap suka menyalahkan orang lain. Sikap buruk sebegini jika tidak
diubati dikhuatiri akan merosakkan individu dan masyarakat Islam keseluruhannya. Ia
umpama api dalam sekam yang boleh membakar pada bila-bila masa. Malah jika diteliti sikap
buruk seperti ini akan menyebabkan umat Islam semakin ketinggalan dalam arus globalisasi
yang membadai dunia dewasa ini. Golongan seperti ini juga jauh daripada rahmat dan
perlindungan Allah SWT yang sangat diperlukan bagi mengharung liku-liku hidup di dunia
yang beraneka ragam.

Terdapat juga umat Islam yang boleh diibaratkan seperti cakap tak serupa bikin. Perbuatan
buruk mereka jauh menyimpang daripada ajaran syariat yang sebenar. Perilaku dosa seperti
minum arak, berkhalwat dan berzina, merompak, mencuri dan membunuh termasuk bayi
dalam kandungan sendiri seakan menjadi amalan biasa segelintir individu Muslim. Kesemua
sikap buruk dan jenayah itu memerlukan kesungguhan dan azam yang tinggi untuk berubah
dan kembali ke jalan yang diredai Ilahi.

Hijrah amal dan ketaatan

Bagi membendung perilaku buruk yang tidak bertepi, umat Islam diseru kembali ke pangkal
jalan dengan memperbanyak amalan yang mampu mendekatkan diri kepada Tuhan Yang
Maha Kuasa. Bagi yang tidak solat mahupun jarang-jarang melakukannya, dinasihat supaya
mula berjinak-jinak dan mendampingkan diri kepada-Nya. Umat Islam juga sewajarnya
menilai segala perlakuan ibadah setahun yang lalu sambil berazam untuk mempertingkatkan
amalan agar lebih sempurna dan berkualiti.

Ketibaan 1 Muharam juga boleh dijadikan landasan untuk menggembleng usaha dan tenaga
berbakti kepada Ilahi. Permulaan yang baik seperti membaca doa akhir dan awal tahun secara
beramai-ramai sama ada di rumah bersama seisi keluarga, mahupun di masjid dan surau-surau
mampu memberi impak yang baik kepada amalan sepanjang tahun. Seterusnya, ia diikuti pula
dengan amalan-amalan yang wajib dilakukan oleh setiap individu Muslim seperti berbakti
kepada Allah SWT dengan berpuasa, menunaikan zakat dan mengerjakan fardu haji, selain
amalan berbentuk jama'iy dan kemasyarakatan seperti berbuat baik kepada jiran, menolong
dan membantu sesama manusia terutama golongan miskin dan kurang upaya. Dwi amalan
yang diperintahkan ini akan mempertaut hubungan manusia dengan Allah SWT dan dalam
masa yang sama mempererat hubungan sesama manusia.
Hijrah ilmu dan pencapaian

Secara umumnya, umat Islam agak ketinggalan dalam aspek ilmu dan kemajuan teknologi
jika dibandingkan dengan masyarakat lain. Malah, terdapat negara-negara tertentu yang boleh
dicontohi seperti China dan Korea yang begitu drastik bangkit sebagai kuasa baru dunia
dalam pelbagai aspek termasuk kemajuan daripada sudut sains dan teknologi.

Sehubungan itu, pelbagai lapisan masyarakat Islam hendaklah menghayati tuntutan mencari
ilmu dalam apa saja kegiatan seharian. Ini kerana ilmu boleh diperoleh di mana sahaja sama
ada melalui kaedah pendidikan formal seperti di sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi,
mahupun ilmu sepanjang hayat yang ada di persekitaran hidup manusia. Malah, pengalaman
manis dan pahit yang pernah dilalui oleh seseorang juga merupakan ilmu yang sangat berguna
jika dapat dimanfaatkan dengan sempurna.

Hijrah dalam konteks ini juga dilihat mampu mengembalikan semula kegemilangan tamadun
Islam terdahulu sehingga umat Islam hari ini disegani dan dihormati di mata dunia. Ia sekali
gus berupaya menolak pelbagai fitnah dan tohmahan seperti agama ekstrem dan menaja
keganasan yang biasa ditujukan kepada umat Islam sedunia.

Hijrah ekonomi dan pemilikan

Umat Islam di Malaysia secara khususnya dan di beberapa negara Islam amnya agak jauh ke
belakang daripada aspek ekonomi dan pemilikan harta. Ini berlaku kerana sikap sebahagian
umat Islam yang berhati-hati dan berwaspada daripada menjadi hamba duit dan harta
sehingga menghalang usaha mendekatkan diri kepada Ilahi. Ia boleh juga terjadi kerana
kekeliruan dalam memahami falsafah pemilikan harta yang telah digarap sempurna dalam
syariat Islam. Akibatnya, umat Islam terpinggir daripada arus pemodenan dunia yang sangat
diperlukan dalam konteks membina semula ketamadunan manusia.

Keadaan ini diburukkan lagi dengan salah faham segelintir umat Islam yang menolak dunia
dan melalui kehidupan zuhud tanpa bersandarkan kepada realiti kehidupan masa kini yang
berbeza daripada zaman awal Islam terdahulu.

Justeru, penglibatan umat Islam dalam bidang ekonomi dan pemilikan harta juga penting
untuk direalisasikan dalam dunia kini. Walau bagaimanapun, ia wajib mematuhi garis
panduan memperoleh, memanfaat dan mengagihkan harta menurut perspektif Islam.
Penglibatan umat Islam dalam kegiatan ekonomi yang berteraskan riba' demi mencari
keuntungan berlipat kali ganda adalah diharamkan. Selanjutnya, amalan buruk penipuan,
berbuat zalim dan mengambil hak orang lain tanpa hak adalah tidak sesuai dengan amalan
ekonomi Islam. Di samping itu juga, konglomerat Islam perlu memahami ada hak zakat yang
diwajibkan dan sedekah sunat daripada harta yang perlu dilunaskan. Ini bagi mengelak
kerosakan yang lebih besar kesan daripada kegiatan ekonomi yang tidak berteraskan
kehendak Islam sebenar.

Hijrah kepada Islam yang syumul

Akhirnya, para Muslimin diseru menghayati ketibaan 1 Hijrah bukan dalam pengertian
sambutan tahun baru yang difahami oleh golongan yang tidak mengerti agama yang syumul.
Sambutan tahun baru juga bukanlah perayaan yang hanya diraikan di merata tempat. Lebih
daripada itu, tuntutan melestarikan falsafah hijrah Nabi Muhammad SAW dan para
sahabatnya yang sanggup bergadai nyawa dan harta demi kepentingan Islam wajib dicontohi.

Untuk tujuan itu, umat Islam hendaklah kembali melaksanakan Islam dalam segala gerak-geri
kehidupan. Maknanya, seluruh kehidupan Muslim mesti berteraskan al-Quran dan al-Sunnah
sebagai sumber rujukan hukum dalam menanggapi pelbagai persoalan hidup yang kompleks
dan penuh cabaran dewasa ini. Syariat yang syumul sememangnya bersesuaian untuk
direalisasikan dalam konteks kehidupan bernegara, bermasyarakat dan yang pasti untuk
keperluan setiap individu. Persoalannya, adakah umat Islam masa kini berbangga menjadi
individu Muslim lalu sanggup melaksanakan segala peraturan agama dalam segala lapangan
kehidupan.

Anda mungkin juga menyukai