Anda di halaman 1dari 9

Aspirasi ke-2: Kemahiran Berfikir

Konsep
Konsep kemahiran berfikir ini mengetengahkan setiap murid akan belajar cara
mendapatkan ilmu pengetahuan sepanjang hidup mereka seperti menerapkan perasaan ingin
tahu tentang sesuatu dan mengamalkan pembelajaran sepanjang hayat. Berdasarkan
Kementerian Pendidikan Malaysia (2013), kemahiran berfikir adalah untuk membolehkan
mereka menghubungkait pelbagai jenis disiplin ilmu dan dapat mencipta ilmu yang baharu.
Dalam aspirasi ini, setiap murid dikehendaki menguasai pelbagai kemahiran kognitif
termasuklah penaakulan dan pemikiran kritis, kreatif, serta inovatif.

Bloom (1956) menyatakan bahawa pemikiran kritis adalah proses yang melibatkan
aktiviti mental seperti analisis, sistesis dan penilaian. Hal ini bersangkut-paut dengan peringkat
pemikiran tertinggi yang terkandung dalam heirarki kognitif Taksonomi Bloom (Bloom 1956).
Kreativiti merupakan tindakan penghasilan idea, pendekatan atau tindakan baharu manakala
inovasi adalah proses menjana dan mengaplikasi idea, serta kreatif dan konteks yang tertentu.
Menyedari kepentingan tahap kualiti yang perlu ada pada setiap individu murid, pemikiran
kreatif dan inovatif merupakan gandingan yang perlu ada dalam pengajaran dan pembelajaran
untuk menghasilkan modal insan yang dihasratkan selaras dengan Falsafah Pendidikan
Kebangsaan.

Kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang sinonim dengan dunia pendidikan adalah
teras kepada aspirasi kedua ini. Hal ini kerana KBAT adalah suatu kemahiran yang
menggalakkan seseorang individu untuk berfikir di luar kotak pemikiran mereka dengan
memberikan pendapat atau idea mereka tersendiri berdasarkan hasil bacaan atau pengalaman.
KBAT boleh didefinisikan sebagai potensi untuk menggunakan pengetahuan, kemahiran dan
nilai untuk berfikir dan membuat pertimbangan. Onosko (1991) mentakrifkan KBAT sebagai
penggunaan potensi minda untuk menangani cabaran baru manakala Kementerian Pelajaran
Malaysia (KPM) mendefinisikan KBAT sebagai keupayaan untuk mengadaptasikan
pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam membuat penaakulan dan refleksi bagi menyelesaikan
masalah, membuat keputusan, berinovasi, dan berupaya mencipta sesuatu. Justeru, KBAT
merupakan tahap pemikiran yang diperlukan dalam membentuk generasi abad ke-21 yang
cerdas, kreatif dan berinovatif serta berpotensi untuk bersaing di peringkat global (Abdul Rasid
et al. 2016).

Isu berbangkit.

Isu Guru
Umum mengetahui bahawa guru kini digalakkan mengaplikasi pelbagai kaedah
pengajaran supaya murid tertarik kepada pengajaran seterusnya dapat melaksanakan sesi
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penggunaan kaedah tradisional dalam pengajaran
merupakan satu kaedah yang berpusatkan guru dan berlaku dalam satu hala sahaja. Pengajaran
sehala oleh guru akan menyebabkan suasana kebosanan wujud dalam sesi pengajaran dan
pembelajaran. Hal ini disebabkan pelajar pada alaf baharu tidak gemar dikongkong pergerakan
mereka di dalam kelas (Benade 2015).

Kaedah ini hanya mengakibatkan murid pasif kerana tidak dapat berbincang bersama
rakan-rakan mereka tentang sub topik yang telah diajar. Mantan Menteri Pendidikan, Dato’ Seri
Mahdzir Khadir turut menyuarakan tentang kelemahan kaedah tradisional ini. Menurut beliau,
penglibatan pelajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang memerlukan komunikasi
adalah tidak memuaskan dan tahap pengetahuan mereka berada pada tahap yang rendah (Abdul
Ghoni 2018).

Seterusnya, aras soalan yang digunakan oleh guru juga adalah penting dalam
meningkatkan kemahiran berfikir murid. Salah satu tujuan kaedah menyoal guru di dalam kelas
ialah untuk menilai pembelajaran dan kemajuan murid serta untuk meneroka pandangan
alternatif murid. Namun begitu, guru didapati sering mengemukakan soalan yang berada pada
aras rendah kepada murid. Rajendran (2001) dalam kajiannya mendapati hampir 90% soalan
yang dikemukakan oleh guru melibatkan kemahiran berfikir aras rendah manakala 10% lagi
adalah soalan yang melibat kemahiran berfikir aras tinggi. Kajian ini disokong oleh Nooriza dan
Effandi (2015) iaitu guru sebenarnya kurang mengamalkan soalan terbuka aras tinggi kerana
mereka kurang berkebolehan menggunakan teknik penyoalan yang berkesan. Soalan pada aras
rendah ini tidak menggalakkan murid untuk berfikir kerana murid hanya perlu menyatakan fakta
bagi menjawab soalan tersebut.
Isu seterusnya adalah melibatkan kesediaan guru sendiri dalam mengaplikasikan KBAT
di dalam kelas. Abdul Aziz, Farah Aziana, Abd Rahman et al. (2018) telah membuat kajian
tentang kesediaan dan keperluan guru Bahasa Melayu dalam pelaksanaan KBAT di bilik darjah.
Kajian ini menunjukkan guru Bahasa Melayu didapati masih belum bersedia sepenuhnya dalam
menerapkan KBAT. Senario ini adalah kerana mereka kurang mendapat pendedahan tentang cara
pengajaran yang betul berasaskan KBAT. Antara sebab guru Bahasa Melayu tidak bersedia
mengaplikasikan KBAT dalam pengajaran adalah kerana mereka sudah terlalu selesa
mengamalkan pengajaran berpusatkan guru yang merupakan kaedah tradisional semasa
pengajaran berlangsung.

Isu Murid
Guru memerlukan murid yang aktif bagi melaksanakan kemahiran berfikir di dalam kelas
(Rajendran 2001). Hal ini menunjukkan murid yang pasif tidak dapat menjayakan kemahiran
berfikir semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung kerana murid yang pasif
biasanya tidak akan mengeluarkan idea mereka semasa perbincangan. Mereka didapati lebih
cenderung untuk mendengar pendapat orang lain. Meskipun perbincangan dilakukan secara
berkumpulan bersama murid lain, murid pasif hanya diam dan bersetuju dengan cadangan rakan
mereka. Hal ini umpama kembali kepada pengajaran yang menggunakan kaedah tradisional
dimana murid pasif lebih cenderung untuk menghafal nota yang diberi.

Seterusnya, pengetahuan murid dalam sesi pengajaran dan pembelajaran menggunakan


kemahiran berfikir merupakan salah satu isu terhadap KBAT kerana murid kurang didedahkan
untuk menjawab soalan kemahiran berfikir oleh guru. Apabila murid diminta untuk
menyelesaikan soalan berbentuk kemahiran tinggi, biasanya mereka akan meninggalkan soalan
tersebut tanpa jawapan kerana struktur soalan kemahiran tinggi yang berantai membuat murid
malas untuk membaca apatah lagi untuk berfikir. Meskipun kajian Tuan Rahayu et al. (2017)
menunjukkan bahawa murid-murid mempunyai pengetahuan KBAT yang tinggi dalam mata
pelajaran Tasawwur Islam, namun kajian Siti Nurliyana (2015) mendapati tahap pengetahuan,
sikap dan kesediaan murid terhadap KBAT dalam pembelajaran pemahaman bacaan adalah
sederhana. Kajian yang dijalankan oleh Wan Nazira (2015) turut melaporkan dapatan tahap
KBAT murid adalah sederhana.
Cadangan
Penggunaan KBAT dalam pengajaran dan pembelajaran amat penting bagi melahirkan
murid yang berfikiran kreatif dan kritis. Bagi melahirkan murid yang berdaya saing, para guru
digalakkan untuk mengajar kemahiran berfikir melalui mata pelajaran di sekolah. Guru boleh
menggunakan peta pemikiran (i-Think) untuk meningkatkan penguasaan KBAT murid. Hal ini
selaras dengan tujuan wujudnya program i-Think. Pelaksanaan program i-Think di sekolah-
sekolah seluruh Malaysia bertujuan untuk mempertingkatkan dan membudayakan kemahiran
berfikir dalam kalangan murid ke arah menghasilkan murid yang berinovatif pada masa hadapan.

Tambahan lagi, guru juga perlu menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan
sikap bukan sahaja mata pelajaran di sekolah malah bagi kemahiran KBAT juga. Apabila para
guru telah menguasai ilmu pengetahuan, kemahiran pedagogi dan sikap sepenuhnya, maka
mereka akan berasa berkeyakinan untuk menggunakan kemahiran ini semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran berlangsung.

Bagi murid pula, kepentingan penguasaan dalam KBAT telah lama dibincangkan
terutamanya dalam abad ke-21 di mana dalam setiap jurusan pekerjaan memerlukan bakal
pekerja berfikiran kreatif dan kritis. Suib dan Azmawati (2001) pernah menyatakan bahawa
setiap graduan perlu memperoleh kemahiran berfikir kerana kemahiran tersebut merupakan satu
kelebihan dalam mencari pekerjaan. Malah melalui pengajaran menggunakan kemahiran berfikir
ini, murid boleh dilatih untuk berkomunikasi dan memberikan pendapat mereka sendiri
seterusnya melatih mereka supaya berani untuk bersuara. Oleh itu, jika kemahiran berfikir ini
diteruskan dalam pengajaran maka bilangan murid pasif akan berkurangan.

Walaupun pelbagai masalah wujud dalam pelaksanaan KBAT di sekolah, namun peranan
pihak Jabatan Pendidikan, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) serta Pusat Perkembangan
Kurikulum (PPK) perlulah lebih proaktif dalam menegaskan kepentingan pelaksanaan KBAT
dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Penegasan dari pihak atas ke bawah dapat membantu
meningkatkan moral dan sikap guru dalam memastikan KBAT ini dapat diimplimentasikan.
Pihak daripada PPK pula perlu memberikan satu panduan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan
KBAT supaya dapat memudahkan guru dalam menterjemahkan kemahiran tersebut di dalam
kelas.
Selain itu, pentadbiran sekolah juga perlu memberikan sokongan yang kuat dalam
membantu guru mengendalikan pengajaran dan pembelajaran menggunakan KBAT dengan
memberi pemantauan yang bersistem seperti melaksanakannya melalui sesi pencerapan
pengajaran yang boleh dilakukan oleh ketua bidang mata pelajaran. Pemantauan yang berkesan
boleh memberikan kesan terhadap pelaksanaan KBAT. Pendedahan guru terhadap kaedah
pengajaran dan pembelajaran menggunakan KBAT juga boleh diadakan melalui latihan dalam
perkhidmatan (LDP) yang merupakan platform untuk guru-guru meningkatkan professionalisme
keguruan.

Penglibatan guru dalam LDP terbukti dapat meningkatkan personaliti yang lebih positif
Kajian menyatakan bahawa kekerapan menghadiri latihan sehari hingga empat hari mempunyai
perbezaan yang signifikan terhadap kekerapan menghadiri latihan tujuh hari ke atas. Dapatan
kajian Mohd Izham dan Mazlan Sirat (2018) menunjukkan kekerapan guru yang menghadiri
latihan akan memberi peluang percambahan pengetahuan dan kemahiran seiring dengan tuntutan
pembangunan profesional yang memerlukan pembelajaran sepanjang hayat melalui latihan yang
berterusan. Oleh itu, semua pihak harus memainkan peranan yang penting dalam melaksanakan
KBAT  kerana melalui sini terhasilnya generasi Malaysia aras ketiga.

Aspirasi Ke-3: Kemahiran Memimpin

Konsep
Dalam dunia yang semakin mencabar ini, kebolehan untuk memimpin dan bekerja
dengan orang lain secara berkesan adalah amat penting. Aspirasi ke-3 ini menyatakan, sistem
pendidikan negara akan membantu setiap murid mencapai potensi sepenuhnya dengan
mewujudkan peluang yang formal dan tidak formal untuk bekerja dalam pasukan dan
mengamalkan ciri kepimpinan (Kementerian Pendidikan Malaysia 2013).

Dalam konteks sistem pendidikan, terdapat empat dimensi yang terkandung dalam
kepimpinan iaitu keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran
berkomunikasi dengan berkesan. Kepimpinan boleh ditakrifkan dalam pelbagai aspek yang
berbeza. Menurut Koonz dan O Donnel (2005), kepimpinan ialah seni dan proses mempengaruhi
sekumpulan orang supaya mereka mahu bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat
kumpulan. Kepimpinan boleh didefinisikan dalam pendidikan sebagai keupayaan mempengaruhi,
memotivasikan, mengubah sikap dan tingkah laku subordinat seperti guru, staf dan murid supaya
melaksanakan aktiviti atau program yang telah ditetapkan bagai mencapai matlamat sekolah
(Yahya Don 2005).

Isu Berbangkit

Kualiti Guru
Tugas guru di sekolah bukan hanya mengajar tetapi juga merupakan pemimpin
seterusnya menjadi role model kepada murid. Personaliti dan tingkah laku guru sering menjadi
perhatian dan teladan kepada murid serta masyarakat sekeliling. Konsep kepimpinan melalui
teladan dicapai apabila guru menjadi role model dalam pelbagai aspek seperti tingkah laku, cara
pertuturan dan berpakaian (Tie 2002).

Bilik darjah merupakan ruang utama kerjaya dan kepimpinan guru di sekolah. Hal ini
berkait secara langsung dengan keseluruhan aktiviti yang berlangsung di dalam bilik darjah.
Kepimpinan guru dalam kurikulum bilik darjah ini akan meningkatkan kemenjadian murid dan
prestasi sekolah. Menurut Sakarneh (2014), proses pengajaran dan pembelajaran yang berkualiti
perlu dibuat atas dasar untuk memberi pengetahuan. Secara tidak langsung, sifat kepimpinan
berkualiti bagi seorang guru perlu diperhalusi.

Namun begitu, kajian George. J dan Mohd. Izham (2020) mendapati pelaksanaan
pengajaran guru dengan kemenjadian murid berada pada tahap sederhana. Isu ini menunjukkan
guru masih kurang kompeten semasa menjalankan pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.
Bukan itu sahaja, pemahaman guru terhadap profesion dan profesionalisme keguruan juga perlu
ditingkatkan. Hal ini menyebabkan guru mengalami kesukaran dalam menerapkan nilai konsep
kepimpinan terhadap murid

Cadangan
Kemenjadian murid dalam memenuhi aspirasi ke-3 ini mempunyai kaitan dengan
kompetensi guru semasa berada di dalam bilik darjah. Oleh hal demikian, Standard Kualiti
Pendidikan Malaysia Gelombang ke-2 (SKPMG2) yang digubal dan dibina Jemaah Nazir dan
Jaminan Kualiti (JNJK) boleh dijadikan sebagai satu garis panduan untuk guru-guru
meningkatkan kopentensi mereka serta memupuk kemahiran kepimpinan melalui teladan
terhadap murid. Elemen-elemen dalam SKPMG2 memerlukan guru untuk melakukan
perancangan yang sistematik dalam menghasilkan pengajaran yang berkualiti. Guru merupakan
golongan yang terlibat secara langsung untuk melaksanakan daya usaha dan pendekatan
pengajaran untuk meningkatkan kualiti pendidikan dan memastikan hasil-hasil pembelajaran
yang maksimum diperoleh pelajar di sekolah (Musnizam et al. 2010)

Apabila guru berjaya memenuhi setiap aspek dalam SKPMG2 ini, proses pengajaran dan
pembelajaran akan mendorong meningkatkan motivasi murid. Murid boleh berkomunikasi dan
berkolaboratif antara satu sama lain bagi menghasilkan idea-idea dan pendapat baru sepanjang
aktiviti pembelajaran. Hal ini dapat dibuktikan melalui kajian yang dijalan Khuzaimah,
Mohamed dan Shahlan (2019) yang menunjukkan terdapat hubungan yang signifikan antara
kompetensi guru dengan kemenjadian murid. Oleh itu, bagi meningkatkan tahap kemenjadian
murid, guru perlu tingkatkan tahap elemen kompetensi mereka dalam pengajaran dan
pembelajaran. Aktiviti sepanjang proses pengajaran dan pembelajaran yang menjurus kearah
pemikiran kritis dan kreatif ini boleh mengasah kemahiran murid-murid dalam membuat
keputusan dan meyelesaikan masalah yang diutarakan oleh guru-guru. Bukan itu sahaja, proses
pengajaran dan pembelajaran yang berkesan ini juga akan meningkatkan kemahiran murid
sebagai pemimpin.

Guru sebagai role model perlu berusaha untuk memahamkan dan menunjukkan contoh
kepada murid berkaitan konsep kepimpinan dengan mudah, seronok dan bermakna. Justeru, guru
boleh menunjukkan kepimpinannya dengan sentiasa bersedia dan boleh menyesuaikan diri
dengan keadaan iaitu mempamerkan corak atau gelagat kepimpinan yang sesuai. Sebagai contoh,
dalam zaman globalisasi pendidikan ini, rata-rata murid terlebih dahulu terdedah dan mahir
dalam penggunaan teknologi maklumat dan komputer (TMK). Maka, sebagai guru, langkah yang
lebih besar perlu diambil untuk mempelajari kemahiran TKM dan berada seiring dengan
perkembangan budaya dan persekitaran murid.

Kemenjadian murid dalam aspek kepimpinan bukan sahaja diukur dalam akademik,
namun menurut kajian yang dijalankan Zainal Ariffin Zainuddin et al. (2016), murid-murid juga
perlu aktif dalam bidang kokurikulum sama ada badan uniform, kelab atau sukan. Kajian ini
mendapati terdapat perubahan tingkahlaku, sahsiah dan emosi pelajar kesan daripada aktiviti
kokurikulum. Justeru, dapat disimpulkan bahawa penglibatan murid dalam aktiviti kokurikulum
membantu pelajar melengkapkan dan memperkukuhkan proses pembelajaran di dalam kelas
seterusnya mengasah kemahiran kepimpinan murid.

Rujukan
Abdul Aziz, F. A. & Abd Rahman, F. 2018. Sorotan Kajian Kesediaan Dan Keperluan Guru
Bahasa Melayu Dalam Pelaksanaan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) Di Bilik
Darjah. Pendeta Journal of Malay Language, Education and Literature 9: 80–101.
doi:10.37134/pendeta.vol9.7.2017

Abdul Ghoni Ahmad. 2018. Pendidikan Kita Bertaraf Dunia. Rencana Majalah Pendidikan Feb
2018: Jilid 120.

Abdul Rasid, J., Shamsudin, O., Azhar, M. S. & Masamin, J. 2016. Kesediaan guru dalam
pelaksanaan kemahiran berfikir terhadap pengajaraan penulisan karangan murid bukan
Melayu. PENDETA Journal of Malay Languge, Education and Literature 7(1): 1–8.

Benade, L. 2015. Teachers’ Critical Reflective Practice in the Context of Twenty-first Century
Learning. Open Review of Educational Research 2(1): 42–54.
doi:10.1080/23265507.2014.998159

Bloom, B. 1956. A Taxonomy of Cognitive Objectives. A Taxonomy of Cognitive Objectives.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2013. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.


Putrajaya: Bahagian Pendidikan Guru.

Khuzaimah, Z., Mohamed, Y., M., N. & Shahlan, S. 2019. Tahap Kompetensi Guru (pdpc)
SKPMG2 dan Tahap Kemenjadian Murid. International Journal of Education, Psychology
and Counseling, 4(27), 51-62.

Mohd Izham Mohd Hamzah & Mazlan Sirat. 2018. Tahap Pelaksanaan Latihan dalam
Perkhidmatan dan Hubungannya dengan Pengalaman Mengajar serta Kekerapan
Menghadiri Latihan Guru Sekolah Rendah Berprestasi Tinggi di Putrajaya. Jurnal
Pendidikan Malaysia 43(1): 17–23. doi:http://dx.doi.org/10.17576/JPEN-2018-43.01-03
Musnizam, M., Mustapha, J. @, Halim, A. & Ya, T. R. 2010. Konsep Berilmu Di Kalangan
Guru Pendidikan Islam Satu Keperluan Dalam Membangunkan Modal Insan. Journal of
Islamic and Arabic Education Ab. Halim Tamuri Jurnal Pengurusan dan Kepimpinan.

Nooriza, K. & Effandi Z. 2015. Integrasi kemahiran berfikir aras tinggi dalam pengajaran dan
pembelajaran matematik: Analisis keperluan guru. Prosiding Seminar Education Graduate
Regional Conference

Onosko, J. J. 1991. Barriers to the Promotion of Higher-Order Thinking in Social Studies.


Theory and Research in Social Education. doi:10.1080/00933104.1991.10505646

Rajendran, N. 2001. Pengajaran Kemahiran Berfikir Aras Tinggi: Kesediaan Guru


Mengendalikan Proses Pengajaran Pembelajaran. Kertas kerja ini telah dibentangkan
dalam Seminar/ ….

Sakarneh, M. 2014. Articulation of Quality Teaching: A Comparative Study. Journal of


Education and Training Studies. doi:10.11114/jets.v3i1.579

Siti Nurliyana Ab. Halim. 2015. Pengetahuan, sikap dan kesediaan pelajar terhadap Kemahiran
Berfikir Aras Tinggi dalam pembelajaran pemahaman bacaan. Prosiding Seminar
Pascasiswazah Pendidikan Bahasa Melayu & Pendidikan Kesusasteraan Melayu Kali
Keempat, 2015. doi:10.1017/CBO9781107415324.004

Tuan Rahayu, T. L., Mohd Aderi, C. N. & Mohd Isa, H. 2017. Pengetahuan, sikap dan kesediaan
murid terhadap kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dalam mata pelajaran tasawwur
Islam (bs). Tinta Artikulasi Membina Ummah 3(1): 15–28.

Zainal Ariffin Zainuddin, Yaakob Daud & Saiful Azmi Mohd Noor. 2016. Pengurusan
kokurikulum dan tahap penglibatan pelajar dalam aktiviti kokurikulum di sekolah
menengah kebangsaan daerah kuala terengganu. International Seminar on Generating
Knowledge Through Research 1(October): 891–900.
doi:http://dx.doi.org/10.21070/picecrs.v1i1.626

Anda mungkin juga menyukai