Anda di halaman 1dari 6

TEKS MAAL HIJRAH

Assalamualaikum WBT. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang Maha Pemurah lagi maha
Mengasihani. Terima atas nikmat bernafas, nikmat Islam dan nikmat hidayah-Nya.

Sedar atau secara tidak sedar, kita sudah mula melalui fasa tahun baharu Hijrah (Awal
Muharram) dan pastinya segala perlakuan atau sikap kita, serta memori mahupun kenangan
tahun Hijrah sebelumnya sama ada yang baik ataupun tidak baik, merupakan pengalaman
sangat berharga yang akan mematangkan kita semua selain boleh dijadikan iktibar bagi
menghadapi dugaan bakal mendatang pada tahun baharu Islam 1444 Hijrah.

SAMBUTAN tahun baharu hijrah perlu mencapai matlamat sebenar, tepat dan selari dengan
kehendak Islam, apatah lagi dalam konteks hari ini, masih ramai yang tidak menyedari
falsafah di sebalik peristiwa agung itu.

Ia bukan sekadar memperingati peristiwa hijrah Nabi Muhammad SAW dan sahabat dari
Makkah ke Madinah, sebaliknya membuahkan hikmah cukup besar apabila kaum Muhajirin
dan Ansar dipersaudarakan, manakala Islam mula berkembang dan tersebar ke seluruh
pelosok dunia.

Susulan peristiwa hijrah itu juga menyaksikan takwim Islam mula diperkenalkan, sekali gus
ketetapan itu penanda aras kepada kehidupan Islam sebenar, iaitu pemisahan antara hak
dengan batil.

Malah, keistimewaan Muharam perlu diketahui kerana ia diangkat sebagai bulan pertama
dalam kalendar hijrah dan dikenali sebagai bulan Allah atau ‘syahrullah.’

2.1 SEBELUM HIJRAH

Tentangan terhadap Islam semakin hebat dan pelbagai usaha dari pihak Quraisy untuk
menyekat dakwah Islam. Musyrikin Makkah telah melakukan pelbagai usaha menghalang
dakwah Rasulullah S.A.W antaranya, tawaran untuk bergilir-gilir melaksanakan agama
masing-masing, menawarkan pangkat, harta dan wanita kepada Rasulullah S.A.W,
mengenakan sekatan ekonomi terhadap orang Islam, Bani Hasyim dan Bani Abdul Mutalib
selama 3 tahun. Selain itu, mereka juga telah melakukaN penyeksaan terhadap orang Islam
dan membuat perancangan untuk membunuh Nabi. Pada tahun 620 Masihi, beberapa orang
Madinah telah datang bertemu dengan Rasulullah S.A.W secara sulit. Pertemuan itu telah
membawa kepada termeterainya Perjanjian Aqabah Pertama. Perjanjian ini dibuat pada tahun
621 Masihi bersamaan tahun ke sebelas kerasulan Nabi. Antara isi kandungan perjanjian ini
ialah tidak mensyirikkan Allah S.W.T, tidak membunuh anak, tidak membuat fitnah atau
khianat, tidak mencuri, tidak berzina, serta tidak menderhaka kepada Rasulullah S.A.W. Pada
tahun berikutnya iaitu pada tahun 622 Masihi bersamaan tahun ke tiga belas kerasulan,
termeterai Perjanjian Aqabah Kedua yang dibuat antara Rasulullah S.A.W dengan 37 orang
lelaki dan 2 orang perempuan Madinah. Antara isi kandungan perjanjian tersebut, mereka
haruslah menerima Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin dan berjanji mempertahankan
Rasulullah. Kemudian, mereka juga berjanji untuk berjuang mempertahankan Islam dan
membantu Rasulullah S.A.W serta orang Islam yang lain.

2.2 SEMASA HIJRAH

Sehari sebelum hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah, musyrikin Makkah telah berbincang bagi
menghalang Nabi daripada berhijrah. Mereka telah bersetuju untuk membunuh Nabi S.A.W
semasa baginda sedang tidur. Pada malam penghijrahan, pemuda musyrikin Quraisy telah
mengepung rumah Nabi untuk membunuh baginda tetapi Allah telah menurunkan wahyu bagi
memberitahu Nabi tentang rancangan kafir Quraisy tersebut dan memerintahkan baginda
agar berhijrah ke Madinah. Manakala, Saidina Ali telah diperintahkan oleh Nabi agar tidur di
atas katil baginda dan Nabi telah berjaya keluar dari rumahnya lalu menuju ke rumah Abu
Bakar untuk mengajaknya berhijrah. Kemudian, Nabi bersama Abu Bakar keluar dari Makkah
menuju ke Gua Thur dan bersembunyi di sana. Setelah 3 hari 2 malam di dalam Gua Thur,
baginda meneruskan perjalanan ke Madinah dengan dibantu oleh Abdullah Bin Arqit. Setelah
itu, baginda berhenti di Quba' selama 4 hari dan membina masjid pertama dalam Islam yang
dikenali sebagai Masjid Quba' . Pada 2 Rabiulawal tahun ke 13 kerasulan ( 2 Julai 622 Masihi
), Rasulullah S.A.W bersama Abu Bakar telah selamat sampai di Madinah. Mereka berdua
disambut dengan penuh kegembiraan oleh penduduk Madinah.

2.3 SELEPAS HIJRAH


Hijrah telah mempersaudarakan antara golongan Ansar dan Muhajirin. Hijrah juga telah
menjurus kepada pembinaan masjid sebagai tempat ibadah dan lambang perpaduan umat
Islam. Selain itu juga, beberapa perjanjian telah termeterai bersama golongan Yahudi di
Madinah.

3.1 HIJRAH PERTAMA: HABSHAH

Pada permulaannya, penghijrahan umat islam yang pertama ialah menuju ke negeri Habsyah.
Rombongan ini terdiri daripada sepuluh orang lelaki dan empat orang wanita kemudian
disusuli oleh rombongan berikutnya sehingga mencapai seratus orang, diantaranya ialah
Usman bin Affan beserta isteri beliau Ruqayyah, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf,
Ja’far bin Abu Talib dan lain-lain. Penghijrahan ini berlaku pada tahun kelima kenabian tahun
615 Masihi. Setibanya di negeri Habsyah, mereka mendapat sambutan, penerimaan dan
perlindungan yang baik dari rajanya. Ketika itu nabi tidak ikut ke Habsyah. Beliau tetap tinggal
di Makkah. Orang Quraisy telah mengutus Amr bin Ash dan Abdullah bin Abi Rabi’ah ke
Habsyah supaya meminta Raja Habsyah menolak kedatangan kaum muslimim tetapi baginda
bersikap bijaksana kerana baginda tidak hanya menerima keterangan dari sebelah pihak
sahaja akhirnya permohonan kaum muslimin untuk tinggal di Habsyah diperkenankan oleh
raja dan tuntutan Quraisy ditolak .

3.2 HIJRAH KEDUA: TAIF

Seterusnya, baginda berhijrah ke Taif untuk mendapat dorongan dan sokongan dari Khabilah
Tsaqif terhadap musuh-musuh islam Makkah. Beliau menggunakan tutur kata yang baik dan
sikap yang penuh dengan hormat dan bijak ketika menemui pemuda-pemuda Kabilah Tsaqif
dan mengajak mereka untuk mentauhidkan Allah dan memeluk agama Islam. Namun begitu
ajakan baginda tidak dihiraukan oleh pemuda-pemuda tersebut malah mereka menolaknya
dengan kasar. Baginda diusir, diejek, dicemuh dan dilempari dengan batu. Baginda tabah
menghadapi segala cubaan yang ditimpakan kepadanya. Baginda terpaksa kembali ke
Makkah dan terus menuju ke Baitullah lalu beliau Tawaf dan sujud berdoa semoga Allah
mengampuni kaumnya.

3.3 HIJRAH KETIGA: MADINAH

Penghijrahan yang terakhir baginda ke Madinah pada 1 Rabiulawal bersamaan 12 September


tahun 622 Masihi. Penghijrahan ini berlaku secara rahsia dan berperingkat-peringkat. Nabi
Muhammad S.A.W berhijrah bersama-sama sahabatnya, Abu Bakar Al-Siddiq ke Madinah
dan telah memakan masa selama lebih kurang 12 hari. Namun, Umar bin al-Khattab telah
berhijrah secara bersendirian dan terang-terangan kerana sifat keberaniannya.

4.0 SEBAB DAN TUJUAN HIJRAH

Dakwah Islamiah telah disebarkan di Makkah lebih kurang 13 tahun.Pelbagai rintangan telah
dihadapi oleh Nabi Muhammad S.A.W dalam masa tersebut. Untuk meneruskan dakwah
Islamiah, nabi Muhammad S.A.W telah mengambil keputusan untuk berhijrah ke
Madinah.Terdapat beberapa faktor berlakunya hijrah ke Madinah. Faktor utama penghijrahan
Nabi Muhammad s.a.w ke Madinah adalah disebabkan perintah Allah menerusi wahyu. Maka
dalam wahyu ini Allah telah menyatakan niat dan pakatan orang Quraisy untuk membunuh
Nabi Muhammad S.A.W dan Allah telah memerintahkan baginda agar segera berhijrah.
Perintah ini yang berasas ayat Al-Quran, iaitu surah Al-Anfal yang telah mempercepatkan
penghijrahan Nabi Muhammad S.A.W ke kota Madinah. Dengan perlindungan Allah S.W.T,
Nabi Muhammad S.A.W dan sahabatnya, Abu Bakar Al-Siddiq selamat sampai ke Madinah.
Hijrah bertujuan untuk meneruskan penyebaran Islam. Ancaman daripada orang Arab Quraisy
telah menjejaskan aktiviti penyebaran Islam di Makkah. Walaubagaimanapun, penghijrahan
itu bukan bererti orang Islam kecewa dengan penentangan tersebut tetapi ini merupakan
strategi Nabi Muhammad S.A.W untuk mengembangkan Islam. Bagi baginda, suasana aman
di tempat baru akan memudahkan lagi penyampaian dakwah islamiah. Selain itu, hijrah juga
membolehkan sebuah masyarakat Islam yang bersatu padu dan sempurna diwujudkan.Hijrah
Nabi Muhammad S.A.W ke Madinah adalah disebabkan jemputan masyarakat Arab Madinah
yang sedang menghadapi pelbagai konflik.pada ketika itu suku Aus dan Kharaj di Madinah
sering bertelagah sesama sendiri dan ekonomi mereka pula dikuasai oleh golongan Yahudi.
Oleh itu, golongan Arab Madinah memerlukan pemimpin yang berkaliber seperti Nabi
Muhammad S.A.W untuk mengetuai kepimpinan di Madinah. Nabi Muhammad S.A.W juga
diperlukan untuk mendamaikan masyarakat Madinah yang sentiasa bermusuhan.

5.0 KEPENTINGAN HIJRAH

Hijrah mempunyai nilai yang sangat penting kepada peningkatan tamadun masyarakat Arab
pada masa itu dan masyarakat Islam pada hari ini. Setelah berlaku hijrah ke Madinah, dakwah
Islamiah dapat dilaksanakan dengan aman dan tanpa berselindung lagi, sedangkan di
Makkah seruan terhadap Islam sering terganggu. Hijrah juga telah dapat menyatupadukan
penduduk Madinah yang terdiri daripada pelbagai suku, budaya dan agama. Perpaduan ini
telah melahirkan kehidupan yang harmoni di Madinah. Ini sangat penting kerana dengannya
masyarakat Madinah dapat menjalankan kegiatan ekonomi, agama dan kegiatan lain untuk
menikmati kesejahteraan dan kemakmuran hidup. Tanpa perpaduan, keharmonian hidup
dalam sesebuah masyarakat atau negara tidak akan wujud. Apabila keadaan ini berlaku,
matlamat dan visi masyarakat atau negara berkenaan untuk mencapai kemajuan dan
kemakuran tentu akan gagal. Sempena hijrah, wujud kiraan tahun hijrah dalam takwim Islam.
Takwim hijrah ini telah mula digunakan pada zaman pemerintahan Khulafa al-Rasyidin kedua,
Khalifah Umar al-Khattab. Pada masa ini, takwim Hijrah digunakan di Negara Islam seperti
Malaysia. Setiap tahun, Negara kita, Malaysia, mengadakan sambutan “ maal hijrah ” dan
matlamatnya adalah untuk mengingati perjuangan umat Islam dahulu agar perkara itu
sentiasa segar dalam ingatan generasi sekarang. Hijrah juga menunjukkkan bahawa sikap
toleransi kaum dan tolong-menolong boleh melahirkan masyarakat cemerlang. Dalam konteks
hijrah ke Madinah, orang Madinah telah memberikan bantuan yang besar kepada orang Islam
Makkah yang berhijrah. Mereka sanggup memberikan tempat tinggal, menyediakan makanan
dan keperluan asas yang lain, serta menerima orang Islam Makkah sebagai saudara dan
sebahagian daripada masyarakat Madinah. Oleh itu, sikap sedia berkorban, bekerjasama,
dan tolong-menolong untuk membangunkan negara harus tersemat dalam jiwa kita. Peristiwa
hijrah ini telah memperlihatkan bahawa wanita juga dapat memainkan peranan penting selain
sebagai suri rumah untuk menggerakkan kemajuan sesebuah negara. Contohnya, puteri
AbuBakar Al-Siddiq, Asma’. Beliau telah berjaya membantu perjuangan Nabi Muhammad
S.A.W apabila beliau dengan beraninya telahmenghantar makanan dan menyampaikan berita
tentang Gerakan orang Quraisy kepada Nabi Muhammad S.A.W di Gua Thur walaupun
menyedari tindakannya berbahaya serta laluan ke Gua Thur berliku dan berbatu besar. Hijrah
juga menunjukkan ketabahan hati dan kebesaran jiwa Nabi Muhammad S.A.W. Baginda
sanggup berkorban dan meninggalkan kesenangan hidup demi memperjuangkan Islam.
Selain itu, baginda tidak pernah berputus asa apabila menempuh kegagalan. Sifat positif ini
patut dicontohi.

KESIMPULAN

Berdasarkan topik yang dibincangkan iaitu berkenaan hijrah Rasulullah S.A.W ke Madinah,
kami dapat simpulkan bahawa hijrah yang dilakukan oleh baginda mendatangkan banyak
kesan samada dari segi kebaikan atau keburukan walaupun baginda dan sahabat menempuhi
pelbagai cabaran dan rintangan. Penghijrahan yang telah baginda lakukan ada yang disokong
oleh orang sekelilingnya dan ada juga yang mem bantah. Kekuatan dan kesabaran baginda
telah membuahkan hasil apabila berjaya berhijrah ke Madinah dan menyampaikan wahyunya
di negeri tersebut. Banyak pengajaran yang boleh kita dapati melalui penghijrahan baginda.
Antaranya, kita haruslah bersabar dalam melakukan sesuatu. Seterusnya, kita juga harus
bijak berfikir sebelum melakukan sesuatu. Selain itu, kita juga hendaklah memberi keutamaan
kepada agama dengan bersolat dan berdoa dalam apa jua yang kita lakukan.

Semoga kehadiran tahun baharu Islam (Hijrah) 1444H akan menjadi lebih bermakna sebagai
pendorong semangat dan azam baru kepada seluruh umat Islam di Malaysia mahupun yang
ada di seluruh pelusuk dunia untuk terus berusaha dan berusaha demi mencapai kejayaan
yang lebih tinggi dalam kehidupan masing-masing serta meningkatkan lagi keimanan dan
ketakwaan kepada Allah SWT.

Akhir kata,

Menjelma lagi tahun Baru,

Penyatuan Ummah jiwa raga,

Muharram membuka lembaran baru,


Tingkatkan amalan manuju Syurga.

Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Anda mungkin juga menyukai