Anda di halaman 1dari 6

TEKS UCAPAN

PERUTUSAN
TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA

sempena

PELANCARAN PROGRAM ZIARAH CAKNA


PERINGKAT KEBANGSAAN
TAHUN 2020

anjuran

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA


(SALUTASI AKAN DIBERIKAN OLEH PENGANJUR)

Berikut saya bacakan teks ucapan perutusan YB Puan Teo Nie


Ching, Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia sempena Perasmian
Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020

Salam Sejahtera

1. Tahniah saya ucapkan kepada Jawatankuasa Pengelola, Jabatan


Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), pihak
sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), pemimpin komuniti
setempat dan agensi-agensi terlibat yang telah menjayakan Majlis
Pelancaran Program Ziarah Cakna Peringkat Kebangsaan Tahun 2020
ini. Mari kita berikan satu tepukan gemuruh kepada semua pihak yang
bertungkus lumus berusaha menjayakan pelancaran program ini di
seluruh negara.

Para hadirin yang dihormati sekalian,


2. Sebagaimana yang telah disebutkan oleh YAB Tun Dr. Mahathir
semasa Majlis Amanat Menteri Pendidikan pada Khamis lalu, budaya dan
nilai hidup adalah antara faktor penting di dalam menentukan kejayaan
seseorang. Sekiranya kita mempunyai daya tahan dan daya saing yang
tinggi, sanggup berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mudah putus
asa, nescaya kejayaan akan dapat dicapai. Kita perlu selalu
mengingatkan murid-murid yang kita perlu menguasai ilmu sebanyak
mungkin. Hari ini, ilmu boleh diperolehi dengan mudah memandangkan

2
sistem pendidikan di negara kita adalah teratur sama ada di peringkat
pendidikan asas mahupun pendidikan tinggi.

3. Melalui program seperti ini, kita sebagai warga KPM boleh


berkongsi pelbagai inisiatif kerajaan yang tanpa henti berusaha untuk
memberi yang terbaik kepada rakyat melalui pendidikan. Kerajaan telah
melancarkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sabagai satu hala
tuju baharu ekonomi negara. Di antara tujuh (7) teras strategik dalam
Wawasan ini adalah “Strategi Transformasi Modal Insan”. Teras ini
berfokus kepada penyediaan halatuju sumber tenaga yang lebih
produktif, efektif, berkemahiran dan berteknologi tinggi. KPM sebagai
peneraju utama dalam mendidik dan melahirkan modal insan negara
komited untuk menyesuaikan dasar dan halatuju selaras dengan Agenda
Wawasan Kemakmuran Bersama. Kita perlu mendidik anak-anak bahawa
mereka perlu belajar bersungguh-sungguh, terus berdaya saing dan tidak
bertekad untuk keluar dari kemiskinan. Sampaikanlah perkara ini kepada
ibu-bapa, penjaga dan masyarakat semasa tuan-tuan dan puan-puan
mengadakan Ziarah Cakna.

4. Kerajaan sedar bahawa penguasaan Bahasa Melayu adalah


penting sebagai Bahasa Kebangsaan namun kita tidak boleh menafikan
kepentingan untuk murid-murid menguasai Bahasa Inggeris. Menyambut
saranan YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, saya ingin menggalakkan
warga pendidik untuk menambahbaik teknik pengajaran dan
pembelajaran Bahasa Inggeris agar murid-murid dapat menguasai
Bahasa Inggeris dengan lebih baik lagi. Statistik Program Ziarah Cakna
2019 menunjukkan seramai 40 daripada 158 murid sekolah rendah dan
26 daripada 428 murid sekolah menengah telah diziarahi oleh 63,313

3
guru sekolah rendah dan 39,715 guru sekolah menengah. Jika
dijumlahkan seramai 66,586 murid, 59,739 keluarga dan 102,488 guru
yang terlibat. Bayangkan, jika kita berjaya menyampaikan hasrat kerajaan
melalui pelbagai inisiatif KPM kepada jumlah yang sebesar ini.
Bayangkan, impak yang akan dapat dicapai jika kita berjaya meyakinkan
mereka yang sekolah adalah satu tempat permulaan untuk mengubah
masa hadapan mereka dan keluarga.

Hadirin yang dihormati sekalian,

5. Selain itu, perpaduan juga merupakan suatu elemen yang sangat


penting untuk mengekalkan keharmonian rakyat dan keamanan negara.
Dalam konteks negara kita yang rakyatnya terdiri daripada berbilang
kaum, semangat bersatu-padu, hormat-menghormati dan bertolak ansur
sangat penting dan perlu dipupuk sejak di bangku sekolah lagi. Selaras
dengan pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya, usaha kita ini
membuktikan bahawa Kerajaan, KPM, JPN, PPD malah semua guru
mengambil berat akan perihal murid tanpa mengira bangsa dan agama.
Murid-murid akan sedar dan terdidik bahawa kita mesti menjaga akan
satu sama lain, prihatin tentang kawan-kawan dan jiran di sekeliling kita.

6. Kita perlu akur yang kemajuan dan pembangunan negara terletak


pada kebolehan guru dalam menyatukan generasi muda dan ini pastinya
dapat kita laksanakan di sekolah. KPM memainkan peranan penting
dalam memastikan perpaduan dapat ditanam di dalam jiwa anak-anak
kita sejak awal lagi.

4
Tuan-tuan dan puan-puan,

7. Akhir-akhir ini kita berdepan dengan penyebaran maklumat palsu di


media sosial. KPM memandang serius akan perkara ini dah saya
mengharapkan agar warga pendidik akan mengingatkan murid-murid
untuk tidak berkongsi berita yang tidak sahih. Semasa Ziarah Cakna
dilakukan, guru juga boleh menyedarkan ibu bapa dan masyarakat
tentang bahayanya berkongsi berita yang palsu. Kita tidak perlu menjadi
orang yang pertama berkongsi cerita, menularkan perkara yang belum
tentu betul. Kita tidak perlu menjadi wartawan tidak berbayar kerana
dengan menyebarkan berita palsu kita mungkin boleh mencetus
kerisauan malah mengancam kestabilan dan keselamatan negara.
Marilah kita mendidik murid-murid, ibu-bapa dan masyarakat untuk
menjadi lebih bertanggungjawab di media sosial. Gunakanlah Ziarah
Cakna ini sebagai medium untuk bertanya khabar dan juga secara tidak
langsung, mendidik masyarakat.

8. Besar harapan saya agar kita bukan sahaja akan memastikan


kejayaan program pada hari ini, malah memperkasa kerjasama antara
pihak sekolah, ibu bapa / penjaga, komuniti setempat dan semua agensi
terlibat. Saya mengalu-alukan sokongan padu daripada semua pihak
dalam menjayakan dan memacu kecemerlangan agenda pendidikan
negara. Sebelum mengakhiri ucapan ini, tahniah dan syabas kepada
semua pihak yang terlibat memastikan program ini dapat dilaksanakan
dengan lancar.

5
9. Akhir kata, kepada semua pihak dan agensi terlibat yang sentiasa
memberikan bantuan, saya ucapkan ribuan terima kasih atas komitmen
dan pengorbanan yang tuan-tuan dan puan-puan berikan sepanjang
pelaksanaan program ini. Saya amat berbangga atas usaha gigih dan
pengorbanan semua pihak yang bekerja tanpa mengira masa serta
tenaga demi memastikan segala perancangan dapat dilaksanakan
dengan jaya.

Saya dengan ini merasmikan Pelancaran Program Ziarah Cakna


Peringkat Kebangsaan Tahun 2020.

Sekian. Terima kasih

YB TEO NIE CHING


TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
FEBRUARI 2020

Anda mungkin juga menyukai