Anda di halaman 1dari 2

BERLAPANG DADA MENERIMA KRITIKAN

Oleh: Kamarul Azami bin Mohd Zaini (http://kamarulazami.blogspot.com)

Setelah bertahun-tahun melalui pelbagai pengalaman dalam dunia latihan dan kerja-kerja
kemasyarakatan, jarang sekali dapat ditemui seorang manusia yang gemar mendengar kritikan dan
teguran dari orang lain. Apatah lagi apabila ia datang dari budak hingusan yang dianggap jauh lebih
muda dan kurang makan garam dari diri kita.

Pepatah Cina ada menyatakan, mereka yang sentiasa memuji itu adalah musuh kamu dan
yang sentiasa mengkritik dan menegur itulah teman yang sebenar. Persepsi kita terhadapa kritikan
dan teguran adalah terlalu negatif. Sehinggakan, kita menutup telinga kita daripada mendengar apa
yang benar, dan kita hanya suak mendengar puji-pujian dan kemasyhuran diri sendiri. Ia amat
berbahaya dalam urusan harian kita. Secara tidak langsung, kita sebenarnya mendedahkan diri kita
untuk kesalahan dan dosa-dosa yang lain seperti menghina, mengumpat, serta kadangkala
menyebarkan fitnah dan membuat tuduhan melulu.

Antara kewajipan seorang Muslim kepada Muslim yang lain adalah apabila mereka meminta
nasihat, maka wajiblah kita untuk memberikan nasihat. Itu menggambarkan betapa keperluan untuk
mendengar kritikan adalah penting dan mampu melahirkan seseorang yang berjiwa besar dan
berfikiran terbuka. Kehidupan ini penuh dengan teguran yang disampaikan oleh Allah s.w.t. sendiri
kepada manusia. Apabila jiwa ini kecil, pemikiran juga sempit, akhirnya, teguran-teguran dari Allah
s.w.t. hanya berlalu secara sia-sia dan tidak dapat dilihat oleh mata hati kita. Ketika itu, akan matilah
hati kita.

Terdapat beberapa cara untuk kita melatih diri untuk sentiasa berlapang dada dalam
menerima sebarang kritikan. Pertama, rinduilah kritikan dan nasihat tersebut. Sentiasalah mencari
cara untuk memperbetulkan diri kita. Buangkan anggapan bahawa diri kita yang terbaik dan sentiasa
ingat bahawa hidup ini mesti terus belajar.

Kedua, cari dan bertanyalah. Jadikanlah bertanya serta meminta nasihat ini sebagai satu
kebiasaan. Wajib bagi seorang Muslim untuk memberikan nasihat kepada Muslim lain yang meminta
nasihat. Ketiga, nikmati kritikan. Apabila menerima teguran, senyum dan fikirkan apa yang baik
disebalik apa sahaja teguran yang diberikan. Ingat selalu, peringatan itu bukan hanya datang dari
seorang manusia, tetapi adalah dari Allah s.w.t. yang sentiasa kasih dan sayang kepada kita.

1
Keempat, syukurilah. Maka, bersyukurlah apabila masih ada orang yang mahu menegur kita.
Jika tidak, maka mungkin Allah s.w.t. sengaja membiarkan kita membuat dosa dan menyimpan
kemurkaan-Nya kepada kita. Sebaliknya, apabila ditegur, itu tanda Allah s.w.t. menyimpan kasih
sayang-Nya untuk kita. Kelima, menilai diri. Berlaku jujurlah dengan diri sendiri. Setiap kelemahan
perlu diakui, itu bukan tanda kalah, tetapi mengalah. Mengalah dengan keegoan diri yang tidak
mahu diperbaiki. Keenam, memperbaiki diri. Kemudian, lakukanlah islah atau pembaikan. Ini proses
penting yang membolehkan kita menjadi orang yang beruntung, hari ini lebih baik dari semalam.

Terakhir, ketujuh, membalas budi. Ucapkanlah terima kasih kepada yang menegur dan
sentiasalah memberikan hadiah kepada mereka yang kerapkali menegur kita. Berfikirlah positif.
Mereka pasti ingin melihat kita lebih baik atau Allah s.w.t. pasti memberikan pendidikan yang terbaik
untuk kita. Pecayalah dan jangan berputus asa dengan Allah s.w.t.

Anda mungkin juga menyukai