Anda di halaman 1dari 5

Menurut Ellis (1979), kepercayaan adalah keadaan apabila seseorang sering

menyalahkan dirinya sendiri, dan apabila seseorang itu mementingkan ‘mesti’ dan
‘patut’ dengan cara yang mutlak. Selain itu, menurut Ellis (1996), kepercayaan tidak
rasional juga ditakrifkan sebagai tegar, idea-idea absolustik yang sering membawa
kepada ketidakupayaan menyesuaikan diri dengan emosi dan menghasilkan
pemikiran yang salah dalam kalangan guru-guru. Ellis (1984) dalam penulisan
Shirley (2002), beliau menyatakan bahawa kepercayaan tidak rasional adalah
kepercayaan yang merugikan diri sendiri dan membawa kepada emosi yang tidak
sesuai yang mampu merosakkan kehidupan seseorang, dan menghalang individu
mengejar matlamat dan pencapaian.
Menurut teori REBT, seseorang yang bermasalah akan mempunyai suatu
sistem kepercayaan atau suatu ‘belief system’ yang penuh dengan kepercayaan
yang tidak rasional mengenai perkara yang dilihat atau dialaminya. Albert Ellis telah
memberikan beberapa idea tentang pemikiran yang tidak rasional, antaranya adalah
seseorang individu mempercayai bahawa ia mesti disayangi oleh orang-orang
penting atau signifikan kepada dirinya seperti ibubapa, adik-beradik dan rakan-
rakan. Individu juga percaya bahawa ia mesti membuktikan bahawa ia seorang yang
berkebolehan dan berkemampuan. Seseorang individu juga mempercayai bahawa
jika terdapat individu yang lain melakukan kesalahan atau tidak berlaku adil, maka
seharusnya ia dikutuk dan menyalahkan dirinya dan dilihat sebagai orang yang tidak
baik. Masa lampau juga dianggap sangat penting kerana ia mempengaruhi hidup
seseorang individu. Ellis mempercayai bahawa masa lampau itulah yang akan
menentukan perasaan seseorang individu pada masa kini. Seseorang individu itu
juga mempercayai bahawa ia perlu melihat kehidupannya yang sangat teruk jika ia
tidak dapat menyelesaikan masalah kepada kehidupannya. Individu juga
mempercayai bahawa ia perlu berpandangan tidak baik sekiranya ia dikecewakan,
disisih atau tidak dilayan secara adil. Jika berhadapan dengan perkara-perkara yang
merbahaya, seseorang individu mempercayai bahawa ia perlu memikirkannya dan
akan risau tentangnya. 
Dalam Teori Rasional Emotif Tingkah Laku, Albert Ellis telah memberi
penekanan terhadap idea-idea dan kepercayaan yang tidak rasional dalam diri
individu yang bermasalah. Antaranya ialah rasa malu yang teramat. Merujuk kepada
kecenderungan untuk merasai malu yang amat mendalam lalu cuba
memperbesarkan masalahnya atau dengan melihatnya dengan perasaan sedih dan
sayu. Keadaan ini biasanya akan menghasilkan perasaan takut dan bimbang yang
bukan-bukan. Seterusnya, ciri-ciri kepercayaan yang tidak rasional ialah terlalu
menuntut. Merujuk kepada individu yang menganggap satu perkara itu sebagai satu
yang mesti dibuat, sepatutnya dan harus berlaku pada dirinya. Kegagalan mencapai
tahap atau kriteria tersebut akan membawa kepada perasaan kecewa yang
mendalam, marah yang teramat sangat atau terlampau benci pada dirinya.
Selanjutnya, ciri-ciri kepercayaan yang tidak rasional ialah merendah diri yang
teramat. Sikap ini menuju kepada kecenderungan seseorang individu membuat
kenyataan yang merendahkan atau mengecilkan dirinya. Akibat daripada perbuatan
ini, timbul perasaan malu tanpa sebab, kecewa yang tiada arah dan rasa bersalah
yang tidak tentu arah.
Pengertian sahsiah boleh ditakrifkan mengikut kepada beberapa pandangan
tokoh-tokoh Islam dan tokoh-tokoh barat. Menurut Darusalam (1997), sahsiah
bermaksud tingkah laku seseorang yang telah menjadi tabiat dan merupakan satu
gambaran bagi menunjukkan zahir dan batin seseorang dan ia juga membawa
maksud kejadian yang semula jadi iaitu setiap manusia mempunyai sifat-sifat
semula jadi yang memang sedia ada pada dirinya sama ada yang telah menjadi
tabiat dari segi tingkah laku atau perangai.

Pertama sekali, guru berperanan sebagai jurulatih yang membentuk sahsiah


serta mencungkil bakat dan potensi murid. Setiap murid di sekolah mempunyai
keistimewaan tersendiri. Guru merupakan insan yang terbaik dalam mengenal pasti
dan mengembangkan bakat dan sahsiah murid-muridnya. Hal ini kerana,
sesetengah murid yang berbakat tidak dapat menonjolkan bakatnya kerana tidak
mempunyai peluang dan tidak mengetahui cara yang betul untuk mengembangkan
bakat dan membentuk sahsiah mereka. Sekiranya guru di sekolah peka terhadap
bakat dan potensi yang ada di kalangan murid, bakat mereka boleh diketengahkan
dan dilatih ke tahap yang terbaik supaya dapat memberi sumbangan kepada pihak
sekolah dan ke peringkat yang lebih tinggi. Sebagai contoh, sekiranya seseorang
murid itu mempunyai potensi dalam acara sukan, guru boleh melatih, membimbing
dan memberi tunjuk ajar kepada beliau supaya bakat beliau dapat diasah dan
menjadi atlet yang terbaik.

Peranan guru yang seterusnya ialah sebagai kaunselor murid. Kaunselor


berperanan dalam membantu dan memberi nasihat kepada murid sekiranya mereka
menghadapi masalah. Selain daripada ibu bapa, guru merupakan insan terbaik
dalam membantu murid menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka. Hal ini
kerana sesetengah murid gagal berkomunikasi dengan ibu bapa apabila mereka
menghadapi masalah. Oleh yang demikian, guru memainkan peranan yang penting
dalam menenangkan fikiran dan emosi mereka supaya mereka tidak melakukan
perkara-perkara yang negatif. Guru juga harus meluangkan masa yang lebih dan
memberi perhatian tambahan kepada murid-murid yang menghadapi masalah.
Khususnya, mereka yang menghadapi masalah keluarga, kewangan, disiplin dan
masalah kesihatan. Hal ini supaya murid-murid berasa selesa dan tidak menghadapi
masalah untuk menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah dan
mendapat pencapaian yang terbaik.

Sejajar dengan itu, peranan kaunselor di sekolah adalah membantu para


murid meningkatkan kualiti diri dengan pelaksanaan proses kaunseling. Proses ini
perlu dirancang dan dilaksanakan sebaik mungkin supaya ia memberi kesan yang
mendalam terhadap murid yang terlibat. Justeru itu, panduan dan kemahiran asas
difikirkan bagi kaunselor yang ingin memberi perkhidmatan tersebut sama ada
secara langsung atau tidak langsung. Oleh itu, dalam proses kaunseling, hubungan
merupakan faktor utama yang membuatkan sesebuah program kaunseling itu
dilaksanakan dengan berkesan. Oleh kerana kaunseling dikatakan sebagai suatu
penerimaan, kepercayaan dan keyakinan serta merupakan suatu hubungan yang
erat dan selamat antara dua pihak iaitu kaunselor dan klien. Maka dalam hubungan
itu, proses pengajaran dan pembelajaran telah berlaku. Salah satu jenis kaunseling
yang sering dilaksanakan di sekolah ialah kaunseling kelompok. Kaunseling
kelompok wujud apabila kebanyakan masyarakat hidup berorientasikan kelompok
dan ia dapat membantu pembentukan dan perkembangan seseorang individu.
Selain daripada itu, menurut George dan Cristiani (1981) antara kebaikan yang
diperolehi dari kaunseling kelompok ialah kaunselor dapat memberikan khidmatnya
dengan lebih berkesan di samping dapat mewujudkan hubungan sosial untuk
menyelesaikan masalah peribadi klien. Klien juga dapat melatih diri dengan tingkah
laku baru dengan memerhatikan tingkah laku klien yang lain dalam kumpulan yang
sama. Oleh sebab tingkah laku klien diperhatikan oleh kaunselor, maka klien dapat
dibentuk sahsiahnya.
Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling dilihat sebagai satu perkhidmatan
asas yang diperlukan oleh manusia untuk mencapai matlamat mereka.
Perkhidmatan bimbingan dan kaunseling banyak dibicarakan dalam masyarakat
yang lebih maju kerana semakin masyarakat itu maju, cabaran yang ditemui
semakin banyak. Oleh itu, perkhidmatan bimbingan dan kaunseling akan dikaji
dengan teliti sehingga ke akar umbi.

Pertama sekali, cabaran yang selalu dihadapi oleh perkhidmatan bimbingan


dan kaunseling ialah kekurangan kefahaman tentang konsep bimbingan dan
kaunseling. Ramai guru tidak memahami kepentingan peranan kaunseling di
sekolah, bagi mereka semua guru mampu memberi kaunseling kepada pelajar. Guru
mata pelajaran beranggapan bahawa guru bimbingan dan kaunseling hanya
memberi nasihat sahaja dan mereka juga mampu membuat demikian.

Cabaran utama guru bimbingan dan kaunseling di sekolah ialah terdapat guru
yang tidak merujuk pelajar yang bermasalah kepada guru bimbingan dan kaunseling
kerana mereka telah menguruskan pelajar tersebut dengan sendiri dan menganggap
pelajar telah tenang dan tidak perlu dirujuk kepada guru bimbingan dan kaunseling
lagi. Guru yang menguruskan pelajar dan tidak memberitahu kepada guru bimbingan
dan kaunseling sebenarnya perlu bertanggungjawab terhadap pelajar tersebut
sekiranya ada kes bunuh diri atau kes yang membahayakan orang lain. Guru
tersebut perlulah membuat catatan tempat, masa dan isu yang dibincang. Guru
tersebut juga seharusnya merujuk pelajar tersebut kepada guru bimbingan dan
kaunseling agar sesi kaunseling akan dibuat seterusnya kepada pelajar yang
bermasalah.

Maka, proses kaunseling bukan hanya menjadi pendengar yang aktif tetapi
memerlukan ilmu psikologi yang membolehkan pelajar memahami emosinya yang
tidak stabil. Ada pelajar yang tidak sedar tentang masalahnya, guru bimbingan dan
kaunseling perlu mengemukakan soalan yang berkaitan dengan latar belakang
keluarga, ibu bapa, hobi klien, pergaulan klien, sejarah klien waktu kanak-kanak
sehingga di sekolah menengah. Melalui perbualan sedemikian, guru bimbingan dan
kaunseling mampu mengesan punca masalahnya. 

Dengan ini, anjakan yang kelima (5) pelan pembangunan Pendidikan


Malaysia 2013-2025 yang bermatlamat untuk memastikan pemimpin berprestasi
tinggi ditempatkan di setiap sekolah. Oleh hal yang demikian, pihak kementerian
akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan
kompetensi, maka pemimpin sekolah dapat menyatukan setiap tenaga pengajar
termasuklah guru bimbingan dan kaunseling untuk memberi tumpuan terhadap
pendidikan bersepadu kepada setiap pelajar.

Sejajar dengan itu, cabaran seterusnya yang dihadapi oleh perkhidmatan


bimbingan dan kaunseling ialah kekurangan kerjasama dari pihak-pihak tertentu.
Tindakan yang diambil oleh klien adalah penting dalam mengambil langkah
permulaan untuk berubah dan berfungsi semula dalam masyarakat. Klien perlu
mencari kekuatannya untuk mengatasi rintangan hidupnya dengan bantuan dari
pihak-pihak tertentu seperti ibubapa, rakan sebaya dan sebagainya. Perubahan
tingkah laku, pemikiran dan perasaan klien mengambil masa dan bukan sekali sesi
atau dua kali sesi  kaunseling. Para ibubapa atau masyarakat sangat mengharapkan
perubahan tingkah laku klien dalam masa yang singkat. Inilah cabaran bagi guru
bimbingan dan kaunseling. Kritikan sedemikian akan melemahkan semangat guru
bimbingan dan kaunseling ialah sesi kaunseling yang tidak berkesan. Sedangkan
mereka tidak memahami bahawa masalah klien telah lama wujud dan terpendam
dalam hati dan mindanya. 

Justeru itu, guru bimbingan dan kaunseling yang tidak mendapat kerjasama
daripada pihak -pihak berkenaan merumitkan masalah pelajar. Mereka kurang
memahami emosi pelajar yang tidak tenang susah memberi tumpuan dalam
pelajaran dan ibubapa hanya mengharapkan pelajar cemerlang dalam pelajarannya.
Mereka beranggapan bahawa pelajar boleh mengetepikan masalah mereka dan
memberi fokus dalam pelajaran sedangkan pelajar masih belum cukup matang
dalam menangani masalah mereka. Sedarkan hakikat bahawa proses pembelajaran
tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi turut merangkumi aktiviti-aktiviti di luar sekolah
yang melibatkan penyertaan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kementerian
akan melaksanakan anjakan yang kesembilan (9) dalam pelan pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025, iaitu memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu
bapa, komuniti, dan sektor swasta. 

Selaras dengan itu, cabaran yang dihadapi oleh perkhidmatan bimbingan dan
kaunseling ialah perlu mempertingkatkan profesionalisme dalam bidang terapi atau
teknik dan kemahiran kaunseling agar dapat membuat sesi kaunseling dengan lebih
berkesan. Tranference merupakan keadaan di mana klien meletakkan perasaan
yang pernah mereka alami terhadap seseorang yang signifikan di dalam kehidupan
mereka kepada kaunselor. Perkara ini boleh menjejaskan penilaian kaunselor
terhadap masalah serta diri klien. Tidak  dapat dinafikan bahawa kaunseling
merupakan satu kerjaya yang mencabar. Ini boleh menyebabkan kaunselor
mengalami stres di dalam diri mereka. Bukan itu sahaja, ini adalah amat penting
bagi seorang kaunselor untuk mengetahui dan mengenal pasti tahap stres yang
mereka alami agar ianya tidak mengganggu kesihatan mental dan fizikal mereka
kerana dikhuatiri boleh menjejaskan kaunselor secara personal dan profesional. 

Sehubungan dengan itu, pihak kementerian akan melakukan anjakan yang


keempat (4) dalam pelan pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025, iaitu
meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion
pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan sebahagian besar peserta
Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti guru diberikan keutamaan.

Kesimpulannya, dalam negara kita perkhidmatan bimbingan dan kaunseling


adalah sangat diperlukan dalam membantu penyelesaian masalah yang dihadapi
oleh masyarakat terutamanya membantu guru-guru dalam menyelesaikan isu-isu
yang berbangkit seperti isu pelajar dan sebagainya. Namun, perkara ini tidak akan
menemui kejayaan jika tiada sokongan padu daripada pelbagai pihak untuk
menghadapi isu ini. Oleh itu, setiap lapisan masyarakat di bawah payung 1 Malaysia
hendaklah bekerjasama agar perkhidmatan bimbingan dan kaunseling berjaya
direalisasikan demi kemajuan dan keharmonian negara.

Anda mungkin juga menyukai