Anda di halaman 1dari 7

Kelebihan Bulan Ramadhan Menurut Hadis

Assalamualaikum w.b.t.


Belum terlambat untuk aku mengucapkan selamat berpuasa untuk semua pembaca blog
kudus ini. Semoga pesta ibadah yang kita lakukan pada tahun ini di bulan Ramadhan ini
mendapat keberkatan dan diterima oleh-Nya. Amin. Harini nak share mengenai Kelebihan
Bulan Ramadhan menurut hadis. Ramai yang tahu mengenai banyaknya Kelebihan Bulan
Ramadhan.



Macam aku sendiri bila sebut Kelebihan Bulan Ramadhan, apa yang bermain di benak aku
mestilah Malam Lailatul Qadar, Sembahyang Tarawikh, Allah gandakan pahala untuk
ibadah yang kita lakukan dan dibelenggu para syaitan dan jin. Masa kecik-kecik sukalah
syaitan jin semua kena rantai so boleh bermain dengan kawan-kawan bila waktu malam
sebab confirmlah hantu pun takde kan haha. Rindu zaman itu. Kekadang masa kecik dulu
selalu lupa niat bulan Ramadhan padahal first Ramadhan lagi dah niat sebulan terus
hihi.



Niat Puasa Ramadhan



Kelebihan Bulan Ramadhan Menurut Hadis
1.Dibelenggu para syaitan dan jin

Menurut Imam As-Syafie hanya jin dan syaitan yang bengis sahaja dibelenggu, manakala
yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini.

Apabila tiba awal malam dalam bulan Ramadhan, diikat semua syaitan dan jin-jin yang
derhaka,.(Riwayat at-Tirmizi dan Ibn Majah)

Menurut Imam Abu Hanifah pula, semua jin dan syaitan dibelenggu. Namun masih ada
orang melakukan kejahatan kerana syaitan telah menggunakan 11 bulan untuk
menerapkan nilai-nilai buruk dalam diri kita. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong
seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan di belenggu.Jadi dalam 1 bulan inilah
kita harus ambil peluang utuk menyucikan segalanya.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda; Apabila masuk bulan Ramadhan
terbukalah pintu-pintu syurga dan terkuncilah segala pintu neraka manakala sekelian
syaitan dirantai dan dibuka segala pintu rahmat.(Bukhari & Muslim)

2. Amalan sunat diberi pahala fardhu dan fardhu diganda 70 kali

Menunaikan yang sunat diberi balasan pahala fardu dan amal fardu diberi balasan 70
kali ganda. Sebagai contoh solat Jumaat, sekiranya ada 5 kali Jumaat pada bulan itu,
maka 5 x 70 = 350 Jumaat di luar Ramadhan, bersamaan 7 tahun solat jumaat. Pahala
solat Jumaat sama dengan pahala haji bagi orang miskin yang tidak mampu mengerjakan
haji. Solat Jumaat pada minggu akhir Ramadhan adalah solat Jumaat yang istimewa.
Qadha solat fardhu juga diberi 70 kali ganda pahala. Sedekah RM1 dalam bulan Ramadhan
adalah sama dengan RM70 di luar Ramadhan.

Daripada Salman r.a. ia berkata: Telah berkhutbah Rasulullah S.A.W. pada hari terakhir
bulan Syaaban dan sabdanya:- Wahai manusia sesungguhnya telah datang kepada kamu
satu bulan yang agung lagi penuh keberkatan (bulan Ramadhan) iaitu bulan yang ada
padanya satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan, bulan yang Allah jadikan
berpuasa padanya suatu kewajipan dan berqiamullail (beribadat pada malam-malamnya)
sebagai amalan sunat. Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah pada bulan itu
dengan melakukan amalan kebajikan (amalan sunat) maka ia mendapat pahala seperti
melaksanakan perintah yang wajib dan sesiapa yang melakukan suatu amalan yang wajib
pada bulan Ramadhan maka ia mendapat pahala seperti orang yang melakukan tujuh
puluh (70) amalan fardhu..

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w., sabdanya: Apabila bermula malam
yang pertama dari bulan Ramadhan .. menyerulah malaikat, katanya: Wahai orang-orang
yang mahukan kebaikan! Tampillah mengerjakannya dan wahai orang-orang yang hendak
melakukan kejahatan! Berhentilah dari meneruskannya; (ketahuilah), Allah Taala banyak
membebaskan orang-orang yang dijanjikan dengan neraka daripada memasukinya.
Seruan dan keampunan yang demikian, diberikan pada tiap-tiap malam (dalam bulan
Ramadhan). (Riwayat Tirmizi dan Nasai)

3. Pintu neraka ditutup

Pada bulan Ramadhan, kepanasannya tidak sampai ke alam barzakh (alam perantaran).
Seksaan dihentikan pada bulan ini. Sesiapa yang mati dibulan Ramadhan tidak diseksa dan
disoal oleh Malaikat Mungkar dan Nakir. Ada yang berpendapat ia ditangguh sehingga
lepas Ramadhan.

4. Dibuka semua pintu syurga

Dari Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: Apabila datang bulan
Ramadhan, terbukalah pintu-pintu syurga.(Hadith Sahih Riwayat Bukhari). Banyak
rahmat diturunkan pada bulan ini. Orang mukmin ditambah rezekinya seperti makanan
yang sedap-sedap semuanya ada di bulan ini. Orang-orang miskin juga dapat
menikmatinya pada bulan ini.

5. Allah perhiaskan syurga

Allah percantikkan syurga yang sememangnya cantik. Bagaimana? Tidak terfikir oleh akal
manusia. Bidadari berpantun minta disegerakan bertemu bakal suaminya di syurga.

Bahawa syurga berlenggang-lenggang ia dan berhias dari setahun ke setahun kerana
masuknya bulan Ramadhan . Pada awal bulan Ramadhan bertiup angina di bawah Arasy
dan bergeraklah daun kayu dengan longlai di bawah syurga, terdengarlah desiran daun
kayu, hembusan bayu syurga yang teramat indahnya, seni rentak lagunya menawan
seluruh perasaan nurani. Maka berhiaslah bidadari sekaliannya hingga berdirilah di atas
puncak mercu syurga itu, lantas bersuaralah bidadari : Adakah orang yang hendak
meminang kami kepada Allah ? Lalu bidadari lain pula bertanya : Apakah nama malam ini
? Jawab Malik Ridhwan , hai bidadari yang cantik manis, inilah malam Ramadhan .

6. Dilepaskan tahanan neraka

Dalam bulan Ramadahan (di akhirat juga masih ada bulan Ramadhan) Rasulullah
Shalallahu alaihi wasalam bersabda (yang ertinya): Allah memiliki hamba-hamba yang
dibebaskan dari neraka setiap siang dan malam bulan Ramadhan, dan semua orang muslim
yang berdoa akan dikabulkan doanya.

7.Ramadhan ialah tetamu yang mendatangkan keampunan Allah

Dalam sebuah hadis, Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: Telah datang kepadamu
Ramadan, penghulu segala bulan. Maka selamat datanglah kepadanya, telah datang
kepadanya bulan puasa yang membawa segala rupa keberkatan, maka alangkah mulianya
tetamu yang datang itu. Layanlah tetamu mengikut apa yang dia suka, misalnya jika dia
suka makan ikan, hidangkanlah masakan ikan. Sepertimana orang yang melayan tetamu
dengan baik, seluruh ahli rumah itu akan diberi keampunan setelah tetamu itu pulang,
begitu juga Ramadhan, jika kita mengikut kehendak dan disiplin yang ditetapkan pada
bulan itu, maka kita juga akan mendapat keampunan.

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: Sesiapa yang mengerjakan
puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala,
nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadith Sahih Riwayat
Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a., katanya: Rasulullah s.a.w. bersabda: Sesiapa yang tidak
meninggalkan kata-kata dusta dan beramal dengannya dan perbuatan liar yang lazimnya
dilakukan oleh orang-orang jahil, maka tiada bagi Allah sesuatu hajat tentang ia
meninggalkan makanannya dan minumannya.(Hadith Sahih Riwayat Bukhari dan Abu
Daud)

8. Tawaran Pengampunan dosa lepas dan akan datang (2 tahun)

Dari Abu Hurairah r.a., dari Nabi Muhammad s.a.w. sabdanya: Sesiapa yang mengerjakan
puasa bulan Ramadhan dengan keadaan beriman dan mengharapkan rahmat Allah Taala,
nescaya diampunkan baginya dosa-dosanya yang telah lalu. (Hadith Sahih Riwayat
Bukhari dan Muslim)

Dari Abu Hurairah r.a berkata: Adalah Rasulullah SAW menggalakkan qiyamullail (solat
malam) di bulan Ramadhan tanpa memerintahkan secara wajib, baginda bersabda:
Sesiapa yang solat malam di bulan Ramadhan kerana beriman dan mengharapkan pahala
daripada Allah, maka diampuni baginya dosa yang telah lalu.

Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Ar-Rasul SAW telah bersabda: Sesiapa yang
berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah
lalu dan dosanya yang akan datang, sesiapa yang menghidupkan qiyamullail dengan penuh
keimanan dan keikhlasan akan diampunkan dosanya yang telah lalu dan yang akan datang.

Rasulullah bersabda Siallah (rugilah) puasa orang yang tidak mendapat keampunan.

Diceritakan dari Salman RadiyaLlahu 'anhu, dia berkata Nabi Muhammad sallaLlahu 'alaihi
wasallam memberikan khutbah kepada kami pada akhir hari bulan Sya'ban, baginda
bersabda : "Wahai manusia, telah hampir datang bulan suci Ramadan yang penuh berkah,
bulan yang didalamnya terdapat malam yang lebih baik dari ibadah seribu bulan. Bulan
yang dijadikan oleh Allah, puasa pada siang harinya suatu kewajipan dan solat pada
malamnya (selain solat fardhu) sebagai solat sunnah. Sesiapa mendekatkan diri kepada
Allah dengan amal kebaikan, pahalanya laksana orang yang melakukan kewajipan pada
selain bulan Ramadan. Sesiapa yang melakukan kewajipan di bulan tersebut, pahalanya
laksana pahala orang yang melaksanakan tujuh puluh kewajipan di lain bulan suci
Ramadhan. Ia adalah bulan sabar, bagi orang yang bersabar tidak lain balasannya syurga,
dan merupakan bulan toleransi, dan bulan ditambahkannya rezeki bagi orang Mukmin,
orang yang memberi buka puasa bagi orang yang berpuasa maka diampuni dosanya dan
dibebaskan dari neraka dan baginya pahala seperti pahala orang yang diberinya berbuka
puasa tanpa dikurangi sedikitpun pahalanya. Mereka bertanya : "Wahai RasuluLlah
sallaLlahu 'alaihi wasallam, tidaklah semua kami ini mampu memberikan makanan untuk
berbuka puasa bagi orang lain ? Maka RasuluLlah sallaLlahu 'alaihi wasallam bersabda :
"Allah akan memberikan pahala tersebut bagi orang yang memberikan makanan bagi orang
yang berpuasa sekalipun hanya dengan satu biji kurma atau seteguk minuman air putih
atau sepotong susu kering. Dan adalah Bulan Ramadan awalnya (10 hari pertama)
rahmat, pertengahannya (10 hari kedua) keampunan dan akhirnya (10 hari terakhir)
pembebasan dari neraka. Sesiapa meringankan hamba sahayanya pada bulan itu Allah
mengampuni dosanya dan dibebaskan dari neraka. Maka perbanyakkanlah di Bulan
Ramadhan 4 hal. Dua hal kamu mendapat redha Tuhanmu dan dua hal kamu tidak akan
merasa puas dengannya. Adapun dua hal yang membuatkan kamu diredhai Allah adalah :
Mengucapkan dan bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, dan kamu mohon keampunan
kepada-Nya. Adapun dua hal yang kamu tidak akan merasa puas dengannya adalah : Kamu
minta syurga kepada-Nya dan minta perlindungan dari api neraka. Dan sesiapa yang
memberi minum orang yang berbuka puasa, maka Allah akan memberinya minum dari
telagaku, sekali minum sahaja tidak akan haus selamanya sehingga masuk ke syurga
". (Hadith riwayat Ibnu Khuzaimah dalam sahihnya, dan diriwayatkan dari jalan al
Baihaqi, dan diriwayatkan Abu Asy Syaikh Ibnu Hibban dalam at Tsawwab dengan
ringkas (at Targhib wa at Tarhib II/94) dan Al Feqh Al Islamiy Wa Adillatuh (2/572))



Semoga dengan sedikit perkongsian mengenai Kelebihan Bulan Ramadhan Menurut Hadis
ini memberi kita semangat dan keikhlasan mengerjakan ibadah di bulan Ramadhan,
InsyaAllah .

Anda mungkin juga menyukai