Anda di halaman 1dari 19

1.

PENGENALAN ISU
Profesion perguruan adalah suatu profesion yang mulia, dihormati dan disanjungi. Guru
merupakan seorang yang akan dikenang jasanya oleh anak didiknya hingga ke akhirnya. Ia
adalah suatu profesion yang mempunyai etikanya tersendiri di mana guru dianggap segalagalanya. Guru ibarat pakar rujuk dalam setiap bidang dan menjadi orang yang dihormati serta
disegani dalam masyarakat. Walaubagaimanapun, profesion perguruan abad ini tidak terlepas
daripada isu-isu hangat yang diperkatakan seperti isu penyalahgunaan dadah, salah laku seks,
rasuah, salah guna kuasa, mendera, sakit mental dan sebagainya. Isu-isu yang diperkatakan
menjadi semakin bertambah hari demi hari yang menampakkan keburukan serta kepincangan
yang mencalar profesion perguruan itu sendiri walaupun ianya berpunca dari individu tertentu
yang bergelar guru.
Isu kebiasaannya dikaitkan dengan sesuatu perkara yang diperkatakan dan boleh
menjadi sesuatu yang besar. Tidak banyak definisi isu yang dapat dinyatakan namun menurut
satu laman web (artika.com), isu adalah suatu masalah yang dikedepankan atau diperkatakan
untuk ditanggapi oleh orang ramai. Ia juga merupakan suatu berita yang tidak jelas asal
usulnya dan tidak terjamin kebenarannya.
Dalam era globalisasi masa kini, seseorang yang ingin berjaya dalam apa jua bidang
haruslah mempunyai ciri-ciri berdisiplin, bertanggungjawab, amanah, ikhlas dan nilai-nilai
murni. Nilai-nilai murni ini akan membentuk etika seseorang individu tersebut. Etika
ditakrifkan sebagai satu cabang ilmu pengetahuan yang berurusan dengan apa yang baik dan
tidak baik dan dengan kewajiban dan tanggungjawab moral (Harold Koontz & Heinz Weihrich
Pengurusan terjemahan Mohd Salmi Mohd Sohod & Siti Nadzrah Sheikh Omar DBP).
Istilah etika atau ethic berpunca daripada perkatan Greek ethos yang bermaksud
perwatakan atau keperibadian. Mengikut pengertian Kamus Dewan (1995), etika bermaksud
satu sistem dasar akhlak, adat atau tingkah laku atau kesusilaan. Pengertian dari sudut Islam
pula menyatakan etika adalah akhlak. Manakala dalam konteks pekerjaan merujuk kepada
tingkah laku baik sewaktu menjalankan setiap amanah yang dituntut oleh syarak.
Ia juga merupakan suatu sistem yang berkaitan dengan dasar akhlak atau tingkah laku
bagi sesuatu kumpulan atau organisasi. Sistem dasar meliputi aspek-aspek moral yang baik
atau buruk serta betul atau salah sebagai panduan kepada ahli-ahli. Dalam kehidupan manusia

memerlukan satu sistem atau panduan untuk menentukan mereka bertingkah laku. Perkara ini
mendasari perkembangan etika dalam masyarakat tersebut.
Menurut sarjana barat, J.L. Mackie beliau mentakrifkan etika sebagai disiplin yang
dapat menerangkan nilai baik dan buruk sesuatu perbuatan serta menyediakan garis-garis
perbezaan antara kebaikan dan keburukan seseorag. Menurut A.R. Licey dan W.L. Reese, etika
dikatakan sebagai kegiatan aktiviti praktikal yang melibatkan tingkah laku, adat dan cara
hidup serta aspek niat dan kecenderungan seseorang atau masyarakat dalam melakukan
sesuatu aktiviti. Dari sudut pandangan ahli falsafah, etika merujuk kepada pengajian moral
yang bertumpu kepada nilai dan kelakuan manusia.
Etika juga dikatakan menggariskan semua panduan yang bertujuan meningkatkan
tahap kualiti, produktiviti dan disiplin dalam perkhidmatan dengan memberi penekanan
terhadap semua aspek yang berkaitan dengan peraturan dan peradaban, peranan nilai serta
tingkah laku profesion dalam masyarakat. Skop Etika Profesional mencakupi sebahagian besar
kehidupan ahli profesional kecuali hal-hal yang benar-benar peribadi. Dalam Islam, etika ialah
akhlak yang diamalkan oleh manusia yang bertakwa dalam keseluruhan hidupnya.
Oleh itu berdasarkan pengertian di atas, jelas bahawa etika berkaitan dengan
pembuatan keputusan bagi semua jenis tindakan di mana tindakan-tindakan tersebut
membawa seseorang untuk berinteraksi dengan orang lain secara berprotokol, sempurna,
berhemah dan berkesan. Di samping itu juga, etika melihat secara khusus mengenai tingkah
laku manusia yang dikira patut atau tidak patut dilakukan selaras dengan norma-norma dan
nilai-nilai yang diterima oleh semua masyarakat pelbagai kaum di Malaysia.
Guru perlu mempunyai sahsiah yang tinggi dan memberi komitmen yang tinggi
terhadap tugas sebagai pendidik yang baik. Media massa banyak melaporkan pelbagai kes dan
isu seperti guru memukul murid, guru menerima rasuah, guru pecah amanah, cikgu cabul
murid dan sebagainya yang menarik perhatian umum serta menguji kredibiliti profesion
perguruan. Namun kes-kes seperti ini semakin meningkat setahun demi setahun. Berdasarkan
pelbagai isu yang berkaitan dengan guru dan keguruan ini, maka saya telah memilih satu
artikel yang bertajuk Guru menjalankan kegiatan penyalahgunaan dadah sebagai kerja
sambilan. Saya berpendapat bahawa isu ini melibatkan guru dikategorikan sebagai melanggar
etika profesion perguruan.

Fenomena masyarakat yang bekerja sambilan merupakan perkara asas yang jarang
diperkatakan. Namun ia bukan sesuatu yang asing dalam kalangan masyarakat termasuk di
kalangan guru pada hari ini. Guru-guru di Malaysia umumnya tidak diketahui secara jelas
sejauhmana seriusnya mereka terlibat dengan aktiviti pekerjaan sampingan. Bahkan, untuk
mengetahui statistik sebenar golongan yang bekerja sampingan, ia tidak mudah untuk
diperolehi disebabkan kebanyakan mereka yang terlibat tidak bersedia untuk membuat
pengakuan atas alasan-alasan yang tersendiri. Walaubagaimanapun, fenomena ini dapat
dilihat di kebanyakan sekolah berdasarkan kepada pemerhatian yang dilakukan oleh guru-guru
sendiri di sekolah masing-masing. Kerja sampingan merupakan istilah yang membawa maksud
seseorang yang melakukan sesuatu pekerjaan yang dapat menambahkan pendapatannya
walaupun memiliki kerjaya utama.
Guru merupakan golongan profesional yang diberi peranan penting sebagai agen
perubahan dalam masyarakat. Menurut Noriati et. al. (2010), guru yang komited diperlukan
untuk menyediakan program pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti dan berpegang
teguh dengan strategi-strategi akauntabiliti yang berkesan. Guru sebagai kakitangan sekolah
pula harus memberikan sepenuh komitmen kepada pihak pentadbiran bagi melancarkan
urusan berkaitan pengurusan sekolah selain memberikan sokongan padu dalam merealisasikan
visi dan misi sekolah yang telah digariskan (Abdullah Sani et. al. 2007).
Komitmen guru menjadi salah satu faktor yang penting dalam menentukan kejayaan
perubahan sesuatu dasar dan agen pendidikan yang dirancang. Malah ia bukan sekadar ketika
berada dalam waktu bertugas di sekolah, malah pada bila-bila masa. Selain menjalankan
tugas pengajaran dan pembelajaran, bidang tugas guru turut merangkumi pelbagai perkara
yang berkaitan dengan bidang pengurusan akademik termasuk penglibatan dalam pengurusan
kokurikulum, pengurusan kebajikan murid, terlibat dalam mesyuarat serta menghadiri kursus
dan sebagainya (Burnham, 2011). Keadaan itu telah memperlihatkan kepelbagaian tugas
seorang guru dalam dunia pendidikan yang sentiasa wujud perubahan seiring dengan
keperluan semasa (Mohamad Najib, 2004).
Walaubagaimanapun, sebagai seorang manusia guru tetap memerlukan masa yang
perlu diluangkan untuk menguruskan hal-ehwal peribadi sama seperti individu lain (Lambert,
2003). Ini merupakan hak guru melakukan semua perkara untuk kepentingan dirinya di luar
waktu bertugasnya di sekolah. Selain melakukan tugas peribadi, mengurus keluarga atau
terlibat dengan sebarang aktiviti komuniti setempat, terdapat dalam kalangan guru yang

mengambil inisiatif melakukan sesuatu yang dapat menambahkan pendapatannya dengan


melakukan kerja sambilan. Terdapat pelbagai faktor yang menyumbang kepada situasi ini di
mana kesan-kesan yang wujud daripadanya menjadi kayu ukur kepada tahap komitmen guruguru yang terlibat.
Menurut Mariatin (2009), oleh kerana kejayaan sesebuah organisasi banyak bergantung
kepada kesungguhan dan komitmen yang diberikan oleh kakitangan maka, seharusnya tidak
ada sebarang halangan yang dapat menyumbang kepada kegagalan guru dalam memberikan
komitmen kepada organisasinya. Ini disebabkan komitmen semua guru diperlukan bagi
memastikan pengurusan sekolah dapat dijalankan dengan jayanya kerana guru adalah
sebahagian daripada kakitangan yang menggerakkan organisasi sekolah bagi mencapai misi
dan visi yang selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan (Abdullah Sani, 2005).

Kerja sambilan merupakan istilah yang diadaptasi daripada perkataan Bahasa Inggeris
iaitu moonlighting di mana perkataan ini pada asalnya diambil daripada perkataan
moonlight. Menurut kamus Oxford (2011), kerja sambilan membawa maksud seseorang yang
mempunyai pekerjaan kedua di mana kebiasaannya dilakukan pada waktu malam secara
rahsia sebagai tambahan daripada pekerjaan utamanya. Kemudian, Pere (2007) dan Betts
(2002) menyatakan istilah moonlighting ini seerti dengan istilaah second job, part-time
job, dual job, multiple job dan seumpamanya. Kesemua ini bermaksud bahawa seseorang
yang bekerja sambilan secara separuh masa namun pada masa yang sama mempunyai
pekerjaan lain yang utama di mana ia dilakukan secara sepenuh masa.
Idea ini selari dengan Champion (2010), Michael (2010) dan Betts (2006) yang
menyatakan moonlighting di dalam Bahasa Melayu adalah kerja luar yang bermaksud
mempunyai dua pekerjaan atau lebih separuh masa serta pekerjaan tambahan ini berlaku
kepada seseorang yang memiliki sesebuah kerjaya yang menjadi pekerjaan utamanya.
Azanza (2000) pula berpendapat bahawa kerja sambilan merupakan salah satu cara
untuk memperolehi pendapatan walaupun seseorang itu mempunyai pekerjaan tetap. Di
samping itu beliau turut menyatakan kerja sambilan itu merangkumi seseorang yang bekerja

sendiri seperti menjadi perunding, mengajar kelas malam, membuat pelaburan selain
menjadikan hobi dan kemahiran yang dimiliki sebagai cara untuk menambahkan pendapatan.
Berdasarkan kepada definisi dan konsep kerja sambilan yang telah dihuraikan di atas,
isu ini memfokuskan kepada guru yang terbabit dengan sebarang kegiatan atau aktiviti yang
boleh mendatangkan pendapatan sampingan semasa berada di dalam kawasan sekolah atau
sebaliknya pada bila-bila masa (Parham, 2006). Keadaan ini sama ada bekerja separuh masa
secara makan gaji di tempat lain selepas waktu mengajar, menjalankan perniagaan sendiri
dengan menjual produk atau sebagai agen jualan, penyediaan sesuatu perkhidmatan, memiliki
syarikat perusahaan sendiri atau usahasama dengan keluarga atau sebarang sumber yang
dapat menambahkan pendapatan mereka walaupun aktiviti berkenaan dijalankan secara
kecil-kecilan.
2.0

PERKEMBANGAN HUJAH
Isu berkenaan guru yang bekerja sambilan ini bukanlah satu trend atau khusus di
sesebuah tempat malahan di mana-mana tempat dan organisasi akan wujud kakitangan yang
melakukan pekerjaan sampingan. Walaupun faktor kewangan dilihat lebih dominan dalam
kalangan guru yang melakukan kerja sampingan (Livanos & Zangelidis 2008, McClintock et. al.
2004), Robinson & Wadsworth (2007) menyatakan ia bukan disebabkan masalah kewangan
atau menerima gaji yang rendah daripada pekerjaan utama semata-mata. Sebaliknya terdapat
juga pelbagai faktor lain yang turut menyumbang kepada seseorang itu mengambil keputusan
untuk melakukan pekerjaan sambilan yang merangkumi faktor peribadi dan faktor kerjaya
(Betts 2002).
Menurut Betts (2002), dalam laporannya menyatakan salah satu faktor daripada
pekerjaan sampingan itu dilakukan adalah kerana faktor peribadi. Pandangan ini juga turut
diselari dengan para pengkaji yang lain di mana kerjaya sampingan yang dilakukan itu tidak
berkaitan dengan faktor kewangan dan tidak dipengaruhi oleh unsur lain selain atas kehendak
diri sendiri semata-mata. Kebanyakan mereka yang bekerja sambilan juga didapati sangat
menyukai untuk melakukannya tanpa terikat dengan faktor kewangan (Hipple, 2010).
Dickey et. al. (2011) dan Betts (2002) berpendapat seseorang yang menjalankan kerja
sampingan adalah disebabkan oleh faktor peribadi iaitu untuk memenuhi minat serta mengisi
masa lapang di luar waktu bertugas mereka. Bahkan wujud dalam kalangan mereka untuk
memenuhi kepuasan mereka dalam bekerjaya di mana ia tidak diperolehi daripada pekerjaan

utamanya (Dickey et. al. 2011, Panos et. al. 2011) dengan melakukan sesuatu pekerjaan lain
yang diminati.
Winters (2010) dalam kajiannya mendedahkan, walaupun seseorang itu melakukan
pekerjaan sampingan tetapi ia bukan atas alasan kewangan walaupun memperolehi
pendapatan kecil daripada kerjaya utamanya seperti mana yang dijelaskan oleh Hipple
(2010). Malahan kajian ke atas guru menunjukkan majoriti daripada mereka yang terlibat
mengakui mereka tetap akan melakukan pekerjaan sampingan walaupun tangga gaji mereka
sebagai guru dinaikkan (Pearson et. al. 2001). Keadaan ini menunjukkan mereka
sememangnya menyukai dan gembira dengan kerja sampingan yang dilakukan (Renna &
Oaxaca 2009) walaupun terpaksa mengorbankan masa lapang di luar waktu bekerja.
Selain itu, seseorang yang menjalankan pekerjaan lain selepas waktu bertugas adalah
bagi meningkatkan bakat dan kemahiran yang dimiliki serta mempunyai minat mendalam
terhadap aktiviti sampingan yang dilakukan. Hipple (2010) berpendapat pekerjaan sampingan
yang dilakukan seseorang adalah sebagai cara untuk membina kemahiran baru dan menimba
pengalaman lain yang berbeza daripada pekerjaan utama sedia ada yang dimiliki (Dickey et.
al. 2011, Renna & Oaxaca 2009).
Terdapat juga dalam kalangan individu yang melakukan kerja sampingan bagi membina
rangkain hubungan sosial dengan rakan baru (Betts 2002). Salah satu tujuannya adalah untuk
mengenali seseorang yang dapat membantunya mencapai sesuatu yang diingini seperti
peluang pekerjaan baharu (Pere 2007). Kesemua alasan-alasan berbentuk peribadi ini
memperlihatkan mereka melakukan kerja sampingan adalah atas dasar sukarela dan merasa
bahagia melakukannya (Hipple 2010, Averett 2001) walaupun menyedari pelbagai kesan yang
akan dihadapi daripada tindakan melakukan pekerjaan sampingan.
Kebanyakan pengkaji mengatakan bahawa faktor ekonomi atau kewangan merupakan
penyebab utama kepada seseorang itu melakukan kerja sampingan (Dickey et. al. 2009)
termasuklah dari kalangan guru. Walaupun mempunyai pendapatan daripada pekerjaan utama
sebagai guru secara sepenuh masa, terdapat juga di kalangan mereka yang melakukan
pekerjaan sambilan bagi mengatasi masalah kewangan yang dihadapi.
Hipple (2010) berpendapat bahawa mereka yang memiliki kerjaya lain yang
mendatangkan pendapatan adalah berpunca daripada faktor kewangan sebagai sebab utama.
Beliau turut menyebut keadaan ini adalah disebabkan mereka mempunyai beban tanggungan

hutang atau pinjaman yang perlu dijelaskan sama seperti mana yang dilaporkan oleh Verma
(2008) dan Averett (2001). Laporan daripada Parham (2006) juga menyebutkan faktor
penyebab guru menjalankan kerja sambilan adalah kerana masalah kewangan dan ianya sukar
untuk dihentikan setelah terlibat dengan aktiviti bekerja sambilan walaupun mengetahui
terdapat kesan di sebaliknya.
Keinginan untuk meningkatkan taraf kehidupan yang lebih baik dengan memperolehi
pendapatan tambahan telah menyebabkan ramai yang mengambil keputusan untuk bekerja
sampingan. Kenyataan ini selari dengan Hyder & Ahmed (2009), Guanglia & Kim (2004),
Kimmel & Conway (2002) dan Partridge (2002) yang mengemukakan alasan gaji atau
pendapatan yang kecil daripada kerjaya utama menjadi punca kepada seseorang itu
melakukan pekerjaan sampingan.
Terdapat kajian yang menunjukkan individu menjalankan kerja sambilan adalah
disebabkan faktor kerjaya. Keadaan ini bermaksud seseorang itu menjalankan kerja
sampingan atas tuntutan yang berhubung dengan kerjaya mereka sendiri (Dickey et. al. 2009),
untuk menimba pengalaman baharu (Dickey et. al. 2011), memperolehi pengetahuan bagi
memperkukuhkan kerjaya pada masa depan dan sebagai satu cara bagi meninggalkan kerjaya
perguruan (Henderson 2000) atas pelbagai asalan.
Terdapat pelbagai kerja sambilan yang dilakukan oleh guru-guru pada masa kini. Ada
antara mereka yang mengajar di pusat-pusat tuisyen, menjadi penceramah dalam sebarang
khusus atau seminar, berniaga di pasar-pasar malam, MLM, memandu teksi malah ada antara
mereka yang mungkin turut terlibat dengan pekerjaan jenayah yang menyalahi undangundang negara. Jesteru, fenomena guru menjalankan kerja sambilan telah mendapat
perhatian daripada pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Bagi mengatasi masalah
tersebut, pihak kementerian telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perkhidmatan Bil. 1 Tahun
1999 mengenai penglibatan pegawai dan kakitangan di bawah dalam Pekerjaan Luar. Menerusi
surat tersebut, Ketua Jabatan telah diberi kuasa meluluskan permohonan dan membuat
pemantauan terhadap mereka yang berkenaan.
Namun begitu, sejak kebelakangan ini banyak aduan yang telah diterima dan
dibangkitkan sama ada di media cetak mahupun elektronik mengenai salah laku pegawai yang
terlibat sebagai guru tuisyen mahupun tenaga pengajar sambilan sama ada mereka telah
diberi kebenaran atau tidak telah didapati tidak mengutamakan tanggungjawab ke atas tugas
hakiki yang disandang malahan ada yang mengambil kesempatan menjadikan institusi

pendidikan sebagai platform atau medan perniagaan dalam mempromosi khidmat tuisyen
berbayar yang berunsur kepentingan peribadi.
Pada dasarnya pegawai perkhidmatan awam dilarang melakukan pekerjaan luar atau
kerja sampingan yang mendatangkan sebarang bentuk faedah atau keuntungan sama ada
dalam bentuk upah atau keuntungan. Namun demikian, atas keprihatinan kementerian
terhadap keperluan para murid dalam mendalami ilmu dan menguasai pembelajaran
tambahan, pihak kementerian telah membenarkan para pendidik untuk membimbing murid
melalui kelas persendirian di mana-mana institusi pendidikan swasta dengan syarat aktiviti
yang dijalankan tidak bertentangan dengan kepentingan dirinya sebagai penjawat awam.
Kebenaran bersyarat ini adalah sebagai alat kawalan dalaman bagi memastikan aktiviti
tersebut selaras dengan kehendak Peraturan 5, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan
dan Tatatertib) 1993. Tujuan Surat Pekeliling Perkhidmatan itu dikeluarkan adalah untuk
memberi garis panduan yang terperinci mengenai pengendalian dan syarat-syarat khusus
kepada pekerjaan luar sebagai guru tuisyen atau tenaga sambilan bagi anggota Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Sebagai

kesimpulannya,

kerja

sampingan

boleh

dilakukan

oleh

guru

tetapi

pertimbangan yang sewajarnya haruslah diberikan supaya kerja sampingan tersebut tidak
mengganggu tugas hakiki guru di sekolah. Setiap guru harus secara bertanggungjawab
terhadap tugas sebenar di sekolah dan menjadikan kerja sampingan benar-benar sebagai
sampingan. Guru sebaliknya tidak boleh sama sekali menjadikan tugas hakiki di sekolah
sebagai kerja sampingan.
Namun demikian, kebenaran ini juga telah disalah ertikan oleh guru dengan melakukan
pekerjaan jenayah sebagai kerja sampingan yang menyalahi undang-undang. Merujuk kepada
laporan berita-berita semasa yang disiarkan melalui media massa, terdapat pelbagai isu yang
melibatkan guru dikategorikan sebagai melanggar etika profesion perguruan sekarang ini.
Antara salah satu isu hangat yang telah menimbulkan permasalahan serta memberi kesan
terhadap profesion keguruan ialah yang dipetik dari artikel melalui sumber laman web rasmi,
Guru Sains disyaki edar dadah akan digantung kerja (Berita Harian Online: 21 Februari 2010).
Merujuk kepada laporan akhbar dalam Berita Harian Online melaporkan: Guru Sains
Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di Rengit, Batu Pahat yang ditahan polis, Rabu lalu
selepas dipercayai mengedar dadah bakal berdepan tindakan digantung kerja, dipindahkan

atau dibayar separuh gaji. Guru sains tersebut dipercayai mengedar dadah secara sambilan
kerana mahu menjalani kehidupan mewah dan bergaya.
Menurut sumber, guru berusia 31 tahun itu baru saja berjinak-jinak dalam pengedaran
dadah kira-kira dua bulan lalu dengan menggunakan kereta Proton Savvy miliknya untuk
menghantar sendiri bekalan apabila menerima tempahan dan ditahan kira-kira jam 10 malam
dalam satu sekatan jalan raya di sekitar daerah Batu Pahat.
Sumber itu berkata, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom
menyatakan tindakan pentadbiran serta merta yang dikenakan kepada guru terbabit
membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah bertolak ansur kepada mana-mana pihak
yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan di negara ini. Menurut beliau juga,
pihaknya memandang serius kejadian seumpama itu dan tidak teragak-agak untuk mengambil
tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan profesion perguruan yang
selama ini dipandang tinggi di kalangan masyarakat.
Berdasarkan laporan yang dibuat dalam akhbar terkenal itu jelas menunjukkan bahawa
guru tersebut secara terang melanggar etika profesion perguruan dan kod etika perguruan di
Malaysia yang menyatakan bahawa guru perlu mematuhi kod etika perguruan iaitu
menjalankan tanggungjawabnya sebagai guru kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat,
masyarakat dan negara. Namun dalam kes ini guru telah membelakangkan tugas awamnya
demi kepentingan peribadi. Dengan ini jelas menunjukkan sikap tidak profesional guru
tersebut yang tidak berfikir dengan wajar tentang impak negatif yang akan dihadapi sebelum
melakukan pekerjaan sambilan tersebut yang jelas menjejaskan masa depannya serta
memburukkan nama baik profesion perguruan yang sepatutnya disanjung tinggi. Jesteru itu,
guru berkenaan akan dikenakan tindakan tatatertib mengikut peraturan tatakelakuan yang
ditetapkan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dimana
Pihak Berkuasa Tatatertib akan mengenakan hukuman gantung kerja kerana guru tersebut
telah disabitkan melakukan kegiatan jenayah dalam penyalahgunaan dadah secara kerja
sambilan.
Malahan, baru-baru ini sudah terdapat isu berkenaan guru melanggar etika profesion
perguruan iaitu bekerja sambilan telah dilaporkan menerusi Berita Harian Online: 4 Januari
2010 Guru abai tanggungjawab calar imej profesion perguruan. Menurut sumber, beberapa
persatuan guru mengakui wujud kes terpencil guru lebih mengutamakan kerja luar
berbanding tugas hakiki mereka di sekolah kerana mengejar pendapatan yang lumayan. Dalam

laporan tersebut, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan, Loke Yim
Pheng, berkata tindakan segelintir guru yang lebih rajin mencari pendapatan tambahan itu
umpama nila setitik rosak susu sebelanga. Maka, keadaan ini akan memperlihatkan kesan
negatif terhadap bidang profesion perguruan dimana tindakan guru berkenaan boleh
mencalarkan imej golongan pendidik kerana kebanyakan guru adalah komited menjalankan
tanggungjawab mereka masing-masing.
Tambahan lagi, isu guru melakukan penyalahgunaan dadah secara sambilan ini menjadi
semakin hangat apabila timbul pula laporan akhbar yang ditulis oleh M Hifzuddin Ihksan dalam
Berita Harian Online melaporkan BETONG: Kegiatan seorang guru dari Semenanjung menjual
dadah dan pil khayal kepada pelajar di sebuah sekolah menengah di sini terbongkar apabila
polis menahannya bersama 1,862 pil nospan di sini petang semalam. Ketua Polis Daerah
Betong, Deputi Superintendan Mohd Bukhori Saffai, berkata suspek yang bertugas di sebuah
sekolah di Beladin dipercayai menjadi pengedar dadah kepada pelajar sekolah sekitar
kawasan berkenaan. Suspek menjalankan kegiatan mengedar dadah di Beladin sejak tahun
lalu dan mempunyai rangkaian pelajar yang dijadikan orang tengah.

Guru yang disebutkan di atas sememangnya mementingkan kehendak dan kepuasan


diri tanpa memikirkan nilai sahsiah dan moral yang sepatutnya dimiliki oleh seorang pendidik.
Selain menggelapkan masa depannya sendiri, tindakan di luar kewarasannya itu turut
memusnahkan masa depan pelajarnya ke arah melahirkan generasi pengedar dadah yang
sepatutnya di jaga dan dilindungi olehnya sekaligus memburukkan nama atau mencemarkan
nama profesion perguruan. Malah keadaan ini bukan sahaja mencemarkan imej perguruan
tetapi turut menjejaskan kredibiliti dan kepercayaan masyarakat setempat terhadap peranan
guru sebagai pendidik.
Profesion perguruan merupakan sebuah profesion yang sangat mulia dan dipandang
tinggi oleh semua golongan lapisan masyarakat. Dengan kesalahan-kesalahan segelintir guru
yang melanggar etika perguruan sesungguhnya telah mencemarkan kemuliaan profesion itu.
Kegagalan sahsiah guru itu adalah kegagalannya secara individu, namun mungkinkah ianya
adalah kegagalan pihak lain yang menyumbang kepada kesalahan dan pelanggaran nilai
sahsiah dirinya sendiri. Jika kesalahan yang dilakukannya adalah disebabkan faktor kewangan
yang mendesak guru tersebut melakukan kerja sambilan dengan mengedar dadah untuk
mendapatkan pendapatan yang lumayan, perkara ini hendaklah dipandang serius oleh pihak-

pihak tertentu supaya dapat memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap guru yang
lebih mengutamakan kerja luar untuk kepentingan diri sendiri.
Mungkinkah perkara ini tidak berlaku jika guru berkenaan dapat mengawal kemahuan
peribadi yang menginginkan kehidupan mewah dan bergaya tanpa memikirkan keperluan
utama atau dengan tujuan memenuhi kepuasan mereka dalam bekerjaya. Jesteru itu, sebagai
seorang guru yang berprofesional harus bijak dalam menguruskan bidang kerjaya dan peribadi
dari segi kewangan serta kecenderungan minat kerana kebijaksanaan dalam pengurusan ini
akan memberi kesan kepada kejayaan pengajaran guru di dalam kelas. Maka, guru perlu
mengenalpasti dan merancang setiap keperluan dan kemahuan dalam kehidupan mereka bagi
menjamin kejayaan dan kualiti hidup sebagai pendidik.

Kesalahan individu sering kali dilihat sebagai kegagalan individu itu sendiri, namun jika
diteliti dan diperhalusi terdapat beberapa faktor lain yang turut menyumbang kepada
berlakunya gejala sosial seperti melakukan kegiatan penyalahgunaan dadah sebagai pekerjaan
sambilan semata-mata untuk mengejar kemewahan hidup. Tanpa pegangan agama yang kuat,
kewarasan akal kadang kala tidak dapat menyekat kehendak naluri individu itu untuk terus
cenderung melakukan kesalahan.
Jika menurut teori Maslow (1968), kegagalan manusia mendapatkan sesuatu keperluan
yang utama boleh menyumbang kepada seseorang cenderung melakukan kesalahan demi
mengisi keperluan yang dihajatinya. Manakala, teori ini juga turut bertepatan dengan teori
Psikoanalitik yang diasaskan oleh Sigmund Frued (1856-1939) melihat manusia dilahirkan
dengan sifat semula jadi dan tingkah lakunya lebih kepada naluri kehaiwanan yang hanya
dapat dibendung dengan pengalaman-pengalaman dalam masyarakat dan sosialisasi. Sekiranya
pengalaman ini tiada atau kurang, maka ia cenderung ke arah merosakkan peraturanperaturan dalam sesebuah masyarakat.
Fenomena bekerja sambilan bukanlah sesuatu yang baru wujud dalam kalangan
masyarakat malah dalam kalangan guru yang bekerjaya pun situasi ini tidak terkecuali. Faktor
kewangan bukanlah satu-satunya punca yang menyumbang kepada penglibatan guru di dalam
aktiviti bekerja sambilan dengan melakukan kegiatan jenayah dalam kalangan guru bahkan
berkait rapat dengan faktor peribadi dan kerjaya mereka. Walaupun seseorang yang
melakukan kerja sampingan tersebut atas kemahuan sendiri yang menginginkan hidupan yang

mewah serta pendapatan yang lumayan, namun secara tidak langsung keputusan yang dibuat
itu bukan sahaja memberi kesan kepada diri sendiri tetapi juga melibatkan organisasi di
tempat kerja (Betts, 2002).

3.0

IMPLIKASI HUJAH
Setiap isu yang timbul atau ditimbulkan oleh guru sudah semestinya akan memberi
implikasi secara langsung atau tidak langsung terhadap diri guru itu sendiri, pelajar, sekolah,
masyarakat dan juga negara. Pembangunan sahsiah seseorang guru sebenarnya terbentuk
sejak kecil lagi bahkan sejak di dalam kandungan ibunya dan suasana di dalam rumah
tempatnya membesar. Peranan keluarga sangat penting sebagai memainkan peranan utama
manakala pembangunan sahsiah di sekolah hanyalah program sokongan peneguhan dan
pengayaan peribadi seseorang. Pembangunan guru juga bermula dari pembangunan individu
dan ia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti baka dan persekitaran.
Tahap pendidikan dan penghayatan ilmu membantu perkembangan dan pembangunan
sahsiah ke arah lebih positif. Jika terdapat guru yang mempunyai sahsiah buruk dan
menimbulkan isu yang negatif, pembangunan sahsiah di kalangan guru seolah-olah tidak
berjaya dan ia sesuatu yang membimbangkan memandangkan guru merupakan golongan yang
menjadi harapan untuk membangunkan bangsa dan negara.
Sahsiah sering dikaitkan dengan peribadi yang ditonjolkan oleh seseorang guru melalui
tindakan atau perlakuannya. Tindakan yang dipilih dapat dilihat sebagai tindakan yang boleh
diterima atau tindakan positif yang merupakan tindakan yang sejajar dengan jangkaan
masyarakat dan kehendak Kementerian Pelajaran Malaysia. Berita-berita membanggakan yang
melambangkan sahsiah positif seorang guru seperti guru bertindak berani menyelamatkan
anak muridnya serta ketabahan guru menghadapi dugaan dan cabaran untuk mendidik anak
bangsa merupakan perkhabaran yang membuatkan kita kagum dengan profesion perguruan.

Namun tindakan negatif yang tidak melambangkan sahsiah guru seperti isu guru edar pil
khayal kena tahan dan guru abai tanggungjawab calar imej profesion perguruan turut menjadi
fokus perbincangan utama media massa dan para penyelidik.

Isu-isu yang positif mahupun negatif sebegini telah memberi impak yang besar
terhadap profesion perguruan. Isu positif akan meningkatkan semangat dan motivasi para
guru, meningkatkan kepercayaan masyarakat serta turut mengharumkan persada pendidikan.
Walaubagaimanapun, kewujudan isu negatif telah mula menjadikan kebanggaan kita terhadap
profesion perguruan kini semakin pudar. Malah, pihak media, penyelidik bahkan masyarakat
telah memberikan tekanan dan desakan yang hebat terhadap pihak warga pendidik, sekolah
dan Kementerian Pelajaran Malaysia khasnya.
Isu guru mengedar dadah secara kerja sambilan adalah antara isu yang melanggar etika
perguruan dan ianya semakin hangat diperkatakan. Ia boleh meninggalkan kesan yang bukan
sedikit terhadap pembangunan sahsiah individu itu sendiri dan terhadap pembangunan sahsiah
golongan guru yang lain. Kesan tindakan itu turut memberi impak terhadap pihak yang terlibat
secara langsung atau tidak langsung termasuklah pihak sekolah, Jabatan Pendidikan serta
Kementerian Pelajaran Malaysia. Malahan tindakan guru mengedar dadah menggunakan
rangkaian pelajar sebagai orang tengah akan turut mendatangkan impak kepada pelajar dan
keluarga pelajar tersebut.
Guru berkenaan telah melakukan satu kesalahan jenayah menyalahgunakan dadah
yang menunjukkan kelakuannya yang dilarang dengan cara yang boleh memburukkan atau
mencemarkan nama baik perkhidmatan profesion perguruan. Kesalahan guru berkenaan akan
dikenakan tindakan tatatertib Peraturan 7 mengikut peraturan tatakelakuan yang ditetapkan
dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 dimana Pihak
Berkuasa Tatatertib akan mengenakan hukuman gantung kerja. Malah, berdasarkan laporan
akhbar tersebut menyatakan bahawa guru dipercayai mengedar dadah secara kerja sambilan
kerana mahu menjalani kehidupan mewah. Jesteru itu, kes ini menunjukkan guru tersebut
melanggar peraturan tatakelakuan dan tatatertib iaitu Peraturan 4(2), di mana guru
berkenaan membelakangkan tugas awamnya demi kepentingan peribadinya. Jika disabitkan
kesalahaan tindakan tatatertib akan dikenakan di mana ia bergantung kepada jenis
pelanggaran tatakelakuan seperti tindakan amaran, denda atau lucut hak emolumen, tangguh
pergerakan gaji, turun gaji, turun pangkat dan penggantungan kerja.

Guru yang telah melakukan kesalahan jenayah seperti mengedar dadah secara
sambilan ini telah menampakkan sahsiahnya yang sangat rendah dan martabatnya sebagai
guru dikesali kerana seorang guru tidak sepatutnya memiliki sahsiah sedemikian, bahkan guru
antara golongan terpelajar dan berilmu. Sepatutnya, guru memainkan peranan cuba
membimbing generasi muda mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dan bukannya guru
sendiri bertindak membekalkan dadah tersebut kepada pihak lain. Pembangunan sahsiah guru
terbabit akan dikategorikan sahsiah yang negatif walaupun dia seorang guru yang berkaliber
dan berjasa. Moralnya akan menjadi persoalan dan diperkatakan oleh setiap lapisan
masyarakat serta mendapat cemuhan. Segala kebaikan dan bakti yang dicurahkan selama ini
akan hilang begitu sahaja. Malahan, kes pengedaran dadah ini juga merupakan satu kegiatan
jenayah yang boleh membawa hukuman mati dan penjara jika disabitkan kesalahan. Jika dia
dijatuhkan hukuman, alangkah rendahnya martabat seorang pendidik yang terpaksa
menghabiskan masa bersama-sama pesalah lain yang rata-rata bukanlah dari golongan
cendikiawan sepertinya.
Sekiranya guru berkenaan sudah selesai menjalani hukuman atau berjaya membayar
denda yang dikenakan, isu ini pasti tidak akan berhenti begitu sahaja. Isu dan sashsiah guru
ini akan tetap menjadi tajuk bualan dan dia akan dipandang serong oleh orang lain. Di
sekolah, guru ini tidak lagi dihormati malah mungkin akan ditakuti oleh pelajar. Rakan sekerja
juga berkemungkinan akan mempertikaikan tugasnya mendidik pelajar dan jika dia sudah
insaf, guru ini masih terpaksa menerima balasan di dunia mahupun di akhirat di atas
perbuatannya sekiranya ia masih diragui serta tidak diberi kepercayaan. Malahan guru-guru
dari sekolah lain juga akan menjadikannya sebagai bualan atau akan menjadikannya sebagai
sempadan dan ingatan terhadap perkara yang sudah terjadi. Masyarakat sekeliling pula akan
turut menjadikan perkara sebegini adalah lumrah di dalam masyarakat kita dan melabelkan
guru tersebut sebagai penjenayah yang boleh membunuh generasi bangsa. Kesan daripada itu,
sahsiah guru yang akan dibina selepas itu akan menjadi lebih sukar dan dan memerlukan
banyak kesabaran untuk melaluinya. Ia perlulah tabah menghadapinya kerana tindakan yang
dilakukan akan meninggalkan kesan mendalam dan sepanjang hayat.
Selain itu, kesan buruk seorang guru sebagaimana tertuduh melakukan kes berkenaan
bukan sahaja memburukkan imejnya sebagai guru secara peribadinya, malah tempiasnya turut
dirasai oleh semua guru. Ia seolah-olah menunjukkan keperibadian guru yang gagal
mencerminkan seorang guru yang sebenarnya sebagaimana yang diaspirasikan oleh Negara.
Melalui kod etika guru yang diperkenalkan, guru bertanggungjawab terhadap rakan sekerja.

Namun, perbuatan jenayah ini diibaratkan telah mengkhianati rakan sekerja lain yang turut
menanggung malu akibat daripada perbuatan rakan mereka yang bergelar seorang guru.
Dari segi pembangunan sahsiah guru, perbuatan mengedar dadah secara kerja
sambilan yang dilakukannya menyebabkan masyarakat menilai sahsiah guru secara umum
bahawa guru-guru sekarang sudah tidak bersahsiah. Adakah benar bahawa guru-guru sekarang
menjadi guru bukan atas dasar minat dan tanggungjawab, tetapi disebabkan mahu mendapat
sesuatu pekerjaan demi menjamin ekonominya? Adakah gaji pekerjaan seorang guru tidak
mencukupi di sebabkan desakan kewangan, tekanan hidup dan desakan nafsu kemahuan
mengejar pendapatan tambahan yang lumayan serta menginginkan kehidupan mewah dan
bergaya tanpa mempunyai rasa bersyukur di atas rezeki yang diperolehi sehingga sanggup
melakukan kegiatan mengedar dadah sebagai kerja sambilan? Guru-guru ini tidak menghayati
sepenuhnya akan tanggungjawab, maksud yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara
dan kod etika perguruan kerana jawatannya dianggap sebagai sandaran untuknya
mendapatkan sumber ekonomi, bukan atas dasar tanggungjawab.
Isu guru menjalankan kegiatan mengedar dadah sebagai kerja sambilan yang
menyalahi undang-undang negara ini biasanya ia dilakukan tanpa mengira masa sama ada
setelah tamat waktu kerja rasmi atau dilakukan pada waktu malam dan masa terluang.
Setelah penat bekerja di sekolah sepanjang hari, guru menyambung kerja mereka dengan
melakukan kerja sampingan tersebut. Keadaan ini sudah pasti memerlukan tenaga kerja yang
maksimum dan akhirnya guru berkenaan yang akan menerima kesanya. Mereka pasti akan
keletihan dan pergi ke sekolah pada keesokan harinya dalam keadaan yang lesu dan tidak
bermaya atau pergi ke sekolah sibuk melakukan pekerjaan sampingan. Akhirnya segala
perancangan pengajaran dan pembelajaran tidak dibuat dan tugas mengajar dilaksanakan
secara ala kadar sahaja, sekadar melepaskan batuk di tangga. Guru seharusnya menjadikan
tugas di sekolah sebagai tugas utama, kerja luar hanya sampingan sahaja. Namun, agak
malang kerana perkara yang terjadi adalah di sebaliknya. Kerja luar sudah menjadi kerja
utama, sebaliknya tugas mengajar pula yang menjadi kerja sampingan mereka. Keadaan ini
amatlah menyedihkan dan sekiranya ia tidak diatasi para murid akan turut menjadi mangsa
tindakan segelintir guru berkenaan.
Golongan yang melakukan kerja sambilan ini memberi kesan tumpuan terhadap
kerjaya utamanya sebagai pendidik. Guru berkenaan akan dilihat kurang memberikan
komitmen terhadap tugas seterusnya organisasi mereka iaitu sekolah. Keadaan ini akan

menyumbang kepada pelbagai masalah lain yang berhubungkait dengan bidang tugas yang
dipertanggungjawabkan ke atasnya. Selain itu, kurangnya komitmen terhadap kerjayanya
telah menyebabkaan prestasi menjadi merosot disebabkan hilang daya tumpuan semasa
melakukan tugas. Hyder & Ahmed (2009) menyatakan individu yang menjalankan pekerjaan
sampingan memperuntukkan masa selepas waktu bekerja utamanya hingga menjejaskan
produktiviti dan prestasi mereka sendiri.
Pendapat ini turut disokong oleh Champion (2010) yang menyatakan mereka yang
bekerja sambilan ini mengalami masalah kekurangan tenaga dan kurang daya keupayaan
sehingga menjejaskan tumpuan untuk menjalankan tugas. Ini kerana guru terbabit biasanya
menjalankan kegiatan tersebut pada waktu malam dan memerlukan tenaga untuk
menjalankan pekerjaannya. Maka, keadaan ini juga akan menyebabkan tahap poduktiviti
berkurangan yang dilihat sebagai satu liabiliti kepada pihak sekolah.
Kesan yang wujud hasil daripada perbuatan guru tersebut yang melakukan pekerjaan
sambilan dengan mengedar dadah adalah berhubung dengan komitmen mereka terhadap
sekolah sebagai guru dan kakitangan perlu dinilai adakah ia menjejaskan komitmennya
sebagai guru di sekolah terhadap proses pengajaran dan pembelajaran, organisasi dan juga
profesion.

Ini

disebabkan

kerjaya

perguruan

memerlukan

komitmen

yang

tinggi

memandangkan guru merupakan agen yang membawa kepada perubahan bagi sesebuah
negara melalui sistem pendidikan yang bersifat dinamik.
4.0

CADANGAN/RUMUSAN
Berdasarkan kepada huraian yang dijelaskan berkenaan isu guru melakukan kegiatan
penyalahgunaan dadah sebagai kerja sambilan, saya mencadangkan bahawa setiap guru perlu
mempunyai sahsiah yang baik dan dapat dihormati serta boleh dicontohi oleh murid.
Pembentukan sahsiah ini termasuklah tingkah laku dan sikap yang elok, bersabar, bermurah
hati, sentiasa bersifat tenang dan mampu menguruskan kehidupan serta kewangan dengan
lebih berkesan. Kebanyakan kualiti kecerdasan dan sahsiah guru adalah hasil daripada latihan
yang diikutinya semasa menjalani kursus di institusi perguruan. Latihan itu termasuklah
kefahaman terhadap sifat kejasmanian dan sifat psikologi kanak-kanak serta teori
penyampaian pelajaran yang berkesan.
Selain daripada menjalankan tugas di dalam bilik darjah, guru juga perlu sedar akan
peranan lain yang diharapkan oleh masyarakat. Misalnya, guru diharapkan menjadi pengganti

ibu bapa, menjadi penasihat dan pembimbing di dalam pembentukan sahsiah murid, menjadi
kaunselor, pengamal dan penyebar nilai kebudayaan yang baik dan seterusnya menjadi contoh
sahsiah yang terpuji kepada masyarakat. Sebagai seorang guru perlu membimbing generasi
muda kini tentang keburukan penyalahgunaan dadah dan bukannya dia sendiri yang bertindak
mengherat pelajarnya ke kancah dadah yang menjadi musuh pembunuh utama negara.
Pada masa yang sama, guru juga harus sentiasa mengikuti kursus-kursus dan seminar
motivasi pendidikan yang dianjurkan oleh pihak Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran
Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah mengenai etika profesion perguruan. Sebagai contoh,
guru boleh mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan ataupun Kursus Peningkatan Profesionalisme
Keguruan. Kursus-kursus pendidikan ini penting bagi seseorang guru untuk mempertingkatkan
keupayaan dan prestasi dalam profesion pendidikan yang kian mencabar dan kompleks selari
dengan era globalisasi kini. Oleh kerana sistem pendidikan yang dilaksanakan adalah untuk
menyokong usaha-usaha kerajaan, maka profesion keguruan dharapkan dapat membuat
anjakan paradigma kepada budaya yang berasakan ilmu dan pemikiran (Rohani Abdul Hamid,
1998) demi meletakkan nama negara setanding dengan negara maju yang lain.
Selain daripada itu, saya juga ingin mencadangkan supaya pihak Kementerian
Pelajaran Malaysia mempelbagaikan aktiviti dan program kepada bakal pendidik semasa
menjalani kursus latihan di institusi perguruan lagi. Contohnya, mengadakan bengkel,
ceremah, seminar, pertandingan, aktiviti sukan dan sebagainya. Di dalam program ini guruguru pelatih akan didedahkan dengan konsep sebenar berkenaan kod etika dan akauntabiliti
keguruan. Penyediaan program dan aktiviti seperti ini akan melahirkan pendidik negara
bangsa yang beretika dan mempunyai sahsiah yang tinggi.
Di samping itu, berkenaan isu kegiatan guru mengedar dadah secara kerja sambilan
dengan menggunakan rangkaian pelajar sebagai orang tengah perlu dipandang serius oleh
pihak berkaitan terutamanya pihak sekolah, pihak berkuasa dan juga Kementerian Pelajaran.
Saya mencadangkan agar guru terbabit dikenakan hukuman yang berat seperti buang kerja
dan tidak dibenarkan untuk memohon sebarang pekerjaan di bawah perkhidmatan awam
kerana tindakan yang dilakukan merupakan satu kegiatan jenayah yang bukan sahaja
mencemarkan imej profesion perguruan malah dadah adalah merupakan musuh utama negara.
Pandangan saya ini adalah selari dengan pendapat Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri
Alimuddin Mohd Dom, yang menyatakan tindakan pentadbiran serta merta yang dikenakan
kepada guru terbabit membuktikan Kementerian Pelajaran tidak pernah bertolak ansur

kepada mana-mana pihak yang cuba mencemarkan imej profesion perguruan di negara ini.
Maka, saya sangat bersetuju dengan pendapat beliau bahawa peraturan dan hukuman sedia
ada yang telah ditetapkan perlu dilaksanakan dengan tindakan yang tegas.
Seterusnya, sebagai guru terlatih kelak seharusnya menunjukkan penampilan diri
sebagai pendidik dengan mempunyai pelbagai ilmu tradisional dan moden. Guru juga perlulah
mempunyai kefahaman terhadap dasar dan aspirasi pendidikan negara dengan jelas dan
mantap. Guru yang bersahsiah tinggi akan menunjukkan etika cemerlang dalam perkhidmatan
mereka. Guru dengan etiket sosial tidak dapat dipisahkan. Etiket sosial merupakan perilaku,
budi bahasa, kebijaksanaan, imej, gerak-geri yang elok mengikut kesesuaian semasa
berinteraksi dan pergaulan sehariannya. Guru haruslah berupaya menjadi agen pembangunan
dan pembaharuan dalam masyarakat dengan menampilkan etiket sosial yang disenangi.
Tambahan lagi, guru merupakan golongan yang sentiasa mendapat perhatian walau di
mana mereka berada. Segala tindak tanduknya sering diperhatikan oleh masyarakat sekeliling.
Keadaan ini menjadi satu kewajipan bagi guru-guru mengamalkan penampilan diri dan
menunjukkan contoh akhlak yang baik bagi memelihara martabat profesion perguruan. Oleh
kerana guru ibarat idola dalam masyarakat, maka guru perlu berupaya menampilkan diri dan
mengaplikasikan nilai-nilai kesantunan agar dapat menyesuaikan diri dalam sebarang keadaan
yang dihadapinya.
Sebagai seorang guru iaitu pendidik generasi bangsa perlu sentiasa mendalami diri
dengan pelbagai ilmu dan kemahiran yang dapat mengimbangi pemikiran sedar dan bawah
sedarnya supaya setiap tindakan yang diambil tidak akan menjejaskan etika profesionnya yang
akan meninggalkan impak ke atas semua pihak termasuklah dirinya sendiri. Sememangnya
banyak isu yang timbul atau ditimbulkan melibatkan guru dilihat sebagai melanggar etika
perguruan seperti isu melakukan kegiatan menyalahgunakan dadah sebagai pekerjaan
sambilan. Etika seorang guru yang perlu dipatuhi melibatkan tanggungjawabnya terhadap
semua pihak yang terlibat dengannya secara langsung atau tidak langsung. Pelanggaran etika
perguruan sebagai profesionnya akan mengakibatkannya dilabel sebagi individu gagal dan
bersahsiah negatif.
Secara keseluruhannya dapatlah saya rumuskan bahawa setiap individu telah dilahirkan
dengan sifat-sifat yang baik dan faktor-faktor pembelajaran, nilai, pergaulan banyak
mempengaruhi keputusan yang dibuat. Setiap isu yang timbul melibatkan guru sebenarnya
bukan menunjukkan kegagalan guru secara keseluruhannya, namun ia hanyalah kegagalan

guru terlibat secara individu disebabkan kegagalannya menterjemahkan sesuatu keburukan


yang dilakukan akan meninggalkan impak terhadap dirinya serta banyak lagi pihak yang lain.
Kebebasannya untuk membuat sesuatu pilihan dan keputusan menyebabkannya gagal
menginterpretasikannya dalam keadaan yang betul lantaran wujud gangguan psikologi
kawalan luaran yang menghalangnya daripada membuat keputusan yang terbaik. Semuanya
adalah kerana kekurangan nilai dan moral serta akibat beberapa keperluan asasnya tidak
dapat dipenuhi dengan baik.

Anda mungkin juga menyukai