Anda di halaman 1dari 2

YAKINLAH KEPADA PERTOLONGAN ALLAH S.W.T.

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini (http://kamarulazami.blogspot.com)

Kenapa cerita tentang pertolongan Allah s.w.t? Pada hari ini, ramai dikalangan kita sebagai
ummat Islam mula melupakan pertolongan Allah s.w.t. Apapun kita wajib mempercayai bahawa,
semua perkara yang berlaku kepada kita adalah di atas izin Allah s.w.t. Apabila Allah katakan ‘kun’,
maka jadilah ia. Semuanya adalah di bawah kuasa Allah s.w.t. samaada untuk menyempitkan atau
melapangkan. Menyusahkan atau menyenangkan. Menjayakan atau menggagalkan.

Kekhuatiran terbesar di dalam hidup kita sebagai seorang Muslim adalah apabila kita tidak
dapat pertolongan dari Allah s.w.t. Maka, apapun yang kita lakukan atau usahakan, ia wajib
dikembalikan kepada Allah, maka ucapkanlah InsyaAllah (dengan izin Allah). Tetapi adakah kita ini
dikalangan orang yang layak mendapat pertolongan daripada Allah s.w.t? Firman Allah s.w.t di dalam
surah At-Thalaq ayat 2 hingga 3 yang bermaksud;

“Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar.
Dan memberikannya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang
bertawakkal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya. Sesungguhnya Allah
melaksanakan urusan yang( dikehendaki)Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan
bagi tiap-tiap sesuatu.” (At-Talaq: 2-3)

Jelas sekali di dalam ayat Allah di atas, menampakkan jalan dan siapa yang dikatakan sebagai
orang yang menerima pertolongan Allah s.w.t. Mereka adalah orang yang sentiasa bertakwa kepada
Allah. Jiwanya bergetar setiap kali kalimah Allah s.w.t. tiba di gegendang telinganya. Apabila datang
peringatan kerana kelekaannya, maka akan bersegera dia bertaubat dan kembali kepada jalan yang
sebenarnya. Apabila semakin berpaling kita dari Allah, maka makin sempitlah perjalanan hidup kita.

Jangan menuntut dari Allah kerana lambatnya dimakbulkan apa yang kita pinta dari Allah
s.w.t.. Sebaliknya, hendaklah kita memperbetulkan diri kita, tuntutlah diri kita agar tidak
melambatkan kewajipan-kewajipan yang Allah s.w.t. perintahkan untuk kita. Itulah antara pesanan
takwa yang disampaikan oleh Ibnu Atha’ilah. Maka, marilah wahai sahabat taulanku untuk kita
melaksanakan segala kewajipan dan tuntutan Allah ke atas diri kita. Apa yang perlu diusahakan
adalah amalan yang istiqamah. Itulah cabaran sebenarnya.

1
Ramai dikalangan manusia yang mengakui, kehidupan tidak akan indah tanpa adanya
masalah. Setiap masalah pula yang hadir bagi seorang Mukmin akan menjadikan ia lebih bermakna
dari sudut hubungannya dengan Allah s.w.t. Tetapi jika ia datang kepada seorang yang jauh dari
Tuhannya, maka ia akan menjadi beban, punca perselisihan dan pergaduhan. Baik masalah di dalam
keluarga, peribadi, organisasi bahkan lebih bahaya apabila melibatkan masyarakat atau juga du
tempat kerja.

Pelbagai cadangan untuk penyelesaian masalah, tetapi tidak ada yang lebih baik dan
berkesan selain dari pertolongan dari Allah s.w.t.. Pembukaan pintu pertolongan ini perlu diperbaiki
pada diri setiap kita sebaiknya. Pertama, marilah kita bersama mencintai masjid. Masjid adalah
rumah Allah. Tidak ada tempat yang lebih mulia dan dan dicintai melainkan masjid. Lakukanlah di
dalamnya solat berjemaah dan lebih baik lagi tepat pada waktunya.

Kedua, bertahajjudlah pada sepertiga malam. Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Dzarriyat
ayat 15 hingga 18 yang bermaksud;

“Sesungguhnya orang yang bertakwa di taman-taman (syurga) dan di mata-mata air, sambil
mengambil apa yang diberikan kepada mereka oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka
sebelum itu, di dunia adalah orang yang berbuat baik. Mereka sedikit sekali tidur di waktu malam
mereka memohon ampun (kepada Allah).” (al-Dzarriyat: 15 – 18)

Ketiga, bersedekahlah. Mulakan hari dengan sedekah kerana ia membuka pintu rezeki dan
kemudahan sebaik-baiknya. Sedekah adalah senjata yang amat luarbiasa. Jadi, kita seharusnya
menjadikan ia sebagai satu kebiasaan. Keempat, membantu orang lain. Sebagaimana sedekah dari
sudut harta, membantu orang lain dari sudut masa, pengetahuan, tenaga dan sebagainya. Apa yang
utama adalah sifat pemberi itu. Apabila kita membantu memudahkan urusan orang lain kerana Allah
(ikhlas) maka Allah tidak mensia-siakan kita dan Dia akan membantu menyelesaikan urusan kita.

Kelima, perbanyakkanlah berselawat ke atas Rasulullah s.a.w. Kadangkala, apabila ada


teman yang menyebut nama Rasulullah s.a.w. tidak disahutpun dengan selawat ke atasnya.
Muhammad itu kekasih yang amat dicintai Allah s.w.t. Dek kerna itu, cinta Rasul membawa kepada
cinta Allah s.w.t. Apabila kita mengasihi kekasih Allah s.w.t. maka pasti kita akan mendapat tempias
kasih sayang itu dari Allah s.w.t. Maka, untuk orang yang dikasihi-Nya akan mudahlah mendapat
pertolongan Allah s.w.t.

Anda mungkin juga menyukai