Anda di halaman 1dari 9

TEKS UCAPAN PERASMIAN

SAMBUTAN HARI GURU


DAERAH HILIR PERAK 2006

Perasmi:
Yang Berhormat Dato’ Hj. Ahmad Zahid bin Hj. Hamidi
Timbalan Menteri Penerangan Malaysia

Terima kasih saudara / saudari pengacara majlis.

Yang Berusaha Tuan Hj. Mohd. Yunos bin Kapi


Pegawai Pelajaran Daerah Hilir Perak,

Yang Berusaha Ketua – Ketua Jabatan atau wakil

Tuan-tuan Pengetua, Guru-guru Besar, Para Pesara


Guru yang diraikan,

Guru-guru, tuan-tuan, hadirin yang dihormati sekalian.

Assalamualikum waramatullahi wabarakatuh

dan salam sejahtera.

Pertama sekali, sukalah saya mengambil kesempatan


ini mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas
kepada semua guru, khususnya guru-guru yang
berkhidmat di daerah Hilir Perak ini atas kejayaan
mengadakan sambutan Hari Guru pada tahun ini.

Kejayaan mengadakan sambutan Hari guru ini


menggambarkan keiltizaman guru yang tidak jemu-
jemu mendidik anak bangsa supaya menjadi generasi
pewaris negara yang cemerlang, gemilang dan
terbilang.

1
Dalam konteks menyambut Hari Guru ini, saya
berpendapat wajar sekali para guru membuat refleksi
diri terhadap sumbangan dan peranan masing-
masing. Guru perlu melihat dan mempertingkat
keupayaan atau kemampuan masing-masing bagi
menjadikan sekolah sebagai pusat kejayaan dan
kecemerlangan ilmu serta wadah penyuburan nilai-
nilai murni dalam kalangan pelajar.

Dalam abad ke-21 ini, sistem pendidikan negara


menghadapi cabaran hebat akibat kepelbagaian
ledakan ilmu dan maklumat. Sistem pendidikan alaf
baru ini harus mampu membawa transformasi sosial
yang dinamik bagi memenuhi agenda negara dalam
bidang sosial, ekonomi dan politik.

Pewujudan Koridor raya Multimedia dan usaha


menjadikan Malaysia pusat kecemerlangan
pendidikan bertaraf dunia merupakan cabaran yang
perlu dihadapi dan ditempuhi oleh semua guru atau
pendidik.

Perkembangan ini menuntut warga pendidik supaya


sentiasa bersedia dengan pelbagai ilmu pengetahuan
dan kemahiran. Setiap warga pendidikan perlu
menguasai teknologi maklumat dan komunikasi
dengan baik bagi menghasilkan kerja yang cepat,
tepat dan berkualiti.

Dalam hal ini, saya yakin dan percaya bahawa semua


warga pendidik di daerah Hilir Perak ini mampu dan
sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme
keguruan masing-masing dengan kaedah atau teknik
pengajaran dan pembelajaran terkini yang benar-
benar berkesan demi kecemerlangan pendidikan.

2
Para guru yang saya hormati sekalian,
Sejarah telah membuktikan bahawa kecemerlangan
pendidikan merupakan asas di sebalik kejayaan
sesuatu bangsa. Tamadun-tamadun besar dunia dan
kejayaan sesuatu bangsa, masing-masingnya
mengutamakan pembangunan insan yang maju.

Tradisi yang mengutamakan pembangunan insan atau


modal insan seperti yang sering diuar-uarkan oleh
Perdana Menteri yang kita kasihi, menjadi begitu
penting dalam mencapai negara maju menjelang
tahun 2020. Hala tuju ke arah itu menuntut sekolah
agar berperanan sebagai medan terawal untuk
menyediakan generasi muda sebagai modal insan
yang benar-benar menjadi aset negara yang berilmu
pengetahuan luas serta mempunyai daya saing atau
daya juang yang tinggi dalam mendepani arus
pemodenan dan cabarannya pada masa kini dan pada
masa akan datang.

Dalam memastikan pembangunan modal insan ini


terlaksana dengan jayanya, Rancangan Malaysia
Kesembilan (RMK-9) yang diumumkan oleh Perdana
Menteri barau-baru ini telah menyediakan peruntukan
yang besar kepada Kementerian Pelajaran,
Peruntukan ini kedua tertinggi selepas Jabatan
Perdana Menteri dengan siling sebanyak RM 23.198
bilion atau 10.5 peratus daripada jumlah peruntukan
perbelanjaan Kerajaan Persekutuan.

Guru-guru sekalian,
3
Peruntukan yang sebegini besar sebenarnya memberi
ruang kepada Kementerian Pelajaran membuat
perancangan pembangunan pendidikan bagi
memenuhi tiga matlamat utama, iaitu:

i. Membentuk ciri-ciri individu dan masyarakat


bangsa Malaysia yang dicita-citakan di dalam
negara maju Malaysia tahun 2020.

ii. Menyediakan akses, ekuiti dan pendidikan


berkualiti untuk semua golongan agar pada
tahun 2020 kelak tiada sebarang pihak yang
tercicir dari arus kemajuan Negara,

iii. Terarah untuk memastikan pembanguan yang


mapan agar kemajuan yang dicapai oleh
negara dan bangsa dapat terus
dipertahankan.

Bagi mencapai kesemua matlamat itu, semua warga


pendidik termasuklah tuan-tuan perlulah menyokong
apa-apa jua perancangan yang disediakan oleh pihak
pucuk pimpinan Kementerian Pelajaran dalam tempoh
lima tahun akan datang bermula pada tahun ini.

Dalam kita sedar tentang pentingnya institusi sekolah,


kita harus ingat bahawa kejayaan sesebuah sekolah
tidak dapat dipisahkan daripada peranan guru-
gurunya. Asuhan tuan-tuan sebagai guru yang
berkesan meninggalkan ingatan dan menjadi amalan
yang berpanjangan kepada setiap murid.

Sepajang hayatnya mereka akan ingat bagaimana


guru-guru menerapkan ilmu pengetahuan, budaya dan
semangat ketahanan, nilai-nilai murni dan jati diri
sehingga sebati ke dalam jiwa.

4
Untuk menggambarkan peri pentingnya tugas guru
dalam menentukan kejayaan pelajar, sukalah saya
memetik rangkap puisi hasil nukilan penyajak
tersohor, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang yang
berbunyi:

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa


Jika hari ini seorang raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis baca.

Hadirin sekalian, demikianlah besarnya pengaruh


seseorang guru dalam memartabat dan mengangkat
darjat manusia sehingga sempurna kemanusiaannya.

Semua pihak di luar bidang pendidikan amat


menyedari bahawa kerjaya guru merupakan satu
kerjaya yang mencabar. Guru bukan sahaja berfungsi
sebagai agen perubahan, mencorak dan melahirkan
pemimpin masa depan tetapi juga menjadi contoh
teladan bagi sesetengah anggota masyarakat.

Umumnya, tugas seorang guru adalah untuk


menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak
didiknya. Hal ini merupakan satu tugas utama dan
lumrah bagi seorang guru. Namun demikian, guru
juga berperanan menyemai nilai-nilai murni ke dalam
diri pelajar semasa proses pengajaran dan
pembelajaran.

5
Sehubungan dengan itu, saya amat berharap agar
para guru dapat meneruskan tugas murni
mencurahkan ilmu pengetahuan, menjana sahsiah
dan mengasah kemahiran pelajar supaya menjadi
insan yang sempurna dari segi intelek, emosi, rohani
dan jasmani. Kesempurnaan aspek-aspek ini amat
penting kerana pelajar merupakan modal insan yang
akan mendepani cabaran globalisasi dan kepesatan
‘ICT’ dan seterusnya merupakan generasi pewaris
yang diharap dapat merealisasikan hasrat
kegemilangan negara.

Tuan-tuan selaku guru, merupakan aset yang


berharga dalam menjayakan cita-cita pendidikan
kerana tuan-tuan adalah berada di barisan hadapan
dan pihak yang paling rapat dengan murid-murid.
Di tangan para guru, masa depan murid-murid dan
negara dicorak dan dibentuk. Oleh itu, sempena
menyambut perayaan Hari Guru yang gemilang ini
saya menyeru agar tuan-tuan meningkatkan dan
merealisasikan azam dan iltizam untuk mendidik anak
bangsa dengan lebih berkesan. Saya yakin dengan
iltizam sedemikian, para guru berupaya melahirkan
generasi terdidik yang bertaraf dunia dan sekali gus
membuktikan pendidikan kita sentiasa cemerlang.

Tuan-tuan,

Semua kita tahu bahawa nagara kita terdiri daripada


pelbagai kaum, hidup aman damai dan mengecapi
nikmat kemerdekaan secara bersama. Walaupun kita
semua merasai nikmat kemerdekaan, tetapi kita tidak
boleh lupa kemerdekaan bukanlah sesuatu yang
kekal melainkan kita berusaha mempertahankannya.

6
Para pemimpin kita yang prihatin dan peka tentang
keadaan ini sentiasa merancang dan melaksanakan
pelbagai program untuk mempertahankan
kemerdekaan yang kita nikmati selama ini. Yang Amat
Berhormat Perdana Menteri sendiri menyatakan
bahawa senjata yang paling ampuh untuk menangkis
sebarang ancaman kemerdekaan ini ialah perpaduan
kaum. Oleh itu, tercetuslah idea beliau supaya
sekolah memainkan peranan melaksanakan program
Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan atau
ringkasnya RIMUP di semua peringkat persekolahan.
Program yang dilaksanakan melalui komponen sukan,
kokurikulum dan ICT ini diharap akan dapat memupuk
integrasi kaum yang erat dariapda warga sekolah
Jenis Kebangsaan Cina, Jenis Kebangsaan Tamil,
Sekoalh Agama dan Sekolah Kebangsaan.

Memandangkan sistem pendidikan memainkan


peranan besar untuk memupuk semangat perpaduan
nasional, Perdana Menteri sendiri turun ke padang
melancarkan semula RIMUP yang pernah
dilaksanakan pada tahun 1986.

Pelancaran RIMUP peringkat kebangsaan telah


diadakan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Chung
Hua, Mantin, Negeri Sembilan pada pertengahan tahun
lepas.

Bagi pihak kerajaan, saya amat berharap agar semua


kepimpinan di semua peringkat dan kategori
persekolahan menerima baik idea Perdana Menteri
untuk melihat anak didik kita bercampur-gaul sebagai
keluarga besar sebagai rakyat Malaysia yang cinta
akan perpaduan dan keamanan.

7
Para guru budiman,
Pendidikan jelas menjadi pelaburan terpenting bagi
sesebuah negara dan menjadi pemangkin utama serta
tonggak bagi memastikan hasrat kerajaan tercapai.
Komitmen dan dedikasi para guru bakal membawa
perubahan kepada masyarakat dalam usaha mencapai
Wawasan 2020.

Warga pendidik perlu bersatu padu dalam


melaksanakan tugas yang diberikan. Permuafakatan
dalam sesebuah organisasi akan meringankan tugas
yang dipikul. Berdasarkan konsep ‘Bersatu Teguh
Bercerai Roboh’ negara tidak akan mencapai
wawasan yang diharapkan sekiranya tiada semangat
dalam melaksanakan sebarang misi yang
dipertanggungjawabkan.

Sebelum saya akhiri ucapan saya, sukalah saya


mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan
setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada
semua warga pendidik di daerah ini atas jasa dan
pengorbanan dalam mendidik anak bangsa tanpa
jemu-jemu walaupun berhadapan dengan seribu satu
macam karenah anak didik yang kadangkala
mencabar kesabaran guru.

Sesungguhnya, guru ibarat lilin - membakar diri bagi


menerangi orang lain. Membakar diri itu pengorbanan
manakala menerangi orang lain itu jasa. Justeru,
pengorbanan dan jasa guru sewajarnya dihormati dan
disanjung tinggi. Kepada para guru yang begitu
dedikasi dan komited dalam tugas mereka mendidik
anak bangsa, ‘Selamat Hari Guru’ saya ucapkan.
Hanya Allah sahaja yang boleh membalas segala
kebaikan para guru sekalian.

8
Tuan Pegawai Pelajaran Daerah dan guru-guru yang
bestari sekalian,

Sebelum mengundur diri, sukalah saya


menyampaikan dua rangkap pantun sebagai penutup:

Beluru bukan sebarang beluru,


Bunga melati dalam jambangan;
Guru bukan sebarang guru,
Guru bestari pemangkin kegemilangan.

Terbang merpati berpasang-pasangan,


Menongkah awan tinggi menjulang;
Guru bestari pemangkin kegemilangan,
Pembela warisan generasi terbilang.

Akhir kata, dengan hormat dan sukacitanya, saya


merasmikan Perayaan Hari Guru Peringkat Daerah
Hilir Perak tahun 2006.

Sekian.

Wabillahi Taufik Walhidayah Warahmatullahi


Wabarakatuh.

SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU.

(Teks ucapan disediakan oleh Zaianal Abiddin bin Osman, Guru Cemerlang Bahasa Melayu)

Anda mungkin juga menyukai