Anda di halaman 1dari 8

KANDUNGAN

1.0 PENGENALAN ........................................................................................................... 2

2.0 KONSEP PENGUCAPAN AWAM............................................................................... 2

3.2 ETIKA PENGUCAPAN AWAM ........................................................................................ 5

3.3 HALANGAN PENGUCAPAN AWAM............................................................................... 6

4.0 PENUTUP ....................................................................................................................... 7

5.0 RUJUKAN ....................................................................................................................... 8


1.0 PENGENALAN

Pengucapan awam merupakan satu bidang yang perlu dikuasai oleh setiap anggota
masyarakat pada abad ini. Individu yang sentiasa berhadapan dan berhubungan dengan lebih
daripada seorang individu memerlukan kemahiran berkomunikasi serta mestilah
berketrampilan optimis bagi menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan. Namun begitu,
kemahiran berkomunikasi bukanlah sesuatu kemahiran yang dapat diperoleh dengan mudah
atau secara semula jadi. Setiap individu mestilah berusaha untuk sentiasa memajukan diri
dalam bidang pengucapan awam dan memastikan teks ucapan yang ingin disampaikan
bertepatan dengan teknik penyampaian, etika dan halangan dalam pengucapan awam.
Kemahiran pengucapan awam boleh dipupuk sekiranya disemai dan diasah melalui proses
pembelajaran dengan bimbingan daripada para pengucap yang mahir dalam bidang ini.
Pengucapan awam yang berkesan terjadi apabila wujudnya penerimaan maklumat yang
sama oleh pendengar tanpa melibatkan salah faham. Oleh itu, kepentingan ilmu kritikan dalam
membicarakan teknik penyampaian, etika dan halangan dalam pengucapan awam perlu
dilakukan bagi membolehkan individu mengenal pasti dan membandingkan mengenai perkara
yang seharusnya ada dan perkara yang seharusnya tidak ada. Hal ini sangat penting bagi
memastikan pengucap dapat menyampaikan maklumat dengan penerangan yang jelas dan
tepat kepada para pendengar.

2.0 KONSEP PENGUCAPAN AWAM

Pengucapan awam melibatkan proses komunikasi oleh seorang individu dengan seorang
individu atau lebih. Komunikasi pula dapat didefinisikan sebagai satu cara memindahkan
suatu informasi atau idea kepada seorang individu mahupun sekumpulan individu. Tujuan
pengucapan awam adalah untuk memberi maklumat kepada pendengar tentang isi maklumat
yang ingin disampaikan. Menurut Asiah Sarji, penggunaan kesemua pancaindera dalam
ucapan merupakan satu seni komunikasi yang susah kerana penyampai perlu menyampaikan
ucapan di hadapan khalayak dan menghadapi masalah untuk menyesuaikan daya tarikan dan
memenuhi kehendak pendengar. Manakala menurut Khairuddin Mohamad dalam buku
Bahasa Melayu Komunikatif, ucapan dapat didefinisikan sebagai satu bentuk saluran
komunikasi pertuturan dan merupakan jenis karangan berformat yang menggunakan teks
bertulis sebagai landasan penyampaiannya. Ucapan juga dapat difahami sebagai komunikasi
yang melibatkan tatacara pelahiran idea secara lisan bertemakan sesuatu tema atau agenda
peraturan sesuatu majlis dan disampaikan secara individu kepada khalayak ramai.
3.0 KRITIKAN DAN ANALISIS TEKS

3.1 TEKNIK PENYAMPAIAN PENGUCAPAN AWAM

Teks yang telah dipilih bagi dianalisis dan dikritik merupakan teks ucapan perasmian
Brigadir Jenderal Profesor Datuk Seri Panglima Dr. Kamaruzaman Haji Ampon , Naib
Caunselor Universiti Malaysia Sabah merangkap penasihat Kelab Suri Rumah dan Staf
Wanita (KESUMBA). Beliau telah menyampaikan teks ucapan berikut sebagai ucapan
perasmian dalam sebuah majlis Mesyuarat Agung Tahunan Kelab Suri Rumah dan Staf
Wanita Universiti Malaysia Sabah (KESUMBA) kali ke-13. Penerapan teknik penyampaian
pengucapan awam yang baik dan teratur amat mempengaruhi kelancaran sesuatu teks
ucapan. Terdapat tiga peringkat dalam teknik penyampaian pengucapan awam iaitu peringkat
persediaan, peringkat penyampaian dan peringkat refleksi. Komponen peringkat persediaan
perlu dilakukan oleh seseorang pengucap agar pengucap dapat bersedia dan lebih peka
dengan mengetahui maklumat asas sesuatu majlis tersebut. Penyusunan idea dalam teknik
persediaan juga perlu dilakukan bagi mengelakkan pengucap terlupa atau kehilangan idea
semasa menyampaikan pengucapan. Oleh itu, peringkat ini amat mementingkan tujuan
pengucapan awam disampaikan. Bedasarkan teks yang telah dianalisis, tujuan atau inti pati
beliau menyampaikan ucapan adalah bagi memberi kata-kata perangsang untuk menerapkan
nilai kerjasama dalam memacu kejayaan dan kecemerlangan pertubuhan organisasi di
samping merasmikan majlis.

Berikutan itu, beliau telah menasihati dan meyakinkan para hadirin bahawa penerapan
nilai-nilai kualiti dalam menjalankan tugas seperti bekerja dengan tekun dan kemas, setia
kepada organisasi, bekerja dengan kasih sayang, ceria serta lemah lembut dan menjaga
kesihatan mampu menghasilkan kerja yang bermutu dan produktif. Ucapan ini tidak
mengandungi sebarang bentuk hiburan atau untuk suasana yang santai. Sebaliknya, ucapan
ini terlihat lebih serius dan bersungguh-sungguh dengan penerapan harapan dan amanat-
amanat yang telah diutarakan seperti memfokuskan cara untuk memperkukuh pencapaian
dan hala tuju KESUMBA serta lebih menitikberatkan peningkatan ahli kelab. Jelasnya, bentuk
dan tujuan ucapan ini lebih berkonsepkan pengajaran yang mengandungi mesej untuk
membimbing para ahli kelab untuk tampil yakin serta bijak dalam menguruskan masa dan
melaksanakan tugasan mengikut keutamaan.
Selain itu, dari segi bahasa pula teks ucapan ini menggunakan gaya bahasa yang jelas
dan konkrit. Bahasa yang telah digunakan didapati menggunakan bahasa yang
jelas,mudah,senang difahami serta sesuai dengan latar belakang pendengar sama ada dari
segi umur mahupun pendidikan. Sememangnya penggunaan bahasa yang jelas amat
disarankan untuk pengucapan awam. Hal ini kerana, penggunaan bahasa yang mengandungi
perkataan yang mempunyai unsur konotasi dapat mengelirukan para pendengar dan boleh
menyebabkan salah faham berlaku. Berdasarkan teks ucapan ini, rata-rata para pendengar
didapati dapat memahami dengan baik tentang mesej yang ingin disampaikan kerana teks ini
bebas daripada sebarang perkataan yang berunsurkan konotasi atau perkataan yang
mempunyai dua maksud. Laras bahasa yang digunakan pula menggunakan laras bahasa
formal kerana kategori majlis dalam teks ucapan ini ialah teks ucapan perasmian. Teks
ucapan ini juga telah menepati prinsip-prinsip pengucapan awam yang harus ada iaitu prinsip
pengumpulan data dan maklumat, penyusunan teks, penguasaan perkataan yang baik, gaya
bahasa yang bertepatan dan teratur serta prinsip penyampaian yang hebat dan mudah. Dalam
masa yang sama teks ucapan ini juga menitikberatkan elemen kesantunan berbahasa.
Penulis teks ucapan ini didapati telah mengumpul data dan maklumat dengan mengenal pasti
latar belakang khalayak terlebih dahulu agar kata gelaran panggilan hormat atau pangkat
sesuai dengan panggilan hormat yang telah ditetapkan seperti “ Yang berusaha, Profesor
Datin Seri Panglima Dr. Ann Anton selaku Yang Di Pertua KESUMBA”. Hal ini amat penting
kerana panggilan hormat yang sesuai hendaklah digunakan terhadap orang kenamaan
sebagai tanda penghormatan kepada kedudukan.

Berikutan itu, elemen teknik penyampaian pula mestilah diterapkan dalam pengucapan
awam bagi menyatakan inti pati utama tentang perkara yang ingin disampaikan. Semasa
peringkat penyampaian dijalankan, pengucap mestilah menunjukkan keyakinan semasa
menyampaikan ucapan. Oleh itu, pengucap mestilah bersedia dari segi mental dan fizikal
untuk sebarang kemungkinan. Berdasarkan analisis kritis yang telah dilakukan, teknik
penyampaian yang disampaikan oleh beliau dimulakan dengan ucapan selamat dan salam
sebagai pembuka bicara. Pembukaan majlis ini menunjukkan pengucap mementingkan soal
kesantunan berbahasa dan memahami protokol sesuatu majlis. Teks ucapan ini juga
mengandungi elemen salutasi yang merupakan protokol atau cara menyebut pangkat dan
jawatan seseorang. Sebagai contoh, teks ini telah didahulukan dengan ucapan penghormatan
seperti “Yang berusaha Profesor Datin Seri Panglima Dr. Ann Anton”. Dalam masa yang
sama, pengucap juga didapati telah memberi penghargaan kepada pihak penganjur
KESUMBA kerana telah menjemput beliau dalam majlis tersebut. Peri pentingnya aspek
kesantunan berbahasa seperti contoh-contoh yang telah dinyatakan melambangkan aspek
adab tidak dapat dipisahkan dalam protokol sesuatu majlis. Selain itu, aspek isi utama dan
penutup dalam teknik penyampaian juga perlu ditekankan. Perkara yang ingin disampaikan
oleh pengucap mestilah dinyatakan dengan jelas dengan penerangan yang kukuh.

Melalui teks ucapan ini, tujuan pengucapan awam,pengenalan, isi kandungan


penyampaian serta penutup didapati mempunyai perkaitan dan mengikut urutan. Hal ini amat
penting bagi memastikan pendengar tidak salah faham atau tidak mendapat input yang ingin
disampaikan. Teknik terakhir dalam teknik penyampaian pengucapan awam iaitu peringkat
refleksi pula menitikberatkan aspek kesimpulan atau rumusan pengucapan awam. Pada
peringkat ini, pengucap telah memberi rumusan, menekankan beberapa perkara penting
dengan mengimbas kembali perkara-perkara penting yang telah disampaikan. Ucapan
berunsurkan penegasan telah dinyatakan sekali gus bertindak untuk menekankan isi penting
yang perlu diingat dan dijadikan sebagai pedoman. Contoh permulaan ayat berbentuk
penegasan dalam sesebuah ucapan ialah “pada pandangan saya, sebagai seorang pekerja
dan juga suri rumah kita mestilah bijak melaksanakan tugasan mengikut keutamaan serta
bijak menguruskan masa”. Selain itu, pengucap juga menyentuh mengenai perihal harapan
pengucap terhadap para pendengar dengan harapan semua ahli kelab mendapat manfaat
daripada setiap aktiviti yang telah dijalankan dan sentiasa bersedia menghadapi apa jua
rintangan dalam dunia globalisasi ini.

3.2 ETIKA PENGUCAPAN AWAM

Menurut Asiah Sarji, etika merupakan satu prinsip yang sensitif terhadap makna dan
kesan ke atas pelaksanaan sesuatu tindakan. Etika juga berfungsi sebagai satu panduan yang
perlu diikuti dan dilakukan untuk mendapat penerimaan daripada orang awam dan juga
manusia. Rentetan itu, perucap mestilah mematuhi etika pengucapan awam yang telah
ditetapkan bagi menghasilkan ucapan berkesan yang bertepatan dengan protokol dan tidak
menyalahi undang-undang. Seorang perucap yang beretika mestilah menyampaikan perkara
yang penting dan mengamalkan sikap jujur agar mesej atau pesanan yang disampaikan dapat
memberi manfaat kepada pendengar. Menurut Masri Sulaiman pula, etika dalam komunikasi
berkait rapat dengan darjah betul atau salahnya sesuatu perlakuan manusia. Jelasnya, etika
dalam pengucapan awam perlu dipatuhi oleh perucap bagi memenuhi kepuasan pendengar.
Berdasarkan teks ucapan yang telah dianalisis, teks ucapan tersebut tidak melanggar etika
pengucapan awam. Hal ini terbukti apabila maklumat yang telah disediakan bersesuaian dan
bertepatan dengan tajuk dan tujuan pengucapan awam. Penerapan etika kejujuran dalam teks
ucapan ini dapat dilihat apabila perucap tidak mengambil sebarang fakta mengenai sesuatu
perkara tanpa menjelaskan sumber yang telah diambil.

Selain itu, perucap juga tidak menyentuh isu sensitiviti sepanjang pengucapan awam
berlangsung. Walaupun inti pati dan sasaran utama pengucapan awam ini mengenai wanita,
perucap tidak mengamalkan sikap berat sebelah dengan mengutamakan atau melebihkan
jantina wanita mahupun lelaki. Perucap juga menepati etika pengucapan awam dengan
berpersonaliti baik dan mementingkan kesantunan berbahasa iaitu menggunakan protokol
panggilan hormat. Sememangnya, penggunaan bahasa yang santun, sopan dan beradab
memancarkan peribadi mulia dan melambangkan personaliti yang baik. Etika pengucapan
awam seperti menepati masa juga diterapkan dalam diri pengucap. Hal ini kerana, majlis
perasmian yang telah dijalankan telah berlangsung mengikut ketetapan masa iaitu pada majlis
mesyuarat kali ke-13. Tegasnya, seorang pengucap mestilah mematuhi etika-etika
pengucapan awam bagi memperlihatkan peribadi pengucap yang berwibawa di samping
menyampaikan ucapan yang bertepatan dan mencapai tahap keberkesanan.penyampaian
maklumat.

3.3 HALANGAN PENGUCAPAN AWAM

Masalah atau gangguan yang menghalang proses pengucapan awam dapat membawa
kepada kesan negatif seperti dapat menjejaskan keberkesanan ucapan dan membuatkan
tumpuan hadirin kepada pengucap boleh terjejas. Berdasarkan teks ucapan yang telah
dianalisis, penyusunan atau urutan struktur penulisan teks tidak berlaku dan tidak menjadi
halangan dalam pengucapan awam. Hal ini kerana, struktur penulisan teks ditulis mengikut
aturan dan urutan pengenalan, isi dan juga penutup. Dalam masa yang sama, isi yang telah
ditulis juga didapati mempunyai perkaitan dan menepati tajuk yang telah ditetapkan. Halangan
seperti halangan bahasa juga tidak berlaku dalam penulisan teks ucapan ini. Bahasa yang
diguna pakai dalam penulisan teks ini didapati menggunakan bahasa yang mudah, jelas dan
senang difahami oleh pendengar. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa
halangan dalam komunikasi tetap berlaku. Halangan-halangan ini telah menyebabkan
pendengar tidak dapat menerima dan menganalisis maklumat dengan baik. Antara halangan
yang dapat dikenal pasti dalam teks ucapan ialah halangan dari segi tatabahasa. Terdapat
banyak halangan tatabahasa antaranya termasuklah halangan tatabahasa dari segi
kesalahan ejaan. Contoh kesalahan ejaan dalam teks ialah “warahmatulahi” manakala ejaan
yang betul ialah “warahmatullahi”. Kesalahan dari segi frasa nama bentuk lewah pula dapat
dilihat dalam contoh seperti “para hadirin & hadirat, puan-puan sekalian”. Kesalahan tersebut
sepatutnya menjadi “para hadirin” atau “puan sekalian”. Kesalahan “antara nilai-nilai” yang
sepatutnya menjadi “antara nilai” juga tergolong dalam kategori kesalahan dari segi frasa
nama bentuk lewah. Seterusnya, kesalahan bentuk lewah pengimbuhan kata adjektif pula
adalah seperti “memperkukuhkan” manakala perkataan yang betul pula adalah
“memperkukuh”. Contoh terakhir bagi kesalahan tatabahasa yang terdapat dalam teks ucapan
ialah kesalahan penggunaan kata hubung pada awal ayat. Ayat yang salah ialah ” Kerana
merekalah yang setiap hari memasak makanan yang berkhasiat untuk keluarga” manakala
ayat yang betul pula “Hal ini kerana merekalah yang memasak makanan yang berkhasiat
pada setiap hari untuk keluarga.” Jelasnya, pemasalahan seperti ini mampu mempengaruhi
orang sekeliling dan menjadi satu halangan dalam komunikasi masyarakat sekiranya tidak
dibendung.

4.0 PENUTUP

Kesimpulannya, kemahiran penulisan teks ucapan pengucapan awam mestilah


menepati kehendak penulisan dengan memiliki teknik penyampaian pengucapan awam yang
betul, etika yang betul dan juga bebas daripada halangan pengucapan awam yang dapat
menimbulkn kesan negatif kepada pengucap mahupun pendengar. Tegasnya, kemahiran
mempelajari pengucapan awam adalah sangat penting kepada setiap lapisan individu pada
abad ini. Walaupun penyebaran maklumat kini lebih mudah melalui media massa, tetapi
sebenarnya komunikasi bersemuka adalah lebih berkesan. Hal ini kerana, kesahihan
maklumat akan lebih diperakui setelah masyarakat mengenali individu yang menyampaikan
maklumat tersebut. Justeru, pengucapan awam bukanlah hanya sekadar kemahiran yang
biasa, tetapi adalah satu kemahiran yang boleh merangka satu perubahan yang luar biasa.
Segala tindak-tanduk serta corak pemikiran masyarakat mampu diubah melalui penyampaian
ucapan yang baik. Tamadun bangsa juga akan dipandang tinggi seiring dengan kelahiran
bangsa yang berkemahiran dan berakhlak tinggi.
5.0 RUJUKAN

Asiah Sarji, Mohad Nordin Salji. (1990). Perucapan Umum. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka

Ahmad Faizal. (2013, Oktober 14). Anda takut hendak bercakap di khalayak ramai? Dimuat
turun pada April 14, 2016, daripada ahmadfaizal.com:
http://ahmadfaizal.com/2013/10/14/anda-takut-hendak-bercakap-dikhayalak-ramai/

Baharudin Ahmad Badrul Sani. (2006). Bijak Berbicara Mencuit Rasa Untuk Semua. Kuala
Lumpur: Al-Ameen Serve Holdings Sdn. Bhd.

KPM-ex KPLI, s. (2013, Januari 22). Pengucapan awam. Dimuat turun pada Slide Share:
https://www.slideshare.net/Zabedahalang/pengucapan-awam-16128239

Masri Sulaiman. (1997). Komunikasi Berkesan. Shah Alam: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Md Izuddin Ali, Zetty Zahureen Mohd Yusoff. (2008). Berucap Dengan Yakin. Kuala Lumpur:
PTS Millenia Sdn. Bhd.

Rahmat Ismail. (2000). Pidato & Berpidato, Seni & Teknik. Kuala Lumpur: Utusan Publications
& Distributors Sdn. Bhd.

Rosniza Mohd Taha. (2011). Alumni : Pengorbanan Dr. Harlina Halizah. Kuala Lumpur: Berita
Harian.

Supyan Hussin, Azhar Jalaludin. (2002). Kecemerlangan Dalam Pengucapan Awam. Kuala
Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Supyan Hussin. (2012, Oktober). Pengucapan Awam. Dimuat turun pada wordpress:
https://ucapanawam.files.wordpress.com/2012/10/ucapan-awam-blog1.pdf

Anda mungkin juga menyukai