Anda di halaman 1dari 5

LANGKAH-LANGKAH

MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA


'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan
sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia. Pelbagai polemik telah dibangkitkan sejak
akhir-akhir ini bagi membicarakan identiti bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi
sebuah rumpun bernama Malaysia. Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal
'Bahasa Melayu' yang disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan Gagasan 1
Malaysia. Namun begitu, apakah inisiatif yang perlu dilaksanakan demi memartabatkan bahasa
Malaysia dalam kalangan masyarakat?
Langkah-langkah yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi dan surat-
menyurat di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda. Mutakhir ini,
jabatan-jabatan kerajaan lebih gemar memilih bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi
berbanding bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka. Sifat nafsi yang
menggunung dalam jiwa mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka
persis mengenepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu,
pihak-pihak ini haruslah menjaga martabat bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.
Selain itu, idea Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris
(PPSMI) juga harus dilupuskan. Sifat dominan bahasa Inggeris dalam kehidupan kita tidak
harus dinafikan, tetapi langkah ini dilihat berpotensi memadamkan kegemilangan bahasa
Malaysia di peringkat lokal. Jika teras pentarbiahan turut dilaksanakan dalam bahasa asing, tidak
mustahil pada satu era nanti, generasi akan datang tidak mengenali lagi perkataan 'Melayu'.
Ironinya, usaha Memartabatkan Bahasa Malaysia dan Memperkasakan Bahasa Inggeris
(MBMMBI) dilihat sangat proaktif sebagai mangkin yang efektif demi membejat kemelut
bahasa yang sedang dihadapi Malaysia kini.
Sementelahan pula, kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina dan Tamil juga tidak
harus dikerling enteng berikutan perkara tersebut berkemampuan memperkasakan bahasa Cina
dan bahasa Tamil lantas menjatuhkan darjat bahasa ibunda di sekolah-sekolah berkenaan. Jika
dilihat dari perspektif berbeza, hal ini dapat menimbulkan nafsi perkauman bahkan tidak sejajar
dengan penerapan 1Malaysia dalam kalangan masyarakat. Maka, polemik ini mungkin tidak
dapat mencapai objektif kemenjadian bahasa sebagai agen perpaduan yang utuh bagi semua
rakyat di negara ini. Tuntasnya, pihak-pihak yang berwajib seperti Dewan Bahasa dan Pustaka
(DBP) harus berfikir secara kreatif dan kritis demi menaikkan imej bahasa ibunda secara
holistik.
Di samping itu, bagi mengukuhkan kedudukan bahasa Malaysia dalam sanubari rakyat
rencaman golongan, DBP harus melaksanakan pelbagai aktiviti yang menggapai minat umum
terhadap keindahan bahasa Malaysia. Aktiviti seperti Sayembara Pidato Antarabangsa anjuran
Kementerian Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Pelancongan dengan usahasama Radio
Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini dilihat sebagai anjakan paradigma yang berpotensi
memperkenalkan bahasa kebangsaan di peringkat dunia. Deduksinya, langkah yang sama harus
diambil DBP untuk mewujudkan 'jiwa bahasa' dalam kalangan rakyat.
Mendepani arus globalisasi kini, pelbagai perubahan serta modifikasi yang sudah
dilaksanakan terhadap bahasa Malaysia asal sehingga terbentuk bahasa rojak. Lihat sahaja di
kiri dan kanan jalan raya serta di bangunan-bangunan pencakar langit, banyak papan tanda
memaparkan penggunaan bahasa rojak. Perkara ini tidak patut dibiarkan berlarutan kerana
keupayaannya untuk mencemarkan bahasa adalah tinggi. Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak
harus berpeluk tubuh dan mendiamkan diri, sebaliknya perlu mengambil tindakan Undang-
undang bagi menyedarkan pihak berkenaan bahawa bahasa Malaysia bukanlah sebuah wadah
mainan komersial. Oleh itu, 'pidana bahasa' ini perlu dibejat bagi mewujudkan rakyat
kontemporari yang berpegang teguh dengan bahasa ibunda.
Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng sinergi untuk meledakkan darjat bahasa
Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai
bahasa kebangsaan. Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai
pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan bahasa
Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada menyebut, "yang kurik itu
kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa". Oleh hal yang
demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya
kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas'.
(597 patah perkataan)
KOSA KATA:
Signifikan = kepentingan
Polemik = perdebatan
Diadaptasikan = diubah suai
Inisiatif = daya usaha
Diimplementasikan = dilaksanakan
Mutakhir ini = baru-baru ini
Nafsi = mementingkan diri sendiri
Dominan = kuat pengaruh
Ironinya = secara bertentangan
Proaktif = maju
Mangkin yang efektif = usaha yang berkesan
Membejat kemelut = mengekang masalah
Sementelahan pula = tambahan pula
Agen perpaduan = pengaruh kesepunyaan kaum
Holistik = keseluruhan
Rencaman = pelbagai
Anjakan paradigma = perubahan yang lebih baik
Modifikasi = ubah suai
Wadah = alat
Komersial = bersifat ekonomi
Pidana = kejahatan
Kontemporari = era baru
Menggembleng sinergi = bersatu tenaga
Nirmala = kekal






USAHA-USAHA MEMARTABATKAN
BAHASA MALAYSIA
Malaysia dan Nusantara mempunyai bahasa pertuturan tersendiri, iaitu bahasa Malaysia. Bahasa
Malaysia telah menjadi bahasa perhubungan atau lingua franca lebih 600 tahun lalu, lebih lama
daripada bahasa Inggeris yang hanya bermula pertengahan kurun ke-16. Sejak tahun 1955,
bahasa Malaysia telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan negara dan telah menjadi bahasa
rasmi sejak merdeka. Pada tahun 1967, sepuluh tahun selepas merdeka, bahasa Malaysia menjadi
bahasa kebangsaan bahasa rasmi yang termaktub dalam Perlembagaan Negara, iaitu Perkara 152.
Krisis baharu yang melanda bahasa Malaysia ialah rakyat negara ini semakin meminggirkan
bahasa Malaysia yang merupakan bahasa kebangsaan.

Krisis ini berpunca daripada tanggapan yang salah oleh masyarakat tentang kemampuan bahasa
Malaysia sebagai bahasa kemajuan negara ini. Faktor kedua berpunca daripada sikap orang
Melayu sendiri. Hal ini berlaku demikian kerana orang Melayu yang berkuasa telah
meminggirkan bahasa Malaysia daripada rancangan pembangunan. Mereka tidak mahu
menyokong rancangan pembinaan kepustakaan bahasa Malaysia. Jika keadaan ini dibiarkan
berterusan, janganlah terkejut jika negara kita terus tertinggal dalam arus kemajuan, muflis
dalam bidang ilmu, teknologi, dan budaya serta akhirnya terkubur di negara sendiri. Rata-rata,
ibu bapa mendidik anaknya bertutur dalam bahasa Inggeris, kononnya jika tidak menguasai
bahasa asing itu, mereka sukar mendapat pekerjaan.

Dalam dunia korporat, orang-orang Melayu sendiri malu untuk bertutur dalam bahasa Malaysia
dengan bangsanya sendiri, kononnya takut dikatakan kolot, ketinggalan zaman, tidak bertamadun
atau tertinggal dalam arus teknologi moden. Bangsa kita tidak terdesak untuk mencipta ilmu dan
teknologi baharu kerana ilmu itu dapat diperoleh dan dibeli dari dunia lain sama ada dari barat
atau timur sehingga bahasa Malaysia menjadi peniru atau pengguna. Kita janganlah menuding
jari kepada sesiapa jika bahasa Malaysia dipinggirkan kerana kita sendiri yang enggan atau malu
untuk menjadikan bahasa Malaysia sebagai bahasa sains dan teknologi, bahasa pencipta ilmu dan
budaya atau bahasa bertamadun tinggi. Masyarakat kita sendiri lebih mementingkan bahasa
Inggeris sebagai alat kemajuan, malah dalam perbualan seharian sesama sendiri, kita lebih
berminat menggunakan bahasa Inggeris walaupun penguasaan bahasa Inggeris kita tidaklah
sebaik mana.

Selain itu, dasar penswastaan yang tidak terhad semakin menyingkirkan kedudukan bahasa
Malaysia sebagai bahasa pengantar di institusi-institusi pengajian tinggi. Pelajar-pelajar di
sekolah menerima pendidikan bahasa Malaysia selama tiga belas tahun. Selepas itu, mereka
meninggalkan bahasa itu selepas tamat persekolahan untuk melanjutkan pelajaran mereka ke
kolej swasta yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dalam pengajiannya.

Dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka merupakan badan
utama yang memainkan peranan yang amat penting dalam memartabatkan bahasa Malaysia
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di Malaysia. Melalui peranan dan usaha yang
dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, bahasa Malaysia telah digunakan dalam pelbagai
bidang, termasuklah undang-undang, kejuruteraan, sains dan teknologi, ekonomi, perbankan,
insurans dan sebagainya. Usaha ini terbukti dengan terbitnya buku-buku pengistilahan dan
glosari dalam bahasa Malaysia yang mencakupi pelbagai bidang tersebut. Sebelum ini,
kebanyakan istilah yang digunakan diambil daripada bahasa Inggeris. Usaha ini merupakan satu
kejayaan yang membanggakan. Hal ini sekali gus dapat membantu program pendidikan di pusat
pengajian tinggi.

Di samping itu, seluruh pekerja Dewan Bahasa dan Pustaka mesti menggunakan bahasa
kebangsaan dengan betul dalam semua ucapan rasmi seperti ucapan dalam majlis perasmian,
mesyuarat atau perhimpunan. Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah juga menjadi monitor dan
menggerakkan semua aktiviti pembinaan dan pemantapan bahasa kebangsaan di seluruh negara,
contohnya dalam projek Sukan Komanwel dan Koridor Raya Multimedia. Dalam konteks ini,
Dewan Bahasa dan Pustaka hendaklah sentiasa menasihat, menegur, dan membimbing pemimpin
kerajaan, swasta, media cetak, atau media elektronik supaya menggunakan bahasa Malaysia yang
betul dalam semua urusan rasmi.

Selain itu, peranan media massa juga tidak harus diperkecil. Media massa mempunyai
tanggungjawab sosial untuk memartabatkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia. Pujian dan
sanjungan haruslah diberikan kepada stesen penyiaran TV3 kerana masih terus menggunakan
bahasa Malaysia dalam kebanyakan siaran. TV3 merupakan stesen penyiaran yang mula-mula
menggunakan bahasa baku walaupun kini tidak lagi dan begitu juga harapan kita kepada RTM.
Walaupun pihak RTM telah memulakan penyebutan baku bagi istilah asing, namun usaha itu
masih belum boleh dibanggakan. Oleh itu, diharapkan kebanjiran stesen-stesen baharu ini dapat
bersama-sama memartabatkan bahasa Malaysia di negara kita.

Di samping itu, mahasiswa institusi pengajian tinggi perlu memainkan peranan yang proaktif
untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini demikian kerana mahasiswa perlu bergerak
bersama-sama bagi mengukuhkan bahasa Malaysia dalam semua bidang ilmu. Menurut Datuk
Mahadzir Mohd Khir, Timbalan Menteri Pelajaran, beliau mengatakan bahawa langkah-langkah
yang dijalankan oleh mahasiswa dengan menganjurkan Minggu Bahasa Malaysia di institusi
pengajian tinggi dalam kegiatan kebahasaan akan menarik minat dan memupuk kecintaan orang
ramai terhadap bahasa Malaysia. Pembabitan mahasiswa yang peka terhadap keperluan dan
perubahan semasa selaras dengan peranan mahasiswa sebagai penggerak pembangunan
masyarakat patut diberikan pujian. Minggu Bahasa Malaysia yang dianjurkan oleh mahasiswa
dapat mendaulatkan bahasa ibunda di samping memupuk kecintaan terhadap bahasa Malaysia
dalam kalangan generasi masa ini.

Warga pendidik di negara ini juga turut memainkan peranan yang penting untuk memartabatkan
bahasa Malaysia serta meningkatkan mutu pendidikan bahasa Malaysia. Golongan pendidik hari
ini telah dipertanggungjawabkan melaksanakan konsep bahasa Malaysia dalam kalangan
masyarakat. Peranan pendidik bahasa adalah penting kerana mereka juga bertanggungjawab
membimbing guru mata pelajaran lain. Peranan para pendidik lebih penting dalam
memartabatkan bahasa Malaysia kerana dalam kurikulum pendidikan bahasa, matlamat utama
adalah untuk melahirkan pelajar yang berupaya menggunakan bahasa Malaysia yang baik dan
membanggakan. Selain itu, dalam konteks sikap yang lebih luas, nilai-nilai masyarakat yang
positif perlu diterapkan melalui pendidikan bahasa.


Sehubungan dengan itu, peranan sektor swasta dalam memartabatkan bahasa Malaysia amatlah
dialu-alukan. Sektor swasta haruslah peka dan menganjurkan lebih banyak kegiatan bahasa di
luar negara seiring dengan promosi perniagaan atau produk masing-masing. Kegiatan promosi
dan pasaran secara terancang akan memberikan pulangan yang merangsangkan perkembangan
bahasa Malaysia sebagai bahasa ekonomi, sains, dan teknologi. Papan-papan tanda dan iklan
yang mempromosikan sesuatu produk haruslah menggunakan kata-kata bahasa Malaysia yang
betul dalam semua urusan rasmi. Dengan cara ini, kita akan dapat mendaulatkan dan
memartabatkan bahasa Malaysia bukan sahaja di negara kita malah di pentas dunia.

Menurut Timbalan Menteri Pelajaran, orang Malaysia sendiri mesti membetulkan kelakuan,
sikap, tanggapan, dan semangat mereka terhadap bahasa Malaysia. Jika tidak siapakah lagi yang
akan bertanggungjawab memperjuangkan dan mendaulatkan bahasa Malaysia yang menjadi
bahasa kebangsaan? Beliau juga mengesyorkan satu pertemuan raksasa antara orang-orang
Malaysia yang terdiri daripada pemimpin politik, cendekiawan, ahli perniagaan, dan sebagainya
perlu diadakan untuk membincangkan segala masalah yang mengancam bahasa Malaysia hari
ini. Sebenarnya, isu bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan samalah seperti nasib sosial dan
budaya kebanyakan orang Malaysia. Oleh hal yang demikian, orang-orang Malaysia haruslah
bangun menjadi penegak bahasa Malaysia; bahasa yang menjadi tonggak bangsa.

Kesimpulannya, daripada perbincangan di atas, langkah-langkah yang konkrit dan pragmatik
perlulah diambil untuk memartabatkan bahasa Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana
bahasa Malaysia ialah bahasa kebangsaan kita. Hakikat ini perlu disedari dan diakui oleh seluruh
rakyat Malaysia. Kepentingan bahasa ini tidak dapat dipertikaikan lagi, sebaliknya setiap
individu haruslah memanfaatkan masa mereka untuk mempelajari dan menguasai bahasa
Malaysia dengan baik. Cara itulah yang terbaik untuk memartabatkan bahasa Malaysia yang
ternyata memberikan faedah yang besar kepada perpaduan rakyat dan teknologi Malaysia. Jika
tidak, generasi yang akan datang akan ketinggalan dan dijajah oleh kuasa-kuasa Barat yang
menggunakan bahasa asing. Sesungguhnya, bahasa jiwa bangsa.
g

Anda mungkin juga menyukai