Anda di halaman 1dari 13

JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.

1) 2020

KEBOLEHPERCAYAAN UJIAN DIAGNOSTIK KEMAHIRAN MENULIS ESEI


DALAM KALANGAN PELAJAR IPG

(RELIABILITY OF DIAGNOSTIC TEST WRITING SKILLS AMONG IPG STUDENTS)

1
Yuznaili binti Saleh,Ph.D

1
Jabatan Pengajian Melayu
Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu

1
Corresponding author:yuznaili@ipgkbm.edu.my

ABSTRAK
Penulisan esei sering menjadi bentuk penilaian dalam kalangan pelajar universiti dan pelajar
Institut Pendidikan Guru (IPG). Walaupun kandungan esei tersebut tentang kursus yang
dipelajari namun pelajar perlu menguasai kemahiran menulis mentalis untuk menghasilkan
esei yang baik. Pelajar yang kurang menguasai kemahiran menulis mentalis akan
menghadapi masalah untuk menulis esei dan mendapat skor yang rendah. Hal ini akan
mempengaruhi skor keseluruhan kerana tugasan esei sering melibatkan wajaran yang besar
berbanding ujian di akhir semester. Sehubungan itu sebuah Ujian Diagnostik Kemahiran
Menulis Esei telah dibangunkan bagi membolehkan pelajar mengetahui punca dan daerah
kelemahannya dalam menguasai kemahiran menulis esei. Oleh itu kajian ini bertujuan untuk
menganalisis kebolehpercayaan item ujian bagi setiap konstruk ujian tersebut reka bentuk
kajian ini menggunakan pendekatan kuantitatif dan menganalisis kebolehpercayaan
instrumen kajian menggunakan Model Rasch. Ujian tersebut telah dibangunkan berasaskan
Teori Motor Pembelajaran Kemahiran Menulis Levine yang mengandungi empat komponen
iaitu motor perancangan, motor logik, motor memori dan motor tindakan. Pembinaan item
adalah meliputi empat motor pembelajaran tersebut. Bagi mengenal pasti kebolehpercayaan
item yang dibina, kajian rintis telah dilaksanakan kepada 35 orang responden yang terdiri
daripada pelajar PISMP. Analisis Model Rasch telah dilaksanakan bagi mengenal pasti
kebolehpercayaan item, kebolehpercayaan calon, polariti item dan peta item-individu.
Dapatan kajian menunjukkan item yang dibina mempunyai kebolehpercayaan yang baik dan
boleh diterima. Walau bagaimanapun beberapa data menunjukkan bahawa item motor
tindakan perlu dimurnikan bagi menambah baik ujian diagnostik yang dibangunkan.
Pembangunan ujian ini berupaya memberi implikasi dalam pendidikan pelajar institut
pengajian tinggi khususnya pelajar IPG bagi menambah baik penguasaan mereka dalam
kemahiran menulis esei.

161
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Kata kunci : Kemahiran menulis, tugasan esei, motor pembelajaran.

ABSTRACT
Essay writing is commonly used as an assessment for higher education students who do not
possess the skill of mentalist writing. They will have trouble to write essays and get lower scores.
The purpose of the study is to analyse the reliability of the items in Essay Writing Skills
Diagnostic Test that have been developed to enable students to identify the causes and areas of
their weaknesses in mastering the skills. This test is developed based on four Levine learning
motors that consist of planning motor, logic motor, memory motor and action motor. The
research design used a quantitative approach and analysed the reliability of the test using Rasch
Model. To determine the reliability of the items constructed, a pilot study was conducted on 35
respondents of PISMP students. Rasch Model Analysis was performed to identify item reliability,
person reliability, item polarity and person-item maps. The findings show that the items have
decent reliability and acceptability. However, to improve the diagnostic test, the available data
shows that action motor items need to be refined. The development of this test can have an impact
on the education for university students especially for IPG students to improve their proficiency
in essay writing skills.

Key words : Writing skills, essay writing, motor learning.

PENGENALAN

Empat komponen utama dalam kemahiran bahasa ialah kemahiran mendengar, kemahiran
bertutur, kemahiran membaca dan kemahiran menulis. Komponen kemahiran tersebut diajar
secara formal di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah dalam mata pelajaran
bahasa seperti bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Walau bagaimanapun antara empat
kemahiran tersebut, kemahiran menulis ialah kemahiran yang amat dominan dalam kehidupan
seorang pelajar. Hal ini terjadi kerana, pelajar menggunakan kemahiran menulis bagi
mencatat nota dan menjawab peperiksaan. Malahan, kemahiran menulis turut mendominasi
pelajar di universiti kerana kebanyakan bentuk pentafsirannya juga menggunakan kemahiran
menulis untuk menguji penguasaan pelajar seperti tugasan esei bagi kerja kursus dan
penulisan esei dalam ujian akhir semester.

Pelajar yang menguasai kemahiran menulis dengan baik berupaya melaksanakan


tugasan esei dengan mudah dan lancar. Hal ini demikian kerana keupayaan untuk menulis
dengan baik membolehkan mereka menghurai isi dengan baik dan memberikan contoh
dengan tepat. Bahkan juga esei yang ditulis dapat difahami dengan jelas oleh pembaca
khususnya penilai yang membolehkan mereka memperoleh markah yang baik. Dalam pada

162
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

itu, pelajar yang kurang menguasai kemahiran menulis akan menghadapi masalah untuk
menghuraikan dengan baik kandungan sesuatu ilmu walaupun ilmu tersebut amat
dikuasainya. Hal ini menyebabkan penilai tidak dapat menilai dengan baik penguasaan ilmu
dan memberikan skor yang rendah kepada pelajar tersebut.

Sehubungan itu, kajian ini bertujuan untuk membangun Ujian Diagnostik Kemahiran
Menulis Esei bagi membolehkan pelajar mengetahui punca dan daerah kelemahannya dalam
menguasai kemahiran menulis esei. Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti
kebolehpercayaan instrumen dan item Ujian Diagnostik Kemahiran Menulis Esei yang telah
dibangunkan. Soalan kajian ini adalah seperti yang berikut:
i. Apakah kebolehpercayaan item Motor Perancangan dalam ujian yang dibangunkan?
ii. Apakah kebolehpercayaan item Motor Logik dalam ujian yang dibangunkan?
iii. Apakah kebolehpercayaan item Motor Memori dalam ujian yang dibangunkan?
iv. Apakah kebolehpercayaan item Motor Tindakan dalam ujian yang dibangunkan?

Item Ujian Diagnostik Kemahiran Menulis Esei telah dibangunkan berasaskan empat
motor pembelajaran kemahiran menulis Levine (2004)

Motor Pembelajaran Kemahiran Menulis


Kajian ini menggunakan teori motor pembelajaran kerana menurut teori motor pembelajaran
boleh dijadikan panduan bagi merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran dan
membangunkan ujian. Hal ini disebabkan, pemahaman terhadap motor pembelajaran dapat
membantu seseorang memahami dengan lebih baik keadaan otak sewaktu mempelajari atau
melaksanakan sesuatu kemahiran. Teori motor pembelajaran kemahiran menulis telah
dirumuskan oleh Levine (2004) teori ini juga dikenali sebagai Rangkaian Motor Pembelajaran
Kemahiran Menulis Levine. Rangkaian motor pembelajaran ini telah dihuraikan oleh Levine
dalam sebuah buku yang bertajuk “The Myth of Laziness”. Beliau ialah doktor pakar
neurologi yang berminat untuk membantu pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran.
Menurutnya, kemahiran menulis merupakan kemahiran yang melibatkan mental dan
psikomotor.

163
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Menurut Levine (2004) empat jenis motor pembelajaran yang mempengaruhi


penguasaan kemahiran menulis iaitu motor perancangan, motor logik, motor memori dan motor
tindakan. Menurutnya lemah dalam salah satu motor pembelajaran akan menyebabkan seseorang
tidak dapat menguasai kemahiran menulis dengan baik. Sehubungan itu, huraian bagi setiap
motor pembelajaran membolehkan kefahaman yang baik tentang motor pembelajaran tersebut
dan peranannya dalam mempengaruhi penguasaan kemahiran menulis.

Motor Perancangan
Motor perancangan ialah motor pertama yang diperlukan ketika ingin melaksanakan tugasan
menulis. Kemahiran menulis memerlukan fokus yang tinggi maka sewaktu menulis pelajar
perlu membuat kawalan perhatian. Menurut Levine (2004), ada beberapa perkara yang
mempengaruhi kawalan perhatian antaranya tenaga mengawal mental yang boleh
diumpamakan sebagai tenaga petrol yang menggerakkan kereta. Tanpa tenaga mengawal
mental, kawalan perhatian tidak dapat dijalankan dengan baik. Tenaga mengawal mental
terdiri daripada empat perkara iaitu, kawalan kewaspadaan, usaha kawalan mental, kawalan
sedar tidur dan ketekalan kawalan. Kepincangan salah satu daripada empat perkara itu akan
melemahkan tenaga mengawal mental dan seterusnya menjejaskan kawalan perhatian.
Sebagai contoh pelajar yang berasa letih tidak akan dapat menulis esei dengan baik. Selain itu
persekitaran juga mempengaruhi pelajar untuk menulis dengan baik. Faktor diri dan
persekitaran ialah faktor yang mempengaruhi usaha kawalan mental serta kawalan sedar tidur.
Faktor informasi luar pula ialah faktor yang mempengaruhi kawalan kewaspadaan dan
ketekalan kawalan. Informasi luar adalah seperti perbincangan dengan rakan berkaitan tajuk
tugasan, membaca contoh esei dan bahan rujukan yang berkaitan. Informasi luar yang
diperoleh berupaya memandu pemikiran pelajar untuk menulis esei yang lebih tepat dengan
tajuk. Walau bagaimanapun idea dan kandungan yang diperoleh daripada informasi luar perlu
dirangka terlebih dahulu dalam draf karangan sebelum pelajar mula menulis esei. Pelajar juga
perlu merujuk draf karangan bagi memastikan pemikirannya tekal dan dapat menulis
sebagaimana yang dirancangnya. Pelajar yang menguasai motor perancangan juga akan
membuat perancangan Carta Gantt dan memastikan dirinya melaksanakan tugasan
berdasarkan carta tersebut.

Motor Logik
Levine (2004) menyatakan motor logik merupakan komponen motor kecerdasan. Pelajar yang
menguasai motor logik dapat memproses maklumat dengan baik serta berkeupayaan untuk
mengenal pasti strategi yang berkesan bagi menyelesaikan tugasan dengan lebih pantas. Motor
logik ialah ‘The Intake Control’ atau kawalan pengambilan. Lima perkara yang mempengaruhi
kawalan pengambilan iaitu kawalan pemilihan, kawalan kedalaman dan keperincian, kawalan

164
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

aktiviti fikiran, kawalan kepuasan dan kawalan span. Kawalan pemilihan membolehkan
pelajar memilih istilah, kandungan kursus atau teknik penulisan yang betul. Manakala kawalan
kedalaman dan kawalan keperincian ialah keupayaan pelajar untuk menulis dan memastikan
penulisan tersebut berdasarkan kualiti yang diingini. Pelajar yang kurang puas hati dengan
penulisan yang dihasilkan akan menulis semula. Walau bagaimanapun pelajar yang lemah
kawalan span akan sentiasa membuat pembetulan sehingga menyebabkan mereka mengambil
tempoh masa yang sangat panjang bagi menyiapkan tugasan tersebut. Kawalan span yang baik
membolehkan pelajar membuat kawalan aktiviti fikiran bagi mengimbangi antara kawalan
kepuasan dengan kawalan kedalaman dan kawalan keperincian.

Motor Memori
Melalui motor memori, pelajar akan mengingat kembali perkara yang telah dipelajarinya.
Menurut Levine (2004) penyimpanan data dalam minda terbahagi kepada tiga bahagian iaitu
memori jangka pendek, memori jangka panjang dan keaktifan memori. Setiap perkara yang
dipelajari akan disimpan dalam memori jangka pendek dalam tempoh dua minit. Keaktifan
memori akan bertindak untuk menghantar perkara tersebut ke memori jangka panjang jika
pelajar menganggap perkara tersebut penting bagi menyimpannya dalam memori jangka
panjang secara kekal. Walau bagaimanapun keupayaan pelajar untuk mengingat semula
perkara tersebut untuk diaplikasikan dalam penulisan esei adalah berhubung kait dengan
keaktifan memori. Contohnya pelajar yang lemah motor memori, perlu membaca kembali
untuk mengukuhkan kefahaman sebelum menulis. Hal ini akan menyebabkan pelajar perlu
mengambil tempoh masa yang panjang bagi menyelesaikan tugasan. Motor memori juga
adalah berkaitan dengan keupayaan pelajar untuk mengingat kembali cara melakukan sesuatu
tugasan pada masa yang lampau. Sekiranya pelajar menerima tugasan esei yang hampir sama
dengan tugasan yang pernah dilaksanakannya, pelajar akan mengingat kembali cara atau
kaedah yang digunakan pada masa lampau. Ingatan tersebut berupaya untuk membantu pelajar
melaksanakan tugasan tersebut dengan lebih mudah dan lancar.

Motor Tindakan
Motor tindakan ialah keupayaan pelajar untuk menguasai motor halus yang melibatkan
koordinasi mata tangan. Motor halus diperlukan bagi mengerakkan otot yang terdapat pada
jejari tangan untuk menulis tugasan dengan menggunakan alatan tulis seperti pen atau
komputer. Keupayaan pelajar untuk menulis mengikut perancangan dalam Carta Gant juga
ialah komponen motor tindakan. Hal ini demikian kerana pelajar tersebut berupaya untuk
mengawal fikiran dan tindakannya bagi melaksanakan tugasan sebagaimana yang telah
dirancang. Kontradiksinya pelajar yang kurang berupaya untuk mengawal motor tindakan
akan terbawa-bawa fikiran dan tindakannya sehingga menangguhkan penulisan esei tersebut

165
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

pada tarikh yang hampir dengan tarikh penghantaran. Pelajar yang menguasai motor tindakan
juga memastikan mereka untuk menyemak semula penulisannya sebelum menghantar tugasan
tersebut.

METODOLOGI KAJIAN

Reka bentuk kajian ini ialah pendekatan kuantitatif dan kaedah pembangunan instrumen. Ujian
yang dibangunkan adalah berasaskan empat Motor Pembelajaran Kemahiran Menulis Levine
iaitu motor perancangan, motor logik, motor memori dan motor tindakan. Pembinaan item
berasaskan motor pembelajaran tersebut adalah seperti yang terdapat dalam Jadual 1.

Jadual 1
Bilangan Item Berdasar Motor Pembelajaran Kemahiran Menulis

Motor pembelajaran Konstruk Bilangan Item

Motor Perancangan
• Memahami soalan tugasan
18

• Informasi Luar
• Membuat draf tugasan
Motor Logik
• Memilih dan menyusun isi/kandungan
10

• Memilih format penulisan


• Memilih teknik penulisan
Motor Memori
• Mengingat kandungan kursus
14

• Mengingat kandungan bahasa


• Mengingat kandungan kemahiran menulis
Motor Tindakan
• Melaksanakan tugasan berdasar Carta Gantt
17

• Menyemak hasil penulisan

166
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Kesahan sesuatu alat ukur menggambarkan sejauh manakah ujian tersebut mengukur apa
yang sepatutnya diukur. Ujian yang mempunyai kesahan dapat diinterpretasikan dan di
generalisasi secara tepat (Wiersma, 2000). Justeru, ujian yang dibangunkan haruslah mempunyai
kesahan. Kesahan kandungan merujuk kepada sesuatu alat pengukuran yang dapat mengukur
semua isi kandungan bidang yang dikaji dengan berkesan (Siti Rahayah, 2008). Justeru, ujian
diagnostik yang dibangunkan telah dilaksanakan kesahan kandungan. Pakar pembangunan ujian
telah menilai kesahan kandungan ujian tersebut. Semasa membuat penilaian, penilai telah
dibekalkan dengan item ujian yang dibina, Jadual Spesifikasi Konstruk (JSK) dan Jadual
Spesifikasi Ujian (JSU). Senarai semak yang telah ditanda oleh pakar dianalisis dan dikira darjah
persetujuan pakar menggunakan analisis Kappa. Dapatan kajian menunjukkan nilai persetujuan
pakar bagi kesahan kandungan ialah nilai Kappa 1.00. Menurut Landis dan Koch (1977) nilai
0.81 hingga 1.00 merupakan darjah persetujuan hampir sempurna.

Kajian rintis juga telah dilaksanakan kepada 35 orang responden yang terdiri daripada
pelajar PISMP bagi mengenal pasti kebolehpercayaan instrumen dan item kajian.
Kebolehpercayaan penting dalam pembangunan ujian yang merujuk kepada ketekalan sesuatu
ujian mengukur perkara yang sama. Ketekalan sesuatu alat ukur dalam mengukur pemboleh ubah
memberi konsep kebolehpercayaan alat ujian (Mohd Majid, 1990; Siti Rahayah, 2008) Kajian
ini telah melaksanakan kebolehpercayaan instrumen menggunakan Model Pengukuran Rasch
iaitu sejenis model pengukuran dan bukannya model statistik. Model pengukuran ini sangat
sesuai digunakan bagi kajian membangun instrumen ujian. Model ini berupaya menular data
mentah kepada data sela (interval) yang sama nilai antara satu unit dengan unit yang lain. Bond
dan Fox (2001) Model Pengukuran Rasch dapat memberi kefahaman kepada pembina ujian
bagaimana calon dan item ‘bertingkah laku’ yang ditunjukkan serentak dalam satu analisis yang
membentuk pembaris. Kedudukan keupayaan calon dan kesukaran item menggunakan skala yang
sama.

Teori Respons Item (TRI) atau Item Response Theory (IRT) dikenali juga sebagai Item
Characteristic Curve (ICC) ialah teori moden dalam pengukuran pendidikan. Teori ini
menghuraikan perlakuan item dalam sesuatu ujian berdasarkan Fungsi Respons Item (FRI). FRI
ialah satu fungsi matematik yang menghubungkan antara kebarangkalian jawapan betul bagi
sesuatu item bertujuan mengukur trait pendam berkenaan. Siti Rahayah (2008) menyatakan
bahawa terdapat beberapa ciri berbeza dalam TRI yang tidak terdapat dalam TUK. a) ciri-ciri
item tidak lagi bergantung kumpulan. b) skor yang menghuraikan kecekapan murid tidak
bergantung ujian. c) model dapat menjelaskan hingga paras item. d) model tidak memerlukan
ujian selari untuk menaksir kebolehpercayaan dan e) model dapat memberi pengukuran yang
tepat pada setiap skor kebolehan. Analisis kebolehpercayaan ujian menggunakan Model Rasch

167
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

telah digunakan oleh beberapa pengkaji dalam kajian yang bertujuan untuk membangun dan
mengesahkan instrumen antaranya ialah Wesolowski, Wind & Engelhard, (2016) dan Lans, Grift
& Veen, (2018). Oleh itu, kajian ini turut menggunakan Model Pengukuran Rasch untuk
menganalisis kebolehpercayaan ujian yang dibangunkan.

Model Pengukuran Rasch berkeupayaan untuk membuat analisis data beberapa perkara
seperti kesahan, kebolehpercayaan, indeks pengasingan, polariti item peta item-individu,
kesesuaian item, menilai ketidakpadanan, analisis komponen asas bagi kesamaan residual
dimensi, kesesuaian individu, penyemakan kategori skala dan skala pemeringkatan serta
keserasian kategori. Namun begitu dalam kajian ini Model Pengukuran Rasch telah digunakan
bagi menganalisis kebolehpercayaan item, kebolehpercayaan calon dan polariti item. Dapatan
analisis Instrument Rintis KSBM berdasarkan Model Pengukuran Rasch adalah seperti yang
berikut:

Jadual 1 merupakan analisis kebolehpercayaan Ujian Diagnostik Kemahiran Menulis


Esei bagi setiap konstruk iaitu motor perancangan, motor logik, motor memori dan motor
tindakan

Jadual 2

Analisis Kebolehpercayaan Ujian Diagnostik Kemahiran Menulis Esei

Kesahan Kebolehpercayaan dan Pengasingan


Bil
BIL Konstruk Item
Julat Polariti Person Person Item Item
Reliability Separation Reliability Separation
Motor Perancangan 18 0.71-1.68 .77 1.81 .86 2.43
1
Motor Logik 10 0.75-1.12 .83 2.20 .82 2.13
2
Motor Memori 14 0.56-1.46 .84 2.26 .83 2.22
3
Motor Tindakan 17 0.41-1.68 .91 3.18 .46 0.93
4

Berdasarkan Jadual 2. polariti item bagi keempat-empat konstruk dalam nilai yang baik
antara 0.41 hingga 1.68 dan tiada item yang mempunyai nilai negatif. Dapatan tersebut
menunjukkan kesemua item dalam konstruk motor perancangan, motor logik, motor memori dan
motor tindakan berfungsi ke arah yang selari untuk mengukur konstruk yang dibentuk. Ini
disebabkan, tidak terdapat satu item pun yang mempunyai nilai negatif. Berdasarkan dapatan
tersebut dapat dirumuskan bahawa 52 item tersebut dapat mengukur konstruk. Bond dan Fox,
(2001) menyatakan nilai >.80 ialah nilai kebolehpercayaan yang diterima kuat. Dapatan kajian
168
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

juga menunjukkan kebolehpercayaan item bagi konstruk motor perancangan, motor logik dan
motor memori dalam Ujian Diagnostik Kemahiran Menulis Esei mempunyai kebolehpercayaan
yang baik iaitu antara .82 hingga .86. Indeks pengasingan item bagi konstruk motor perancangan,
motor logik dan motor memori ialah antara 2.13 hingga 2.42. Menurut Linacre (2005) nilai
pengasingan item atau individu yang melebihi nilai 2.00 adalah baik. Hal ini membuktikan
bahawa item yang dibina bagi konstruk motor perancangan, motor logik dan motor memori
dalam Ujian Diagnostik Kemahiran Menulis Esei tepat mengukur konstruk.

Walau bagaimanapun didapati kebolehpercayaan item bagi konstruk motor tindakan bagi
Ujian Diagnostik Kemahiran Menulis Esei mempunyai kebolehpercayaan yang rendah iaitu .46
dan nilai pengasingan item juga rendah iaitu 0.93. Hal ini berkemungkinan terdapat beberapa
faktor lain yang telah menyebabkan perkara tersebut berlaku. Faktor tersebut perlulah dikenal
pasti dan dianalisis sebelum memurnikan instrumen. Pengkaji telah mengenal pasti indeks calon
bagi memastikan calon yang mengambil ujian ialah calon yang tepat mengambil ujian tersebut.
Dapatan menunjukkan nilai kebolehpercayaan calon atau individu bagi konstruk dalam ujian
konstruk motor tindakan adalah tinggi iaitu pada nilai .91. Indeks pengasingan individu pada
nilai 3.18 yang menunjukkan terdapat tiga strata dalam nilai pemisahan individu bagi 35 orang
calon yang mengambil ujian tersebut. Dapatan ini menunjukkan calon yang mengikuti ujian bagi
konstruk motor tindakan adalah tepat dan bukanlah faktor penyebab nilai kebolehpercayaa bagi
konstruk tersebut rendah.

Sehubungan itu, pengkaji telah melaksanakan analisis peta item-individu bagi konstruk
motor tindakan bagi mengenal pasti faktor yang menyebabkan nilai kebolehpercayaan bagi item
tersebut dalam nilai yang rendah. Rajah 1 ialah peta item bagi motor tindakan.

169
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.1) 2020

Rajah 1: Peta Item Konstruk Motor Tindakan

170
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.2) 2020

Dapatan daripada analisis Peta Item-Individu dalam Rajah 1 menunjukkan item D15
“Saya memastikan penulisan saya dapat menarik minat pembaca” ialah item sangat mudah
dipersetujui. Manakala item D3 iaitu “Saya menyiapkan tugasan esei hampir pada tempoh
penghantaran tugasan” ialah item yang paling sukar dipersetujui. Seorang calon iaitu yang
bertanda “X” yangberada di kedudukan paling atas didapati mempunyai kebolehan yang tinggi
dalam ujian motor tindakan dan dua orang calon iaitu yang bertanda “X” berada di kedudukan
paling bawah mempunyai kebolehan yang rendah. Didapati juga sebahagian besar calon boleh
menjawab 17 item dalam konstruk motor tindakan.

Dua huruf “M” pada garisan putus adalah menunjukkan ukuran kebolehan min purata.
Min purata bagi calon ialah “M” di bahagian kiri dan min purata bagi item ialah “M” di
bahagian kanan. Manakala huruf “S” di bahagian kiri ialah sisihan piawai bagi calon dan huruf
“S” di bahagian kanan ialah sisihan piawai bagi item. Didapati kedudukan antara dua “S” bagi
calon amat jauh. Keadaan ini harus dielakkan kerana ini menunjukkan kedudukan antara
individu berada agak jauh antara satu sama lain. Namun begitu kedudukan antara dua “S” bagi
item berada lebih rapat yang menunjukkan sisihan piawai antara item-item motor tindakan
dalam kedudukan yang baik kerana berada rapat antara satu sama lain menghampiri garis linear.
Keadaan ini menyebabkan hanya terdapat satu lompang antara item D13 dan D12.

Berdasarkan Rajah 1 dapat dinyatakan terdapat kedudukan item yang bertindan dalam
kajian ini antaranya item D10, D11 dan D8 yang bertindan dengan item D1. Item D4 dan D6
pula bertindan dengan item D17 manakala item D5 bertindan dengan item D16. Enam item
iaitu D10, D11, D8, D4, D6, dan D5 perlu dimurnikan semula walaupun semua item tersebut
pada nilai polariti positif. Hal ini disebabkan peta item bagi item konstruk motor tindakan
menunjukkan enam item tersebut tidak berada dalam kedudukan yang sepatutnya dan bertindan
dengan item lain. Tambahan pula terdapat ruang antara item D13 dan D12 yang menunjukkan
perlunya terdapat item yang memenuhi ruang tersebut. Perincian item yang perlu dimurnikan
adalah seperti yang berikut:

171
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.2) 2020

Jadual 3
Senarai Item yang Dimurnikan

Bil Kod Item Item


1 D4 Saya menyemak semula penulisan saya sebelum menghantar tugasan
2. D5 Saya memastikan penulisan saya memenuhi kehendak soalan tugasan
3. D6 Saya memastikan penulisan saya tiada kesalahan format.
4. D8 Saya memastikan penulisan menggunakan contoh/fakta yang betul
5. D10 Saya memastikan penulisan saya tiada kesalahan ejaan.
6. D11 Saya memastikan penulisan saya tiada kesalahan tanda baca.

Item yang disenaraikan perlu diteliti semula sebelum dimurnikan, antara penelitian
yang akan diadakan ialah mengenal pasti perkataan yang terdapat dalam item dan
persamaannya dengan item lain terutama item yang terdapat pertindanan

PERBINCANGAN

Kesimpulannya ujian yang dibangunkan mempunyai nilai kebolehpercayaan yang baik bagi
item konstruk motor perancangan, motor logik dan motor tindakan. Namun begitu untuk
memastikan Ujian Diagnostik Kemahiran Menulis Esei yang dibangunkan berkeupayaan untuk
membolehkan pelajar mengetahui punca dan daerah kelemahannya dalam menguasai
kemahiran menulis esei kesemua item ujian perlulah mempunyai kebolehpercayaan yang baik.
Oleh itu pemurnian perlulah dilakukan kepada enam item konstruk motor tindakan yang telah
dikenal pasti bertindan dengan item yang lain. Tindakan memurnikan item tersebut berupaya
meningkatkan nilai kebolehpercayaan ujian yang dibangunkan seterusnya meningkatkan fungsi
ujian diagnostik tersebut. Implikasinya ujian diagnostik yang dibangunkan dapat meningkatkan
penguasaan kemahiran menulis esei dalam kalangan pelajar IPG.

RUJUKAN

Bond, T.G., & Fox, C.M. (2001). Applying the Rasch Model: Fundamental measurement in
the Human Sciences. New Jersey: Lawrence Erlbaum Associates Publishers, London.

Landis, J. R., & Koch, G. G. (1977). The measurement of observer agreement for categorical
data. Biometrics, 33, 159-174.

Lans, R. M., Van Der, Grift, W. J. C. M., Van De & Veen, K. Van. (2018). Developing an
instrument for teacher feedback : Using the Rasch Model to explore teachers’
development of effective teaching strategies and behaviors developing an instrument
for teacher feedback (Using the Rasch). The Journal of Experimental Education, 86(2),
247-264. Retrieved from http://doi.org/10.1080/00220973.2016.1268086.

172
JURNAL PENYELIDIKAN DEDIKASI JILID 18 (BIL.2) 2020

Levine, M. (2004). The myth of laziness. New York: Simon & Schuster.

Linacre, J.M.(2005). Measurement meaning and morality. Rasch research papers, exploration
& explanations research paper and memoranda.

Mohd Majid Konting. (1990). Alat penyelidikan pendidikan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa
dan Pustaka.

Siti Rahayah Ariffin. (2008). Inovasi dalam Pengukuran dan Penilaian Pendidikan. Bangi:
Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Wesolowski, B. C., Wind, S. A., & Engelhard, G. (2016). Rater analyses in music
performance assessment : Application of the many facet Rasch Model. Psychological
Assesement, 7, 335-356.
Wiersma, W. (2000). Research methods in education: An introduction (7th ed.). Allyn and
Bacon.

173

Anda mungkin juga menyukai