Anda di halaman 1dari 2

Teknik Pengajaran

TEKNIK PENGAJARAN TATABAHASA


Pengajaran Tatabahasa
Baru-baru ini, beberapa orang guru termasuklah guru pelatih yang sedang menjalani latihan
praktikum telah menanyakan soalan tentang teknik atau cara yang menarik untuk mengajarkan
tatabahasa kepada murid-murid. Mereka mengatakan bahawa kebiasaannya murid-murid kurang
berminat untuk belajar tatabahasa.
Pengenalan
Pengajaran tatabahasa yang dijalankan di dalam kelas selalunya kurang menarik dan
membosankan murid-murid, malahan ada juga guru yang kurang berminat untuk mengajar murid
dalam bahagian ini. Fenomena yang biasanya berlaku di sekolah ialah pengajaran tatabahasa
diajarkan secara induktif. Hal ini bermakna aspek tatabahasa diajarkan secara langsung dengan
menerangkan hukum atau rumus tatabahasa iaitu sesuatu yang khusus terlebih dahulu, kemudian
barulah dibincangkan contoh-contohnya yang umum. Sepatutnya pengajaran tatabahasa boleh
dipelbagaikan bentuknya. Oleh itu, guru-guru perlu kreatif untuk memilih teknik pengajaran
yang menarik dan bekesan kepada murid-murid. Bagi murid pula, mereka kebiasaannya kurang
berminat untuk belajar tatabahasa kerana menganggap perkara itu menyusahkan tambahan pula
teknik yang digunakan tidak menarik perhatian murid.
Teknik yang Sesuai
Sebenarnya banyak teknik yang boleh digunakan untuk mengajarkan tatabahasa kepada murid-
murid. Seelok-eloknya guru harus berbincang dengan pelajar itu sendiri tentang teknik yang
disukai oleh mereka. Dengan berdasarkan pengalaman saya sendiri, murid-murid lebih berminat
dengan teknik yang menarik seperti nyayian, nasyid, lakonan, dialog, kuiz serta forum. Jika
ditinjau daripada respons pelajar, antara teknik yang menarik dan sesuai untuk pengajaran dan
pembelajaran tatabahasa adalah menerusi teknik nyayian. Dengan perkataan lain, perkara penting
yang perlu diberikan perhatian oleh guru ialah teknik tersebut perlulah menarik perhatian pelajar
dan tidak membosankan mereka. Selain itu, teknik pengajaran juga perlu berpusatkan pelajar dan
guru cuma menjadi fasilitator atau pembimbing mereka. Di samping itu, pendekatan yang selalu
dicadangkan oleh pakar-pakar pengajaran tatabahasa adalah dengan menggunakan pendekatan
deduktif iaitu bermula dengan generalisasi atau contoh-contoh, kemudian barulah dibincangkan
rumus atau peraturan yang khusus.
Teknik Nyanyian
Seperti yang telah dinyatakan tadi, antara teknik pengajaran tatabahasa yang menarik dan tidak
membosankan pelajar ialah teknik nyanyian atau dengan menggunakan lagu. Hal ini demikian
kerana, banyak lagu yang mengandungi lirik yang sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran di
dalam kelas. Di samping menyanyikan lagu, murid-murid diminta merujuk lirik lagu tersebut.
Oleh itu, guru perlu menyediakan lirik lagu tersebut terlebih dahulu dan mengedarkannya kepada
pelajar. Berikan arahan dan bincangkan tugasan yang perlu dibuat oleh mereka selepas
menyanyikan lagu tersebut. Sebagai contohnya, guru-guru boleh meminta murid menyenaraikan
jenis kata yang terdapat dalam lirik lagu itu seperti kata nama, kata kerja, kata adjektif dan kata
sendi. Selain itu, gunakan lirik lagu untuk mengesan kesalahan tatabahasa untuk mengelakkan
rasa bosan para pelajar untuk mempelajari tatabahasa.
Bahan Lain yang Sesuai
Selain lirik lagu, guru-guru juga boleh menggunakan sajak untuk membincangkan aspek
tatabahasa yang terdapat dalam sajak tersebut. Sebagai contohnya, pelajar-pelajar tingkatan 4
boleh menggunakan sajak Harga Remaja (Antologi Harga Remaja) untuk membincangkan aspek
penggolongan kata, seperti kata nama dan kata kerja. Oleh itu, selain mengkaji aspek sastera dan
maksud sajak, murid-murid juga boleh menggunakan sajak itu untuk belajar tatabahasa secara
tidak langsung. Walau bagaimanapun, guru-guru perlu merancang dan mengkaji aspek
tatabahasa yang hendak dibincangkan dalam pengajaran dan pembelajaran itu terlebih dahulu
sebelum pelaksanaannya dilakukan di dalam kelas.
Bahan Komsas
Karya-karya komsas selain sajak, iaitu cerpen, prosa tradisional, novel, pantun, syair dan
gurindam juga boleh digunakan untuk pegajaran tatabahasa. Hal ini bermakna, semasa
pengajaran komponen sastera, guru-guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa dalam
perbincangan dengan pelajar. Dengan kata lain, pengajaran tatabahasa tidak diajarkan secara
langsung tetapi secara tidak langsung. Hal ini dapat mengatasi masalah kebosanan dan
kurangnya minat murid untuk mempelajari tatabahasa.
Bahan Cetakan
Bagi pelajar-pelajar tahun 6, guru-guru perlu menggunakan bahan cetakan seperti keratan
akhbar, majalah atau risalah untuk membincangkan aspek tatabahasa. Jadi, secara tidak langsung
pelajar-pelajar mendapat manfaat yang berganda iaitu selain memahami atau mencari isi penting
daripada petikan itu, mereka juga dapat mengesan kesalahan-kesalahan bahasa yang terdapat di
dalamnya. Sekurang-kurangnya teknik ini tidak membosankan pelajar kerana guru telah
menetapkan fokus tentang perkara yang hendak dibincangkan daripada sesuatu bahan atau
petikan tersebut. Di samping itu, guru juga boleh menyelitkan aspek tatabahasa ini setiap kali
semasa membincangkan karangan, rumusan karangan, dan juga semasa mengalih bentuk teks.
Perkara ini perlu dilakukan kerana setiap latihan yang dinyatakan itu tadi melibatkan aspek
tatabahasa. Sebagai contohnya, semasa menulis karangan, rumusan karangan dan mengalih
bentuk teks, pelajar-pelajar terpaksa membina ayat-ayat yang melibatkan pelbagai aspek
tatabahasa. Selain itu, perkara ini juga membuktikan bahawa pengetahuan tatabahasa pelajar
dalam pengetahuan tatabahasa pelajar dalam Kertas 1 perlu diaplikasikan dalam Kertas 2 UPSR.

Anda mungkin juga menyukai