Anda di halaman 1dari 6

Nota Novel Songket Berbenang Emas Tingkatan 5

Berikut dikongsikan maklumat penting mengenai nota Novel Songket Berbenang Emas Komsas Tingkatan
5 mengikut setiap bab:

BAB 1

Dahlia dan rakan-rakannya, Siti Wangi dan Kavita menjalani latihan bola jaring di sekolah. Mereka juga
merupakan kumpulan pelajar yang akan menghadapi Peperiksaan STPM tidak lama lagi. Azhari datang ke
sekolah untuk berjumpa dengan Dahlia dan menyatakan hasratnya untuk merisik Dahlia.

BAB 2

Azhari menghantar Dahlia balik ke kampung. Kepulangannya disambut dengan tangisan


Anggerik. Melati memberitahu bahawa ibu mereka telah lama keluar tetapi masih belum pulang ke rumah.
Dahlia keluar mencari emaknya yang berpenyakit kerana sering berjalan dan bercakap sendirian sehingga
tidak dapat mengawal diri sendiri. Dahlia menjumpai ibunya di kebun getah. Apabila diajak pulang ke
rumah, ibunya tidak mahu sehinggalah bapanya datang memujuk.

BAB 3

Nek Kiah memarahi Embong apabila melihat Saleha diikat. Haji Sulaiman dan beberapa orang pembantu
dari Hospital Batu Pahat datang ke rumah Embong untuk membawa Saleha. Walaupun pada awalnya,
Embong tidak rela, tetapi untuk mengubati Saleha, dia mengizinkan Saleha dibawa ke hospital. Dahlia,
Kiambang dan Melati turut bersedih dan keberatan ibu mereka dibawa pergi.

BAB 4

Pemergian Saleha menyebabkan suasana bungkam. Dahlia menyelesaikan kerja-kerja di rumah sambil
membimbing adik-adiknya belajar. Dahlia lebih merisaukan keadaan di rumahnya sekiranya dia balik ke
asrama. Namun, Embong memujuknya untuk kembali bersekolah. Embong teringat peristiwa Saleha
mengadu tentang perasaannya yang sering terganggu oleh suara yang pelik-pelik.

BAB 5

Dahlia lewat tiba di asrama. Cikgu Salwani menegur dan bertanyakan masalah yang dihadapi, namun
Dahlia hanya mendiamkan diri. Pada petang tersebut, Dahlia ke Hospital Batu Pahat untuk bertemu dengan
ibunya tetapi diberitahu oleh Haji Sulaiman bahawa ibunya telah dihantar ke Taman Bahagia.

BAB 6

Haji Sulaiman memberitahu Embong bahawa Saleha telah dihantar ke Taman Bahagia. Nek Kiah
berterusan menyalahkan keluarga Embong yang menyebabkan Saleha sakit. Dahlia gagal menyelamatkan
Said, anak Aton yang lemas di sungai.

BAB 7

Dahlia terlalu sedih kerana tidak dapat menyelamatkan Said. Aton menuduh Embong dan Dahlia memang
ingin supaya anaknya mati. Orang kampung juga menyebarkan berita yang sama. Namun, Tauke Lim
memuji mereka anak beranak. Semasa memotong kelapa sawit di Parit Haji Kadir, Embong dibelit ular
sawa tetapi dia dapat menyelamatkan diri.

BAB 8

Semasa berehat dan tertidur di biliknya, Dahlia bermimpi dibelit ular sawa. Terdapat kesan cekikan di
lehernya. Hal ini menghairankannya. Melati menyatakan hasratnya ingin berhenti sekolah untuk menjaga
Anggerik tetapi dihalang oleh Dahlia. Embong sampai di rumah dengan membawa ular yang telah
dibunuhnya. Dahlia menjerit ketakutan dan menangis apabila melihat ular tersebut. Hal ini menghairankan
Embong.

BAB 9

Najib dan Kavita mengunjungi rumah Dahlia. Mereka berasa sayu akan kedaifan keluarga Dahlia.
Anggerik yang masih sakit dibawa dengan kereta Najib ke hospital. Seman, bapa saudara Dahlia balik ke
kampung menziarahi Nek Kiah. Seman memujuk Nek Kiah supaya menjual tanah dan rumah yang didiami
oleh Embong dan keluarganya.

BAB 10

Cikgu Salwani memarahi Dahlia yang tidak tinggal di asrama lagi dan sering lewat sampai ke sekolah. Dia
tidak mahu memberitahu masalahnya kerana akan melibatkan nama baik ibunya kepada Cikgu Salwani.
Dia juga mahu menjaga adik-adiknya. Dengan perasaan sedih, Dahlia mengambil keputusan untuk keluar
dari asrama. Cikgu Hisyam berjumpa dengan Dahlia setelah Kavita menceritakan hal Dahlia
kepadanya. Beliau menasihatkan Dahlia terus tinggal di asrama agar pelajarannya tidak terganggu dan
cemerlang dalam STPM nanti.

BAB 11

Abu Bakar, adik Dahlia tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri dan sering keluar
berpeleseran dengan kawan-kawannya. Walaupun kerap diimarahi oleh Embong, dia tetap dengan
perangainya dan tidak mahu membantu adik-adik yang lain. Mawar yang tinggal di asrama penuh kembali
ke rumah kerana rindu akan ibunya dan ingin berjumpa dengannya. Dia tercari-cari ibunya tetapi tidak
ditemuinya.

BAB 12

Dahlia melawat ibunya di Taman Bahagia. Doktor memberitahu Dahlia bahawa penyakit ibunya pada
tahap bahaya. Semasa di hospital, Dahlia bertemu dengan Azhari yang bertugas sementara di situ. Dahlia
berasa sedih kerana Saleha tidak mengenalinya.

BAB 13

Azhari menghantar Dahlia balik ke rumahnya. Embong bertanyakan keadaan Saleha. Oleh sebab
memikirkan Mawar akan mengambil SRP pada bulan September nanti, Dahlia menyatakan bahawa ibunya
sihat. Namun dia tidak sanggup menipu ayahnya. Pada malamnya, Dahlia memberitahu keadaan sebenar
Saleha kepada Embong. Semasa berbual-bual, sesuatu telah berlaku kepada kambing peliharaannya.

BAB 14

Tauke Lim sentiasa membantu keluarga Embong. Tauke Lim membenarkan mereka berhutang barang-
barang keperluan di kedainya. Tauke Lim datang ke rumah Embong untuk membeli kambing
peliharaannya. Namun, Embong memberitahu bahawa kambingnya telah hilang dicuri orang. Azhari ingin
membawa keluarganya untuk merisik Dahlia. Dahlia keberatan dan meminta Azhari menangguhkan
hasratnya. Dia bimbang keluarga Azhari tidak akan memerimanya setelah melihat keadaan sebenar
keluarganya.

BAB 15

Keluarga Azhari datang untuk merisik Dahlia. Embong menerima baik kedatangan keluarga Azhari kerana
mereka begitu menyenangi Dahlia dan merestui perhubungan ini. Embong juga menyuarakan kehendak
Dahlia yang ingin menyambung pelajaran ke peringkat universiti dan bekerja untuk membantu keluarga.
Keluarga Azhari tidak membantah malahan menyokong keinginan Dahlia untuk menyambung pelajaran.
Perasaan Azhari menjadi tenang kerana keluarga Dahlia menerimanya sebagai calon menantu. Selepas
Azhari dan keluarganya beredar, Embong bertanyakan Dahlia sama ada keluarga Azhari mengetahui
tentang keadaan Saleha yang boleh menyebabkan ikatan ini terputus.

BAB 16

Dahlia menasihati Mawar agar meneruskan persekolahan dan tugas menjaga keluarga adalah tugasnya
sebagai anak sulung dalam keluarga. Dahlia berjaya menyakinkan Mawar supaya menumpukan sepenuh
perhatian kepada pelajarannya kerana dia pernah berjanji dengan emak mereka untuk mendapatkan
keputusan cemerlang. Tambahan pula Mawar adalah murid sekolah berasrama penuh. Keluarga mereka
menghadapi pelbagai masalah, iaitu emak dan adik sakit, kambing hilang dan abah dipatuk ular. Dahlia
mengambil iktibar daripada kisah Nabi Ibrahim yang tabah dalam menghadapi ujian daripada Allah.

Sewaktu melawat abahnya di Hospital Batu Pahat, Dahlia terserempak dengan Kavita dan Cikgu Hisyam
yang menghantar Siti Wangi yang pengsan sewaktu berlatih bola jaring. Cikgu Hisyam meminta Kavita
menolong memfotostat nota-nota pelajaran sepanjang ketiadaan Dahlia di sekolah. Dahlia terkenangkan
pesanan abahnya yang meminta dia menjaga adik-adik di rumah dan menggunakan wang simpanannya
sebanyak RM60.00 sebagai belanja sekolah.

BAB 17

Walaupun terbeban dengan pelbagai urusan, Dahlia tetap mencuri masa untuk mentelaah pelajarannya.
Kemunculan Abu Bakar telah mengejutkan Dahia. Dahlia telah memberitahu Abu Bakar bahawa emak dan
abah mereka telah dimasukkan ke hospital tetapi tidak diendahkan oleh Abu Bakar. Tanpa menunjukkan
simpati akan keadaan keluarganya, Abu Bakar meninggalkan rumah sekali lagi. Dahlia memeriksa barang
yang disembunyikan oleh Abu Bakar dan berjaya menemui wang sebanyak RM120.00 yang disimpan
dalam dompet.

Azhari telah singgah di rumah Dahlia dan mendapat khabar bahawa abah telah dimasukkan ke hospital.
Azhari singgah untuk mengambil pakaian emak Dahlia dan dalam masa yang sama mendapatkan nombor
wad abah Dahlia.

BAB 18

Dahlia berasa susah hati kerana kedua-dua ibu bapanya masih di hospital sedangkan mereka memerlukan
RM15000 untuk membayar Nek Kiah bagi menyelamatkan tanah dan rumah mereka. Dahlia juga berasa
serba salah sama ada meneruskan persekolahan atau bekerja di kilang demi membantu keluarga. Semasa
menunggu bas, Dahlia didatangi oleh Tauke Lim. Tauke Lim menunjukkan keprihatinan dirinya dengan
mengambil berat akan keadaan yang menimpa keluarga Dahlia. Tauke Lim juga menunjukkan kekecewaan
dirinya terhadap sikap Nek Kiah dan Seman yang tidak putus-putus menyusahkan Dahlia sekeluarga.
Dahlia dinasihati oleh Tauke Lim agar bertahan dan tidak berpindah dari rumahnya.

Selain itu, Tauke Lim turut menawarkan pertolongan kepada Dahlia. Pada mulanya Dahlia enggan untuk
menerima pertolongan tersebut tetapi bertukar fikiran selepas Tauke Lim memintanya untuk mengajar
karangan Bahasa Malaysia kepada anaknya Ann yang akan mengambil peperiksaan SRP.

BAB 19

Cikgu Hisyam dan Kavita telah memujuk Dahlia agar kembali bersekolah tetapi Dahlia tidak mahu
mengabaikan adik-adiknya yang sangat memerlukan sokongan daripadanya. Selain itu, Najib kawan
baiknya turut datang melawatnya di rumah. Najib menawarkan pertolongan kepada Dahlia untuk
membayar harga tanah seperti yang diminta oleh Nek Kiah. Dahlia enggan memberitahu hal sebenar
kepada Najib kerana tidak ingin mendedahkan bahawa orang yang ingin menjual tanah tersebut ialah
neneknya sendiri.

Pada yang sama juga Azhari singgah di rumah Dahlia. Perasaan Azhari tidak senang kerana tetamu Dahlia
ialah seorang lelaki. Najib yang sudah lama berkawan dengan Dahlia bertanyakan Azhari tentang status
hubungannya dengan Dahlia. Azhari menyatakan bahawa Dahlia ialah bakal isterinya dan selepas itu terus
beredar dari situ.

BAB 20

Embong telah dibenarkan pulang ke rumah setelah dimasukkan ke wad selama beberapa hari. Tauke Lim
mengunjungi Embong di rumah dan menceritakan tentang tanah yang ingin dijual oleh Nek Kiah dan
Seman. Nek Kiah yang tidak menyedari kepulangan Embong telah datang ke rumah dan memarahi Dahlia.
Nek Kiah tergesa-gesa pulang setelah mendapati Embong naik berang. Embong menasihatkan Dahlia
supaya menyambung pelajaran semula dan menyerahkan segala masalah keluarga mereka kepadanya
untuk diselesaikan.

BAB 21

Dahlia telah ke balai raya untuk bergotong royong bagi menjayakan Majlis Maulidurrasul. Dahlia berasa
hairan kerana keadaan di balai raya lengang dan orang-orang kampung tidak kelihatan seperti biasa. Haji
Sulaiman meluahkan perasaan tidak senangnya kepada Dahlia atas sikap orang kampung yang tidak hadir
ke balai raya untuk menyiapkan kenduri menyambut maulud nabi. Semasa Dahlia bekerja seorang diri,
Aton datang dan tanpa perasaan bersalah dia menyindir dan mengata Dahlia sesuka hatinya. Malahan dia
turut mempertikaikan kebaikan Tauke Lim kepada keluarga Dahlia. Dahlia yang berasa malu telah beredar
dari situ.

Kepulangan Dahlia ke rumah dan diikuti oleh Abu Bakar telah menimbulkan kehairanan kepada Embong.
Embong berasa lebih hairan kerana Abu Bakar yang tidak mempedulikan keluarga beria-ia memujuk
Dahlia yang sedih kerana kata-kata Aton di balai raya. Abu Bakar berasa bersalah kerana selama ini dia
telah mengabaikan keluarganya.

BAB 22

Abu Bakar berasa kesal kerana telah menjualkan kambing abahnya tetapi Dahlia cuba memujuk Abu
Bakar. Abu Bakar berasa insaf kerana selama ini dia telah mengabaikan keluarganya demi kawan-kawan.
Abu Bakar juga berjanji dengan Dahlia untuk berubah dan akan mempertahankan tanah mereka daripada
gangguan Nek Kiah. Dahlia meluahkan rasa hairannya kepada Abu Bakar kerana dia tidak nampak kelibat
Nek Kiah pada pagi itu.

Abu Bakar tidak mempedulikan perkara itu sebaliknya sibuk berkemas di sekeliling rumah mereka.
Semasa membersihkan bawah rumah, Abu Bakar telah menjumpai sesuatu yang mengejutkan, iaitu dua
biji telur yang berwarna hitam. Telur hitam yang dipecahkan itu mengandungi jarum peniti, cincin akek,
butiran pasir dan dua bilah paku.

BAB 23

Dahlia kembali bersekolah dan dia berasa gembira kerana kawan-kawan masih mengingati dirinya. Kavita
telah memberitahu Dahlia bahawa Najib akan membawa keluarganya berkunjung ke rumah Dahlia. Dahlia
berasa tertekan kerana Najib dan Azhari hanya mementingkan diri mereka sahaja. Dahlia meminta Kavita
menyampaikan pesanan kepada Najib bahawa dia sudah bertunang dan hanya menganggap Najib sebagai
sahabat baiknya sahaja. Dahlia berasa bersemangat untuk belajar kerana guru dan kawan-kawan sentiasa
memberikan sokongan kepadanya.

Dahlia yang baru pulang dari sekolah berasa terperanjat kerana terdapat van putih di hadapan rumahnya.
Embong yang menyedari kepulangan Dahlia telah menggesa Dahlia naik ke rumah. Dahlia berasa gembira
kerana ibunya telah pulang ke rumah. Belum sempat Dahlia bermesra dengan ibunya, Embong memanggil
Dahlia kerana Azhari ingin berjumpa dengannya.

BAB 24

Nek Kiah dimasukkan ke hospital. Setelah dua hari di hospital, dia dibenarkan pulang, Nek Kiah dibawa
ke rumah Dahlia dan mereka sekeluarga menjaga Nek Kiah yang masih sakit. Nek Kiah berasa terharu
kerana Dahlia dan adik-adiknya yang menjaga Nek Kiah semenjak dia jatuh sakit. Hujan yang tidak henti-
henti turun telah menyebabkan banjir. Tiang dapur rumah mereka runtuh dan menimpa Kiambang tetapi
nasibnya baik kerana hanya lebam-lebam sahaja. Mereka sekeluarga telah dipindahkan ke balai raya
dengan bot.

BAB 25

Dahlia tidak dapat mengulang kaji pelajaran kerana keadaan di pusat pemindahan yang begitu sesak dan
tidak selesa. Embong memberitahu Dahlia bahawa rumah mereka telah roboh tetapi Dahlia dapat
menerimanya. Selepas empat hari barulah air surut. En Daim, iaitu wakil Ahli Parlimen Seri Gading sering
menjenguk mangsa banjir untuk melihat keadaan mereka. Dia yang pernah menjadi guru kepada Dahlia
telah memuji Dahlia kerana rajin mengulang kaji pelajaran walaupun tempat itu tidak selesa.

BAB 26

Peperiksaan STPM semakin hampir dan Dahlia sudah bersedia, Dia juga membuat keputusan untuk tinggal
di asrama kerana bimbang dirinya terlewat ke tempat peperiksaan. Cikgu Salwani mengalu-alukan
keputusan Dahlia untuk tinggal di asrama. Azhari dan keluarganya datang ke rumah Dahlia untuk
bertanyakan keputusan keluarga Dahlia tentang perhubungan mereka. Akhirnya persetujuan diambil, iaitu
mereka akan ditunangkan selepas Dahlia tamat peperiksaan STPM.

BAB 27

Dahlia menunggu kedatangan Azhari untuk membeli cincin pertunangan dan pada masa yang sama dia
masih mempertimbangkan keinginan dirinya yang mahu menyambung pelajaran ke universiti dan bekerja
untuk membantu keluarga. Sewaktu menunggu kedatangan keluarga Azhari, rumah Dahlia didatangi oleh
Cikgu Daim yang membawa khabar gembira, iaitu Dahlia terpilih untuk menyambung pelajaran ke Jepun.
Dahlia berasa amat gembira dan keluarganya menyokong. Namun begitu pendaftaran untuk kursus ini
sehari selepas tarikh pertunangannya.

BAB 28
Majlis pertunangan Dahlia akan diadakan mengikut tarikh yang dirancang. Hubungan antara Nek Kiah dan
Dahlia bertambah erat. Nek Kiah menerangkan kepada Dahlia berkenaan falsafah tepak sirih kepada
Dahlia. Selain itu, pengertian bagi setiap kandungan dalam tepak sirih turut diceritakan oleh Nek Kiah
kepada Dahlia. Suasana di rumah Dahlia semakin riuh dengan kedatangan saudara mara dekat dan jauh.
Dahlia hanya bersiap secara ringkas sahaja dan dalam yang sama dia berasa sedih kerana pada petangnya
dia akan berangkat ke Kuala Lumpur.

Nek Kiah telah menghadiahkan gelang pusakanya kepada Dahlia. Cikgu Hisyam, Kavita dan Siti Wangi
datang memeriahkan majlis pertunangan Dahlia. Berita Dahlia mendapat tawaran ke Jepun turut diketahui
oleh mereka. Bas Dahlia akan bertolak pada pukul 5,00 petang tetapi rombongan Azhari yang berjanji
datang pada pukul 2.00 masih belum kelihatan sedangkan waktu sudah menginjak pukul 3.45 petang.

Sinopsis Keseluruhan Novel

Novel Songket Berbenang Emas mengisahkan kegigihan seorang wanita yang bernama Dahlia yang
memegang peranan sebagai pelajar dan anak sulung dalam keluarga Embong yang menghadapi kesusahan
yang bertimpa-timpa. Dahlia merupakan seorang pelajar yang cemerlang dan disukai oleh rakan-rakannya.
Namun, akibat masalah keluarga yang dihadapi, tumpuannya terhadap pelajaran terganggu. Setelah ibunya
dimasukkan ke Taman Bahagia, Dahlia terpaksa menjaga adik-adiknya di rumah dan menyebabkan dia
sering lewat ke sekolah.

Akhirnya dia mengambil keputusan untuk keluar terus dari asrama. Masalahnya bertambah apabila difitnah
oleh Aton yang melihatnya dihantar balik oleh Azhari dan dituduh membunuh Said yang tidak dapat
diselamatkan semasa lemas di sungai.

Keluarga mereka diuji lagi apabila Embong sebagai ketua keluarga dipatuk ular tedung dan dirawat di
hospital selama beberapa hari. Segala beban tugas rumah tangga terpaksa dipikul oleh Dahlia tanpa
meninggalkan tugasnya sebagai seorang pelajar. Dahlia tetap tabah menghadapi semua dugaan yang
dihadapinya. Adiknya, Abu Bakar telah menjumpai dua biji telur ayam yang berwarna hitam mengandungi
paku, cincin akek, butiran pasir dan jarum semasa membersihkan kawasan di bawah rumah mereka.
Selepas peristiwa tersebut, Saleha beransur baik dan dibenarkan keluar dari hospital. Azhari telah
menghantarnya balik ke rumah.

Pertolongan Dahlia sekeluarga semasa dirinya terlantar sakit telah menimbulkan keinsafan kepada Nek
Kiah. Sepanjang menghadapi permasalahan, Dahlia dapat menangani semua itu dengan jayanya dan
memperoleh hasil seperti yang diinginkannya.

Dahlia terpilih sebagai seorang daripada pelajar yang akan dihantar melanjutkan pelajaran ke Jepun.
Dahlia juga selamat ditunangkan dengan Azhari, lelaki pilihan hatinya. Cerita berakhir dengan
kegembiraan apabila mereka sekeluarga dapat berkumpul semula dan Saleha sudah sembuh daripada
penyakitnya.

Anda mungkin juga menyukai