Kelebihan bulan Ramadan
Bulan Ramadan ialah bulan yang penuh dengan keberkatan. Umat Islam mempercayai pada bulan
Ramadan, ada satu malam yang lebih baik dariapada seribu bulan iaitu Lailatulqadar atau Malam al-
Qadar. Lailatulqadar atau Malam Qadar ialah satu malam dalam bulan Ramadan yang lebih baik
daripada 1,000 bulan. Dipercayai sesiapa yang beramal pada malam tersebut, sama seperti
beramal selama 1,000 bulan, iaitu bersamaan 83 tahun 4 bulan.
Rasulullah mengatakan sesiapa yang tidak mendapatnya, dia tergolong daripada orang yang
amat rugi. Lailatulqadar satu malam dalam bulan Ramadan yang tidak diketahui dengan tepat
tarikhnya. Lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadan,
terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadan tersebut. Waktunya dikira
apabila masuk waktu maghrib sehingga terbit fajar. Pada malam al-Quran diturunkan, malam Qadar
berlaku pada 17 Ramadan, sementara menurut al-Mubarakfury al-Quran turun pada malam 21
Ramadan.
Orang yang pasti mendapat sebahagian lailatulqadar ialah orang yang solat fardu maghrib dan isyak
secara berjemaah sepanjang bulan Ramadan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat
subuh berjemaah.
Sabda Rasulullah “Sesiapa yang solat isyak berjemaah, maka seolah-olah dia telah
berqiyamulail separuh malam; Dan sesiapa yang solat subuh berjemaah, maka seolah-olah dia
telah bersolat sepanjang malam.”
(Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)
Sabda Rasulullah : "Allah berfirman; "Sesungguhnya dia (hamba) meninggalkan makan dan
minum serta syahwatnya kerana-Ku. Puasa (yang dikerjakan) kerana-Ku. Puasa adalah untuk-Ku.
Sedangkan, Aku memberi balasan setiap kebaikan itu dengan sepuluh kali ganda sehingga 700 kali
ganda kecuali ibadah puasa. Hal ini kerana, ia (puasa) adalah untuk-Ku, dan (sudah tentu) Aku
sendiri yang akan memberi balasannya."
(Hadis diriwayatkan oleh Imam Malik dalam Al-Muwattha, Kitab al-Syiyam. No:603)
Kerugian meninggalkan puasa Ramadan
Pahala puasa Ramadan amat besar. Orang yang meninggalkan puasa dengan sengaja bukan
sahaja telah melakukan satu dosa besar, bahkan dia mengalami satu kerugian yang amat besar,
satu hari puasa yang ditinggalkan tersebut tidak boleh ditebus dengan apa jua cara, tidak boleh
ditukar ganti, sekalipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidupnya. Hal ini dijelaskan
sebagaimana dalam sabda Nabi Muhammad bermaksud :
“Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadan tanpa ada rukhsah (uzur syarak) dan tidak juga
kerana sakit, dia tidak akan dapat menggantikan puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia
berpuasa seumur hidup.”
(Hadis riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).
Abu Umamah ra berkata; "Aku bertanya kepada Rasulullah : "Ya Rasulullah, tunjukkan daku
suatu amalan yang membolehkan daku memasuki syurga dengan cara itu. Lalu Rasulullah
bersabda : "Kamu hendaklah berpuasa kerana sesungguhnya tiada satu cara pun yang mampu
menandinginya."
(Hadis diriwayatkan oleh Ibn Hibban. No:3494)