Anda di halaman 1dari 2

PALESTIN, SAHABAT KITA YANG SEMAKIN JAUH

Tuah Sujana

JIKA Palestin itu seorang sahabat, tentu sekali ia bukan sahabat kita paling akrab. Barangkali ia
sahabat kita paling jauh atau sahabat pena yang pernah sekali dalam warkahnya mengirim foto
paling tampan. Meski tampan, selalu pula kita terlupa iras wajah dan raut pesonanya hanya
sesekali terimbas ketika kita kesunyian. Sahabat yang jauh; jarang kita menghafal susur galur,
turun naik perjalanan hidup, malah pada suatu detik mungkin kita bertanya kepada diri sendiri:
Siapa dia? Seperti sahabat yang jauh, tertanyakah kita: Siapa Palestin?
Entah bila aku akan bertemu sahabat jauh ini. Sebagai pengarang, aku hanya bertemu
Palestin dalam lembar-lembar sejarah, kemudian terimbau dalam mimpi paling asing. Palestin
aku pernah merakamnya dalam cerpen Bianglala Gaza selepas serangan Cast Lead yang keji
itu. Kurakamkan watak jururawat Syifa yang mahu menjadi sekental jururawat Islam masyhur,
Rufaidah binti Saad al-Aslami. Perjuangan yang membawanya bertemu sahabat kita yang jauh,
Palestin. Aku cuba merenungi kerdip matanya, lekuk inderanya yang terbungkus dalam selimut
kemanusiaan tebal. Sahabatku yang jauh ini rupa-rupanya pengemis di buminya sendiri. Lantas
kupotretkan dalam sajak Pengemis Kemanusiaan. Kataku:
Sekali lagi,
kami terpaksa mengetuk
dari pintu ke pintu
menanti di tubir penderitaan
dalam hujan air mata
yang sudah lama menjadi belerang
dan menakung dendam.
Aku tahu sahabatku yang jauh ini sedang menangis, tetapi aku mahu mengingat-ingat
senyumnya. Aku mahu mendengar-dengar tawanya yang pernah bersisa. Aku membenci siapa
sahaja yang membuat sahabatku yang jauh ini berhiba. Kuhimpunkan setiap ketawa, gembira,
dan harapan membara dalam sajakku Ba Ta, Ada Tawa di Hujung Gaza. Kataku:
Ta bukan,
bukan tangis untukmu Gaza, tetapi takwa
kasturi para syuhada. Dan potret merdeka.
Demi sahabatku yang jauh ini, aku rela menangis dan biar dia pula ketawa.
Sesungguhnya aku malu menjadi pengarang yang hanya mahu bertemu sahabatnya ini
dalam mimpi panjang dan kata-kata berlinang. Hanya tahu berharap. Hanya tahu berdoa. Tak
lebih daripada itu. Aku malu. Seluruh jagat sepatutnya berasa malu, walau sahabatku itu jauh.
Masih tentangmu Gaza; kerana aku terlalu malu menjadi penyair yang hanya
tahu mendendang kata sedangkan seluruh harimu terkerlip bahang senjata
memang, rupa-rupanya aku tidak pernah mengenalimu lebih daripada engkau
mengenal dirimu sendiri; bahasa syahdu tidak difahami,
lara kalbu sukar dihayati, tawamu tangisan dunia amat jujur.
(Petikan sajak Denting Jagat)
Sewaktu aku cuba mengingat-ingat manis wajah sahabatku ini, rupa-rupanya dia makin
menjauh daripadaku. Entahkan marah, entahkan merajuk daripadaku. Aku kesal kerana pernah
memilih untuk tidak peduli.
Permintaanku, mahukah kalian mendekatkan sahabat yang kian jauh ini kepadaku?
Nama sahabatku yang jauh itu, Palestin. Pernahkah kalian juga bersahabat dengannya?

Anda mungkin juga menyukai