Anda di halaman 1dari 8

Kelemahan Penguasaan Bahasa Melayu Para Pelajar di

Sekolah Misi dalam Sistem Pendidikan Dwibahasa. Satu


Tinjauan Ringkas

Oleh
Madam Teo Wee Wee
Sekolah St. John’s, Kuala Belait

1.0 Pendahuluan
BAHASA RASMI negeri ini ialah bahasa Melayu dan hendaklah
ditulis dengan huruf yang ditentukan oleh undang-undang
bertulis1.
Sesuatu bahasa itu memerlukan perkembangan dan
pengembangan, atau dengan perkataan lain bahasa perlu
berkembang dan diperkembangkan. Cogan kata yang berbunyi
‘Bahasa Jiwa Bangsa’ menjelaskan sesuatu bangsa dikenali atau
terkenal kerana mempunyai bahasa yang berdaulat. ‘Bahasa
menunjukkan bangsa’pula menjelaskan bahawa budi bahasa,
perangai dan pertuturan seseorang itu menunjukkan taraf
keturunannya.
Sememangnya bahasa ialah alat perhubungan yang
menghidupkan masyarakat. Bahasa Melayu telah ditetapkan
sebagai bahasa rasmi negara kita mestilah berkembang supaya
dapat menjalankan tugasnya sebagai alat perhubungan dalam
segala lapangan mengikut kemahuan dan kemajuan masyarakat
Brunei Darussalam. Kerajaan telah mengisytiharkan bahasa
Melayu sebagai bahasa rasmi di negara ini disusuli dengan
bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Dalam usaha kerajaan
mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, seringkali
kita menemui penyalahgunaan dan kelemahan penguasaan bahasa
Melayu pelajar dalam peperiksaan awam ( PSR, PMB dan GCE
Peringkat O ). Pada amnya peratus kelulusan mata pelajaran

1 Perlembagaan Negeri Brunei 1959, perkara 82 (1), hlm. 122


PROSIDING SETALING II

bahasa Melayu adalah rendah dan pencapaian para pelajar kurang


memuaskan, iaitu sukar melahirkan pelajar yang memahami
sistem bahasa Melayu, dan yang cekap berbahasa supaya dapat
berkomunikasi dengan lebih berkesan bagi melahirkan fikiran
dan perasaan serta ilmu pengetahuan melalui lisan dan penulisan.

1.1 Gerakan ‘Cintailah Bahasa Melayu’


Gerakan “Cintailah Bahasa Melayu’ dapat menyemarakkan
penggunaan bahasa Melayu di kalangan pelajar di samping
mengukuhkan status bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
tunggal negara seperti yang termaktub dalam perlembagaan
negara. Justeru, gerakan ini telah memainkan peranan penting
dalam pembangunan negara yang terdiri daripada masyarakat
berbilang kaum.
Di samping itu, dengan gerakan ‘Cintailah Bahasa Melayu’
dan penekanan Kementerian Pendidikan terhadap bahasa Melayu
sebagai mata pelajaran yang wajib lulus di peringkat kepujian
untuk melanjutkan pelajar ke Tingkatan Enam, penuntut-penuntut
sekolah telah menumpukan perhatian mereka demi memajukan
penguasaan bahasa Melayu masing-masing. Sebagai guru bahasa
Melayu memainkan peranan yang penting dalam memberi
sokongan yang sepenuhnya terhadap gerakan ini.

1.2 Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu


Jika ditinjau dari aspek bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu pula,
sememangnya bahasa itu mesti berkembang untuk menerapkan
ledakan ilmu yang pesat kini. Kita menyedari hal ini iaitu kosa
kata bahasa Melayu dan istilah sains dan teknologi sentiasa
diperkaya dari semasa ke semasa, dicipta mahupun dipinjam
daripada bahasa asing supaya berperanan sebagai bahasa ilmu.

2.0 Sebab-sebab kelemahan penguasaan Bahasa Melayu di


kalangan pelajar sekolah misi dalam sistem pendidikan
dwibahasa

Sebab-sebab utama :

a. Kurang yakin terhadap martabat bahasa Melayu


berbanding dengan bahasa Inggeris

122
PROSIDING SETALING II

Kerajaan menggalakkan dan menyeru rakyat kita mempelajari


dan menguasai lebih daripada satu bahasa utama dunia, tetapi
mengekalkan identiti bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan
bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa antarabangsa yang
mesti dikuasai di peringkat nasional. Bahasa Inggeris penting
dalam pergaulan kita dengan dunia luar.
Dalam hal ini, generasi muda yang bakal menerajui negara
merupakan golongan yang paling perlu memajukan taraf
penguasaan bahasa asing mereka, penguasaan bahasa Inggeris
penting kepada generasi muda dalam menunaikan cita-cita
menimba ilmu di seberang laut. Secara langsung pelajar kurang
yakin terhadap martabat bahasa Melayu dan menganggap bahasa
Melayu banyak kelemahannya, antaranya termasuklah
ketidakseragaman sebutan, ejaan dan tatabahasanya, hal ini
menyulitkan seseorang pelajar mempelajarinya. Martabat bahasa
Melayu ini turut merosot.

b. Pengaruh bahasa Inggeris yang sudah sebati dengan


penggunaan bahasa Melayu
Pengaruh bahasa Inggeris yang sudah sebati dengan penggunaan
bahasa Melayu merupakan satu faktor yang menyebabkan
berlakunya penyalahgunaan bahasa Melayu. Ini menyebabkan
pertuturan bahasa Melayu turut terpengaruh dengan tatabahasa
bahasa Inggeris dan seterusnya mengucar-ngacirkan penggunaan
bahasa Melayu terutamanya dari segi struktur ayat. Satu
kenyataan dan tidak syak lagi, sikap orang ramai termasuk pelajar
memandang rendah terhadap keupayaan bahasa Melayu tetapi
mengagung-agungkan bahasa Inggeris.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa para pelajar
berpendapat kebolehan bertutur dalam bahasa Inggeris akan
meninggikan taraf kedudukan dan meningkatkan imej diri
mereka apabila bergaul dengan pelajar-pelajar yang lain. Mereka
akan berasa lebih bangga apabila dapat bertutur bahasa Inggeris
dengan fasih apabila berhadapan dengan khalayak yang kurang
atau tidak memahami bahasa Inggeris. Sesetengah pelajar pula
mengatakan bahawa penguasaan bahasa Inggeris boleh
menerapkan ilmu dengan lebih cepat dan mudah berbanding
dengan bahasa Melayu.

123
PROSIDING SETALING II

c. Keengganan pelajar memperbaik penguasaan bahasa


Melayu dan kaedah pengajaran guru yang kurang berkesan
(a). Unsur keengganan pelajar memperbaik penguasaan bahasa
Melayu Pencapaian mata pelajaran bahasa Melayu dalam
peperiksaan awam ( PSR, PMB, GCE Peringkat O ) adalah
rendah dan pencapaian kurang memuaskan. Kementerian
Pendidikan telah memberi peluang kepada pelajar yang gagal
untuk menduduki peperiksaan tunggal bahasa Melayu Kertas Jun
untuk memberi peluang kepada mereka yang gagal atau lulus
dengan pangkat 7 atau 8 dalam mata pelajaran itu untuk
memperbaiki keputusan itu.
Kebanyakan pelajar menganggap mata pelajaran bahasa
Melayu sukar dipelajari, justeru itu di peringkat awal lagi minat
pelajar terhadap mata pelajaran bahasa Melayu sudah kurang.
Disebabkan masih memandang negatif terhadap penggunaan
bahasa Melayu, tambahan pula kekurangan pengetahuan dan
pelajaran tentang bahasa Melayu terutama pelajar yang berasal
dari keluarga yang ibu bapa mereka berlatarbelakangkan
pendidikan Inggeris telah menyebabkan penyalahgunaan bahasa
bukan saja dari segi ejaan, sebutan, aspek tatabahasa tetapi juga
peristilahan kerapkali berlaku.
Pelajar-pelajar yang tidak berikhtiar untuk memperbaiki
kebolehan dan penguasaan bahasa Melayu dalam pertuturan
mereka telah mencemar bahasa Melayu mereka. Mereka juga
menggunakan bahasa Melayu dengan sesuka hati tanpa berusaha
merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka atau pihak-pihak lain
yang dapat memberi tunjuk ajar kepada mereka. Secara tidak
langsung, masalah ini akan menjadikan bahasa Melayu tidak
dapat mencapai kemajuan yang memuaskan dan lama-kelamaan
bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi akan ketinggalan buat
selama-lamanya.
Ujian Lisan bahasa Melayu bertujuan untuk menguji
kebolehan dan kematangan untuk mengemukakan pendapat,
ulasan, hujah di samping bertujuan menguji kebolehan pelajar
bertutur dalam pelbagai bidang. Format ujian lisan ini dikenali
sebagai Perbualan Berdasarkan Satu Pernyataan, ini bermakna
calon tidak lagi dikemukakan dengan bahan rangsangan untuk
menjalani ujian lisan. Semasa Ujian Lisan dijalankan, calon akan
dikemukakan dengan satu pernyataan dan calon dikehendaki

124
PROSIDING SETALING II

memberikan ulasan, pendapat, komen dan pandangan yang kritis


berdasarkan pernyataan tersebut. Selain daripada pernyataan,
beberapa soalan tambahan yang dibentuk oleh pemeriksa akan
dikemukakan. Soalan-soalan tambahan yang menyusuli
pernyataan adalah bersesuaian dengan konteks perbualan dan
pernyataan atau jawapan yang telah dikemukakan lebih awal.
Pemberian markah adalah berdasarkan ketepatan fakta,
kecekapan berbahasa, kematangan menghuraikan hujah atau
menganalisis pernyataan yang dikemukakan. Di sini timbul satu
masalah yang kerapkali dihadapi oleh pelajar iaitu pelajar
didapati sukar berhujah disebabkan pembacaan yang luas
daripada pelbagai bahan bacaan yang bercorak akademik dan
pengetahuan am adalah terbatas di kalangan pelajar. Tambahan
pula, pelajar didapati agak sukar menunjukkan keyakinan
terhadap hujah-hujah yang dikemukan, ada kalanya pelajar
menggunakan bahasa daerah, bahasa pasar atau loghat semasa
menjawab soalan. Hal ini berlaku kerana keengganan palajar
memperbaik dan memajukan penguasaan bahasa Melayu
menyebabkan masalah ini berkekalan.

(b). Kaedah pengajaran guru yang kurang berkesan


Pengenalan
Gurulah yang mewarnakan atau mencorakkan jenis insan atau
rupa bangsa sesebuah masyarakat. Peranan guru Bahasa Melayu
dewasa ini sangat penting dan mencabar.Bahasa Melayu telah
berkembang maju sehingga berjaya merentasi pelbagai ilmu
pengetahuan. Hal ini ada kebenarannya kerana hampir kesemua
bidang atau disiplin ilmu boleh dibincangkan melalui perantaraan
Bahasa Melayu, jadi, guru Bahasa Melayu memainkan peranan
yang penting dan mencabar kerana pada bahu gurulah terletaknya
tanggungjawab untuk menyemai dan membina masyarakat
madani di negara kita ini2.
Kriteria Guru Bahasa
Seseorang guru bahasa wajib :

i. Melengkapkan diri dengan pengetahuan ilmu


bahasa

2 Pengajian Melayu 1, AB.Rahman AB.Rashid, hlm.1

125
PROSIDING SETALING II

ii. Mengemaskinikan ilmu keguruan


iii. Mempunyai sikap yang positif dan mulia
iv. Memahami dan menghayati Falsafah Pendidikan
Negara

Peranan Dewan Bahasa dan Pustaka


Keupayaan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan negara
ini memang tidak dapat dinafikan. Dewan Bahasa dan Pustakan (
DBP) berperanan untuk memperluas penggunaan bahasa Melayu
berjaya menyediakan buku-buku teks dan buku-buku rujukan
untuk kegunaan sekolah-sekolah di negara ini. Sebagai sebuah
pusat pembinaan dan pengembangan bahasa Melayu yang
diamanatkan oleh kerajaan, ia berusaha mengkaji dan
memperbetulkan kesalahan-kesalahan bahasa, istilah, ejaan dan
seterusnya menyiarkannya di dalam akhbar ataupun majalah
keluarannya. Pihak DBP juga mengeluarkan banyak buku
panduan yang berhubung dengan tatabahasa dan penggunaan
ejaan yang betul untuk memenuhi permintaan dan keperluan
lapisan masyarakat yang berbeza.
Bahasa Melayu kini menjadi bahasa pengantar dalam
pendidikan formal dari peringkat rendah hingga universiti, ini
membuktikan keupayaan bahasa Melayu mendukung ilmiah serta
mengembangkannya. Misalnya buku-buku tentang penyelarasan
sistem ejaan (rumi dan jawi), pembentukan istilah dan sistem
ejaan peristilahan pelbagai bidang serta buku-buku ilmiah
pelbagai bidang juga dilaksanakan dan dihasilkan untuk
membantu guru semasa mengajar Bahasa Melayu.
Selain daripada sikap pelajar sendiri, kaedah pengajaran guru
yang kurang berkesan juga menyebabkan kelemahan penguasaan
pelajar dalam bahasa Melayu. Guru kurang kreatif dalam
mengajar, misalnya guru hanya mengajar secara lisan sahaja
berdasarkan sukatan pelajaran yang terbatas, cara penyampaian
yang membosankan, tidak sanggup memikul tanggungjawab
yang diberikan dan tidak dapat menjalankan tugas dengan penuh
ikhlas dan dedikasi.
Peranan guru bukan sekadar sebagai pengajar atau cikgu
malah sebagai “pendidik” yang bertanggungjawab membentuk
muridnya untuk menjadi insan yang seimbang dari segi intelek,
rohani, emosi dan jasmani. Sebagai guru bahasa Melayu pula

126
PROSIDING SETALING II

boleh memainkan peranannya menerajui pelaksanaan dasar


pendidikan bahasa yang berteraskan konsep Bahasa Melayu
merentas kurikulum dengan cara mempelbagaikan rancangan dan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kelas supaya pencapaian
dan kebolehan penguasaan bahasa pelajar dapat dipertingkat dari
semasa ke semasa.

d. Budaya membaca yang rendah


Pada amnya sikap membaca di kalangan masyarakat negara ini
tidak menggalakkan malah membimbangkan. Boleh dikatakan
bahawa tahap pembacaan di kalangan pelajar masih rendah,
khususnya terhadap bacaan dalam bahasa Melayu. Hal yang
merungsingkan kini bukanlah semata-mata kurangnya minat
membaca buku dalam bahasa Melayu tetapi yang nyata ialah
kurangnya tabiat membaca di kalangan masyarakat yang
dikatakan terpelajar. Kebanyakan pelajar yang membaca kerana
peperiksaan, tabiat membaca tidak lagi diteruskan selepas tamat
pengajian.
Beberapa sebab utama budaya membaca yang rendah :
i. belum wujud tradisi membaca di kalangan pelajar
ii. media elektronik mengalih minat menyebabkan
pelajar lebih gemar menonton daripada membaca
iii. sikap ambil mudah terhadap pembacaan, pelajar
tidak mahu membebankan fikiran dan menumpukan
perhatian yang padu terhadap sesuatu yang dibaca
iv. tidak ada galakan daripada ibu bapa dan guru
v. sistem pendidikan yang mengongong dan bahan
bacaan sukar difahami

Kekurangan pengetahuan dan pelajaran tentang bahasa


Melayu di kalangan pelajar disebabkan budaya membaca yang
rendah. Oleh itu pelajar tidak mengetahui dan tidak memahami
selok-belok bahasa Melayu yang betul. Di samping itu, sikap
pelajar yang tidak mementingkan ketepatan bahasa dan tidak
mengambil berat terhadap bahasa Melayu sehingga kesalahan
yang dilakukan dalam pelajaran pun tidak dipedulikan padahal
mereka sedar tentangnya.

127
PROSIDING SETALING II

e. Terpengaruh dengan dialek kedaerahan


Tidak dapat dinafikan bahawa Bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi terpengaruh dengan dialek kedaerahan khususnya dialek
Melayu Brunei. Kerapkali kita mendapati pelajar bertutur bahasa
Melayu mencampur aduk kaedah sebutan dengan loghat ala Cina,
Dialek Melayu Kedayan, Bahasa Tutong, Bahasa Belait, Bahasa
Dusun, Bahasa Bisaya, Bahasa Murut, Bahasa Penan, Bahasa
Mukah dan Bahasa Iban.
Penggunaan loghat bahasa Melayu dan bahasa pasar serta
bahasa kacukan harus dibendung di sekolah supaya kekacauan
dan kekeliruan dalam penguasaan bahasa Melayu dan
menyalahgunakan bahasa Melayu dapat dielakkan. Sekiranya
masalah ini tidak dikawal dan dibendung daripada terus
berleluasa, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, alat
perpaduan serta bahasa ilmu pengetahuan pasti akan terjejas.

Kesimpulan
Memandangkan penguasaan bahasa Melayu agak lemah di
kalangan di negara ini, maka usaha haruslah dibuat untuk
mengatasinya. Walaupun bahasa rasmi negara kita ialah bahasa
melayu, namun bahasa Inggeris merupakan bahasa utama
antarabangsa amat penting untuk kemajuan negara kerana
penguasaan dan penggunaan bahasa Inggeris membolehkan
masyarakat dan negara mempunyai hubungan yang lebih luas dan
mudah.

Rujukan
Abd Rahman Abd Rashid, Abd Rahim Selamat,Yap Kim Fatt,
(1997), Pengajian Melayu 1, Longman Malaysia Sdn.
Bhd (4409-W), Kuala Lumpur.
Azizah Saliman, (1998), Nota Peperiksaan SPM Bahasa
Malaysia, Preston Corporation Sdn. Bhd. (7332-P), Kuala
Lumpur.
Bahasa Jiwa Bangsa, Jilid 1, (2000), Dewan Bahasa dan
Pustaka Brunei.Bahasa Jiwa Bangsa, Jilid 2, (2000),
Dewan Bahasa dan Pustaka Brunei.
Bahasa Jiwa Bangsa, Jilid 3, (2001), Dewan Bahasa dan
Pustaka Brunei.

128

Anda mungkin juga menyukai