Anda di halaman 1dari 5

PENGENALAN

Guru memainkan peranan yang penting dalam bidang pendidikan melalui tugasan
menyampaikan ilmu kepada murid di sekolah. Sebagai guru Pendidikan Moral pada era
globalisasi ini, guru bukan sahaja perlu menguasai aspek kandungan Pendidikan Moral namun
adalah wajar untuk guru tersebut juga mengetahui dan menguasai gaya penyampaian
kurikulum seperti penggunaan sumber pengajaran dan pembelajaran (P&P) serta sistem
pentaksiran terkini dalam P&P. Selain itu, penguasaan pedagogi pengajaran juga penting
kepada guru supaya ilmu yang disampaikan menjadi lebih bermakna. Hal ini kerana
penguasaan guru terhadap kandungan sesuatu subjek sahaja tidak mencukupi sekiranya guru
gagal menyampaikan ilmu tersebut kepada murid-muridnya. Menurut Stronge, (2010)
keberkesanan pengajaran dan pembelajaran amat bergantung kepada sesiapa yang mengajar
dan juga siapa yang diajar. Kalaiselvi, Nur Surayyah Madhubala, dan Umi Kalthom (2015) juga
menyatakan bahawa kebolehan guru mempelbagaikan kaedah dan strategi dapat
meningkatkan minat belajar dan pencapaian murid.

KEPENTINGAN PEMILIHAN SUMBER PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN

Cabaran pendidikan abad ke-21 adalah untuk menyediakan pembelajaran yang


menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan mengurus bilik darjah atau ruang
pembelajaran yang lebih dinamik. Justeru, salah satu perkara yang perlu diberi perhatian ialah
pemilihan pelbagai sumber sokongan yang dapat membantu guru melaksanakan pengajaran
dan pembelajaran yang berkesan serta berkualiti. Sumber pengajaran dan pembelajaran ini
merupakan bahan yang tidak asing lagi dengan guru dalam usaha untuk menyampaikan ilmu
yang bermakna kepada murid. Namun, dalam mengharungi cabaran pendidikan masa kini, guru
perlulah bijak memilih sumber pengajaran dan pembelajaran yang bersesuaian dengan arus
pendidikan abad ke-21. Terdapat dua jenis sumber pengajaran dan pembelajaran yang sering
digunakan iaitu sumber dari bahan bercetak dan sumber dari bahan tidak bercetak. Kedua-dua
jenis sumber pengajaran dan pembelajaran ini memainkan peranan yang penting dalam
pengendalian guru semasa proses P&P berlangsung.

Antara kepentingan pemilihan sumber pengajaran dan pembelajaran yang relevan


dengan keperluan pendidikan abad ke-21 ini ialah guru dapat melibatkan murid secara aktif
dalam sesi P&P. Penglibatan murid yang aktif dalam P&P ini bukan sahaja dapat menunjukkan
murid tersebut fokus, peka dan aktif dengan pembelajaran yang berlangsung malahan akan
mempengaruhi sebanyak mana kandungan ilmu pengetahuan yang bakal diperoleh oleh
seseorang murid. Pemilihan sumber P&P seperti bahan audio atau tayangan video misalnya
akan menggalakkan penglibatan murid. Guru mungkin boleh menjalankan sesi perbincangan
melalui video yang ditayangkan. Kegiatan ini akan memerlukan murid untuk memberi banyak
tindak balas dalam sesi perbincangan tersebut seperti sumbangan idea, sesi soal menjawab
soalan-soalan dan lain-lain lagi. Hal ini secara tidak langsung akan menggalakkan pemikiran
murid berjalan dengan aktif atau dengan kata lain dapat memantapkan kemahiran berfikir murid
secara kreatif dan kritis. Kemahiran menjana idea dan bijak menyoal ini selaras dengan ciri-ciri
murid yang diharapkan hasil daripada pembelajaran abad ke-21

Di samping itu, kepentingan pemilihan sumber pengajaran dan pembelajaran yang


relevan dengan arus pendidikan abad ke-21 juga ialah dengan menjadikan P&P di dalam kelas
lebih menyeronokkan. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh [ CITATION Abd13 \l 1033 ] dalam
kajian mereka dimana mereka mengatakan pembelajaran yang menyeronokkan amat
memerlukan bahan bantu mengajar yang efektif bagi memastikan kelancaran dan
keberkesanan pengajaran guru untuk menarik tumpuan murid. Penggunaan sumber pengajaran
dan pembelajaran seperti bahan-bahan yang didapati daripada teknologi iaitu komputer atau
penggunaan internet akan mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan kepada
murid. Sesi pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan permainan atas talian contohnya
permainan kuiz melalui laman web Kahoot akan mencetuskan sensasi pembelajaran yang lebih
segar dan menyeronokkan. Reka bentuk permainan kuiz melalui Kahoot ini memerlukan murid
untuk menjawab kuiz dalam masa tertentu yang telah ditetapkan serta akan memaparkan nama
pemenang di akhir permainan. Oleh itu murid akan merasa sangat seronok di samping dapat
mewujudkan suasana daya saing yang sihat dalam kalangan murid.

Gaya pembelajaran yang berkonsepkan permainan atas talian ini bukan sahaja
menyeronokkan sesi P&P, malahan amat bersesuaian dengan konsep pembelajaran abad ke-
21 yang menggalakkan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Selain itu,
penggunaan ICT juga dilihat amat sebati dengan generasi pada kini yang sudah biasa dengan
teknologi sejak dari kecil lagi. Kenyataan ini seperti yang dinyatakan dalam artikel internet “ICT
pupuk kemahiran abad ke-21” (n.d) yang menyatakan bahawa perubahan persekolahan perlu
bagi memenuhi keperluan masyarakat sekarang yang banyak dipengaruhi oleh dunia yang
dicorakkan pembangunan teknologi.

MENGANALISIS KECENDERUNGAN DAN KEKANGAN GURU PENDIDIKAN MORAL


MENGAPLIKASIKAN KBAT DALAM MELAKSANAKAN PENTAKSIRAN BERASASKAN
GARIS PANDUAN YANG DITETAPKAN DALAM DSKP.

Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) menjadi perkataan yang semakin popular dan
biasa didengari dalam bidang pendidikan masa kini. KBAT merupakan satu kemahiran yang
penting bagi memenuhi keperluan pendidikan abad ke-21. Menurut Kementerian Pendidikan
Malaysia (2014), KBAT ialah keupayaan untuk mengaplikasikan pengetahuan, kemahiran, dan
nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan masalah, membuat
keputusan, berinovasi dan berupaya mencipta sesuatu. Tahap pemikiran yang digambarkan
adalah seperti dalam Taksonomi Bloom semakan Anderson yang menunjukkan peningkatan
tahap pemikiran dari aras mengingat, memahami, mengaplikasi, menganalisis, menilai dan
mencipta. Pentaksiran pula terbahagi kepada tiga iaitu penilaian, pengukuran dan pengujian.
Pada hari ini, pengaplikasian KBAT dalam menjalankan pentaksiran menjadi satu kemestian.
Dalam membincangkan topik ini, kecenderungan guru dilihat berbeza

Berdasarkan pembacaan yang dilakukan, guru Pendidikan Moral dilihat kurang


cenderung untuk mengaplikasikan KBAT dalam melaksanakan pentaksiran walaupun menurut
Mohd Khamidon dalam Admin (2016) bahawa guru-guru telah disediakan dengan ilmu KBAT
sejak dalam pengajian pendidikan lagi. Guru dilihat perlu berusaha keras untuk
mengaplikasikan KBAT dalam melaksanakan pentaksiran. Hal ini mungkin kerana guru sendiri
sedar tentang kelemahan mereka dalam mengaplikasikan KBAT dalam sesi P&P yang
dijalankan. Tanggungjawab guru sememangnya untuk menyampaikan ilmu dan tugas ini mudah
bagi guru laksanakan terutamanya menerapkan KBAT pada aras yang rendah namun untuk
menerapkan KBAT pada aras yang lebih tinggi amat sukar. Menurut Musliha Salma (2010),
pendidik mudah untuk mengajar pelajar untuk mengingat fakta dan kemudian menilai mereka
melalui ujian beraneka jawapan, tetapi sukar untuk mengajar dalam aras yang lebih tinggi
dalam Taksonomi Bloom iaitu aras menganalisis, menilai dan mencipta.

Hal ini ditambah lagi dengan kekangan memikirkan tentang perbezaan pemikiran pada
setiap murid menyebabkan guru sukar mengaplikasikan KBAT dalam melaksanakan
pentaksiran. Murid yang pintar misalnya akan lebih kehadapan dan murid yang lemah masih
tertinggal di belakang sekiranya pentaksiran jenis pengujian yang kompleks dilaksanakan. Jaffry
Jaafar mengatakan bahawa soalan berbentuk objektif yang digunakan menyebabkan murid
yang lemah akan memilih secara rawak serta tidak membaca soalan yang diberikan manakala
bagi melalui format baru kertas soalan berdasarkan KBAT, murid perlu berfikir sebelum
menjawab soalan namun menyebabkan sesetengah murid tidak ada pilihan untuk menjawab
soalan [ CITATION Adm16 \l 1033 ]. Hal ini menyebabkan murid menjawab soalan sambil lewa
dan guru tidak mempunyai pilihan lain dalam pemberian markah kepada murid. Justeru, kita
dapat lihat bahawa peranan murid sendiri juga penting dalam menjayakan perlaksanaan KBAT
dalam pentaksiran ini. Hal ini disokong oleh Coffman (2013) yang menyatakan bahawa
kesukaran guru dalam menggunakan KBAT di dalam kelas adalah dipengaruhi oleh faktor
keengganan pelajar.

Selain itu, terdapat golongan guru yang cenderung untuk mengaplikasikan KBAT dalam
melaksanakan pentaksiran berasaskan garis panduan yang ditetapkan dalam Dokumen
Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) Pendidikan Moral. Hal ini kerana menurut
Bahagian Pembangunan Kurikulum (2013), KBAT boleh diaplikasikan di dalam bilik darjah
melalui aktiviti berbentuk penaakulan, pembelajaran inkuiri, penyelesaian masalah dan projek.
Melalui panduan ini, pelbagai aktiviti pentaksiran seperti penilaian atau pengukuran contohnya
melalui aktiviti projek dapat dilakukan secara berkumpulan dalam kalangan murid ataupun
menggunakan peta minda semasa membincangkan sesuatu topik untuk mentaksir tahap
pencapaian murid. Walaupun begitu, terdapat beberapa kekangan yang membantutkan proses
boleh dijalankan di dalam kelas dengan mengaplikasikan KBAT selain daripada pengujian
semata-mata.

Seperti yang dinyatakan di atas, antara kekangan yang dihadapi oleh guru Pendidikan
Moral ialah persekitaran sesetengah murid yang tidak menyokong dan membantu perlaksanaan
pentaksiran guru terhadap murid. Sebagai contoh, dalam artikel Admin (2016) menyatakan
kekangan kewangan dan sokongan ibu bapa di rumah sering kali menjadi batas bagi
pelaksanaan KBAT secara menyeluruh. Hal ini kerana ibu bapa misalnya sering masuk campur
dalam urusan pentaksiran yang dilakukan oleh guru. Sebagai contoh, berdasarkan DSKP
Pendidikan Moral tahun 4, guru meminta murid untuk membina buku skrap atau portfolio
berkaitan satu topik. Penyediaan portfolio ini sebagai instrument penilaian dalam pentaksiran
terhadap murid dengan meletakkan pengaplikasian KBAT sebagai kriteria pemberian markah
telah menyebabkan campur tangan ibu bapa yang ingin memastikan anak mereka mendapat
markah yang tinggi. Hal ini secara tidak langsung menggalakkan murid untuk malas berfikir
kerana terdapat orang sekeliling yang membantu mereka membuat keputusan serta budaya
‘spoon feed’ masih dikekalkan.

Tambahan lagi, dasar pendidikan yang sering berubah-ubah ini menyebabkan guru
hilang fokus tentang perkara yang perlu diutamakan. Walaupun pentaksiran kini telah
dipelbagaikan dan KBAT diaplikasikan, namun kewujudan peperiksaan atau ujian
menyebabkan perbincangan guru dengan murid terbatas. Hal ini kerana murid dan guru akan
lebih tertumpu untuk kejar silibus berbanding perlaksanaan pembelajaran secara lebih terbuka.
Justeru, KBAT dilihat kurang diaplikasikan disebabkan permasalahan seperti ini.

KESIMPULAN

Anda mungkin juga menyukai