Anda di halaman 1dari 3

ELAK RASUAH JADI ENDEMIK

Rasuah dan anggota masyarakat semakin sukar dipisahkan. Amalan tidak bermoral ini

bukan saja berleluasa malah mula menembusi hampir semua sektor serta dalam setiap

aspek kehidupan harian kita. 

Walaupun pelbagai usaha dilakukan untuk perangi rasuah, namun wabak ini sudah

menjadi endemik, iaitu seolah-olah rakyat sudah tiada pilihan selain terpaksa hidup

dengannya.

Buktinya, hampir setiap hari ada saja isu rasuah yang dilakukan oleh anggota

masyarakat membabitkan pelbagai salah laku seperti sogokan, salah guna kuasa dan

penyelewengan dilaporkan dalam media. Nilai yang terlibat juga cukup besar dan

memeranjatkan. 

Ramai yang telah ditangkap oleh pihak berkuasa dan dibawa ke muka pengadilan

sekali gus dijatuhkan hukuman. Kita wajar menzahirkan ucapan tahniah kepada pihak

berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bertungkus

lumus menjalankan siasatan dan membawa pesalah ke muka pengadilan.

Ingatkah kita lagi ketika wabak COVID-19 sedang menular melanda negara dengan

mencatatkan kes jangkitan yang tinggi pada tahun lalu.


Apabila kerajaan mula memberikan vaksinasi kepada rakyat Malaysia, timbul isu

pemalsuan sijil vaksinasi apabila media mendedahkan ada pihak cuba menawarkan

rasuah kepada doktor untuk memalsukan sijil vaksinasi. 

Golongan antivaksin berasa terdesak untuk menikmati kemudahan yang disediakan,

ada dalam kalangan mereka ambil jalan mudah menyogok doktor bagi mendapatkan

sijil digital vaksin yang palsu.

Sesungguhnya ini adalah sindrom yang cukup tidak sihat dan bakal menghancurkan

etika dan nilai moral yang menjadi amalan dan pegangan kita sebagai masyarakat

timur.

Kesedaran dan kerjasama anggota masyarakat merupakan aspek yang paling

mustahak untuk diberi perhatian. Tanpa kedua-dua aspek ini, apa saja usaha yang

dilakukan oleh pihak berkuasa untuk memerangi rasuah pasti tidak akan berjaya. 

Setiap individu perlu disedarkan betapa tindakan memberi atau menerima rasuah tidak

hanya melibatkan dua pihak, iaitu yang memberi dan menerima sahaja. Sebaliknya

kesannya akan dirasai oleh rakyat dan negara secara menyeluruh.

Oleh itu besarlah harapan kita agar anggota masyarakat berpegang teguh kepada nilai

integriti yang tinggi dan sentiasa sedar tentang kesan buruk amalan rasuah. Didiklah
diri untuk mematuhi peraturan, menolak rasuah  serta membantu pihak berkuasa

membanteras gejala rasuah di negara kita. 

Ingat, selagi integriti tidak menjadi prinsip dan perisai hidup, sukar untuk kita

memerangi rasuah. Ringkasnya, sampai bila kita nak rasuah untuk mendapatkan

sesuatu? Hentikanlah budaya dan amalan terkutuk ini dan marilah kita membina

Keluarga Malaysia yang hidup berpaksikan nilai-nilai moral yang tinggi dan terpuji.

Anda mungkin juga menyukai