Anda di halaman 1dari 3

BEREMOSI TENTANG UMMAT

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini (http://kamarulazami.blogspot.com)

Kesibukan pagiku sentiasa mencari apa yang memulakan setiap hari yang mampu membina iman dan
kehidupan yang bermakna jika sekiranya inilah hari terakhir dan inilah saat penghujung sebelum datang
Malaikat Izrail memberikan khabar bahawa “Waktumu telah tamat dan tiba untukku melakukan
tugasku”. Terfikir juga bagaimana agaknya persiapanku jika tiba-tiba muncul dihadapan mata. Pada ketika
itu, tiada ruang atau masa yang boleh ditangguhkan bahkan itulah masanya.

Sebenarnya aku masih tercari-cari, apa yang akan aku tuliskan dan kongsikan sehinggalah tiba-tiba
“Kriiing, kriiing, kriiing” sapa telefon bimbitku di dalam bilik. “Wakjam”, kata hatiku. Dialah seniorku yang
selalu juga bergaduh dan kadang-kadang terasa hati dengan tindakan dan kata-katanya. Tetapi biasalah,
‘akukan abang’. Namun, dialah juga naqib yang membimbing dan membawa aku kepada kerja-kerja
dakwah yang hampir dengan masyarakat sehinggakan hari ini aku amat beremosi dengan ummatku
sendiri.

“Assalamualaikum, Kam, sorry lah ganggu pagi-pagi ni, abang dijemput untuk bagi pengisian dalam usrah
PEPIAS UIA malam ni, ada apa-apa bekalan nak bagi?” tanya Wakjam kepadaku. Bukan bermakna abang
aku si Wakjam ni tiada idea, tetapi aku amat memahami kerisauan yang dia hadapai apabila diminta
untuk memberikan peringatan kepada adik-adik khususnya di dalam PEPIAS itu sendiri. Ketika berbicara
dengannya, aku terasa amat sayu dan sebak, seolah-olah ingin mengalir airmata apabila mengenangkan
wajah-wajah ceria adik-adik PEPIAS.

Aku pun berikanlah beberapa pesanan yang aku rasakan perlu diberikan tumpuan, namun ternyata, apa
yang aku fikirkan telah disediakan oleh Wakjam. Cuma dia minta, agar ada pendekatan yang mungkin
lebih tersentuh hati untuk memulakan bicaranya. Aku mula terasa amat sayu. Kesayuan ini membuatkan
aku teringat kepada pengakhiran program TSCQ aku bersama ABIM dan fasilitator FaDelaT juga beberapa
orang fasilitator PEPIAS. Macam-macam fikirku ketika berlangsung program tersebut. Sehinggalah ketika
majlis penutup, selepas mendengar ucapan dari Jo, sahabatku yang garang, aku meneruskan tutur bicara
menyampaikan pesan kepada adik-adik SMK Seksyen 19 Shah Alam. “Abang tahu, bahawa abang ini
memang tidak layak langsung untuk berada di dalam syurga, dengan dosa kesalahan dan kurangnya
berbuat amal kebaikan, tetapi apa yang abang sentiasa berdoa dan harapkan, ketika abang menghampiri
pintu neraka, nak dicampakkan masuk ke dalam neraka...” tiba-tiba aku memberhentikan kata-kata dan
airmataku mula mengalir. “Abang sangat-sangat berharap, akan adalah dikalangan adik-adik ini yang akan
beritahu malaikat Malik, jangan masukkan abang Kam ke dalam neraka, kerana dialah yang mengingatkan
aku tentang hakikat kehidupan beragama ini”, sambungku dalam keadaan teresak-esak dan cuba
menahan tangisan itu.

Apabila aku cuba mengenang semula apalah yang menyebabkan aku beria-ia menangis ketika itu? Aku
begitu beremosi dan emosi itu untuk siapa? Teringat kisah bagaimana Rasulullah s.a.w. ketika tiba waktu
ajal Baginda, Baginda berpesan kepada Fatimah “Wahai Fatimah, pergilah kamu bertemu Bilal, minta
mereka mulakanlah solat Subuh tanpaku kerana aku tidak berdaya untuk bangun”. Fatimah tidak
berlengah dan bertemu dengan Bilal. “Mana boleh, mereka tidak akan bersolat jika tidak bersama
Baginda!” tegas Bilal dan kemudiannya mengajak beberapa orang lagi bersamanya untuk membawa
Baginda ke masjid. Baginda bersolat dibelakang Abu Bakar ketika itu dan Abu Bakar juga amat beremosi
kerana dia tahu, inilah hari terakhir kehidupan insan agung itu.

Sehinggalah apabila Baginda berpesan kepada Fatimah “Hari ini aku tidak mahu menerima tetamu kerana
ku sedang sakit”. “Tuk, tuk, tuk”, bunyi ketukan pintu rumah Baginda. Fatimah membuka pintu dan
memberitahu apa yang dipesan Rasulullah. “Siapa itu Fatimah?” tanya Rasulullah. “Aku tidak kenal dia,
tetapi aku sampaikan pesanmu. Apabila aku memandangnya, rasa berdebar jantung wahai ayahku”,
jawab Fatimah jujur. “Benarkan dia masuk, sesungguhnya dialah malaikat Izrail”, kata Rasulullah tenang.

1
Subhanallah, apakah yang akan kita buat apabila Izrail datang bertandang begini? Dipendekkan cerita,
Izrail meneruskan tugasnya sebagai malaikat pencabut nyawa. Ketika sedikit demi sedikit Rasulullah
ditarik rohnya, Baginda mengerang, “Sakiiit, sakiiit! Izrail aku ini kekasih Allaaah! Tidak adakah cara lain
yang lebih baik?” tanya Baginda. Menangis Jibrail yang bersama Rasulullah, apatah lagi Izrail itu. “Tiada
Wahai kekasih Allah”, jawab Izrail. Sehinggalah sampai ke saat akhir Rasulullah masih mengerang
kesakitan dan bertanya Rasulullah s.a.w. kepada Izrail, “Adakah semua ummatku akan merasai kesakitan
ini?”. “Ya”, jawab Izrail.

“Jika begitu, aku pohon agar biarlah semua kesakitan mereka itu aku pikul, agar mereka tidak merasai
kesakitan ini”, kata Rasulullah lemah. “Setiap yang hidup pasti merasai mati,” jawab Izrail. Semua kita
akan merasai apa yang Rasulullah rasa, begitulah berakhirnya kata-kata ‘ummati, ummati, ummati’ pada
lidah Rasulullah. Baginda juga amat beremosi terhadap ummatnya dan nasib mereka di akhirat kelak.
Kekasih Allah ini menangis dan merasai kerisauan tentang kita semua ummat Islam, bagaimana dengan
kita? Ya Allah, berikanlah kekuatan untuk aku terus berdakwah dan berada atas jalan dakwah ini.

Adik-adik, sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian.

Kita semua berada dan hidup pada hari ini adalah atas kasih sayang Allah memilih kita untuk meneruskan
hidup. Kita berada di dalam jemaah PEPIAS atau ABIM ini juga kerana pilihan-Nya. Kita bercakap dan
mendengar dengan aman juga atas pilihan-Nya. Kita ada ibu dan bapa juga atas pilihan-Nya. Jangan lupa,
kita adalah pilihannya untuk masih mengingati-Nya. Kita hanya diberikan peluang untuk memperbaiki diri
kita kerana kita banyak berdosa berbanding orang-orang lain. Usahlah mendabik dada apabila berjalan di
atas muka bumi Allah ini.

Teringat kata-kata Imam Hassan Al-Banna, “Sesungguhnya pembentukan ummah, pendidikan bangsa-
bangsa, merealisasikan cita-cita dan mendokong pendirian (pegangan hidup) memerlukan ummah yang
berusaha ke arah itu atau dari golongan yang menyeru kepadanya. Ini sekurang-kurangnya memerlukan
kekuatan jiwa yang terhimpun di dalamnya beberapa perkara;
1) iaitu kemahuan yang tidak mengenal lemah,
2) kesetiaan yang tetap yang tidak disaduri oleh kepura-puraan dan khianat,
3) pengorbanan yang banyak yang tidak dihalang oleh tamak dan haloba serta kebakhilan,
4) dan makrifah (mengenalpasti) dasar pegangan hidup, beriman kepadanya dan menghargainya
sungguh-sungguh.

Semuanya itulah yang memelihara (kita) dari kesalahan dan penyelewengan daripadanya (pembentukan)
dan tawar-menawar (apologetik) di atas perkara dasar dan tidak terdaya dengan yang lainnya".

Maka, marilah kita berusaha ke arahnya, biar sedikit, asal berbuat dari sekadar bising tetapi tidak
memberi manfaat. Semoga Allah masih memilih aku dan kita semua untuk kekal berjalan atas muka bumi
ini dengan berdakwah dan memberikan peringatan kepada sesama Muslim. Moga apabila kita dipilih oleh
Allah, kita akan memanfaatkan peluang itu sebaiknya, BEREMOSI TENTANG UMMAT, agar kita sentiasa
merasai keperitan perjuangan Rasulullah dan para sahabat dalam memastikan keIslaman kita hari ini, dan
dek kerana kasih sayang mereka yang amat tinggi. TUNE diri kita.

9.04 pagi,
7 Oktober 2010
Rumah PKNS 2, Kuala Selangor

2
Penulis adalah merupakan;
Perunding Utama IQ Class Management (http://iqclassmanagement.blogspot.com)
Bendahari Agung Briged Bakti Malaysia
Setiausaha ABIM Cawangan Negeri Selangor (http://abimselangor.blogspot.com)
YDP ABIM Cawangan Kuala Selangor (http://abimdks.blogspot.com)

Anda mungkin juga menyukai