Anda di halaman 1dari 3

Senario Penanaman Padi Di Sabah

Posted on 20 February, 2013 by khabarkinabalu 0 Comments


SENARIO PADI DI SABAH
Negeri Sabah hanya mampu mengeluarkan kecukupan beras sekitar 30 %. Pengeluaran ini
disumbangkan oleh 35,600 hektar tanah sawah padi yang sedia ada di negeri ini. Anggaran 10,400
hektar adalah kawasan yang mempunyai sistem pengairan dan saliran yang baik, 11,898 hektar
mempunyai sistem pengairan dan saliran yang kurang baik manakala 13,303 hektar lagi
adalah kawasan tanah sawah yang bergantung pada tadahan hujan.
SEBAGAI TANAMAN SEKURITI
Sebagai makanan ruji dan sekuriti, banyak bantuan telah disalurkan oleh kerajaan kepada pesawah
bagi tujuan menambah pengeluaran beras. Bantuan itu adalah bantuan pembajakan tanah sawah
padi, projek pemulihan tanah sawah terbiar, perataan tanah sawah dan pengapuran daripada
Jabatan Pertanian, bantuan baja dan racun, perkhidmatan pembajakan serta penuaian
daripada Lembaga Pertubuhan Peladang selain bantuan harga subsidi pembelian padi daripada
BERNAS. Bantuan pembajakan tanah sawah padi Jabatan Pertanian diberikan pada kadar RM 200.00
se ekar semusim penanaman. Caj yang kebiasaanya dikenakan oleh kontraktor pemberi
perkhidmatan pembajakan adalah lebih tinggi sedikit berbanding kadar yang diberikan oleh
Jabatan. Pesawah terbabit biasanya akan membayar lebihan perbezaan tersebut. Pesawah-pesawah
yang layak untuk menerima bantuan tersebut diminta untuk mendaftar kepada Jabatan / Agensi
yang mengendalikan bantuan tersebut kecuali Projek Perataan Sawah, Projek Pengapuran dan
Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar yang digalak dibuat secara berkumpulan.
SENARIO PADI DI PAPAR
Daerah Papar menyumbangkan sekitar 7.60 % daripada 83,000 tan beras Negeri Sabah. Pengeluaran
beras tempatan ini disumbangkan oleh 1,753 hektar tanah sawah yang terdapat di daerah ini. Seluas
1,087 hektar daripadanya adalah dari kawasan sawah padi yang mempunyai sistem pengairan dan
saliran yang baik, 160 hektar dari kawasan sistem pengairan dan saliran yang kurang baik manakala
507 hektar adalah kawasan tadahan hujan.
USAHA PEMULIHAN TANAH SAWAH TERBIAR
Ke arah menambah pengeluaran padi di Papar beberapa usaha telah dan sedang dilaksanakan oleh
Jabatan Pertanian dan agensi lain yang berkaitan dengan padi. Antaranya mengekalkan keluasan
bertanam padi sawah sedia ada melalui bantuan subsidi yang diberikan, selain matlamat menambah
keluasan pengeluaran melalui pelaksanaan projek-projek pemulihan tanah sawah terbiar. Sejak RMK
9 hingga kini seluas 850 hektar tanah sawah telah dipulihkan melibatkan peruntukan sebanyak RM
1,748,879.00. Kawasan-kawasan itu adalah Langkawit, Benoni, Pengalat Kecil, Pengalat Besar,
Takis, Kelanahan, Penampang Baru, Dambai, Bongawan, Mook, Sulim, Limputung, Tintimbungon dan
Sungai Padang. Para peserta projek ini diminta untuk komited dengan Aku Janji untuk meneruskan
usaha menanam padi sawah di kawasan-kawasan yang sudah dipulihkan ini.
USAHA PENINGKATAN PRESTASI HASIL
Selain itu, usaha juga telah dilaksanakan oleh Jabatan Pertanian untuk meningkatkan prestasi hasil
padi. Antaranya melalui pelaksanaan Kursus-Kursus Amalan Pertanian Yang Baik [GAP], di mana para
peserta kursus khususnya pesawah diminta mengurus tanaman padi dengan baik dari mulai
penyediaan tanah sawah sehinggalah penuaian hasil. Berasaskan kepada pelaksanaan Projek-Projek
Peningkatan Hasil yang telah dilaksanakan, ada pesawah yang mampu mencapai hasil pengeluaran
padi sehingga melebihi 7 tan sehektar.
GALAKAN MELATIH PETANI USAHAWAN
Usaha juga dibuat oleh Jabatan Pertanian untuk mengalakkan serta melatih petani-petani usahawan
bagi meneruskan usaha penanaman padi secara berskala besar memandangkan ramai pengusaha
padi pada masa kini adalah mereka yang sudah lanjut usia. Mereka digalakkan menyewa tanah-
tanah sawah terbiar yang sudah dipulihkan Jabatan untuk dimajukan secara komersial.
PERANAN INSTITUSI PENTADBIR PENANAMAN PADI DI PAPAR
Bagi memastikan penanaman padi daerah Papar dapat ditadbir-urus dengan baik, Jawatankuasa
Penanaman Padi telah dibentuk yang berperanan untuk menetapkan jadual penanaman serentak,
agihan air, pembajakan dan penjadualan jentera serta pengurungan ternakan (kerbau dan lembu).
Selain berperanan untuk menyelesaikan dan menyelaras isu dan masalah pembangunan tanaman
padi di peringkat daerah. Jawatankuasa ini dianggotai oleh Ketua-ketua Jabatan / Agensi berkaitan
padi peringkat daerah, Ketua-ketua blok serta para kontraktor pemberi perkhidmatan. Pengerusi
Jawatankuasa ini adalah Pegawai Pertanian manakala penasihatnya adalah Pegawai
Daerah. Keputusan Jawatankuasa ini haruslah dihormati oleh semua pihak-pihak terbabit bagi
memastikan penjadualan penanaman padi berjalan dengan lancar. Kekerapan mesyuarat adalah
sebulan (1) lebih awal sebelum setiap musim penanaman padi sawah bermula.
CABARAN DAN LANGKAH-LANGKAH
Kebiasaannya cabaran yang dihadapi oleh Jawatankuasa ini dalam memastikan penanaman padi
dapat berjalan lancar ialah perkhidmatan jentera yang kurang mencukupi. Bagaimanapun langkah-
langkah diambil Jawatankuasa ini ialah pelaksanaan penanaman secara berfasa dan berjadual
mengikut blok-blok yang dipersetujui.
Langkah-langkah terbaik ke arah mengurangkan ancaman burung pipit yang menjejaskan hasil
pengeluaran padi ialah dengan meminta pesawah mematuhi jadual penanaman serentak.
Memandangkan daerah Papar merupakan salah sebuah daerah yang banyak menerima penyaluran
peruntukan kerajaan khususnya projek pemulihan tanah sawah terbiar, ini telah menarik perhatian
pemimpin negeri dan tempatan untuk hadir dan turun padang bagi meninjau kemajuan pelaksanaan
projek ini.
Antaranya Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar di Kg. Langkawit dan Projek Demonstrasi
Keberkesanan Bantuan Padi / Beras Kerajaan Persekutuan di Kg. Benoni oleh YB Timbalan Ketua
merangkap Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Pelancaran Kempen Pengawalan Padi
Angin oleh YB Pembantu Menteri Pertanian Dan Industri Makanan Sabah, Projek Pemulihan Tanah
Sawah Terbiar Kg. Pengalat Besar oleh YB ADUN Kawang, Projek Pemulihan Tanah Sawah Terbiar di
Kg. Takis dan Kg. Sungai Padang oleh YB ADUN Pantai Manis dan Projek Pemulihan Tanah Sawah
Terbiar dan Projek Perataan di Kg.Bongawan oleh YB MP Kimanis dan YB ADUN Bongawan serta
pemantauan yang berterusan oleh MP Papar melalui Jawatankuasa Majlis Pembangunan
Pertanian Parlimen (MP3)
Laporan penjelasan oleh
En. Jamaluddin Lani
Pegawai Pertanian Daaerah
Pejabat Pertanian Daerah Papar

Anda mungkin juga menyukai