Anda di halaman 1dari 6

PERBAIKI DIRI KITA DAN SERULAH

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini (http://kamarulazami.blogspot.com) Untuk Usrah SISMA Selangor, 19 Mei 2011 bersamaan 15 Jamadilakhir 1432H

Panjatkanlah kesyukuran kepada Allah s.w.t. yang menjadikan kita ruang dan peluang untuk terus menghirup udara segar dan nyaman serta masih berpijak di bumi ini sebagai manusia yang bernyawa. Setiap hari pasti ada peringatan yang datang pada kita untuk diberikan amaran supaya sentiasa melakukan persiapan sebelum tiba masanya. Tajuk perbincangan kita pada hari ini yang memasuki tajuk ke 18 di dalam buku Jalan Dakwah karangan Ustaz Mustafa Masyhur iaitu Perbaiki Diri Kita Dan Serulah.

Memperbaiki diri dan menyeru kepada orang lain adalah merupakan satu-satunya jalan untuk mempersatukan para Muslimin yang hari ini sudah banyak cabang dan tujuan kehidupan mereka. Perbaiki diri untuk menjadi Muslim yang baik serta ajaklah mereka yang berada dipersekitaran kita untuk menjadi Muslim yang baik. Ajaklah mereka untuk meninggikan urusan mereka agar menduduki tempat yang wajar bagi seorang Muslim sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat 110; Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). Dan kalaulah ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka, orang-orang yang fasik. (Ali-Imran 3: 110)

Firman Allah s.w.t. lagi di dalam surah Al-Baqarah ayat 143; Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut rasul serta membenarkannya dan 1

siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmat-Nya kepada orang-orang (yang beriman). (Al-Baqarah 2: 143)

Persoalan yang mungkin kita akan tanyakan kepada diri sendiri, mengapa perlu kita memperbaiki diri? Mengapa pula perlu untuk kita menyeru kepada orang lain? Perbaiki diri kita dengan hasrat dan cita-cita untuk menjadi contoh dan teladan untuk mereka yang melihat kita juga sebagai contoh yang benar manakala usaha menyeru orang lain adalah untuk meningkatkan bilangan Muslim yang benar serta mereka yang berkualiti dalam meneruskan jihad pada jalan Allah s.w.t.

Maka usaha ini perlu disusuli dengan usaha untuk mengikat mereka. Menjadikan mereka sebahagian dari saudara kita serta saling mengambil berat diantara satu dengan yang lain. Akhirnya, ini akan membina hubungan yang jitu berdasarkan keimanan yang teguh. Maka di atas dasar perhubungan dan jalinan iman itu tadilah, akan ditegakkan menara kukuh umat Islam yang merealisasikan kebenaran dan menghapuskan kebatilan sehingga bangkit Mukmin dan mentadbir dunia yang berjaya di dunia dan berjaya juga akhiratnya. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Fath ayat 28; (Allah yang menyatakan itu) Dia lah yang telah mengutus rasul-Nya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh rasul-Nya itu). (Al-Fath 48: 28)

Menyeru orang lain kepada Islam atau bersama di jalan dakwah merupakan satu usahasama untuk memperbaiki diri juga orang yang diseru. Ia adalah perkara terpenting di dalam urusan hidup mereka. Oleh itu, mereka perlu diberikan kesedaran tentangnya. Ia harus menjadi keutaman yang pertama dalam kehidupan. Yakinilah bahawa apa yang kita seru adalah sesuatu yang tidak akan merugikan. Allah s.w.t. telah firmankan di dalam surah As-Saff ayat 9 hingga 13 bahawasanya ia adalah perniagaan yang tidak merugikan;

(9) Dia lah yang telah mengutus rasul-Nya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayah petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya ia memenangkannya dan meninggikannya atas segala agama yang lain, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (10) Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? (11) Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya). (12) (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga Adn. Itulah kemenangan Yang besar. (13) Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan dari Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang mengembirakan itu kepada orang-orang yang beriman. (As-Saff 61: 9 13)

Allah s.w.t. telah memberikan pesanan penting bahawasanya ia adalah satu tuntutan penyerahan diri bukan untuk keuntungan dunia sebaliknya ia adalah keuntungan yang lebih dari keluasan langit dan bumi yakni syurga. Alangkah besarnya keberuntungan apabila modal yang Allah s.w.t. berikan ini kita gandakan untuk keuntungan di akhirat. Namun, usaha ini akan memerlukan kesabarannya. Ingatlah, cabaran pendakwah pada hari ini semakin sukar.

KEMULIAAN DAN KEPERCAYAAN (THIQAH)

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Fussilat ayat 33; Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" (Fussilat 41: 33)

Jelas sekali, Allah s.w.t. telah mengangkat kemuliaan kepada orang-orang yang sentiasa menyeru kepada Allah s.w.t. Islam itu adalah semulia-mulia tujuan dalam kehidupan kita sebagai manusia. Ingatlah, bahawa dakwah ini cahaya, tanpanya keimanan akan pudar dan hilang, dengannya manusia sedar diri dan kembali ke jalan-Nya. Al-Quran adalah kitab Allah yang tiada

keraguan padanya maka peganglah ia dengan sesungguh-sungguhnya. Yakinilah, ini tugas yang benar serta tiada yang lebih mulia darinya.

BEBERAPA PERKARA YANG BERHUBUNGAN DENGAN PENDOKONG DAKWAH

Berdakwah adalah wajib. Ia bukanlah kerja sukarela semata-mata walau dalam apa jua keadaan sekalipun. Firman Allah s.w.t. sambungan dari ayat di atas, surah Fussilat ayat 34 hingga 35; (34) Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. (35) Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. (Fussilat 41: 34 35)

Imam Syahid Hassan Al-Banna pernah menyebutkan tentang pendakwah ini seperti pohon buahan yang apabila dilemparkan batu atau apa sahaja, yang digugurkan adalah buahnya. Beliau juga berpesan, hanya ada 2 sebab mengapa kita hari ini melakukan kerja-kerja dakwah ini iaitu yang pertama untuk berjaya, baik di dunia apatah lagi di akhirat kelak dan yang kedua, ia adalah untuk memenuhi kewajipan sebagai seorang Muslim. Maka, mari kita menyeru dari tingkat dan pusat kekuatan dan kemuliaan melalui perubahan diri kita. Supaya dapat kita menjadi contoh yang benar dan terbaik. Kata-kata kita mestilah dikotakan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah As-Saff ayat 2 hingga 3; (2) Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu memperkatakan apa yang kamu tidak melakukannya? (3) Amat besar kebenciannya di sisi Allah - kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (As-Saff 61: 2 3)

Tingkatkanlah rasa ikhlas kerana Allah s.w.t., sabar dan redha dalam setiap ujian yang ditempuhi dalam kehidupan. Hidup suburkanlah peribadi yang ramah, penyayang dan lemah lembut dalam tingkah dan perbuatan. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Ali-Imran ayat 159;

Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga

bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orangorang yang bertawakal kepada-Nya. (Ali-Imran 3: 159)

Bangunkan sifat Hilm yang mana di dalam jiwa seorang Muslim itu harus ada sifat tidak melenting, berjiwa besar serta berlapang dada. Hafazlah Al-Quran dan hadith-hadith Rasulullah s.a.w. agar hati ini sentiasa bercahaya dan berzikir kepada Allah s.w.t. Pelajari dan ketahuilah sirahsirah yang harum serta sentiasa membakar semangat di dalam jiwa kita. Mahirkan tentang pelbagai urusan di dalam agama kita kerana dengannya kita beribadah kepada Allah s.w.t. Akhir sekali, bentukkanlah fikiran dan pandangan yang Islami dan disinilah pancaran kepercayaan serta keimanan kepada Allah s.w.t.

SEKITAR USLUB DAKWAH

Uslub bermakna cara atau bagaimana melakukan sesuatu perkara. Ia harus sesuai dengan dunia yang kita huni hari ini. Firman Allah s.w.t. di dalam surah An-Nahl ayat 125; Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalan-Nya, dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayah petunjuk. (An-Nahl 16: 125)

Urusan dakwah perlulah dilakukan dengan cara yang baik. Masa serta tempat yang bersesuaian. Jangan pula lupa, berkatalah benar walaupun ianya pahit. Usahlah bermuka-muka hanya kerana ingin mengambil hati atau peluang yang lebih besar. Firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Qalam ayat 9;

Mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu). (Al-Qalam 68: 9)

Pelajarilah ilmu kejiwaan atau psikologi untuk belajar memahami jiwa mereka yang akan didakwahkan agar mampu membuka kunci hati mereka. Kaji pula bagaimana untuk memulakan usaha dakwah itu dengan cara menentukan topik perbincangan yang sesuai yang usah lupa padanya mestilah mempunyai unsur penerapan rasa merdeka hati, akal serta menyalakan obor harapan dan cita-cita yang mulia. Bawakan mereka untuk selalu bermuhasabah serta gandingkanlah ilmu yang kita ketahui dengan amal yang kita perlakukan. Apa yang paling sukar di dalam usaha ini adalah istiqamah. Untuk mengekalkan kerja-kerja baik ini dengan cara yang terbaik sehinggakan kita tidak jemu berdakwah dan mereka tidak jemu didakwahkan.

Anda mungkin juga menyukai