Anda di halaman 1dari 4

Hadis baginda Rasulullah s.a.w. bermaksud, amat jelas kepada kita semua.

Ia secara langsung
menekankan tentang peri pentingnya kebersihan itu dalam kehidupan seorang muslim dengan
meletakannya sebagai sebahagian daripada imannya. (riwayat Ahmad, Muslim, al-Tirmidhi dan Ibn
Majah)

Potongan hadis di atas jelas menggambarkan bahawa agama Islam amat menekankan aspek
kebersihan. Malah, semua agama di dunia ini juga amat menekankan aspek kebersihan dalam
kehidupan beragama. Ini jelas menunjukkan bahawa kebersihan amat penting dalam kehidupan
seharian kerana kebersihan merupakan pemangkin kepada kesihatan manusia. Bertunjangkan
kepada perkara tersebut, langkah sederap telah diambil oleh pihak Kerajaan Negeri Terengganu bagi
memastikan semua rakyat di negeri bertuah ini sihat disamping persekitarannya yang bersih. Negeri
Bersih Rakyat Sihat. Menyelusuri bait kata Negeri Bersih, Rakyat Sihat pelbagai perspektif
mahupun lontaran idea dapat kita berikan. Hasrat murni pihak kerjaan negeri dibawah lembayung
kepimpinan insan berkaliber, Dato Seri Ahmad bin Said dalam menjadikan negeri Terengganu
sebuah Negeri dalam Taman wajar diberikan pujian serta sokongan padu. Hasrat murni kerajaan
tersebut merupakan satu perlaburan yang akhirnya akan memberi pulangan faedah kepada
masyarakat sendiri. Sebelum kita berbicara panjang lebar serta merungkai mutiara yang tersurat
mahupun yang tersirat mengenai wahana keramat kerajaan negeri ini, satu persoalan ingin
dilontarkan agar segala yang kusut akan terlerai, segala yang bercelaru akan terungkai.
Persoalannya, adakah kita benar-benar memahami serta menghayati slogan Negeri Bersih Rakyat
Sihat itu? Satu persoalan yang patut kita renung kembali dan berfikiran luas seluas saujana bagi
memastikan visi serta misi murni kerajaan tersebut menjadi satu realiti.

Negeri bersih rakyatnya sihat


Terengganu makmur membawa berkat
Satu nawaitu satu hasrat
Satu tujuan satu matlamat

Perkara pertama yang menjadi faktor dominan dalam merealisasikan hasrat murni kerajaan adalah
kesedaran masyarakat dalam menggerakkan usaha kearah negeri bersih. Peranan masyarakat
amatlah besar dalam menjayakan aspirasi kerajaan kerana masyarakat merupakan faktor dominan
yang menjadi tunjang kepada pihak kerajaan. Jika ingin dianalogikan, masyarakat merupakan tiang-
tiang ataupun cerucuk menara kerajaan yang sentiasa menyokong serta mendukung segala hasrat
serta harapan kerajaan. Jika tiada kerjasama serta sokongan yang padu daripada umum, mungkin
menara yang dibina berlandaskan misi kemajuan akan tersungkur dan tumbang menyembah bumi.
Sebenarnya, jika ingin dianalisis serta dibedah siasat, amalan kebersihan ini wajar bermula dari
rumah masing-masing. Setiap penduduk atau anak jati negeri ini harus memainkan peranan dengan
memastikan persekitaran rumah masing- masing dalam keadaan bersih. Walaupun ianya nampak
kecil namun implikasinya amatlah besar kepada negeri ini. Sekiranya semua orang menjalankan
tanggungjawab mereka, sudah tentu negeri Terengganu akan manjadi negeri terbersih di tanah air.
Di samping itu pula, di peringkat akar umbi, pemimpin masyarakat wajar menghidupkan budaya
gotong royong yang sekian lama menjadi nadi kepada masyarakat Malaysia. Melalui budaya gotong-
royong ini, persekitaran kampung ataupun perumahan mahupun persint akan bertambah bersih dan
indah. Sebenarnya, amalan gotong-royong ini sedikit sebanyak meringankan bebanan kita untuk
menjaga kebersihan, kata orang berat sama dipikiul, ringan sama dijinjing. Disamping itu, aktiviti
permuafakatan ini mampu mengeratkan hubungan antara individu selari dengan gagasan yang
dibawa oleh YAB Perdana Menteri, gagasan 1Malaysia. Natijahnya, amalan gotong royong ini
menjadi satu medium mahupun pentas kepada kita dalam merealisasikan negeri bersih, rakyat sihat.

Indikator kedua yang mampu merealisasikan hasrat murni kerajaan tersebut adalah peranan yang
harus dimainkan oleh pihak kerajaan. Kita patut bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan
negeri Terengganu kerana tidak memandang enteng terhadap isu kebersihan. Hal ini kerana
kerajaan negeri memperuntukkan lebih kurang RM 40 juta setiap tahun bagi memastikan negeri
Terengganu dalam keadaan yang cukup bersih dan indah. Pelaburan yang diusahakan oleh pihak
kerajaan ini wajar diperkemaskan lagi dengan satu gerak kerja yang proaktif serta bernas.
Peruntukan tersebut haruslah digunakan semaksima yang mungkin dalam mengerakkan usaha
kearah negeri bersih seperti mengadakan pertandingan kebersihan diperingkat akar umbi,
penyediaan kemudahan atau prasarana kebersihan dan sebagainya. Antara kemudahan yang wajar
dititik beratkan oleh pihak kerajaan adalah penyediaan tong sampah, landskap yang indah serta
penyediaan tandas yang berkualiti tinggi. Langkah awal yang diambil ini sedikit sebanyak mampu
mengelakkan masalah kekotoran menjadi pekung yang lama-kelamaan menjadi barah yang tidak
mampu diubati lagi. Hal ini bertepatan dengan peribahasa melayu, sediakan payung sebelum hujan.
Prasarana yang dibangunkan ini mampu mengurangkan masalah kebersihan yang seringkali
menggugat pandangan serta perspektif masyarakat luar terhadap negeri kita ini. Oleh itu, pihak
kerajaan wajar melakukan gerak kerja yang proaktif dengan penyediaan segala kelengkapan
kebersihan agar segala yang dihajati terlaksana, negeri bersih rakyat sihat.

Jom Bersih! merupakan salah satu kempen yang pernah diusahakan oleh pihak kerajaan. Kempen-
kempen ini harus diperhebatkan lagi serta dimantapkan agar segala motif dan objektif sampai ke
peringkat akar umbi. Segala promosi dalam media massa haruslah digerakkan dengan lebih agresif
kerana segala maklumat yang ingin disampaikan mesti menepati sasarannya. Hal ini adalah perlu
kerana dalam memastikan segala perancangan kerajaan mampu diterima dan dihayati oleh rakyat
jelata. Sebagai contoh, kerajaan negeri boleh mengambil langkah sederap dengan mempromosikan
kebersihan dalam media elektronik mahupun akhbar arus perdana. Selain itu, penguatkuasaan
undang-undang harus menjadi satu aspek yang tidak boleh dipandang sebelah mata. Sejak dari
ketamadunan masyarakat dahulu lagi, undang-undang merupakan perkara pokok yang menjadikan
sesebuah bangsa itu bertamadun. Lihat sahaja ketamadunan masyarakat negara matahari terbit
atau Negara Samurai yang berjaya mewujudkan satu kondisi negara yang amat bersih. Hal ini
kerana, disiplin yang ada pada setiap anak watannya disulamkan pula dengan penguatkuasaan yang
tegas telah berjaya menatijahkan sebuah negara yang mahsyur dengan persekitarannya yang amat
bersih. Bukti sudah terpampar dihadapan mata. Pihak berwajib sewajarnya menjalankan serta
menggerakkan undang-undang yang ada bagi menjamin persekitaran negeri ini dalam keadaan yang
amat memuaskan. Amanah yang dipikul usah dijalankan sekadar melepaskan batok di tangga sahaja
kerana peraturan kebersihan yang diwujudkan adalah untuk membentuk masyarakat yang
berdisiplin serta berketerampilan bagi menjamin tahap kebersihan di negeri ini berada pada tahap
yang optimum. Justeru itu, gerakan kempen secara proaktif dan juga penguatkuasaan undang-
undang yang berkesan mampu mewujudkan kondisi negeri Terengganu yang bersih serta sekaligus
menjadikan rakyat di negeri ini sihat sejahtera.

Kata orang melentur buluh biarlah dari rebungnya. Aspek pendidikan juga merupakan salah satu
modus operandi yang menjadi penggerak kepada wawasan kerajaan dalam melihat negeri ini dalam
keadaan bersih dan rakyatnya sihat. Pendidikan kebersihan dan kesihatan wajar diterapkan dari
peringkat rebungya lagi. Pendekatan ini harus disemai kepada para pelajar sejak dibangku sekolah
dan langkah kerajaan dalam melaksanakan pertandingan kebersihan atau pertandingan 3K antara
sekolah di negeri ini wajar mendapat pujian umum. Hal ini berpatutan dengan aspirasi kerajaan
untuk menerapkan nilai kebersihan dan kesihatan ini dalam kalangan pelajar. Pihak sekolah juga
harus memberikan sokongan padu serta jitu dalam menggalas aspirasi kerajaan tersebut. Guru
merupakan pembentuk generasi akan datang yang mementingkan aspek kebersihan dan kesihatan
dalam kehidupannya. Selain itu, arkitek utama dalam pembentukan nilai pendidikan kebersihan
terhadap anak watan pasca merdeka ini ialah ibu bapa. Kata orang anak-anak merupakan sehelai
kain putih yang suci dimana ibu bapalah yang bertanggungjawab dalam mencorakkannya serta
menghiaskannya. Pendidikan awal kanak-kanak amat penting dan berupaya membentuk jati diri
anak-anak yang menekankan aspek cinta terhadap kebersihan dan peka terhadap kesihatan dalam
setiap inci kehidupan mereka kelak. Kesimpulannya, pendidikan awal kanak-kanak mengenai
kebersihan dan kesihatan wajar diambil peduli sepenuhnya agar negeri Terengganu bakal
melahirkan rakyat yang sihat natijah daripada negeri yang bersih.

Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Peribahasa itu mampu diterjemahkan sekiranya
pihak swasta atau badan bukan kerajaan NGO memainkan peranan yang sama besar dalam
memastikan kebersihan negeri terjamin dan kesihatan rakyat dalam keadaan baik. Peranan atau
sumbangan pihak NGO amat dialu-alukan serta amat dinantikan kerana pihak ini mampu menjadi
pelengkap kepada usaha kerajaan ini. Kopi tanpa gula pahit rasanya, baju tanpa benang tidak akan
menjadi. Itulah analoginya peranan NGO yang amat besar sebagai penambah perisa terhadap setiap
hidangan gagasan ataupun wawasan yang diwara-warakan oleh pihak kerajaan. Pihak terbabit ini
mungkin boleh mengadakan ceramah kesedaran, mahupun tajaan peralatan kebersihan atau
program khidmat masyarakat. Segala usaha ini dijanggka mampu melonjakkan lagi tahap kebersihan
di negara ini. Kerjasama dengan Kementerian Kesihatan juga wajar diperkemaskan lagi agar objektif
wawasan ini digagaskan akan terlaksana. Peranan kementerian dalam memberikan kempen
kesedaran mahupun rawatan percuma serta pemeriksaan kebersihan terhadap premis perniagaan
dan rumah-rumah mampu mengurangkan kadar peasakit di hospital yang berpunca daripada
masalah kesihatan. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa kerjasama yang padu daripada pelbagai
pihak dan sentiasa bergerak seiringan seia sekata, senada sesuara, selangkah sejiwa dalam
memastikan visi Negeri Bersih Rakyat Sihat terlaksana adalah amat penting.
Ayuh, anjakan paradigma seluas saujana. Kita berganjak pula kearah penjuru kesan sekiranya motto
keramat Negeri Bersih Rakyat Sihat tersebut mencapai matlamatnya. Sekiranya sesebuah negara
itu bersih, sudah tentu masyarakatnya akan hidup dalam keadaan sihat dan aman. Dalam melangkah
kedalam era melinium serba moden ini, kos untuk mendapat rawatan telah meningkat berlipat kali
ganda. Oleh itu, penjagaan kesihat adalah amat perlu kerana zaman kemelesetan ekonomi ini amat
memerlukan wang bagi membiayai kos perubatan yang mungkin akan mencecah jutaan ringgit.
Tambahan lagi, baru-baru ini, kita digemparkan dengan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan
Kesihatan Negeri yang menyatakan peningkatan kes denggi di negeri ini. Jika dilakukan bedah siasat
terhadap kes tersebut, puncanya adalah disebabkan persekitaran rumah yang kotor dan sekaligus
memberi peluang kepada nyamuk aedes untuk membiak. Sekiranya telah berlaku kehilangan nyawa
adakah baru ingin kita sibuk membersihkan halaman rumah atau sebagainya? Sudah terhantuk baru
terngadah. Sepatutnya pendapat cegah sebelum parah harus dipandang serius oleh segenap
lapisan masyarakat bagi mengelakkan nasi menjadi bubur.

Ironinya, menghayati konsep kebersihan ini adalah tanggungjawab kita semua tidak kira muda
ataupun tua, kecil ataupun besar semuanya memainkan peranan masing-masing. Masyarakat
sebagai pemacu utama kepada matlamat murni ini wajar menggerakkan usaha kearah landasan
membentuk serta melahirkan negeri yang bersih serta rakyat yang sihat. Disamping itu, peranan
kerajaan dalam mempebanyakkan lagi prasarana dan kemudahan bagi kegunaan umum mampu
merealisasikan harapan tersebut. Selain itu, pengiklanan atau promosi yang agresif serta
penguatkuasaan undang-undang yang berkesan juga menatijahkan satu hasil yang cukup
membanggakan kita semua. Melalui pendidikan kebersihan sejak setahun jagung mampu mendidik
serta melahirkan masyarakat bertamadun dan mementingkan aspek kebersihan. Hal ini diserikan lagi
dengan kerjasama yang padu daripada agensi-agensi luar serta NGO yang sedikit sebanyak
membantu kerajaan melaksanakan wawasan tersebut. Kesemua bahan perisa diatas jika digaul
dengan doa dan kesedaran akan menghasilkan satu adunan yang cukup baik bagi melihat negeri
Terengganu sebuah negeri yang bersih dan indah serta rakyatnya sihat dan senyum sokmo. Negeri
Bersih, Rakyat Sihat.

Marilah kita sama muafakat,


Sama bersatu membawa berkat,
Menghayati slogan penuh hikmat,
Negeri bersih rakyatnya sihat.

Sebagai rakyat negeri tercinta,


Marilah kita menyalakan cita,
Bersama kita gembleng tenaga,
Memacu wawasan Terengganu sejahtera.

Anda mungkin juga menyukai