Anda di halaman 1dari 1

Sebenarnya, cabaran pembelajaran penyelesaian masalah matematik berayat tersebut dapat

diperhatikan semasa pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah. Semasa menyelesaikan
masalah matematik berayat, terdapat murid tidak dapat menjawab soalan penyelesaian masalah
berayat dengan tepat. Hal ini demikian kerana mereka tidak dapat memahami maklumat yang
diberikan dan kehendak soalan. Murid hanya menyalin kembali nombor daripada soalan masalah
matematik berayat ke dalam ruang jawapan tanpa melakukan sebarang pengiraan. Situasi tersebut
menunjukkan bahawa murid dapat mengeluarkan maklumat daripada soalan masalah matematik
berayat itu, tetapi mereka tidak dapat mengesan operasi pengiraan yang terlibat daripada soalan
masalah matematik berayat itu. Hal ini demikian dapat menunjukkan murid menghadapi masalah dari
segi penterjemahan masalah matematik berayat kepada ayat matematik.

Walaupun murid dapat menjawab soalan masalah matematik berayat, tetapi mereka gagal
menjelaskan cara penyelesaian mereka dengan tepat. Hal ini telah menunjukkan bahawa terdapat
murid masih belum menguasai kemahiran menyelesaikan masalah matematik berayat dengan
sepenuhnya walaupun mereka telah menguasai operasi asas matematik. Berdasarkan gambaran
tersebut, murid adalah lemah dari segi penguasaan konsep dan kurang mahir mengaitkan pelbagai
konsep yang telah dipelajari ke dalam penyelesaian masalah. Di samping itu, murid telah biasa belajar
matematik dengan menghafal rumus, latihan dan contoh soalan rutin yang sama bentuk di mana
mereka tidak perlu mencuba penyelesaian dengan cara sendiri. Secara tidak langsung, murid dapat
menyelesaikan masalah rutin mengenai fakta dan prosedur adalah lebih baik daripada menyelesaikan
masalah bukan rutin iaitu soalan yang memerlukan kemahiran berfikir aras tinggi bagi membuat
penaakulan dan memberi penjelasan kepada sesuatu jawapan.

Kebiasaannya, murid sering mengeluh apabila menjawab soalan masalah matematik berayat yang
mereka tidak biasa sebelum ini khususnya masalah bukan rutin. Bagi murid, mereka berasa kurang
yakin mengaplikasi pengetahuan dan kemahiran mereka bagi masalah bukan rutin. Lebih-lebih lagi,
sikap malas membaca dan tidak berminat untuk menjawab soalan masalah matematik berayat yang
panjang dalam kalangan murid sudah tentu memberi kesan negatif terhadap penyelesaian masalah
matematik berayat. Kesannya, murid sering bergantung kepada penjelasan guru tanpa mengambil
sebarang inisiatif sendiri untuk menyelesaikan soalan masalah matematik berayat itu. Kejadian
sedemikian dapat dikukuhkan dengan teori pembelajaran Bloom et al. (1956) di mana satu faktor lagi
yang mempengaruhi pembelajaran murid adalah domain afektif yang melibatkan sikap dan minat
terhadap subjek pembelajaran.

Anda mungkin juga menyukai